SepangOnline

Friday, September 30, 2005

Anwar Ibrahim di Sungai Siput

Oleh Bukit Kemuning - Laman M@RHAEN
--------------------------------------------------------------------------------
Pada hari Khamis 29 September 2005, Dato Seri Anwar Ibrahim telah muncul di Sungai Siput untuk menemui para penyokongnya. Majlis adalah tajaan Keadilan Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Padang Rengas. Mengikut laporan polis Sungai Siput, kehadiran mencecah 2,000 ribu orang di dalam dewan dan di kawasan luar.
Ketua Keadilan Bahagian Sungai Siput telah mengalu-alukan kehadiran Dato Seri Anwar dan mengucapkan terima kasih atas kesudian beliau hadir. Turut serta ialah pucuk kepimpinan parti seperti naib presiden Azmin Ali, Dr. Lee Boon Chye, Mustapha Kamal Ayoub dan Dato Kamarul Baharin, Setiausaha Agong parti serta ketua perhubungan negeri Perak, Tuan Haji Osman.

Ketua bahagian Keadilan Sungai Siput berkata bahawa Keadilan mempunyai konsep bahawa “We Dare and We Care” terhadap penderitaan rakyat yang kini sedang dihenyak oleh keadaan ekonomi yang semakin merudum. Terlalu banyak kilang yang ditutup dan memecat para pekerja dengan bayaran pampasan ala qadar sahaja. Di waktu yang sama harga barang dan keperluan hidup semakin meningkat. “Justru itu, kita mesti sokong perjuangan Anwar Ibrahim yang mahu menegakkan keadilan sejagat, kerana beliau merupakan “prime minister in waiting” yang boeh menyelamatkan Malaysia.

Dalam kata-kata aluannya, ketua bahagian telah menyebut betapa bertuahnya ahli-ahli parti di Sungai Siput dengan kehadiran seorang tokoh global-player yang begitu sibuk tetapi masih mempunyai ruang masa untuk datang meninjau rakyat marhaen di Sungai Siput.

Anwar ternyata tidak menghampakan para hadirin dengan pendekatan yang bersahaja dan dapat melegakan kerinduan para peminatnya.

Antara beberapa isu yang disebut oleh Anwar ialah perihal kes saman yang dituntutnya terhadap bekas perdana menteri Dr. Mahathir.

Mengikut Anwar dia pernah memberikan satu tahap kehormatan yang tinggi terhadap Mahathir. Walaupun satu ketika dulu dia sanggup bersabar dengan kerenah Mahathir tetapi sudah sampai masanya dia bertindak tegas terhadap beliau.

Sebelum inipun Anwar pernah merelakan tuntutan maaf daripada bekas ketua polis negara, Rahim Noor. Tetapi lama kelamaan Mahathir terus bertindak biadap terhadapnya gara-gara cemburu melihatkan perkembangan politik yang mewarnai beliau di luar negara.

Saya sudah serik dan tak akan masuk Umno lagi - Anwar

"Hampa tanggal seluak (seluar)pun, saya tak mahu masuk Umno dah"
Oleh EKMAL YUSOF
TAIPING, 30 Sept (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato'Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau sudah serik masuk Umno dan tidak akan berbuat demikian lagi.

"Saya dah serik dah, tak mahu masuk dah. Saya kena pecat, dan saya tak mahu masuk dah," ulang Anwar lagi.

"Hampa tanggal seluak (seluar) pun, saya tak mahu masuk Umno dah," kata Anwar Ibrahim meluahkan ralatnya, dengan bahasa loghat utaranya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kg. Pasir, dekat Kem Tahanan ISA Kemunting malam tadi.

Sejak kebelakangan ini pelbagai berita tersebar Anwar akan masuk semula ke dalam Umno.

Bekas pemimpin Semangat 46 memberikan kata dua kepada Anwar, jika Anwar mahu berjaya, dia kena masuk Umno atau menyertai PAS.

Saya sendiri akan dakwa Dr Mahathir

Dalam pada itu, Anwar berazam akan mendakwanya sendiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di mahkamah.

"Saya mahu Dr. Mahathir Mohamad hadhir di mahkamah dan saya sendiri akan menjadi peguambela, tak mahu orang lain, dan akan menyoal sendiri Dr Mahathir," katanya.

Tegas beliau, dalam masa enam tahun dalam tahanan, dan telah berpuluh kali dibicarakan, dengan pergi naik turun mahkamah "dan kini saya rasa sudah matang dan berkemampuan untuk berhadapan dengan Dr. Mahathir yang saya sendiri akan menyoalnya sebagai peguam pendakwa."

Di ceramahnya itu beliau telah mengandaikan yang beliau sedang menjadi peguambela pada dirinya sendiri dengan berkata, "Yang Arif Tuan Hakim, perhatikan elok-elok dan peguambela tengok elok-elok, ini dia buktinya, salahkah atau tidak.?"

"Saya ada bukti hitam puteh secara bertulis, saya hendak mintak dakwa dia, biar dia masuk Penjara Sungai Buluh," katanya diikuti tepuk sorak bergemuruh yang terdiri dari lebih 5,000 pendengar yang hadir malam tadi.

Kemudian, Anwar berlakun sebagai peguam dan menyoal Dr. Mahathir dengan satu soalan, "You ni adakah skandal sex?"

Maka kata Anwar,"Tentulah dia kata tak ada."

Siapa wanita Cina ini?

Seterus Anwar berkata, dia akan tnya lagi, "Hang tahukah atau tidak nama perempuan Cina ini, hang punyakah atau tidak?"

Tercetus sahaja soalan tersebut itu maka bergemuroh sekali lagi tempek sorak para hadirin malam tadi.

"Saya tanya sahaja, tapi bukan saya tuduh, biar dia jawab," jelas beliau dalam ceramahnya.

Kemudian setelah didesak oleh para hadirin, beliau jawab, "Adalah....."

Sebenarnya kata beliau, tentang "perempuan Cina" berkenaaan itu telah pun lama berlaku dan ramai di kalangan peguam pun ada yang tahu dan ada yang pernah memberi pendapat agar perkara tersebut di ketenngahkan kepada rakyat.

Tetapi, kata Anwar ketika itu dia berkata "Kita sama-sama bersabarlah, kita jangan buat kacau."

"Tapi, rupa-rupanya orang ini tiada guna," jelas beliau, "dia iri hati terhadap perkembangan politik, peribadi dan persahabatan saya dengan pemimpin-pemimpin negara luar khususnya negara Islam yang buat dia susah hati dan sakit hati."

Itulah sebab, kata beliau, Dr. Mahathir telah membuat satu kenyataan akhbar yang dia adalah pemimpin yang menyanjung Kamal Atarturk.

Jesteru beliau menyeru "Dengar wahai orang-orang Umno sekalian, ini dia rupanya ketua kamu. Sebab itu saya keluar!"
-zs

Thursday, September 29, 2005

Angkatan Muda: Universiti Medan UMNO Tunjuk Kuasa

Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat cukup prihatin dengan suasana pilihanraya kampus yang akan dijalankan serentak esok yang nampaknya hanya dijadikan medan untuk kerajaan dan Umno untuk menunjukkan kuasa mereka yang rakus.

Telah didedahkan sebelum ini oleh beberapa media seperti Suara Keadilan, Malaysiakini.com dan Harakah wujudnya rancangan tersusun dikalangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pemuda Umno dan pentadbir universiti untuk menutup suara-suara yang dirasakan berbeza dari mereka.

Kami cukup bimbang kerana suasana ini bukan hanya membunuh demokrasi di kampus malahan melahirkan suasana uniformiti yang mengekang sikap natural manusia yang mahukan kebebasan dan keunikan.
Sewajarnya pilihanraya kampus menjadi wahana kepada pelajar untuk memahami praktikal demokrasi, tetapi perkembangan yang diwujudkan oleh beberapa universiti ditakuti melahirkan manusia yang tidak menghormati demokrasi, kebebasan dan kebenaran yang jelas jauh menyimpang dari matlamat universiti.

Ini akan menjadikan universiti kita melahirkan warga yang rosak dan korup jiwa dan praktiknya sehingga mengabaikan hak orang lain, sebaliknya begitu taksub dan individualistik.

Bagi kami inilah punca kepada penularan kelompok fundamentalis dan ekstermis dikampus. Kami cukup bimbang akan wujud pertentangb yang diluar batas rasional kepada mereka yang ditindas.

Sekali lagi kami tegaskan, kami tiada masalah tentang kewujudan UMNO di kampus walupun ianya bertentangan dengan perkara yang tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Tetapi yang perlu adalah keterbukaan kepada semua pihak baik kerajaaan dan juga pembangkang untuk mengkaya dan melengkapkan sudut pandang mahasiswa yang bakal mentadbir dan mewarisi negara ini suatu masa nanti.

Kami juga cukup kecewa dengan sikap sebahagian pentadbir universiti yang juga sebahagian besarnya intelektual yang cukup bangga dengan kepungan dan ketiadaan demokrasi dikampus. Sewajarnay mereka malu kepada universiti luar dan masyarakat antara bangsa dimana universiti hanya kita hanya layak jadi “budak suruhan” Umno dan kerajaan.

Amirudin Shari
Exco Mahasiswa Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Anwar bertemu wanita profesional, akademia dan usahawan

Malaysia Today

SEPTEMBER 27, 2005: Sekembali Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tanahair pada Isnin, namun, jadualnya sudah dipenuhi dengan pertemuan-pertemuan dengan berbagai kelompok masyarakat.

Usaha memahami dan mendengar pandangan dan pendirian kelompok-kelompok dalam masyarakat wajar, bagi membawa negara ke arah yang diingini oleh semua.

Semalam, Wanita Parti Keadilan Rakyat telah menganjurkan majlis khusus bagi wanita profesional, akademia, dan usahawan bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam dialog yang telah berlangsung dari 5.30 petang sehingga 7.00 malam, membincangkan beberapa perkara.

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Syed Hussein Ali dan Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Antara isu yang dibangkitkan oleh salah seorang hadirin, berkaitan semakin kurangnya ruang untuk bersuara dalam negara menyebabkan sebarang cadangan yang tidak selari dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan yang ada dilihat sebagai menentang dan justeru itu ‘menggugat’ keselamatan negara.

Seorang aktivis wanita merasakan isu wanita tidak semesti diperjuangkan oleh wanita kerana isu berkaitan sebenarnya akan terkesan pada seluruh masyarakat lelaki dan wanita. Beliau menyeru agar dialog berkaitan isu wanita perlu dihadiri oleh kedua-dua lelaki dan wanita. Begitu juga, bagaimana dapat diatasi masalah keganasan terhadap wanita dengan bilangan lelaki yang bertanggungjawab sebenarnya lebih ramai jika dibandingkan dengan bilangan lelaki yang mendera wanita.

Anwar juga digesa mengingatkan para lelaki supaya menjaga dan bertanggungjawab terhadap keluarga mereka masing-masing kerana bermula dari unit keluarga lahirnya sebuah masyarakat yang sejahtera. Dengan itu, ramai wanita akan dibela dan dapat hidup bahagia.

Isu pendidikan juga dibangkitkan memandangkan ramai graduan yang menganggur dan kebanyakan mereka adalah wanita.

Anwar menekankan perlunya pandangan terbuka dalam merangka dasar dan selepas itu, kesungguhan dalam melaksanakannya. Apa yang sering berlaku, dasarnya sudah ada tetapi dari segi perlaksanaannya amat mengecewakan kerana di situ berlaku korupsi dan berbagai penyelewengan.

Beliau berpandangan, hak seseorang diberikan tanpa mengira gender atau bangsa dan agama yang dianuti. Dan seorang pemimpin perlu berani menyatakan pendiriannya, sanggup mengambil risiko dan tidak mengambil pendirian yang popular semata-mata yang kelak merugikan negara.

Walaupun kelihatan penat, Anwar masih memberikan perhatiannya terhadap cadangan-cadangan, teguran dan kritikan para hadirin terhadap parti mahupun dirinya secara peribadi. Beliau menyatakan harapannya agar dialog sebegitu diteruskan dan seterusnya akan diadakan bagi merangka langkah dan tindakan bersama untuk menatijahkan perubahan yang diinginkan.

Beliau sebelum itu telah bersama para karyawan dan penggerak seni negara mendengar pandangan mereka serta bersama berkongsi harapan ke arah perubahan.

Wednesday, September 28, 2005

Anwar Tarik Ribuan Orang di Titiwangsa

KUALA LUMPUR - Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memukau beribu-ribu orang ramai dengan ceramahnya di Malam Patriotik Rakyat malam tadi. Program tersbut anjuran Keadilan Bahagian Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa.

Beliau menyeru orang ramai untuk tidak hanya merungut dengan kepincangan pentadbiran seperti kenaikan harga dan rasuah - tetapi memilih parti yang memperjuangkan perubahan.

Selain dari ucapan Datuk Seri Anwar, Timbalan Setiausaha Agung Keadilan merangkap Ketua Bahagian Titiwangsa, Zahir Hassan; berserta Naib Presiden Azmin Ali turut berucap. Buku terbaru mengenai konspirasi kes Anwar, "Ada Konspirasi" telah dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar dengan melepaskan belon-belon warna Keadilan ke udara. Di samping itu ada juga persembahan teater oleh Universiti Bangsar Utama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berterima kasih kepada pihak polis dan DBKL yang membenarkan program diteruskan meskipun diletak pelbagai-bagai syarat. "Pegawai-pegawai polis dan DBKL ni baik-baik belaka, yang masalahnya yang di atas."

Beliau turut membidas sikap pemimpin-pemimpin BN yang menggunakan isu perkauman untuk mendapatkan sokongan sedangkan hakikatnya mereka hanya menjaga kepentingan sendiri.

