HORMATI SEMUA PEJUANG KEMERDEKAAN
SYED HUSIN SYED ALI
Pada tahun 1972, dalam ucapan selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat di Majlis Konvokesyen Universiti Sains, Pulau Pinang, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, seorang Timbalan Perdana Menteri dan negarawan yang disegani, telah menyentuh tentang sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Beliau berkata, sumbangan semua golongan, termasuk golongan kiri mesti dihormati. Sungguhpun beliau tidak menyebut satu-persatu golongan tersebut, maksudnya agak jelas.
Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara dan kebebasan bangsa kita, memang banyak golongan telah memberikan berbagai-bagai sumbangan atau pengorbanan – tenaga dan nyawa. Pada peringkat permulaan ialah golongan yang menentang kemasukan penjajah serta mempertahankan kedaulatan negara.
Ketika Portugis menyerang Melaka, Bendahara Paduka Raja muncul sebagai pemimpin yang menentang serangan itu. Lebih tiga abad kemudian, manakala penjajah Inggeris cuba menakluki negeri-negeri Melayu, timbul pula pembesar-pembesar Melayu terkenal, seperti Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang, Datuk Janggut di Kelantan, dan ramai lagi, yang bangkit melawan kuasa penjajah.
Mereka tidak mahu negeri mereka ditakluki. Mereka tidak ingin kekayaan negeri mereka dirampas. Mereka tidak rela bangsa mereka melutut sebagai hamba penjajah.
Pembesar-pembesar yang menentang serangan dan penaklukan penjajah ini terdiri dari pembesar atau golongan bangsawan. Walaupun mereka mendapat sokongan rakyat, namun akhirnya mereka tewas. Tetapi bukan semata-mata kerana penjajah lebih kuat. Salah satu sebab ialah kerana ada golongan pembesar lain yang tidak mahu bersama mempertahan kedaulatan bangsa, tetapi sanggup bersubahat dengan penjajah.
Di Melaka akibat dari khianat musuh dalam selimut, bernama Mandaliar, akhirnya Portugis dapat menundukkan Melaka dan menjajahnya. Di negeri-negeri Melayu yang mula-mula diserang dan ditakluki Inggeris, terdapat pula Sultan dan pembesar-pembesar lain yang belot dan bekerjasama dengan pihak penjajah untuk mengalahkan pembesar serta rakyat yang bangkit itu.
Dalam perjuangan menentang penjajahan untuk mempertahan kedaulatan bangsa ini, kita melihat ada dua tradisi yang jelas. Pertama, tradisi melawan atau menentang penjajah habis-habisan. Kedua, tradisi bekerjasama atau bersubahat dengan penjajah. Mereka yang menentang ada yang dibunuh, diburu, dibuang negeri dan dilucut kedudukan mereka. Yang menang pula kemudian diupah dengan pangkat, martabat dan kekayaan.
Selepas penjajahan menakluki negara dan rakyat, maka timbul pula golongan jenis kedua, iaitu mereka yang berjuang untuk menentang penjajahan dan menegakkan kemerdekaan. Sejarah membuktikan bahawa golongan yang mula-mula bangkit untuk menuntut kemerdekaan terdiri daripada tokoh-tokoh atau pertubuhan-pertubuhan yang dicop oleh penjajah sebagai radikal atau kiri. Antaranya ialah tokoh-tokoh seperti Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Helmy, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan Abu Bakar Bakir.
Mereka memimpin pertubuhan-pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin.
Sejarah tidak boleh menafikan hakikat bahawa Parti Komunis Malaya (PKM), dari mula ia ditubuhkan juga bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan. Di Asia, seperti India, Indonesia dan Vietnam, dan juga di Afrika serta Amerika Latin, orang ataupun gerakan komunis diiktiraf sebagai sebahagian dari tenaga rakyat yang memperjuang kemerdekaan. Peranan mereka diakui.
Begitu juga, kita semua harus mengakui bahawa selepas pemimpin-pemimpin kiri ini ditangkap dan ditahan bertahun-tahun berikutan perisytiharan darurat, ruang telah terbuka luas kepada UMNO, MCA dan MIC, di bawah pimpinan Tungku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Cheng Lock dan Tun S. Sambanthan, untuk melanjutkan tuntutan kemerdekaan.
Oleh kerana sikap tokoh-tokoh dan pertubuhan-pertubuhan kiri tidak mahu bekerjasama dan menentang habis-habisan pihak penjajah, maka mereka ditekan. Sebaliknya, UMNO, MCA dan MIC (sebenarnya mula-mula MIC memihak kepada golongan kiri) sanggup bekerjasama dan berkompromi dengan pihak penjajah. Maka itulah Inggeris merasa lebih senang dan selamat untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang dipimpin oleh Tunku.
Sungguhpun Datuk Onn Jaafar dan parti yang dipimpinnya (mula-mula IMP – Independence Malaya Party - dan kemudian Parti Negara) juga sanggup bekerjasama rapat dengan kuasa penjajah, namun beliau tidak direstui Inggeris kerana gagal mendapat sokongan rakyat.
Tidak ada siapa yang seharusnya menafikan peranan Tunku dan UMNO untuk akhirnya mendapatkan kemerdekaan dari penjajah Inggeris. Memang salah jikalau ada pihak yang mengatakan mereka tidak memberikan sumbangan sama sekali. Tetapi sebaliknya, salah juga jikalau kita tidak mengiktiraf sama sekali peranan dan sumbangan oleh golongan-golongan lain, termasuk golongan bangsawan tradisional dan tokoh serta pertubuhan kiri yang disebut tadi.
Dalam perjuangan menentang penjajahan untuk menegakkan kemerdekaan, kita dapati juga dua tradisi yang sama, iaitu: tradisi kerjasama serta kompromi dengan penjajah dan tradisi perlawanan serta penentangan terhadap penjajah. Kita mungkin mempunyai pandangan dan penilaian yang berlainan terhadap kedua-dua tradisi ini. Namun kita perlu memberikan pengiktirafan yang seimbang kepada tokoh-tokoh dan parti-parti penting dari kedua-dua tradisi ini.
Kita seharusnya memandang berat dan menghormati pandangan Tun Dr Ismail, dengan mengikuti nasihatnya. Tidak ada gunanya menaruh dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Hormatilah semua pejuang kemerdekaan.
- Syed Husin Syed Ali

0 Comments:
Post a Comment
<< Home