SepangOnline

Wednesday, September 07, 2005

Low: Mengenal Pasti Kelemahan Utk Menjayakan Reformasi

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Sdr Low Chee Chong menegaskan bahawa parti telahpun memulakan rancangan yang tersusun untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Urusetia perhubungan negeri yang seragam di kesemua 13 negeri akan diperkenalkan. Ini dapat mendekatkan lagi parti dengan orang awam agar suara hati mereka tidak terabai. Setiausaha-setiausaha eksekutif baru juga telah mengikuti kursus khas untuk memantapkan kebolehan mereka untuk menguruskan operasi parti.

Parti juga meneliti pengalaman setakat ini untuk mengenal pasti pencapaian dan kelemahan pada masa kini, serta memperkasakan program dan organisasi parti di kawasan-kawasan yang berpotensi.

Dalam wawancara bersama Sinchew Daily, beliau telah dilaporkan berkata, bahawa masalah terbesar yang dihadapi parti adalah kekeliruan dan kesalah-fahaman orang ramai terhadap perjuangan parti.

"Ramai yang ingat kita cuma perjuangkan kebebasan seseorang individu iaitu Datuk Seri Anwar, dan kita tidak mempunyai idealogi yang sewajarnya. Ada juga yang menyamakan kita dengan rakan seperjuangan kita, hanya kerana kita merupakan parti komponen Barisan Alternatif (BA)," ujar Chee Chong.

Sebenarnya, seperti yang dinyatakan Presiden, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah, semangat setiakawan yang mendorongkan parti untuk berpakatan dengan parti pembangkang lain tidak harus menjejaskan dasar perjuangan parti kita.

Menurut Chee Chong, imej parti yang lemah serta propaganda media arus perdana telah mengurangkan sokongan rakyat kepada parti. Oleh yang demikian, memperhebatkan kerja-kerja penerangan parti merupakan keutamaan sekarang.

Parti telah dijadikan mangsa kerana ramai yang menganggap Keadilan setuju dengan cadangan parti rakan untuk mendirikan negara Islam, sungguhpun telah banyak kali dijelaskan Sdr Anwar bahawa ia bukan matlamat parti. Jika dilemma ini tidak ditangani dengan memperkasakan penerangan parti, ramai akan terus menganggap Keadilan sebagai tidak ikhlas dalam menegakkan keadilan yang berpaksikan hak asasi yang sejajar dengan Perlembagaan.

"Kita mengenal pastikan kelemahan parti dari semasa ke semasa. Kita telah putuskan untuk bermula dengan memperkasakan organisasi parti dan seterusnya menyebarkan ideologi parti dengan terancang, agar matlamat dan azam kita untuk menjana politik baru yang bukan perkauman difahami dan diterima rakyat jelata."

Apabila ditanya kalau ada di antara ahli yang menyertai parti hanya untuk menyokong Sdr Anwar dan tidak ingin menceburi bidang politik, Chee Chong berkata cuma segelintir sahaja ahli yang berfikir demikian. Majoriti ahli termasuk Anwar sendiri adalah jelas dengan matlamat parti, iaitu memajukan politik yang berasaskan kepelbagaian budaya (multiculturalism), sistem yang paling sesuai untuk negara majmuk seperti Malaysia untuk menjadi sebuah masyarakat madani yang adil dan saksama.

Ramai ahli baru yang bermutu tinggi dan mampu berbakti kepada parti dan negara telah menyertai gerakan reformasi akhir-akhir ini. Anggota parti mesti bertungkus lumus membuktikan kemampuan parti untuk menerajui sebuah kerajaan yang adil dan saksama.

Mesej bahawa sistem pemerintahan sedia ada yang hanya memperkayakan segelintir Umnoputra akan menjejaskan lagi daya saing negara di persada dunia mesti disampaikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Hanya sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi tulen dan mengambil berat tentang kebajikan semua rakyat, mempertingkatkan kefahaman antara budaya dan agama serta menegakkan hak asasi manusia dapat menjanjikan kesejahteraan. Oleh itu, gerakan reformasi mesti diperhebatkan demi mencapai kebebasan sejati.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home