"Masa untuk perubahan, untuk rakyat, sudah tiba."

Buku "Ada Konspirasi" berserta Suara Keadilan terbaru turut dijual kepada orang ramai.

Wakil KeadilanRakyat.org yang hadir menganggarkan sekurang-kurangnya 2000 orang hadir pada program tersebut

Anwar lawan Mahathir: Bekas TPM tidak mungkin tewas

Oleh Leslie Lau
The Straits Times

Dalam kes Anwar Ibrahim lawan Mahathir Mohamad, tidak kiralah apa pun keputusan mahkamah nanti, pemenangnya kemungkinan besar adalah bekas timbalan perdana menteri Malaysia itu.

Datuk Seri Anwar kemungkinan besar akan menyaman bekas ketuanya kerana memanggilnya homoseksual, dan ini meletakkannya dalam situasi menang.


• Dia akan berpeluang untuk mengenakan musuh ketatnya untuk kali pertama sejak dia dibebaskan daripada penjara pada tahun lepas.

• Dia berpeluang untuk membersihkan namanya.

• Dan apa yang lebih penting, dia berharap untuk menarik kembali perhatian orang ramai, memandangkan dia kini semakin tidak relevan dalam politik tanah air.

Jumaat lepas, peguamnya telah menghantar sepucuk surat rasmi yang meminta bekas perdana menteri itu memohon maaf.

Dalam surat tersebut, Datuk Seri Anwar juga telah meminta ganti rugi sebanyak RM100 juta dibayar kepadanya dalam masa 14 hari, atau satu saman malu akan difailkan ke atas Tun Dr Mahathir kerana memanggilnya homoseksual dalam sebuah sidang akhbar awal bulan ini.

“Kami bukan hanya membuat kesimpulan yang dia bukan homoseksual, tetapi kami menyatakan hakikat bahawa anak guam saya bukan homoseksual,” kata peguam Datuk Seri Anwar, Sankara Nair, semalam.

Tun Dr Mahathir awal minggu lalu tidak mengendahkan ugutan Datuk Seri Anwar untuk menyamannya.

“Pendirian Tun Mahathir sangat jelas. Dia berhak memecat Anwar daripada kabinet. Majlis Tertinggi Umno juga berhak memecatnya daripada parti,” seorang bekas pembantu kepada Tun Dr Mahathir memberitahu The Straits Times.

Selepas Datuk Seri Anwar dipecat, dia kemudiannya telah ditahan dan dibicarakan atas tuduhan rasuah dan liwat dan dia telah dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun.

Rayuannya terhadap tuduhan meliwat telah diterima dan dia telah dibebaskan pada tahun lepas. Dia sudah pun menghabiskan hukuman penjara bagi tuduhan rasuah.

Ketika ramai pemerhati berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar masih lagi bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, dia mendapati dirinya sukar untuk kekal relevan dalam politik tanah air, terutamanya dengan populariti tinggi perdana menteri sekarang, Abdullah Badawi.

Timbalan perdana menteri, Najib Razak dilihat sebagai calon utama bagi menggantikan Datuk Seri Abdullah.

Walaupun Tun Dr Mahathir masih lagi lantang, pengaruh politiknya sudah semakin malap dan setelah bersara, dia hanya memainkan peranan sebagai seorang negarawan lama.

Tetapi bekas perdana menteri itu tetap menjadi penghalang utama bagi Datuk Seri Anwar untuk melancarkan semula karier politiknya.

“Saman ini hanya akan membawa kebaikan kepada Anwar. Dia tidak akan rugi apa-apa,” Lim Guan Eng, setiausaha agung parti pembangkang Democratic Action Party (DAP), memberitahu The Straits Times.

Dia menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar masih lagi merupakan faktor politik utama dan dia masih mempunyai sokongan kuat.

Buat masa ini, dia masih merupakan satu ikon bagi parti-parti pembangkang yang kalah teruk dalam pilihan raya umum tahun lepas, katanya.

Parti-parti pembangkang utama seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan DAP telah melobi agar Datuk Seri Anwar dijadikan pemimpin pembangkang jika dia memenangi kerusi parlimen nanti.

Pengaruhnya juga dapat dilihat dalam usaha pemimpin-pemimpin PAS baru-baru ini untuk membawa parti dan imejnya keluar daripada sebuah pergerakan Islam yang ekstrim.

Datuk Seri Anwar telah memfailkan satu saman fitnah ke atas Tun Dr Mahathir pada 1999, apabila Tun Dr Mahathir, dalam sebuah sidang akhbar, menceritakan perlakuan homoseksual bekas timbalannya itu.

Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan saman tersebut, dan mengatakan bahawa ia merupakan penganiayaan kepada proses perundangan, dan persepsi tidak berasas bahawa terdapat pengaruh politik dalam sistem kehakiman.

Tetapi di bawah pentadbiran Datuk Seri Abdullah, rakyat bertambah yakin dengan sistem perundangan: penerimaan rayuan Datuk Seri Anwar tahun lepas merupakan satu contoh pendekatan tidak campur tangan perdana menteri.

Namun begitu, seorang anggota Pemuda Umno memberitahu The Straits Times, “Jika kes ini dibawa ke mahkamah, rakyat Malaysia pasti akan terhibur, tetapi saya tidak pasti sama ada ia cukup untuk membawa semula Anwar menjadi pemain utama dalam arena politik tanah air.”

Monday, September 26, 2005

Keadilan Teruskan Kempen Selamatkan Air Johor

JOHOR BAHRU - Kempen Selamatkan Air Johor siri kedua berjaya dilaksanakan secara bersepadu pada 17 dan 18 September lalu. Kempen anjuran bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor dan Dewan Pemuda Pas Johor ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Johor yang yang mulai sedar kepincangan kepimpinan Kerajaan Negeri Johor terutama mengenai masalah kualiti air ini.

Beberapa program yang diatur mendapat maklum balas yang amat positif. Di antaranya Program Penyebaran Risalah Kempen yang diedarkan kepada masyarakat di beberapa tempat meliputi kawasan pekan Air Hitam,Yong Peng, Parit Raja dan Sri Gading.

Respon yang diberikan oleh masyarakat di kawasan yang amat dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini membuktikan bahawa Gabungan Barisan Alternatif mempunyai peluang yang cerah di kawasan-kawasan tersebut.
Ini juga membuktikan bahawa penduduk Johor sudah mulai sedar bahawa mereka haruslah memilih pemimpin dan parti yang boleh membela nasib dan hak asasi mereka dan tidak lagi terlalu meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional sahaja yang selama ini kononnya diharapkan mampu membela mereka.

Menurut Pemangku Ketua AMK Johor, Nurin Aina Abdullah, "pihak urusetia dan petugas Pemuda Barisan Alternatif (BA) Johor sendiri amat terkejut dengan penerimaan positif daripada masyarakat di kawasan terbabit."

"Ini merupakan kali pertama sambutan positif sebegini diterima daripada masyarakat di Johor berbanding dengan penyebaran risalah berkaitan isu2 lain sebelum ini," tambahnya lagi.

Disamping penyebaran risalah, kempen tersebut turut diisi dengan petisyen Bantahan dari penduduk kawasan terbabit dan juga Majlis Dialog dan Sesi Penerangan di beberapa lokasi.

Kempen Selamatkan Air ini diteruskan dengan Program Ceramah Rakyat di beberapa tempat meliputi di kawasan Air Hitam dan Sri Gading.

Kemuncak Program Kempen adalah penganjuran Ceramah Perdana dengan mengundang Timbalan Ketua Penerangan AMK Pusat, Badrul Hisham Shaharin dan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mazlan Aliman.

Diharapkan dengan terlaksananya Program Kempen Selamatkan Air Johor ini, rakyat Johor sendiri akan sedar tentang kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dalam menangani masalah kualiti dan pencemaran air ini.Amat diharapkan juga agar kerajaan Johor akan mengambil tindakan terhadap punca-punca pencemaran masalah air ini.

Tertuduh Kes Lunas Didapati Tak Bersalah

Zulkifli Mohamed

LUNAS - Setelah berlangsung selama lima tahun dengan empat Hakim dan lima Timbalan Pendakwaraya bersilih ganti, akhirnya kesemua sepuluh tertuduh dalam perbicaraan kes pengundi hantu pilihan raya kecil Lunas dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Pendaftar Mahkamah Seksyen Sungai Petani, Tuan Ganesan A/L Vello, membacakan keputusan seperenggan itu pada jam 10.15 pagi semalam, mewakili Hakim Tuan Haji Zainol Rashid Hussin yang tidak hadir.

Selepas keputusan diumumkan kamar Mahkamah Majistret Kulim, diselubungi tepukan gemuruh penyokong Parti Keadilan Rakyat.

Menurut Ganesan mahkamah mendapati pihak pendakwa gagal mewujudkan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan mengarahkan kesemua mereka dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Keputusan tersebut sepatutnya diumumkan 11 September lepas, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Hakim berkenaan sedang berkursus.

Perbicaraan itu bermula sejak 2001 selepas pilihan raya kecil Lunas pada 29 November 2000 yang dimenangi calon Keadilan, Saifudin Nasution Ismail.

Para tertuduh Naib Presiden Keadilan Mohd Azmin Ali, Ketua Penerangan Tian Chua, Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Noor, Exco Angkatan Muda Zamil Ibrahim, Aktivis Keadilan Gobalakrisnan, aktivis PAS Mohd Fauzi Awang Kecil, Khairi Yahya dan Ahmad Khairuddin Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan Keadilan yang menyertai Umno Roslan Kassim dibebaskan daripada tuduhan melakukan rusuhan kerana menghalang dan menahan bas-bas yang membawa pengundi hantu pada pilihan raya kecil itu.

Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali melahirkan rasa syukur dan kesal dengan keputusan yang disifatkannya itu sebagai kes politik dan bukannya kes jenayah.

"Perbicaraan yang terlalu lama itu membazirkan wang rakyat," katanya.

Beliau juga menyifatkan keputusan itu sebagai bukti pihaknya tidak melakukan rusuhan, tetapi sekadar menunaikan tanggungjawab bagi menjamin keadilan terhadap para pengundi.

"Secara tidak langsung, mahkamah mengakui bahawa tindakan yang kami lakukan itu sebagai langkah yang wajar, untuk memastikan pengundi hantu tidak berpeluang menyusup untuk mengundi pada hari tersebut," katanya.

Menurut Azmin, pihaknya akan melakukan apa sahaja yang tidak menyalahi undang-undang bagi membanteras pengundi hantu dalam sebarang pilihan raya akan datang.

Tambahnya lagi, kesemua mereka yang disyaki sebagai pengundi hantu telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan tetapi sehingga kini tiada tindakan lanjut.

Sementara itu, Zamil Ibrahim mengakui memang wujud pengundi hantu ketika pilihan raya kecil Lunas.

"Ada seorang makcik (dalam bas) yang ditanya mengakui mereka dalam perjalanan ke majlis perkahwinan, padahal ketika itu pagi bulan Ramadhan," kata Zamil.

Gobalakrisnan pula berkata jika Dr Mahathir masih berkuasa para hakim akan takut membuat keputusan berdasarkan prinsip keadilan.

"Terima kasih kepada para hakim kerana membuat keputusan berdasarkan prinsip keadilan," katanya.

Ketika keputusan diumumkan Ezam,Tian Chua, Mohd Fauzi dan Khairuddin tidak hadir.

Sementara bagi pihak pendakwa hanya diwakili Ketua Inspektor Sobberi Ismail mewakili Timbalan Pendakwaraya yang tidak hadir.

Thursday, September 22, 2005

Sah Umno Perkuda Kementerian Pengajian Tinggi

Pada 15 September lepas Saudara Zukri Akhasah (Exco Angkatan Muda Malaysia) telah memberitahu saya mengenai satu kursus bakal calon aspirasi yang akan diadakan pada 16 – 18 september 2005 di PD world marina resort. Kursus ini bertujuan untuk mempersiapkan calon calon aspirasi ini bertanding dan memenangi pilihanraya kampus akan datang ini.

Hasil dari maklumat ini saya telah menghubungi pihak pengurusan PD World Marina Resort dan bertanyakan mengenai kursus melibatkan mahasiswa. Kakitangan pengurusan yang menjawab panggilan itu mengakui sememangnya ada kursus yang melibatkan mahasiswa dan kakitangan universiti. Tempahan 500 tempat dibuat dan menurut pekerja itu juga bayaran akan dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Pada 17 September saya bersama Tn Hj Ramlan Roes (Timbalan Ketua Angkatan Muda N.Sembilan), Amiruddin Wahab (Setiausaha Angkatan Muda N.Sembilan), Abd. Razak Ismail dan Mat Wazir @ Awang Jani (AJK Angkatan Muda NS) telah pergi ke tempat tersebut.

Apabila tiba sekitar jam 11.00 pagi saya telah melihat banyak bas universiti dan kenderaan rasmi universiti (kereta dan van yang di cat logo dan nama universiti). Saya terus ke lobi untuk mendapatkan kepastian mengenai program. Saya telah dimaklumkan oleh kakitangan hotel di meja hadapan bahawa ada dua tempahan kursus atas nama kerajaan satu untuk pensyarah dan satu untuk pelajar.

Di kawasan lobi kelihatan beberapa pemuda Umno yang saya kenali dan saya menjangkakan kehadiran kami juga mereka sedari. Secara kebetulan atau memang mereka terlibat dalam program tersebut tidak diketahui.

Oleh kerana merasakan kehadiran kami mula disedari kami terus beredar dari kawasan lobi menuju ke blok tempat yang kami dimaklumkan oleh petugas hotel yang merupakan tempat kursus untuk pelajar.

