SepangOnline

Thursday, September 22, 2005

Ramai sambut baik hasrat Anwar saman Mahathir RM100 juta

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengheret Tun Dr Mahathir ke mahkamah berhubung kenyataannya bahawa Anwar seorang ‘peliwat’ menggembirakan para penyokongnya di sini.

“Kita sangat-sangat setuju, telah lama kita menunggu saat-saat ini,” kata Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang, Amizudin Ahmat

“Kita bukan sekadar mahukan keadilan, tetapi kita mahu melihat keadilan itu terlaksana,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Today.

Anwar dalam kenyataan medianya seperti tersiar di Malaysiakini semalam, mahukan Mahathir memohon maaf dalam masa empat belas hari atau menghadapi saman gantirugi berjumlah RM100 juta.

Tindakan itu lanjutan kenyataan Mahathir dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, yang berkata, beliau telah memecat Anwar pada tahun 1998 kerana ‘tidak mahu seorang peliwat’ dalam kabinetnya.

“Bayangkan seorang PM yang homoseks...tiada ada siapa yang selamat!” kata Mahathir selepas berucap di persidangan Suhakam di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Anwar dipetik sebagai berkata, “Saya tidak akan membiarkan pembohongan dan penghinaan ini berterusan. Oleh itu, saya telah mengarahkan peguam supaya memulakan tindakan undang-undang terhadap Mahathir.”

Menurut peguamnya Sankara Nair, surat tuntutan itu akan dihantar kepada Mahathir Jumaat ini.

Penasihat Keadilan Permatang Pauh, Cikgu Ibrahim Ahmad, berkata tindakan Anwar memberikan tempoh empat belas kepada Mahathir untuk memohon maaf sebagai tindakan terpuji.

“Anwar masih memberi peluang kepada Mahathir, tetapi jika Mahathir terus berdegil, Anwar tiada pilihan lain, perlu menyamannya kerana ini melibatkan maruahnya.

“Jika Anwar tidak menyamannya, tentu akan ada tanggapan serong terhadapnya,” kata bekas Bendahari Umno bahagian itu.

Beliau turut kesal dengan sikap Mahathir yang terus melemparkan fitnah walaupun mahkamah telah membebaskan Anwar.

Ketua Wanita Keadilan negeri ini, Aminah Abdullah pula berkata RM100 juta bukanlah nilai sebenar berbanding penderitaan akibat fitnah yang dilemparkan Mahathir.

“Jika Mahathir tidak memohon maaf, beliau wajar diheret ke mahkamah.

“Ketika berkuasa, Mahathir pernah ‘melarikan diri’ daripada sapina Anwar, kita harap selepas ini Mahathir berani berdepan Anwar di mahkamah,” katanya gembira.

“Kita sangat-sangat menyokong tindakan Datuk Seri, lawan tetap lawan,” kata Mohamad Rozi Abdul Hamid, Setiausaha Permatang Pauh.

“Tembelang Mahathir semakin terselak satu persatu. Kita tidak mahu Mahathir terus menipu rakyat. Mahathir terlalu banyak dosanya kepada Datuk Seri dan rakyat,” jelasnya.

“Saya menyokong 200 peratus”, kata Ketua Briged Keadilan Permatang Pauh, Zainal Abidin Saad.

“Orang semacam tu (Mahathir) perlu diajar menghormati undang-undang.

Sebab selama ini, kata Zainal, ada ahli-ahli Umno sangsi keberanian Anwar menyaman Mahathir.

Anwar pada mulanya didapati bersalah bagi kesalahan meliwat, tetapi sabitan dan hukuman itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September lalu selepas beliau membuat rayuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 18 Ogos lalu telah mengarahkan penulis buku “50 Dalil mengapa Anwar tak boleh jadi PM” Datuk Khalid Jafri supaya membayar RM4.5 juta kepada Anwar kerana membuat tuduhan palsu, termasuk tuduhan liwat terhadapnya dalam buku itu.

Khalid kemudiannya meninggal dunia baru-baru ini dengan sebelah kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis, tanpa sempat menjelaskan saman tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home