SepangOnline

Monday, September 26, 2005

Keadilan Teruskan Kempen Selamatkan Air Johor

JOHOR BAHRU - Kempen Selamatkan Air Johor siri kedua berjaya dilaksanakan secara bersepadu pada 17 dan 18 September lalu. Kempen anjuran bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor dan Dewan Pemuda Pas Johor ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Johor yang yang mulai sedar kepincangan kepimpinan Kerajaan Negeri Johor terutama mengenai masalah kualiti air ini.

Beberapa program yang diatur mendapat maklum balas yang amat positif. Di antaranya Program Penyebaran Risalah Kempen yang diedarkan kepada masyarakat di beberapa tempat meliputi kawasan pekan Air Hitam,Yong Peng, Parit Raja dan Sri Gading.

Respon yang diberikan oleh masyarakat di kawasan yang amat dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini membuktikan bahawa Gabungan Barisan Alternatif mempunyai peluang yang cerah di kawasan-kawasan tersebut.
Ini juga membuktikan bahawa penduduk Johor sudah mulai sedar bahawa mereka haruslah memilih pemimpin dan parti yang boleh membela nasib dan hak asasi mereka dan tidak lagi terlalu meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional sahaja yang selama ini kononnya diharapkan mampu membela mereka.

Menurut Pemangku Ketua AMK Johor, Nurin Aina Abdullah, "pihak urusetia dan petugas Pemuda Barisan Alternatif (BA) Johor sendiri amat terkejut dengan penerimaan positif daripada masyarakat di kawasan terbabit."

"Ini merupakan kali pertama sambutan positif sebegini diterima daripada masyarakat di Johor berbanding dengan penyebaran risalah berkaitan isu2 lain sebelum ini," tambahnya lagi.

Disamping penyebaran risalah, kempen tersebut turut diisi dengan petisyen Bantahan dari penduduk kawasan terbabit dan juga Majlis Dialog dan Sesi Penerangan di beberapa lokasi.

Kempen Selamatkan Air ini diteruskan dengan Program Ceramah Rakyat di beberapa tempat meliputi di kawasan Air Hitam dan Sri Gading.

Kemuncak Program Kempen adalah penganjuran Ceramah Perdana dengan mengundang Timbalan Ketua Penerangan AMK Pusat, Badrul Hisham Shaharin dan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mazlan Aliman.

Diharapkan dengan terlaksananya Program Kempen Selamatkan Air Johor ini, rakyat Johor sendiri akan sedar tentang kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dalam menangani masalah kualiti dan pencemaran air ini.Amat diharapkan juga agar kerajaan Johor akan mengambil tindakan terhadap punca-punca pencemaran masalah air ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home