11.30 kami tiba di sebuah dewan terbuka, kira kira 300 orang yang kelihatan seperti mahasiswa (dikenali dari pakaian beridentiti universiti dan taq nama) sedang mendengar taklimat. Pemberi taklimat tidak dikenali tetapi jelas dari pemerhatian 30minit kami di situ kami dapat mendengar dengan jelas bahawa kursus itu sememangnya bertujuan memastikan kemenangan calon aspirsi dalam pilihanraya kampus.

Hj Ramlan Roes telah ditegur oleh seorang pensyarah seorang kakitangan akedemik UPM yang berstatus doktor (mengikut Hj. Ramlan beliu dan doktor itu memang saling mengenali atas urusan perniagaan). Doktor itu bertanya apa urusan kami di sini, maka Hj Ramlan menyatakan bahawa kami sedang melihat – lihat kawasan untuk disewa bagi mengadakan kursus. Oleh kerana sudah mula banyak mata tertumpu kepada kami, maka kami pun beredar.

Laporan Polis

Sebaik sahaja keluar dari kawasan itu kami terus menuju ke Ibu Pejabat Polis P.Dickson (IPD PD). Jam 12.45 saya telah membuat laporan polis di IPD PD berikutan makluman dan apa yang saya lihat tadi.

Laporan saya meminta siasatan dan tindakan pihak polis kerana penyalah gunaan wang kerajaan (baca:wang rakyat) kerana dibazirkan hanya untuk kursus memastikan kemenangan calon pilihanraya kampus pro Umno. Penyalah gunaan kuasa juga telah mengakibatkan pembaziran penggunaan kenderaan dan perbagai kemudahan universiti juga untuk tujuan yang sama.

Dari beberapa orang pegawai yang ditemui bersangkutan laporan itu kami telah mengetahui bahawa pihak polis (Cawangan Khas) mengetahui mengenai program tersebut malah ada pegawai yang mengesahkan bahawa Menteri Pengajian Tinggi sendiri turut dijadualkan akan menghadiri salah satu sesi dalam kursus itu. Kami selesai membuat laporan polis dan urusan bersangkutan pada 1.50 petang.

Kami terus pulang ke seremban kerana terpaksa berkejar ke program parti yang telah dirancang. Kecuali Amiruddin dan Angkatan Muda Teluk Kemang ditugaskan untuk datang semula ke PD world marina resort petang itu untuk mengambil gambar.

Mahasiswa Gangster

Pada jam 5 petang Amiruddin telah sampai ke PD World Marina Resort bersama kamera. Beliau terus ke tempat di mana kursus diadakan. Beliau mula merakamkan gambar dan hanya setelah merakamkan 4 keping gambar. Beliau telah dikerumuni kira – kira 20 orang (yang dijangkakan mahasiswa) bertanyakan mengapa beliau mengambil gambar. Dan ada seorang dari mereka cuba merampas kamera di tangan Amiruddin. Beliau menolak orang yang cuba merampas kamera itu dan mula bercakap dengan kuat menyatakan ini tempat awam semua orang berhak berada di sini.

“Saya ambil gambar pemandangan bukan gambar awak, apa awak susah?” tegas Amiruddin

“Atau awak semua tengah buat benda salah? Saya buat laporan polis nanti!” tambah Amiruddin yang menyebabkan kumpulan itu kelihatan mula panik dan kelihatan beberapa orang mula bercakap-cakap antara mereka.

Untuk mengelakkan perkara tidak di ingini Amiruddin telah keluar dari situ dan terus menghubungi saya melaporkan kejadian itu.

Selama ini tuduhan demi tuduhan dibuat mengenai Umno perkuda pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi. Sekarang sah kami telah menangkap basah kejadian yang mengesahkan mengenai sindiket Umno memperkudakan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kemenangan calon pro Umno dalam pilihanraya kampus kali ini.

Badrul Hisham Shaharin
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

WIRDA Pulau Pinang ditubuh di Permatang Pauh

Oleh Zulkifli Mohamed

SEBERANG JAYA: Women’s Institute of Research, Development And Advancement (WIRDA), iaitu sebuah badan amal untuk masyarakat prihatin yang dipelopori Wanita Keadilan Rakyat telah mengembangkan sayap ketiganya di sini, selepas Kuala Lumpur dan Johor.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi WIRDA Hajah Zuraida Kamaruddin, yang juga Naib Ketua Wanita Keadilan pada 18 September lalu.

Badan amal itu telah dilancarkan pada 28 Mei lepas oleh ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Presiden Keadilan YB. Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

WIRDA ialah sebuah “non-profit organisation” yang mendapat sumbernya daripada sumbangan masyarakat dan individu-individu yang memberi ‘pledges’.

Tenaga penggeraknya adalah sukarela yang menawarkan khidmat serta kepakaran untuk usaha-usaha pengayaan komuniti.

Menurut Zuraida, sejarah WIRDA bermula selepas tragedi tsunami, 26 Disember 2004 apabila beliau bersama rakannya seramai 12 orang menyertai misi bantuan ke Acheh.

“Pasukan kami ke Acheh seramai 12 orang, yang paling tua berumur 65 tahun, dan remaja berumur 18 tahun,” katanya pada majlis perasmian tersebut.

Tambah Zuraida, pengalamannya di Acheh mendorong beliau dan rakan-rakannya menubuhkan WIRDA di Malaysia bagi membantu masyarakat setempat.

Katanya lagi, WIRDA sudahpun mengendalikan beberapa misi bantuan di dalam dan luar negara. Sumbangan daripada individu-individu serta masyarakat dikumpulkan dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Selain sebagai pusat bantuan kemanusiaan tempatan dan antarabangsa (pengumpulan dan pengagihan), Pusat Khidmat Komuniti itu turut menawarkan rumah penginapan sementara kepada musafir, mualaf, anak yatim, fakir, ibu tunggal, isteri teraniaya dan remaja teraniaya.

“Kami juga menawarkan latihan pembangunan sosial ekonomi, iaitu latihan kemahiran dan pinjaman modal untuk mereka yang berkelayakan

“Kita turut menawarkan aktiviti kepada remaja dan pelajar, antaranya untuk mereka yang ingin mengadakan sesi perbincangan dan dialog pembelajaran,” jelasnya.

Tambahnya lagi, WIRDA juga telah menubuhkan sayapnya iaitu Gerakan Kemanusiaan Malaysia (GEMA) yang dianggotai golongan muda berumur antara18 – 40 tahun.

GEMA dipengerusikan Zarif Afendi,25, seorang remaja istimewa (tanpa tangan) yang memiliki Ijazah Psikologi. Beliau antara remaja yang pernah menyertai misi bantuan ke Acheh.

Sementara itu, Salma Ismail, Exco Wanita Keadilan Pusat merangkap Pengerusi WIRDA Pulau Pinang menjelaskan pihaknya sedang merancang program untuk memperkenalkan WIRDA kepada masyarakat negeri ini.

“WIRDA terbuka untuk semua, tanpa mengira kaum, agama dan jantina,” jelas Salma.

“Kami juga memerlukan sokongan semua pihak dari segi kewangan, kemahiran atau sumbangan barangan bagi menggerakan aktiviti WIRDA.”

Salma berkata pihaknya sedang merangka program remaja bagi membawa mereka mengenali diri dan peranan mereka kepada keluarga, agama dan masyarakat.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Negeri, Dato, Zahrain Mohd Hashim; Timbalannya Mustafa Kamal Yusof, Ketua Wanita Negeri, Aminah Abdullah; Exco Wanita Pusat, Zariny Zainal; Setiausaha Kerja Negeri, Rezal Huzairi Md Zaki; Ketua Wanita Permatang Pauh, Hajah Che Wa Harun dan beberepa exco Wanita Negeri dan Bahagian.

Untuk pertanyaan hubungi Salma Ismail (013-5155815) atau Fuziah (04-3904190/019-5088209), di alamat No. 5 Lengkok Siakap 3, Taman Siakap, Seberang Jaya, Permatang Pauh.

Ramai sambut baik hasrat Anwar saman Mahathir RM100 juta

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengheret Tun Dr Mahathir ke mahkamah berhubung kenyataannya bahawa Anwar seorang ‘peliwat’ menggembirakan para penyokongnya di sini.

“Kita sangat-sangat setuju, telah lama kita menunggu saat-saat ini,” kata Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang, Amizudin Ahmat

“Kita bukan sekadar mahukan keadilan, tetapi kita mahu melihat keadilan itu terlaksana,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Today.

Anwar dalam kenyataan medianya seperti tersiar di Malaysiakini semalam, mahukan Mahathir memohon maaf dalam masa empat belas hari atau menghadapi saman gantirugi berjumlah RM100 juta.

Tindakan itu lanjutan kenyataan Mahathir dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, yang berkata, beliau telah memecat Anwar pada tahun 1998 kerana ‘tidak mahu seorang peliwat’ dalam kabinetnya.

“Bayangkan seorang PM yang homoseks...tiada ada siapa yang selamat!” kata Mahathir selepas berucap di persidangan Suhakam di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Anwar dipetik sebagai berkata, “Saya tidak akan membiarkan pembohongan dan penghinaan ini berterusan. Oleh itu, saya telah mengarahkan peguam supaya memulakan tindakan undang-undang terhadap Mahathir.”

Menurut peguamnya Sankara Nair, surat tuntutan itu akan dihantar kepada Mahathir Jumaat ini.

Penasihat Keadilan Permatang Pauh, Cikgu Ibrahim Ahmad, berkata tindakan Anwar memberikan tempoh empat belas kepada Mahathir untuk memohon maaf sebagai tindakan terpuji.

“Anwar masih memberi peluang kepada Mahathir, tetapi jika Mahathir terus berdegil, Anwar tiada pilihan lain, perlu menyamannya kerana ini melibatkan maruahnya.

“Jika Anwar tidak menyamannya, tentu akan ada tanggapan serong terhadapnya,” kata bekas Bendahari Umno bahagian itu.

Beliau turut kesal dengan sikap Mahathir yang terus melemparkan fitnah walaupun mahkamah telah membebaskan Anwar.

Ketua Wanita Keadilan negeri ini, Aminah Abdullah pula berkata RM100 juta bukanlah nilai sebenar berbanding penderitaan akibat fitnah yang dilemparkan Mahathir.

“Jika Mahathir tidak memohon maaf, beliau wajar diheret ke mahkamah.

“Ketika berkuasa, Mahathir pernah ‘melarikan diri’ daripada sapina Anwar, kita harap selepas ini Mahathir berani berdepan Anwar di mahkamah,” katanya gembira.

“Kita sangat-sangat menyokong tindakan Datuk Seri, lawan tetap lawan,” kata Mohamad Rozi Abdul Hamid, Setiausaha Permatang Pauh.

“Tembelang Mahathir semakin terselak satu persatu. Kita tidak mahu Mahathir terus menipu rakyat. Mahathir terlalu banyak dosanya kepada Datuk Seri dan rakyat,” jelasnya.

“Saya menyokong 200 peratus”, kata Ketua Briged Keadilan Permatang Pauh, Zainal Abidin Saad.

“Orang semacam tu (Mahathir) perlu diajar menghormati undang-undang.

Sebab selama ini, kata Zainal, ada ahli-ahli Umno sangsi keberanian Anwar menyaman Mahathir.

Anwar pada mulanya didapati bersalah bagi kesalahan meliwat, tetapi sabitan dan hukuman itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September lalu selepas beliau membuat rayuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 18 Ogos lalu telah mengarahkan penulis buku “50 Dalil mengapa Anwar tak boleh jadi PM” Datuk Khalid Jafri supaya membayar RM4.5 juta kepada Anwar kerana membuat tuduhan palsu, termasuk tuduhan liwat terhadapnya dalam buku itu.

Khalid kemudiannya meninggal dunia baru-baru ini dengan sebelah kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis, tanpa sempat menjelaskan saman tersebut.

Tuesday, September 20, 2005

Gajah Putih Bernilai RM 160 Juta di Kawasan MB Selangor

Oleh Chan Wei See ( 陈慧思 ), Merdekareview, diterjemahkan oleh KR.org

Selama lima tahun yang lepas, Kawasan ADUN Sungai Panjang di Selangor bertuah memperolehi tiga projek yang bernilai RM 160 juta, iaitu 10% daripada peruntukan pembangunan tahunan di negeri Selangor. Usahlah kita berasa terperanjat dengan angka ini, kerana Sungai Panjang ini merupakan kawasan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohd Khir Toyo, malah, sudahlah pasti semuanya pembangunan ini hanya berlaku selepas beliau mengambil alih kuasa pada tahun 1999.

Di Sungai Haji Dorani, sebuah kampung nelayan terpencil yang berjarak 15 km dari Skinchan, suasananya sunyi dan permandangannya tidak seberapa. Yang memeranjatkan, ia merupakan pusat peranginan yang terpilih oleh kerajaan negeri. Yang pasti, kerajaan negeri Selangor mestilah berani mengambil risiko dan berkreativiti tinggi, untuk melaburkan (meleburkan?) RM 29 juta di sini.

Membelok ke jalan kecil, sebuah papan tanda yang menunjukkan arah D'Muara Marina mengalu-alukan pelawat. Di atasnya terdapat sebuah billboard propaganda Barisan Nasional yang besar. Jika rombongan ini bukan dipimpin oleh ADUN Sungai Pinang, Teng Chang Khim dan ADUN Skinchan, Ng Swee Lim, mustahillah rakyat dapat mengetahui resort pantai yang bernilai RM 29 juta di belakang ladang kelapa sawit ini. Resort yang mula beroperasi sejak Februari lalu merangkumi 10 buah kedai, 13 buah chalet serta 5 buah jeti. Kerajaan negeri juga merancangkan kemudahan jetski dan dataran kebudayaan sebagai tarikan baru. Namun, pantai yang dipenuhi lumpur sehingga 1 km jauh apabila air surut sedikit sebanyak menghampakan harapan kerajaan negeri terhadap resort ini.

Apakah pantai berlumpur ini berpotensi menjadi tarikan pelancong? Siapakah pula akan bercuti di resort yang dikepungi lumpur ini? Adakah seronok untuk berpecut jetski di dalam lumpur?

Chang Khim turut menyoalkan kos pembinaan yang terlampau. Di Shah Alam pun, 10 buah mahligai mewah yang disediakan untuk ahli Exco kerajaan negeri cuma menelan kos RM 21 juta. Apakah chalet kecil yang rekaan serta kemudahannya tidak seberapa dan terletak di tengah-tengah lumpur pula memerlukan kos pembinaan yang jauh lebih tinggi?

Walaupun resort telah beroperasi sejak bulan Februari, tapi tiada seorang pun pelancong didapati. Hanya sebuah daripada chalet yang berjumlah 13 unit didiami. Itu pun menurut penjelasan Chang Khim adalah kerana kerajaan negeri menempatkan banyak mesyuarat jabatan kerajaan di sini agar ia bisnes terpelihara.

Seperti diterangkan oleh Chang Khim, "resort" yang menelan kos terlampau tetapi tidak berupaya menarik pelancong ini secara jelas merupakan projek gajah putih yang tidak mendatangkan manfaat dari segi ekonomi.

Menurut pengiraan dua ADUN ini, jika resort dan restorannya dipenuhi tetamu setiap hari pun, keuntungan dari pelaburan ini hanya akan didapati selepas 30 tahun, dan ini belum mengambil kira penyelenggaraan dan gaji kakitangan lagi!

Terminal Bas RM 410 Ribu Masih Menantikan Bas

Sempena resort di tepi lumpur sedang menantikan masa depan yang tidak pasti, sebuah perhentian bas yang dinamakan Terminal Rakyat telah dibina di kampung Merbau Berdarah. Perhentian yang menelan kos RM 410 ribu ini sejak 5 tahun lalu telah bermula menantikan ketibaan bas yang setakat ini belum kelihatan. 16 unit studio perindustrian kecil dan 2 buah kilang yang berjiranan juga telah menghabiskan 5 tahun untuk menunggu hari ia digunakan nanti.

Sebaik sahaja tibanya di Terminal Rakyat, ramai pegawai Majlis Daerah Sabak Bernam telahpun bersedia mengalu-alukan rombongan ADUN dan para wartawan serta mengambil gambar mereka. Rumput di sekitar baru dipotong, dan dua orang pekerja sedang sibuk mengecat semula dinding kilang yang telah uzur. Chang Khim berpendapat bahawa inilah lakonan sementara yang ditunjukkan oleh konco-konco Umno setempat, untuk memeriahkan suasana di Terminal Rakyat yang biasanya sunyi sepi.

Menurut Swee Lim dan Chang Khim, apabila mereka datang mengkaji projek pelaburan ini setengah tahun dahulu, tempat ini dipenuhi semak samun, tandas dan pintu pun sudah berkarat. Tiada sesiapa pun yang akan melaluinya. Keadaan itu amat berbeza daripada kali ini. Bersyukurlah kepada pelakon-pelakon dari Umno.

Namun, kesepiannya tidak dapat disembunyikan. Perhentian bas yang cuma terdiri daripada tiga wakaf kecil dan sebuah pondok jualan makanan langsung tidak mencerminkan kosnya yang setinggi RM 410 ribu. Di taman perindustrian yang bersebelahan, cuma sebuah kilang kecil dapat disewa.

Rombongan lawatan sambil belajar ini juga mendapati meter elektrik pun belum dipasang di studio dan kilang tersebut. Bagaimanakan satu-satunya kilang di sini beroperasi tanpa tenaga elektrik? Ataupun ia merupakan satu lagi projek penipuan Barisan Nasional yang hanya dipentaskan pada saat terakhir?

"Terminal ini tidak pernah menyambut ketibaan sebuah bas pun sejak dibina. Ia merupakan satu lagi pembaziran kerajaan Barisan Nasional," ujar Chang Khim.

Terang beliau, Merbau Berdarah sebenarnya merupakan kubu kuat PAS di mana Khir Toyo cuma menang dengan majoriti 165 undi di peti undi ini. Untuk menstabilkan keadaan, beliau yang memegang jawatan Menteri Besar sejak 1999 terpaksalah "meleburkan" banyak wang di sini untuk memikat hati pengundi sini.

Jalan Raya RM 92.5 Juta untuk 20 Keluarga

Dari Tali Air 4 Skinchan ke Parit 4, Sungai Haji Dorani, sebatang jalan raya sejauh 20.5 km telah dibina dengan peruntukan RM 92.5 juta, atau puratanya RM 4.5 juta sekilometre. Jalan ini layak dikira jalan yang paling mahal di seluruh Malaysia.

Di hujung jalan raya ini, ia berpusing 90 darjah dan disambungi sebatang jalan raya baru yang menghubungkan Parit 4, Sungai Haji Dorani ke Parit 13, Kampung Sungai Panjang. Jalan berjauh 9.3 km ini bernilai RM 32.5 juta, iaitu RM 3.49 juta sekilometre. Jalan raya ini adalah selari dengan sebatang jalan sedia ada. Memandangkan hanya 20 keluarga bermastautin di kawasan ini, adakah ia amat diperlukan?

Sebuah ujian yang mudah telah dilancarkan oleh Chang Khim dan Swee Lim. Sepanjang jangkamasa 10 minit, hanya sebuah lori, 5 buah kereta dan 4 buah motorsikal melaluinya. Rombongan ini juga telah duduk di tengah-tengah jalan ini selama seminit untuk membuktikan ia jarang digunakan. Meleburkan wang sebanyak RM 92.5 juta untuk jalan yang tidak memanfaatkan, manakala membiarkan sahaja kesesakan lalulintas di Lembah Klang, memangnya "cemerlang, gemilang, terbilang"nya Barisan Nasional.

Seorang penduduk Skinchan yang juga merupakan pembantu khas Swee Lim berkata, jalan yang lurus ini telah menjadi syurga perlumbaan haram bagi para mat rempit, sehingga kemalangan selalu berlaku. Swee Lim pernah menyifatkan jalan ini sebagai "Jalan raya cepat kaya dan cepat maut" di DUN. Chang Khim pula menyindir bahawa ia boleh digunakan sebagai litar lumba pada zaman damai, serta landasan (runway) pesawat pejuang pada zaman peperangan.

Tiga projek gajah putih yang bertumpu di kawasan pilihanraya MB Selangor ini bernilai RM 160 juta, iaitu 10% daripada perbelanjaan pembangunan setahun negeri Selangor. Swee Lim berpendapat bahawa ia lebih molek dibelanjakan untuk menaiktaraf jalan kecil dan membina rumah kos rendah daripada dibazir sebegini.

Menurut Chang Khim, tiga projek gajah putih ini menunjukkan Khir Toyo langsung tidak pernah merancang secara terperinci sebelum projek dilaksanakan, sehingga ia tidak diperlukan oleh rakyat setempat pun. Ia hanya bertujuan untuk membuktikan beliau pernah memajukan kawasannya, dan entahlah berapa daripada kos tersebut telah ditelan oleh para kontraktor yang mengcajkan kos terlampau untuk kerja itu. Perbuatan sedemikian yang memenuhi kehendak sendiri dengan membazirkan wang rakyat amat merugikan rakyat, dan Chang Khim mengkehendaki Khir Toyo haruslah meminta maaf kepada seluruh rakyat.

Monday, September 19, 2005

Anwar & Rombongan keADILan ke Turki & Qatar

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat yang diketuai oleh Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Turki dan Qatar pada 15 September bagi mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Parlimen dan pimpinan Justice and Development Party.

Lawatan rasmi pemimpin Parti Keadilan Rakyat selama seminggu adalah atas jemputan Justice and Development Party of Turkey.

Mereka yang dipilih untuk menyertai rombongan tersebut termasuk Timbalan Setiausaha Agung, Zahir Hassan; Ketua Angkatan Muda Ezam Mohamad Nor; Pengerusi Perhubungan Negeri Pahang, Zakaria Hamid; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Johari Abdul, serta Pengarang Suara Keadilan, Zunar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah bertemu rombongan dari Malaysia di Turki.

Di Istanbul, rombongan keADILan mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Parlimen dan pimpinan Justice and Development Party. Tumpuan lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan yang terbaik kepada barisan pimpinan keADILan dalam usaha memperkuatkan jentera parti.

Malaysia Today difahamkan wakil Wanita tidak turut serta kerana mereka dijadualkan hadir dalam rombongan yang akan datang selepas kumpulan pertama.

Justice and Development Party of Turkey yang diketuai oleh Perdana Menteri Erdogan dijangka dapat memberikan perkongsian pengalaman dan pendapat berhubung isu pilihan raya, pendemokrasian, penerapan nilai budaya ketelusan dalam pentadbiran negara dan lain-lain lagi.

Selain melawat dan perbincangan di Istanbul, rombongan keADILan juga melawat Ankara di mana mereka menemui penasihat khas kepada Perdana Menteri, Dr Ahmet Davutoglu.

Rombongan keADILan juga melawat Parlimen Turki di Ankara dan mengadakan perbincangan, khususnya isu perhubungan dua hala dan usaha meningkatkan perhubungan Malaysia dan Turki. Pengiktirafan yang diberikan kepada rombongan keADILan ini seharusnya memberikan rangsangan baru kepada usaha untuk meningkat keupayaan dan kekuatan parti.

Dari Ankara, rombongan keADILan berangkat ke Dubai untuk menyertai Dubai Global Leaders Forum di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput memberikan ucaputama.

Di Dubai rombongan KeADILan juga mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk mantan Perdana Menteri Ireland, Mary Robinson.

Saturday, September 17, 2005

Anwar marah dengan kata-kata ‘homoseks’ Mahathir

Oleh S Jayasankaran

Bekas timbalan perdana menteri Malaysia, Anwar Ibrahim marah dengan komen-komen seksual yang dilaporkan telah dilakukan oleh bekas ketuanya Mahathir Mohamad.

Peguam Anwar, Sankaran Nair memberitahu semalam Anwar telah menelefon beliau dari Prague – di mana beliau sedang dalam lawatan ceramahnya – untuk menyatakan kebimbangannya. “Kenyataan sedemikian tidak dapat diterima,” kata En Nair. ”Satu kenyataan yang dikeluarkan bila tiba waktunya.”

Dr Mahathir pada minggu lepas dilaporkan telah berkata yang beliau terpaksa memecat Anwar untuk menghalang seorang homoseksual dari menjadi perdana menteri. ”Bayangkan seorang PM homoseksual,” Dr Mahathir dilaporkan berkata. ”Tiada siapa yang akan selamat.”

Bekas perdana menteri itu, sekarang berusia 80 tahun, juga dilaporkan berkata sebahagian dari media juga berada di belakang dakwaan yang tuduhan terhadap Anwar direka-reka.

”Malah setengah kalangan orang-orang media, adalah homoseksual,” Dr Mahathir dipetik berkata. ”Mereka tidak suka saya mengambil tindakan terhadap seorang yang mana mereka juga melakukan perkara yang sama. Jadi saya menjadi orang jahat kerana itu.”

Anwar, yang menjadi timbalan Dr Mahathir pada 1993, dipenjarakan pada 1998 atas tuduhan meliwat dan salah guna kuasa. Beliau tetap mengatakan tuduhan-tuduhan tersebut telah direka sebagai sebahagian dari rancangan untuk menghalang beliau menentang Dr Mahathir, yang telah bersara pada 31 Oktober, 2004. Dr Mahathir tetap mengatakan bahawa tiada sebarang konspirasi.

Pada September 2004, Anwar, 57, telah dibebaskan dari penjara selepas mahkamah agung Malaysia menarik balik tuduhan meliwat tersebut. Dan akhir-akhir ini, beliau mendapat kemenangan di mahkamah.

Bulan lepas, beliau mendapat permohonan maaf dari Abdul Rahim Nor, ketua polis yang telah menyerang beliau pada malam penahanannya. Beliau juga telah mendapat pampasan yang tidak diketahui jumlahnya dari kerajaan.

Beberapa hari kemudiannya, beliau telah mendapat RM4.5 juta untuk pampasan libel dari Khalid Jefri, yang telah menulis sebuah buku pada 1997 yang telah menimbulkan kontroversi tersebut. Anwar berkata kemenangan itu telah ‘membebaskan’ beliau.

Wednesday, September 14, 2005

Pengusiran Berdarah Untuk Capai Setinggan Sifar

Oleh: Faisal Mustaffa

SHAH ALAM - Unit Pasukan Simpanan (FRU), polis, Majlis Perbandandaran Shah Alam (MBSA) dan syarikat pemaju, Cekap Mesra Sdn Bhd bertindak dengan kekarasan ketika mengusir peneroka bandar Kampung Saujana di sini.

Mereka hadir bersama empat trak, tiga lori dan satu bas yang membawa kira-kira 400 anggota.

Ketika pengusiran dijalankan, seramai 14 orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mengalami sesak nafas akibat tindakan FRU tersebut.

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun turut dibawa ke balai polis berdekatan kerana didakwa cuba untuk menghalang FRU daripada merobohkan rumahnya.

Penduduk kampung tersebut mendakwa pihak penguasa tersebut tidak hak berbuat sedemikian rupa. Mereka juga menerima notis untuk berpindah dalam satu jangka masa terlalu singkat (tujuh hari).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Saujana, Samasivam a/l Monisamy, notis tujuh hari tersebut dikeluarkan pada hari penduduk kampung tersebut keluar beramai-ramai menghantar rayaun menangguhkan perobohan sementara di kampung tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 4 Se30 Ogos lalu.

Menurut Samasivam, mereka meneroka Kampung Saujana sejak 13 tahun yang lalu. Sebelum ini, mereka tinggal di kawsan berdekatan yang dipunyai oleh Cekap Mesra yang mahu memajukan tanah berkenaan.

Kampung Saujana yang terletak di Batu Tiga, Shah Alam itu dibenarkan diterokai untuk tiga tahun sehingga Rumah Kos Rendah (RKR) mereka siap dibina oleh MBSA di Sunway Kayangan.

"Kami aku dengan perjanjian tersebut," kata Samasivam.

Berdasarkan surat rayuan yang dihantar ke Perdana Menteri bertarikh 4 September lalu, projek Sunway Kayangan yang dimajukan oleh Suncity Sdn Bhd hanya akan siap pembinaannya pada November 2005.

"Sementara kerja-kerja pembinaan belum disiap lagi, kami dipaksa pindah keluar dari tempat tinggal sekarang kerana hendak diroboh bagi menepati sasaaran 'setinggan sifar' kerajaan Negeri Selangor," kata Samasivam lagi.

Bagi penduduk Kampung Saujana, merekamerka amaryu penangguhan perpindahan mereka kerana menghadapi masalah dalam pengurusan pinjaman perumahan yang diuruskan oleh MBSA.

"Tanpa pinjaman bank diberi kelulusan dan menandatangani S&P (Sales and Purchase Agreement), kami belum tentu akan dapat memiliki RKR yang ditawarkan oleh MBSA itu," ujar Samasivam lagi.

Pada 9 September lalu, Ketua Bahagian Shah Alam Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Nor melawat tempat perobohan dan terkejut apabila mangsa-mangsa perobohan tersebut tidak diberikan tempat tinggal sementara selepas merobohkan rumah-rumah tersebut tanpa hati perut.

Ezam ditemani setiausaha bahagian, Nazmi, Ketua Angkatan Muda Shah Alam, SD Johari Md Yassin dan Ketua Wanita Shah Alam, Animah Ferrar.

Turut hadir pada ahari tersebut ialah Naib Ketua Angkatan Muda Pusat, S Manikavasagam, Nain Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor, Krishnasamy dan beberapa lagi penyokong.

Pada hari tersebut, Keaailan Shah Alam menghulurkan sumbangan berupa bahan makanan seperti beras dan makanan dalam tin.

Sumbangan juga diterima daripada Keadilan Kelana Jaya yang menyumbang pakaian terpakai kepada mangsa perobohan tersebut.

Ezam juga sempat melawat seorang suri rumahtangga, Banu a/p Jayaraman (33 tahun) yang tidak dapat berjalan kerana sengaja dipijak oleh anggota FRU.

Ketika disoal oleh Ezam, Banu memberitahu bahawa doktor yang merawatnya berkata bengkak yang dialami pada kaki kanan kerana dihentak secara kuat.

Banu juga telah memebuat laporan polis akibat tindakan tersebut.

Keluarga Banu kini hidup di bawah khemah yang dibina. Keenam-enam anaknya yang berusia dari lapan hingga 15 tahun tidak dapat ke sekolah kerana tepaksa menjaga Banu dan menguruskan hal keluarga.

Tuesday, September 13, 2005

Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat

13 SEPTEMBER 2005
Umno TERTEKAN
KERANA ORANG MULA AMBIL TAHU FASAL SEJARAH!

Dua minggu kebelakangan ini heboh diperdebatkan mengenai kenyataan Ronie Liu mengenai sejarah kemerdekaan negara dan tokoh – tokoh yang di ketepikan tetapi turut memberikan sumbangan besar ke arah kemerdekaan.
Terbaru laman web pemuda Umno menyiarkan grafik yang diubahsuai dari sebuah kulit Chin Peng (bekas pemimpin PKM) dengan meletakkan gambar Saudara Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh pemimpin alternatif negara.

Angkatan Muda Malaysia mengecam tindakan ini dan melihat ini merupakan bukti betapa paniknya Umno dan betapa seriusnya mereka dalam usaha memanipulasi sejarah negara.

Perdebatan mengenai kenyatan tersebut dimulakan apabila Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno (menantu Perdana Menteri) dalam satu sidang medianya dengan penuh emosi cuba memain sentimen melayu kononya untuk simpati dan menyokong Umno dengan memutar belitkan fakta tulisan yang tersiar dalam laman DAP itu.

Utusan dan RTM sekali lagi berjaya memainkan peranan sebagai media propaganda untuk membangkitkan dan membakar lagi sentimen ini. Seperti biasa juga maka munculah beberapa pemimpin politik dan pemimpin badan bukan kerajaan (baca : proksi BN) memberikan komen malah membuat laporan polis mengenai perkara ini.

Maka ada tokoh yang sehingga bersungguh sungguh memberi amaran supaya jangan bermain api kerana menganggap kenyataan tersebut boleh mengakibatkan sengketa perkauman. Di nasihatkan supaya semua yang terbabit membuat laporan polis atau membuat kenyataan ini seharusnya terlebih dahulu membaca dan memahami kenyataan tersebut terlebih dahulu.

Antara intipati kenyataan itu menyebut;

Pemimpin-pemimpin yang dinyatakan sebagai ‘hero’ kemerdekaan pernah memberikan khidmat (makan gaji) dengan kerajaan penjajah
Anak Muda di Malaysia seharusnya tahu bahawa pemimpian PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya) seperti Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Mohammad (Pak Sako), Arshad Ashaari, Dahari Ali , Baharuddin Tahir,Khadijah Ali, Ibrahim Karim, Kamarulzaman Teh( Pak Zaman),Abdul Rahman Rahim dan ramai lagi telah memainkan peranan yang penting dalam perjuangan menuntu kemerdekaan.
Partai Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM) ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh , Perak , setahun sebelum UMNO ditubuhkan. Pemimpin pengasas terdiri dari Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestaman and Dr. Burhanuddin al-Helmi(kemudiannya menjadi Presiden PAS). Objektif PKMM adalah untuk memperjuangkan Negara yang merdeka, bebas dari pengaruh kuasa Koloni British. Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA)adalah merupakan sayap dibawah PKMM dalam perjuangan menuntut kemerdekaan
PKMM menghantar perwakilan antara terbesar dalam Kongres UMNO 1- 4 Mac 1946 di Kuala Lumpur dan telah membawa usul untuk ‘ menolak Malayan Union dan mendesak agar Malaya dimerdekakan sepenuhnya”.Malangnya, usul tersebut telah ditolak oleh kongres yang meyebabkan kesemua delegasi PKMM keluar dari kongres pada hari ketiga sebagai tanda protes. Pemimpinnya telah terus berusaha dalam perjuangan memerdekakan Malaya sepenuhnya, berbeza dengan pemimpin konservatif UMNO yang hanya mahu mempertahankan status mereka.
British pada ketika itu memulakan gerakan untuk menghentikan kemaraan PKMM dan ahli API pada 1948.Ramai diantara pemimpin dah ahli berhaluan kiri ditahan dan ada diantara mereka berjaya melarikan diri dari polis dan masuk kehutan dan menyertai kumpulan pemberontak diketuai oleh MCP.Ini telah menyebabkan berlakunya pembersiahn politik yang segera dipenuhkan oleh UMNO dengan restu pihak British.MCA dan MIC kemudiannya telah ditubuhkan selepas kewujudan UMNO dengan galakkan dari pihak British.
Hairan bagaimana kenyataan seperti di atas mampu mengakibatkan sengketa antara kaum? Adakah maruah bangsar melayu tercabar dengan kenyatan itu atau Umno yang terancam kerana rakyat mula sedar bukan hanya tokoh Umno terlibat dalam kemerdekaan?
Dari keseluruhan artikel hanya satu perenggan menyentuh mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu

"Harus ditunjukkan juga bahawa perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Pejuang Kebebasan dan tekanan yang diberikan oleh Parti Komunis Malaya diketuai oleh ChinPeng (sebagai pengetahuan oleh Tan Sri Rahim Moor, IGP yang menandatangani perjanjian damai dengan MCP), pihak British sudah pasti tidak akan memberikan kerjasama dan sanggup berunding dengan pemimpian Pergerakan untuk menuntut kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.
Mengapa satu perenggan itu sahaja yang menjadi perdebatan mengapa keseluruhan artikel itu tidak diperdebatkan ?
Kepada Khairy dan semua yang memperdebatkan perkara ini dengan penuh minat, jangan terlalu emosional! Seharusnya Khairy selaku bekas graduan universiti terkenal dunia harus berjiwa besar dalam memperkatakan sejarah.

Apa yang berlaku ialah Umno panik kerana taktiknya selama ini yang cuba memanipulasi sejarah semakin tidak menjadi. Dalam dunia hari ini maklumat boleh di dapati dari perbagai sumber. Beberapa buah universiti tempatan juga mula membukukan profail tokoh-tokoh selain tokoh UMNO yang turut menyumbang dalam kemerdekaan negara.

Kemerdekaan hari ini bukan milik UMNO sahaja tetapi ia adalah usaha semua datuk nenek kita tidak kita apa parti, keturunan dan latar belakang..

Baru – baru ini pemimpin MCA sendiri pun telah mengeluarkan kenyataan bahawa ingin mengaplikasikan sistem persekolahan di China (sebuah negara komunis) di negara ini.

Angkatan Muda tidak mahu berdebat mengenai perkara ini dan tidak mahu tenggelam dengan permainan fakta sejarah. Bagi kami, fakta sejarah harus disantuni semua dan tokoh - tokoh yang terlibat harus dihormati dengan sumbangan masing masing. Sekarang masanya kita bersama membina negara.

Kepada ganerasi muda beradalah di alam nyata. Yang mengancam negara sekarang bukan “fakta sejarah” tetapi rasuah, kronisma, nepotisma dan seribu satu amalan salah guna kuasa yang membarah dalam system negara. Itu wabak sebenar yang mengancam negara. Angkatan Muda amat berbangga jika badan badan belia tampil mengkritik pembaziran, amalan salah guna kuasa dan penguasaan kekayaan oleh golongan tertentu dalam negara.

Salam Reformasi ;

“ke arah memperkasakan kedaulatan rakyat”

Zarerah Hanem Md Zaki
Exco Angkatan Muda Malaysia

Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat

13 SEPTEMBER 2005
KEDUDUKAN MALAYSIA MEROSOT
DALAM RANKING PEMBANGUNAN MANUSIA DUNIA

Kerajaan harus bertanggungjawab terhadap laporan badan iaitu The United Nations Human Development (UNHD) Report 2005 menunjukkan The Human Development Indicator (HDI) For Malaysia merosot dari tangga ke 58 dalam tahun 2003 kepada kedudukan ke 61 dalam tahun 2005.
Berdasarkan laporan itu yang dikeluarkan minggui lepas itu adalah amat memeranjatkan Malaysia berada di belakang negara afrika seperti Libya, negara Amerika Tengah seperti Costa Rica, negara arab seperti Qatar dan negara Asia-Pacific seperti republik Tonga dari aspek pembangunan manusia.

The United Nations Resident Coordinator Richard Leete menyatakan kajian laporan HDI telah memberikan fokus kepada tiga kretiria pembangunan manusia iaitu jangka hanyat dan kesihatan, taraf pendidikan dan taraf hidup yang memuaskan.

Persoalanya ialah bagaimana Malaysia yang digambarkan begitu makmur tertinggal dengan negara negara tersebut dalam ukuran tiga aspek terbabit. Adakah terlalu sibuk dengan pembangunan fizikal menuju negara maju, Malaysia terlupa dengan pembangunan manusia yang menjadi prasyarat utama.

Kita tidak harus lupa Malaysia mempunyai jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin yang paling teruk di asia tenggara. Jurang perbezaan pendapatan yang kaya dan miskin di negara ini lebih teruk dari Filiphina, Thailand, Singapura, Vietnam and Indonesia. Laporan UNHDP 2004 menunjukkan 10 % dari golongan terkaya kaya di Malaysia telah menguasai 38.4% dari jumlah pendapatan ekonomi negara berbeza dengan 10% dari jumlah penduduk termiskin yang cuma menguasai hanya 1.7% dari jumlah pendapatan ekonomi negara.

Bagaimana Malaysia bakal menjadi negara maju menjelang 2020 jika kita lebih teruk dari sesetengah negara di benua Afrika.

Angkatan Muda mahu kerajaan tampil dengan penjelasan konkrit mengenai perkembangan ini.

Ini membuktikan kepincangan negara yang selama ini rakyatnya tertipu dengan mainan media semata – mata, sesuatu harus dilakukan segera.

Malaysia akan menjadi destinasi ekonomi yang semakin tidak porpular jika pelabur menjadikan laporan tersebut sebagai rujukan menentukan lokasi pelaburan mereka.

Perdana menteri seharusnya bertindak segera dalam hal ini bukan setakat mengambil jalan porpular dan penyelesaian jangka pendek dalam menyelesaikan masalah negara.

Salam Reformasi

“ke arah memperkasakan kedaulatan rakyat”


BADRUL HISHAM SHAHARIN
Pengerusi
Biro Bencana dan Hal Ehwal Masyarakat
Angkatan Muda Malaysia

Monday, September 12, 2005

Mahathir akan disaman dalam masa terdekat, kata Azmin

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed akan menghadapi tindakan undang-undang dalam masa terdekat, tegas Naib Presiden Keadilan Mohd Azmin Ali.

“Saya mempunyai bukti yang cukup untuk mengesahkan penglibatan Dr Mahathir dalam konspirasi fitnah menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga secara langsung melibatkan diri saya dan keluarga saya.

“Peguam saya akan mengemukakan permohonan tersebut di mahkamah dalam masa terdekat supaya beliau dapat hadir ke mahkamah untuk menjawab persoalan-persoalan ini,” tegas Azmin kepada Malaysia Today selepas menyampaikan ceramahnya di Kampung Padang Ibu, di sini semalam.

Menurut Azmin peguamnya dalam peringkat terakhir meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan bagi mengheret bekas Presiden Umno itu ke mahkamah.

Pada 2 September 1988 Mahathir menggunakan asas tuduhan dalam buku ‘50 Dalil’ untuk memecat Anwar, yang secara langsung mengaitkan Azmin, apabila difitnah salah seorang anaknya adalah hasil hubungan sulit isterinya dengan Anwar.

Bagaimanapun, Mahkamah Seksyen Ampang pada 25 Jun lalu memutuskan dakwaan tersebut adalah fitnah dan mengesahkan keterangan doktor pakar bahawa bukti DNA menunjukkan Azmin dan isterinya Shamsidar Taharin adalah ibu bapa biologi kepada Afifah Azmin.

Mahkamah tersebut telah menjatuhkan hukuman 2 tahun penjara terhadap penulis dan penerbit buku ’50 Dalil’ Datuk Khalid Jafri.

Pada 18 Ogos lepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato’ Hishamudin Mohd Yunus, turut mengesahkan buku ‘50 Dalil’ adalah fitnah dan ada konspirasi politik di sebalik penerbitannya kerana diedarkan dalam beg perwakilan dalam Persidangan Agung Umno.

Menyentuh tindakan Mahathir terus menfitnah Anwar seperti dilaporkan dalam portal Malaysiakini, Azmin menyifatkan tuduhan itu sebagai provokasi oleh seorang yang sudah nyanyuk dan tidak lagi relevan bagi menarik perhatian umum, khususnya media.

“Saya percaya rakyat sudah tidak lagi mempedulikan Dr Mahathir, sebagai seorang tua yang sudah nyanyuk dan tidak relevan lagi.”

Sebab itu, kata Azmin kenyataan Mahathir itu tidak dilaporkan dalam akhbar media perdana melainkan Malaysiakini.

9 September lalu, Malaysiakini melaporkan Mahathir sebagai berkata, “Saya tidak boleh ada seorang peliwat dalam kabinet saya. Bayangkan seorang ‘gay’ (lelaki homoseks) menjadi PM...tiada seorang pun yang akan selamat!”

Mahathir juga menafikan bahawa pemecatan Anwar, adalah disebabkan kerana mereka berdua tidak lagi sehaluan.

Beliau mendakwa, tuduhan tersebut diada-adakan oleh media – terutama wartawan ‘gay’ (lelaki homoseks) – yang menyokong perjuangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Azmin mengganggap kenyataan Mahathir itu bersikap biadap apabila menghina keputusan mahkamah apabila terus memfitnah Anwar.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambl tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir untuk mengajar beliau supaya menghormati undang-undang dan menghormati mahkamah,” kata bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Sunday, September 11, 2005

Keadilan & NGO Malaysia Kecam Tindakan Kerajaan Thai

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR: Keadilan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengecam tindakan zalim kerajaan Thailand terhadap rakyat Islam di selatan Thailand khususnya di Pattani sehingga mengakibatkan mereka lari ke Malaysia bagi mendapat perlindungan.

Antara keraguan yang meliputi badan-badan tersebut adalah kredibiliti kerajaan Malaysia untuk memberi perlindungan kepada sejumlah pelarian 'pelarian Islam ' dari selatan Thailand yang menyemberangi sempadan Malaysia itu.

Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Malaysia, Latheefa Koya, para pelarian masih dihantar pulang ke negara asal mereka dan dipisahkan daripada anak-anak mereka kerana kononnya akur kepada Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC).

"Sekiranya pelarian tersebut di bawah umur dijumpai bersama-sama penjaga mereka, kerajaan sepatutnya memberi perlindungan kepada kesemuanya; bukan hanya terhad kepada kanak-kanak di bawah umur itu," kata Latheefa yang juga banyak mengendalikan kes-kes pelarian di mahkamah.

Bagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Dr Irene Fernandez, beliau tidak yakin bahawa Malaysia dapat memberi perlindungan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan obligasi asas dunia selepas melihat perkembangan yang berlaku.

Irene berkata, beliau merasa kecewa dengan tindakan kerajaan baru-baru ini yang menghantar pulang pelarian minoriti Rohingya dari Myanmar.

Menurut Irene dalam sidang medianya pada 2 September lalu, pelarian-pelarian tersebut dihantar pulang ke Myanmar melalui Thailand.

Irene yang juga pengarah kepada Tenaganita memberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri yang bertindak sebagai Jawatankuasa Kabinet bagi Pekerja Asing, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia membuat kenyataan serius untuk mengambil pelarian Rohingya untuk memenuhi kekosongan dalam tenga kerja di negara ini.

Pada 1 September yang lalu, seramai 131 rakyat Thailand memasuki negara ini melalui Tumpat, Kelantan untuk mencari perlindungan. Difahamkan beribu-ribu lagi akan memasuki negeri sempadan Kelantan bagi tujuan yang sama.

Keraguan itu timbul selepas beberapa insiden sebelum ini yang mengakibatkan pelarian-pelarian dihantar ke negara masing-masing selepas mendapat tekanan daripada beberapa pihak.

Pada tahun 2003, ketika Persidangan Ketua Negara Berkecuali (NAM) diadakan di Kuala Lumpur, beberapa negara mengeluarkan usulan agar isu pelarian ini dibincangkan.

Antara cadangan daripada negara-negara ahli ialah supaya satu deklarasi dikeluarkan untuk berkongsi beban dan tanggungjawab serta sokongan moral.

Namun, Malaysia pada masa itu sebagai pengerusi persidangan bertindak dingin terhadap usul tersebut.

Malaysia juga bukanlah sebuah negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 walaupun tidak dapat lari daripada prinsip asas hak asasi untuk tidak menghalang sesiapa pulang apabila didapati pihak tersebut mengalami ancaman nyawa.

Prinsip dalam Artikel 33 Konvensyen tersebut bersama Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jelas memperuntukkan negara-negara ahlinya untuk memberi obligasi yang termampu.

Setakat ini, Malaysia hanya terikat kepada penjagaan kanak-kanak pelarian seperti yang ditandatanganinya dalam CRC menerusi Artikel 22.

Sungguhpun demikian, prinsip tersebut masih berada dalam kesamaran terutamanya dalam segi penguatkuasaan.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan wajar menggunakan undang-undang antarabangsa dalam isu 'pelarian Islam' dari selatan Thailand yang menyemberangi sempadan Malaysia itu.

Katanya, kerajaan Malaysia tidak sepatutnya menghantar pulang pelarian tersebut ke Thailand sebagaimana pernah dilakukan kepada seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dihantar pulang ke Amerika tahun lalu atas permintaan negara itu.

"Belum pun sempat peguam pelajar terbabit membawa kes ke mahkamah, pelajar tersebut telah pun diserah kepada USA," kata Kamarudin dalam satu laporan laman web.

Bagi Kamarudin, beliau berpendapat bahawa pelarian tersebut bukanlah penjenayah tetapi orang-orang kampung yang melarikan diri untuk mencari perlindungan dan pihak berkuasa Malaysia seharusnya meneliti perkara itu.

Jelas Kamaruddin, rakyat Thailand menyemberangi sempadan kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga. Mereka bimbang tindakan tentera negara terbabit akan menjadikan mereka mangsa.

Bagi Ahli Jawatankuasa Pelarian Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam), K Shan, beliau mengutuk sesetengah pemimpin Umno yang menegakkan ketuanan dan perjuangan Melayu tetapi tidak mengendahkan keperitan yang dialami oleh rakyat Melayu di selatan Thailand yang juga berketurunan Melayu.

Menurut Shan, pada waktu ini, kerajaan Malaysia sudah sepatutnyamempunyai ketetapan bagi menyediakan perlindungan sementara kepada pelarian-pelarian tersebut.

Shan juga mengutuk tindakan kerajaan yang menutup pintu sempadan kepada golongan yang diancam nyawa mereka dan melayan mereka seperti tahanan dan disimpan di dalam lokap.

"Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), kerajaan Malaysia dan UNHCR sepatutnya berbincang mengenai isu yang melanda terutamanya kepada penganut agama Islam yang tertindas agar perlindungan bersesuaian dapat diberikan kepada mereka," kata Shan lagi.

Bagi Jemaah Islah Malaysia (JIM) pula, kerajaan Thailand perlu mengambil langkah segera menamatkan pertelingkahan dengan penduduk Islam di wilayah selatan negara itu bagi mengelak hubungan dengan Malaysia terjejas.

Presidennya, Zaid Kamaruddin berkata, jika umat Islam terus ditindas dan dibunuh ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia dan beberapa negara lain di Asia Tenggara.

Katanya, pembunuhan seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku malah ia adalah lanjutan daripada peristiwa Tak Bai yang mengorbankan berpuluh nyawa umat Islam sebelum ini.

"Apa yang berlaku di Selatan Thailand itu turut menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini dan jika tidak dibendung ia membawa kesan buruk kepada hubungan kedua-dua negara," katanya dalam sidang media pada 8 September yang lalu.

Turut hadir ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad dan wakil dari beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Menurut Zaid, apa yang berlaku di Selatan Thailand itu agak memeranjatkan kerana penduduk Islam di wilayah tersebut hidup dalam suasana aman damai.

"Tuduhan bahawa mereka adalah militan yang memberi ancaman kepada keselamatan negara itu tidak tepat kerana mereka sudah tidak aktif dengan aktiviti menentang kerajaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Kerajaan Malaysia memberi perlindungan kepada umat Islam yang melarikan diri ke Malaysia dan hanya akan menghantar balik selepas pemeriksaan selesai dan dengan jaminan keselamatan dari Thailand.

Sementara itu, Yusri berkata, situasi di Selatan Thailand semakin tegang dan kerajaan negara itu perlu bertindak segera menghalang supaya ia tidak merebak.

Katanya, cara yang paling berkesan ialah dengan mengambil langkah memenangi hati dan pemikiran penduduk Islam termasuk kesejahteraan mereka dipertingkatkan.

"Kita juga meminta pihak berkuasa Thailand memelihara institusi keagamaan umat Islam supaya api kemarahan mereka tidak menjadi semakin meluap," katanya.

Yusri berkata, Abim akan terus memantau perkembangan yang berlaku di Selatan Thailand itu dan sentiasa berhubung dengan pemimpin Islam di wilayah tersebut untuk mendapatkan maklumat terbaru.

Pada 9 September lepas, kira-kira 500 umat Islam mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur hari ini sebagai membantah pembunuhan umat Islam di wilayah selatan negara itu.

Mereka membawa sepanduk yang antara berbunyi "Hentikan Pembunuhan" sambil melaungkan "Thaksin Pembunuh". Kira-kira 100 anggota polis berkawal di situ bagi sebarang kejadian yang tidak diingini.

Selain daripada Ketua Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub berkata, turut hadir di perhimpunan untuk penyerahan memorandum membantah kerajaan Thai itu ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham ShahArin.

Dalam memorandum itu, Salahuddin berkata, umat Islam di Malaysia mengikuti perkembangan tersebut secara dekat kerana hubungan mereka amat erat.

Katanya, umat Islam di negara ini akan membela rakan mereka di Selatan Thailand dan merancang mengadakan perhimpunan yang lebih besar jika pembunuhan tidak dihentikan segera.

HORMATI SEMUA PEJUANG KEMERDEKAAN

SYED HUSIN SYED ALI

Pada tahun 1972, dalam ucapan selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat di Majlis Konvokesyen Universiti Sains, Pulau Pinang, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, seorang Timbalan Perdana Menteri dan negarawan yang disegani, telah menyentuh tentang sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Beliau berkata, sumbangan semua golongan, termasuk golongan kiri mesti dihormati. Sungguhpun beliau tidak menyebut satu-persatu golongan tersebut, maksudnya agak jelas.
Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara dan kebebasan bangsa kita, memang banyak golongan telah memberikan berbagai-bagai sumbangan atau pengorbanan – tenaga dan nyawa. Pada peringkat permulaan ialah golongan yang menentang kemasukan penjajah serta mempertahankan kedaulatan negara.

Ketika Portugis menyerang Melaka, Bendahara Paduka Raja muncul sebagai pemimpin yang menentang serangan itu. Lebih tiga abad kemudian, manakala penjajah Inggeris cuba menakluki negeri-negeri Melayu, timbul pula pembesar-pembesar Melayu terkenal, seperti Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang, Datuk Janggut di Kelantan, dan ramai lagi, yang bangkit melawan kuasa penjajah.

Mereka tidak mahu negeri mereka ditakluki. Mereka tidak ingin kekayaan negeri mereka dirampas. Mereka tidak rela bangsa mereka melutut sebagai hamba penjajah.

Pembesar-pembesar yang menentang serangan dan penaklukan penjajah ini terdiri dari pembesar atau golongan bangsawan. Walaupun mereka mendapat sokongan rakyat, namun akhirnya mereka tewas. Tetapi bukan semata-mata kerana penjajah lebih kuat. Salah satu sebab ialah kerana ada golongan pembesar lain yang tidak mahu bersama mempertahan kedaulatan bangsa, tetapi sanggup bersubahat dengan penjajah.

Di Melaka akibat dari khianat musuh dalam selimut, bernama Mandaliar, akhirnya Portugis dapat menundukkan Melaka dan menjajahnya. Di negeri-negeri Melayu yang mula-mula diserang dan ditakluki Inggeris, terdapat pula Sultan dan pembesar-pembesar lain yang belot dan bekerjasama dengan pihak penjajah untuk mengalahkan pembesar serta rakyat yang bangkit itu.

Dalam perjuangan menentang penjajahan untuk mempertahan kedaulatan bangsa ini, kita melihat ada dua tradisi yang jelas. Pertama, tradisi melawan atau menentang penjajah habis-habisan. Kedua, tradisi bekerjasama atau bersubahat dengan penjajah. Mereka yang menentang ada yang dibunuh, diburu, dibuang negeri dan dilucut kedudukan mereka. Yang menang pula kemudian diupah dengan pangkat, martabat dan kekayaan.

Selepas penjajahan menakluki negara dan rakyat, maka timbul pula golongan jenis kedua, iaitu mereka yang berjuang untuk menentang penjajahan dan menegakkan kemerdekaan. Sejarah membuktikan bahawa golongan yang mula-mula bangkit untuk menuntut kemerdekaan terdiri daripada tokoh-tokoh atau pertubuhan-pertubuhan yang dicop oleh penjajah sebagai radikal atau kiri. Antaranya ialah tokoh-tokoh seperti Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Helmy, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan Abu Bakar Bakir.

Mereka memimpin pertubuhan-pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin.

Sejarah tidak boleh menafikan hakikat bahawa Parti Komunis Malaya (PKM), dari mula ia ditubuhkan juga bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan. Di Asia, seperti India, Indonesia dan Vietnam, dan juga di Afrika serta Amerika Latin, orang ataupun gerakan komunis diiktiraf sebagai sebahagian dari tenaga rakyat yang memperjuang kemerdekaan. Peranan mereka diakui.

Begitu juga, kita semua harus mengakui bahawa selepas pemimpin-pemimpin kiri ini ditangkap dan ditahan bertahun-tahun berikutan perisytiharan darurat, ruang telah terbuka luas kepada UMNO, MCA dan MIC, di bawah pimpinan Tungku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Cheng Lock dan Tun S. Sambanthan, untuk melanjutkan tuntutan kemerdekaan.

Oleh kerana sikap tokoh-tokoh dan pertubuhan-pertubuhan kiri tidak mahu bekerjasama dan menentang habis-habisan pihak penjajah, maka mereka ditekan. Sebaliknya, UMNO, MCA dan MIC (sebenarnya mula-mula MIC memihak kepada golongan kiri) sanggup bekerjasama dan berkompromi dengan pihak penjajah. Maka itulah Inggeris merasa lebih senang dan selamat untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang dipimpin oleh Tunku.

Sungguhpun Datuk Onn Jaafar dan parti yang dipimpinnya (mula-mula IMP – Independence Malaya Party - dan kemudian Parti Negara) juga sanggup bekerjasama rapat dengan kuasa penjajah, namun beliau tidak direstui Inggeris kerana gagal mendapat sokongan rakyat.

Tidak ada siapa yang seharusnya menafikan peranan Tunku dan UMNO untuk akhirnya mendapatkan kemerdekaan dari penjajah Inggeris. Memang salah jikalau ada pihak yang mengatakan mereka tidak memberikan sumbangan sama sekali. Tetapi sebaliknya, salah juga jikalau kita tidak mengiktiraf sama sekali peranan dan sumbangan oleh golongan-golongan lain, termasuk golongan bangsawan tradisional dan tokoh serta pertubuhan kiri yang disebut tadi.

Dalam perjuangan menentang penjajahan untuk menegakkan kemerdekaan, kita dapati juga dua tradisi yang sama, iaitu: tradisi kerjasama serta kompromi dengan penjajah dan tradisi perlawanan serta penentangan terhadap penjajah. Kita mungkin mempunyai pandangan dan penilaian yang berlainan terhadap kedua-dua tradisi ini. Namun kita perlu memberikan pengiktirafan yang seimbang kepada tokoh-tokoh dan parti-parti penting dari kedua-dua tradisi ini.

Kita seharusnya memandang berat dan menghormati pandangan Tun Dr Ismail, dengan mengikuti nasihatnya. Tidak ada gunanya menaruh dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Hormatilah semua pejuang kemerdekaan.

- Syed Husin Syed Ali

Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat

11 SEPTEMBER 2005
Bantah pelatih PLKN jalani latihan senjata api

Angkatan Muda Malaysia memandang serius mengenai maklumat bahawa PLKN telah memperkenalkan latihan menggunakan senjata api di 76 kem seluruh negara sejak sebulan lalu. Lebih serius lagi latihan ini dijalankan secara sulit tanpa pengetahuan Jawatankuasa terpilih untuk perpaduan dan khidmat negara dan ibu bapa sendiri.

Dalam akhbar tempatan baru baru ini , Ketua Pengarah PLKN, Kamaruddin Mohd Baria sendiri mengesahkan yang latihan senjatapi dijalankan di peringkat percubaan dan mengakui dijalankan tanpa kebenaran jawtankuasa terbabit dan ibu bapa.
MLKN perlu menjelaskan bagaimana perkara ini boleh berlaku dan apakah keperluan bagi remaja beriusia sekitar 18 tahu dilengkapkan dengan pengetahuan mengendalikan senjata api ?

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan yang program latihan tersebut adalah bertujuan untuk menyemai semangat patriotik di jiwa para pelatih di samping mengeratkan lagi perpaduan nasional dan meningkatkan disiplin diri. Adakah dengan membeerikan latihan penggunaan senjata api dapat merialisasikan tujuan tersebut ?

Ini juga membuktikan kerajaan menipu apabila memberikan jaminan bahawa khidmat negara ini bulanlah satu program latihan ketenteraan.

Kini bukit aman sendiri mengakui bahawa negara sedang mengalami masalah remaja atau kanak – kanak yang terlibat dalam keganasan jenayah. Terbaru ialah beberapa kanak – kanak di langkawi disyaki terlibat membakar kenderaan awam. Dan latihan menggunakan senjata api di kalangan remaja ini harus dihentikan segera kerana bagaimana pihak keselamatan mampu memantau apabila puluhan ribu remaja yang mempunyai asas mengendalikan senjata api ini berdepan dengan pengaruh persekitaran ?

Sebelum menjalankan latihan menembak dan mengen dalikan senjata api PLKN juga telah diragui dari aspek kemampuan jaminan keselamatan pelatihnya. Banyak kes kemalangan sehingga mengakibatkan kematian berlaku, itu belum masuk pelatih hilang, di rogol dan seumpamanya.

Dan bagaimana pula kini apabila latihan senjata api diperkenalkan sudah tentu meletakkan pelatih dalam keadaan berisiko lebih tinggi ?

Angkatan Muda menuntut untuk latihan ini dibatalkan segera. MLKN perlu menjelaskan dan memohon maaf kepada masyarakat khususnya ibu bapa terlibat mengenai perkara ini.

Salam reformasi

SD Johari Hj Md Yassin
Setiausaha
Angkatan Muda Malaysia

Nota kaki : Angkatan Muda membantah pelaksanaan PLKN sejak dari awal kerana MLKN tidak mahu berkongsi bagaimana atau mengumumkan modul latihan yang dijalankan dan dijalankan secara tergesa - gesa tanpa memperdulikan pendapat pihak lain.

Wednesday, September 07, 2005

Ezam: Perkasakan Parti Utk Menegakkan Keadilan

KUALA LUMPUR - Ketua Angkatan Muda, Sdr Ezam Mohd Nor berkata, parti mesti memperkasakan lagi organisasi memenangi pilihanraya akan datang, demi menerajui kerajaan baru yang mampu menegakkan keadilan di bumi tercinta. Ini memandangkan segelintir ahli telah tercicir selama 6 tahun yang lepas.

Namun, dengan adanya penyertaan ahli baru, termasuk bekas timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Zainal Abidin dan Dato' Zahrin Mohd Hashim yang merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan bekas Pengerusi Eksekutif Penang Port Sdn Bhd, parti terus menarik tumpuan awam untuk menjadi suatu kuasa yang mampu bersaing dengan pemerintah zalim, kerana suara rakyat suara keramat.

Dalam wawancara wartawan The Star, Shahanaaz Habib bersama Ezam, yang telah disiarkan di akhbar Sunday Star Ahad lalu, segelintir ahli yang tidak begitu fasih dengan situasi politik telah berasa puas hati dengan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikembalikan.

Akan tetapi, kebanyakan rakyat Malaysia tidak setuju. Selagi kezaliman dan penindasan yang bertopengkan pelbagai nama termasuk kaum dan agama tidak dihapuskan, rakyat jelata akan dirampas peluang untuk hidup aman damai dan berbakti kepada ibu pertiwi dengan sepenuh jiwa.

Sokongan padu kepada parti juga tidak dapat dinafikan sama sekali. Ini secara terang terbukti dengan kehadiran penyokong yang begitu menggegarkan setiap kali ceramah, majlis atau perjumpaan pemimpin dengan rakyat yang parti adakan di seluruh pelusuk negara.

"Untuk kempen pilihanraya 2008, seluruh anggota parti mesti bekerja lebih keras untuk mencapai kemenangan. Jentera parti mesti berkemampuan dan setanding dengan status Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin negara alaf baru," ujar Ezam.

Ezam juga menyingkapkan bahawa setelah Anwar dibebaskan, ramai pemimpin kanan dan ketua bahagian Umno telah berjumpa dengan beliau. Ramai yang kecewa dengan rasuah Umno yang tidak terubat lagi, dan mengharapkan satu wadah perjuangan baru. Jika tidak, rakyat akan terus dibelenggu dan diperbodohkan di bawah dasar-dasar parti rasuah itu.

Semenjak Anwar dibebaskan, ramai badut telah menyuarakan keengganan untuk membenarkan beliau daripada menyertai Umno, sedangkan Anwar sendiri langsung tidak berminat menyertai parti rasuah itu. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang korup terus takutkan reformasi, kerana mereka di parti rasuah itu lebih mementingkan kepentingan poket sendiri daripada kepentingan bangsa.

Ezam turut memberitahu Sunday Star bahawa tidak muncul soal jawatan presiden yang kini disandang YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilepaskan kepada Anwar. Azizah yang diamanahkan oleh Kongres Tahunan 2004 untuk menyandang jawatan Presiden sehingga 2007 telah menyesuaikan diri dengan kehidupan dan tanggung jawab sebagai seorang ahli politik yang prihatin kepada keperluan masyarakat.

Akhir-akhir ini Anwar telah berkata sekatan terhadapnya untuk menyandang jawatan politik tidak akan menghalang beliau daripada memimpin kerajaan reformasi, jika parti memenangi pilihanraya akan datang yang dijangka akan diadakan pada tahun 2008.

Low: Mengenal Pasti Kelemahan Utk Menjayakan Reformasi

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Sdr Low Chee Chong menegaskan bahawa parti telahpun memulakan rancangan yang tersusun untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Urusetia perhubungan negeri yang seragam di kesemua 13 negeri akan diperkenalkan. Ini dapat mendekatkan lagi parti dengan orang awam agar suara hati mereka tidak terabai. Setiausaha-setiausaha eksekutif baru juga telah mengikuti kursus khas untuk memantapkan kebolehan mereka untuk menguruskan operasi parti.

Parti juga meneliti pengalaman setakat ini untuk mengenal pasti pencapaian dan kelemahan pada masa kini, serta memperkasakan program dan organisasi parti di kawasan-kawasan yang berpotensi.

Dalam wawancara bersama Sinchew Daily, beliau telah dilaporkan berkata, bahawa masalah terbesar yang dihadapi parti adalah kekeliruan dan kesalah-fahaman orang ramai terhadap perjuangan parti.

"Ramai yang ingat kita cuma perjuangkan kebebasan seseorang individu iaitu Datuk Seri Anwar, dan kita tidak mempunyai idealogi yang sewajarnya. Ada juga yang menyamakan kita dengan rakan seperjuangan kita, hanya kerana kita merupakan parti komponen Barisan Alternatif (BA)," ujar Chee Chong.

Sebenarnya, seperti yang dinyatakan Presiden, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah, semangat setiakawan yang mendorongkan parti untuk berpakatan dengan parti pembangkang lain tidak harus menjejaskan dasar perjuangan parti kita.

Menurut Chee Chong, imej parti yang lemah serta propaganda media arus perdana telah mengurangkan sokongan rakyat kepada parti. Oleh yang demikian, memperhebatkan kerja-kerja penerangan parti merupakan keutamaan sekarang.

Parti telah dijadikan mangsa kerana ramai yang menganggap Keadilan setuju dengan cadangan parti rakan untuk mendirikan negara Islam, sungguhpun telah banyak kali dijelaskan Sdr Anwar bahawa ia bukan matlamat parti. Jika dilemma ini tidak ditangani dengan memperkasakan penerangan parti, ramai akan terus menganggap Keadilan sebagai tidak ikhlas dalam menegakkan keadilan yang berpaksikan hak asasi yang sejajar dengan Perlembagaan.

"Kita mengenal pastikan kelemahan parti dari semasa ke semasa. Kita telah putuskan untuk bermula dengan memperkasakan organisasi parti dan seterusnya menyebarkan ideologi parti dengan terancang, agar matlamat dan azam kita untuk menjana politik baru yang bukan perkauman difahami dan diterima rakyat jelata."

Apabila ditanya kalau ada di antara ahli yang menyertai parti hanya untuk menyokong Sdr Anwar dan tidak ingin menceburi bidang politik, Chee Chong berkata cuma segelintir sahaja ahli yang berfikir demikian. Majoriti ahli termasuk Anwar sendiri adalah jelas dengan matlamat parti, iaitu memajukan politik yang berasaskan kepelbagaian budaya (multiculturalism), sistem yang paling sesuai untuk negara majmuk seperti Malaysia untuk menjadi sebuah masyarakat madani yang adil dan saksama.

Ramai ahli baru yang bermutu tinggi dan mampu berbakti kepada parti dan negara telah menyertai gerakan reformasi akhir-akhir ini. Anggota parti mesti bertungkus lumus membuktikan kemampuan parti untuk menerajui sebuah kerajaan yang adil dan saksama.

Mesej bahawa sistem pemerintahan sedia ada yang hanya memperkayakan segelintir Umnoputra akan menjejaskan lagi daya saing negara di persada dunia mesti disampaikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Hanya sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi tulen dan mengambil berat tentang kebajikan semua rakyat, mempertingkatkan kefahaman antara budaya dan agama serta menegakkan hak asasi manusia dapat menjanjikan kesejahteraan. Oleh itu, gerakan reformasi mesti diperhebatkan demi mencapai kebebasan sejati.

MEDIA KEADILAN RAKYAT

Penyelewengan Petronas Dagangan
7 September 2005

SEGERA SIASAT PENYELEWENGAN PETRONAS DAGANG
Korupsi dan/atau penyelewengan banyak berlaku di negara ini dan semakin bertambah, kerana kempen Perdana Menteri untuk melawannya tidak berkesan. Banyak kes korupsi dan penyelewengan yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Yang dipalorkan pula tidak disiasat, apatah lagi diambil tindakan, terutama apabila melibatkan pihak-pihak yang berpengaruh atau berkuasa.

Parti Keadilan Rakyat merasa kesal kerana laporan kepada polis dan Peguam Negara mengenai tuduhan penyelewengan oleh Petronas Dagangan Sendirian Berhad (PDSB), yang telah dibuat beberapa kali dalam bulan Mac tahun ini masih belum disiasat dan tidak diambil tindakan sewajarnya. Kami menggesa pihak polis dan Peguam Negara bertindak segera dan jangan melengah-lengahkan perkara ini.

Sebagaimana dilaporkan dalam Malaysiakini baru-baru ini, Bekas Eksekutif Residen PDB Wilayah Utara, Abdul Jabbar Mohammad, mendakwa dan melaporkan kepada pihak-pihak berkuasa bahawa pihak PDSB telah membeli tanah untuk membina stesen minyak berganda lebih daripada harga yang dicadangkan dalam kertas kerja. Bahkan ada tapak tanah yang dibeli tanpa kelulusan Network Development Retail Committee (NDRC), iaitu badan penilai yang bertanggungjawab.

Abul Jabbar menegaskan kawasan-kawasan yang banyak berlaku penyelewengan ialah di Perak dan Pulau Pinang. Dalam laporannya kepada pihak-pihak berkuasa itu, beliau memberikan butir-butir terperinci tentang kes-kes penyelewengan yang nyata.

Misalnya, untuk Lot 1757 dan 1735 Sungai Lokan, Seberang Perai, kertas kerja mencadangkan harga RM1.1 juta, tetapi PDSB meluluskan RM2.6 juta tanpa dibentang terlebih dulu dalam NDRC. Dalam kes tapak tanah Lot 119 dan 123 di Seberang Perai, NDRC menaikkan harga belian daripada RM3.7 juta yang dicadang dalam kertas kerja kepada RM4.9 juta.

Parti Keadilan Rakyat berpendapat bahawa sangat memalukan jikalau tidak ada siasatan atau tindakan diambil terhadap dakwaan dan laporan tentang penyelewengan ini. Malangnya, ia akan mengakibatkan orang ramai semakin tidak percaya kepada kempen Perdana Menteri hendak menghapuskan korupsi.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Monday, September 05, 2005

PEMBANGUNAN: APA UNTUK RAKYAT?

SYED HUSIN SYED ALI

Apabila ibu bapa dan datuk nenek kita berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dulu, salah satu tujuan utama mereka ialah untuk mencapai pembangunan ekonomi bagi rakyat. Walaupun negara mempunyai sumber kekayaan yang banyak, namun semasa penjajahan sebahagian besar daripadanya dirompak dan dipunggah keluar bagi mengayakan negara penjajah dan beberapa kerat kaum kapitalis. Rakyat ramai yang dijajah tercicir dan taraf hidup mereka sangat rendah.
Tidak hairanlah, selepas merdeka Malaysia telah melancarkan rancangan pembangunan luar bandar secara besar-besaran, yang dipelopori oleh Tun Abdul Razak. Sasarannya masyarakat kampung dan tujuannya untuk menaikkan taraf ekonomi mereka. Rancangan ini jauh lebih hebat, dibandingkan dengan rancangan pembangunan industri kampung yang dilancarkan tidak lama sebelum Merdeka di bawah badan RIDA, dipengerusikan oleh Datuk Onn Jaafar, dan bertujuan untuk menaikkan taraf ekonomi orang kampung yang mahu dibina sebagai benteng melawan pengaruh gerakan komunis.

Banyak yang telah dilaksanakan oleh Tun Razak, tetapi yang paling signifikan ialah pembukaan tanah untuk orang kampung di bawah rancangan Felda. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan memiliki tanah, peneroka Felda mendapat pendapatan bertambah, sungguhpun timbul beberapa masalah, terutama dari segi ikatan hutang, penentuan harga hasil, dan lebih-lebih lagi kerumitan warisan milik serta tugas bagi generasi selepas peneroka yang asal. Malangnya, lama kelamaan pembangunan luar bandar dipengaruhi unsur politik. Rancangan itu digunakan juga sebagai alat untuk memancing undi dan memenangi pilihanraya.

Namun begitu, Felda dan rancangan pembangunan lain bersamanya sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kadar kemiskinan serta jumlah keluarga miskin di luar bandar. Tetapi, kemajuan yang dicapai oleh rakyat kampung pada umumnya tidaklah memuaskan hati keseluruhan orang Melayu. Selepas Merdeka, perdagangan, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain aktiviti ekonomi negara berkembang dengan pesat. Pendapatan kasar negara dan pendapatan per-kapita meningkat berlipat kali ganda. Oleh kerana pengagihannya tidak adil, maka jurang di antara yang kaya di bandar dengan yang miskin di kampung semakin lebar. Ini bererti juga apa yang dipandang sebagai jurang kaya miskin mengikut kaum bertambah luas.

Pada persepsi orang Melayu terutama sekali, yang paling kaya dan menguasai ekonomi negara ialah orang Cina, sungguhpun kekayaan yang dikuasai oleh bekas penjajah jauh lebih besar, dan ada juga sebilangan kecil orang Melayu yang kaya. Seterusnya, mengikut persepsi sama, yang dilihat paling miskin dan bertambah miskin dalam negara yang semakin berkembang ini ialah orang Melayu, terutama dari kampung. Pada hal ada juga orang Cina dan orang India yang miskin, di kampung baru, ladang dan kawasan “setinggan”. Tetapi bilangan mereka lebih kecil dibandingkan dengan orang Melayu.

Apabila persepsi pembahagian kaya miskin mengikut kaum ini dipercayai, walaupun ia tidak menepati keadaan sebenar, mudah saja api perkauman dibakar. Hal ini berlaku selama tiga bulan kempen pilihanraya dalam tahun 1969, dan akibatnya ialah Peristiwa 13 Mei. Dalam pada itu, semua rancangan lalu untuk pembangunan dianggap gagal membela nasib Melayu. Kuasa politik dan ekonomi orang Melayu dianggap sebagai terancam. Pengaruh parti pemerintah merosot, Keutuhan negara dan perpaduan bangsa didapati tergugat. Meluas pandangan di kalangan pemimpin lapisan baru dari elit Melayu yang mempunyai pengaruh dan kuasa, bahawa satu rancangan pembangunan yang lebih radikal diperlukan. Maka itulah lahir Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Tujuan besar DEB ialah untuk membina Perpaduan Nasional. Untuk mencapai ini, ia mempunyai matlamat serampang dua mata. Pertama, menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan identiti ekonomi mengikut kaum, dengan menyeimbangkan pembahagian kaum dalam bidang perniagaan dan industri. Kedua, menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Nyata sekali DEB bukannya rancangan untuk orang Melayu saja. Tetapi ia telah dianggap dan dilaksanakan sebagai hanya untuk orang Melayu. Yang diutamakan pula bukan rakyat ramai Melayu, tetapi hanya segelintir tokoh Melayu.

Dalam beberapa bulan akhir-akhir ini, Sdr Anwar Ibrahim, dalam ceramah-ceramah hampir setiap malam di seluruh negara, semasa berulang-alik pulang ke tanah air dari tugasnya di luar negara, menegaskan masanya sudah tiba untuk DEB ditamatkan dan diganti dengan dasar pembangunan ekonomi rakyat yang baru. Penegasan ini telah beliau buat sebelum pun Perhimpunan Umno menerima usul Pemuda agar semangat DEB diteruskan dalam Agenda Nasional Baru (ANB). Anwar mengutarakan, DEB telah digubal pada tahun 1970, ertinya 35 tahun sudah berlalu. Sejak itu keadaan ekonomi dan masyarakat sudah banyak berubah dan ini saja boleh menjadi alasan untuk mengemukakan rancangan baru.

Akan tetapi, beliau telah mengemukakan hujah yang lebih bernas. Selama ini DEB lebih banyak digunakan untuk mengayakan mereka yang berkuasa ataupun rapat dengan pusat kuasa, daripada membela nasib rakyat miskin yang ramai. Mereka yang mahu semangat DEB diperkukuh semula adalah mereka yang sudah menjadi kaya raya. Ketua Pemuda Umno, misalnya, sebagaimana yang didedahkan oleh Azmin Ali dalam Suara Keadilan lalu, membolot keuntungan RM25 juta dari penjualan saham, mendapat kontrak membina lebuh raya bernilai kira-kira RM1 bilion bagi syarikat Duke milik adiknya, dan memiliki sebuah kereta berharga hampir RM1 juta, yang dipunyai oleh hanya tiga orang di seluruh negara. Sehingga ini tiada penafian dari Menteri merangkap Ketua Pemuda itu.

Menantu Perdana Menteri, yang menjadi Timbalan Ketua Pemuda dan pembawa usul ANB dalam Himpunan Umno, ialah seorang muda yang begitu cepat sekali memanjat tangga politik dan mengumpul kekayaan ekonomi. Mereka yang tahu mengetahui beliau sekarang ini mudah-mudah saja sudah bernilai lebih RM200 juta. Seterusnya, seorang anak PM telah mendapat kuasa ke atas syarikat Scomi, yang bernilai RM2 bilion Baru-baru ini adiknya bersama anak Menteri Aziz Shamsudin telah “dihadiahkan” dengan Sabah Shipyard pula. Secara terang dan gelap DEB digunakan untuk mengayakan yang sudah kaya dan berkuasa.

Perkara ini memang sudah lama berlaku. Bukankah syarikat perkapalan anak mantan PM Tun Dr Mahathir telah diselamatkan dengan suntikan sebanyak kira-kira RM2 bilion dari wang rakyat? Bukankah salah guna AP yang dibongkar oleh mantan PM itu telah berlaku di bawah hidungnya dari mula lagi? Sangat aneh jikalau baru sekarang beliau mengetahui mengenainya. Segelintir orang membolot beribu-ribu AP, tetapi apa yang diperolehi rakyat biasa? Begitu juga dengan permit teksi. Segelintir orang yang berpengaruh mudah mendapat beratus bahkan beribu permit, tetapi seorang susah beranak banyak dinafikan walupun satu permit untuk kereta yang dipandunya. Tidak usah sebut pula tentang pemberian saham baru dan “pink form”. Yang berkedudukan istimewa semakin beristimewa lagi mendapatnya. Ada apa-apa untuk yang miskin dan susah?

Beberapa hari lalu saya menemui seorang kawan lama di satu majlis makan. Dia pernah bekerja di bank, lepas itu menjadi seorang korporat yang berjaya. Sekarang sudah bergelar Tan Sri. Kami berbual tentang DEB. Dengan tidak teragak-agak beliau berkata, “Dasar ini mesti diubah. Ia terlalu menguntungkan individu tertentu. Ia tidak mempedulikan rakyat jelata. Dasar ini mesti diterbalikkan. Ia mesti mengutamakan rakyat jelata, dengan tidak menafikan peluang kepada pengusaha-pengusaha sejati. Saya katakan ini dengan penuh kepercayaan, walaupun saya sendiri pernah mendapat untung daripada DEB itu.”

Apabila ditanya lagi untuk menjelaskan pandangannya, beliau berkata, “Bila kita utamakan rakyat miskin atau berpendapatan rendah, kita tidak perlu takutkan soal kaum. Tujuh puluh peratus rakyat yang memerlukan pertolongan dan pembelaan adalah terdiri dari orang Melayu. Bila kita membuka peluang luas kepada mereka untuk mendapat kemudahan sosial yang baik, seperti kesihatan, pendidikan dan perumahan, yang ramai mendapatnya ialah Melayu. Apabila kita memberi lesen perniagaan atau permit teksi kepada golongan ini, yang banyak mendapat ialah orang Melayu juga. Dan jika kita agihkan saham di kalangan golongan sama, bukankah sudah pasti kebanyakan yang mendapatnya terdiri orang Melayu?”

Sebenarnya, Tan Sri ini menyuarakan pandangan yang sudah banyak kali diulang oleh Anwar Ibrahim. Walaupun masih ada lagi mereka yang menanggap DEB perlu untuk mempertahan ketuanan Melayu, bilangan mereka semakin kecil. Sebabnya? Semakin ramai yang sudah mulai celik bahawa slogan ketuanan Melayu sering diperalatkan untuk kepentingan ketuanan segelintir Melayu yang istimewa, kaya dan berkuasa. Mereka sedar, masanya sudah tiba untuk mengadakan rancangan pembangunan yang boleh menegakkan kuasa rakyat. Ini sesuai sekali dilakukan menjelang Merdeka 50 tahun

- Syed Husin Syed Ali