SepangOnline

Wednesday, September 07, 2005

Ezam: Perkasakan Parti Utk Menegakkan Keadilan

KUALA LUMPUR - Ketua Angkatan Muda, Sdr Ezam Mohd Nor berkata, parti mesti memperkasakan lagi organisasi memenangi pilihanraya akan datang, demi menerajui kerajaan baru yang mampu menegakkan keadilan di bumi tercinta. Ini memandangkan segelintir ahli telah tercicir selama 6 tahun yang lepas.

Namun, dengan adanya penyertaan ahli baru, termasuk bekas timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Zainal Abidin dan Dato' Zahrin Mohd Hashim yang merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan bekas Pengerusi Eksekutif Penang Port Sdn Bhd, parti terus menarik tumpuan awam untuk menjadi suatu kuasa yang mampu bersaing dengan pemerintah zalim, kerana suara rakyat suara keramat.

Dalam wawancara wartawan The Star, Shahanaaz Habib bersama Ezam, yang telah disiarkan di akhbar Sunday Star Ahad lalu, segelintir ahli yang tidak begitu fasih dengan situasi politik telah berasa puas hati dengan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikembalikan.

Akan tetapi, kebanyakan rakyat Malaysia tidak setuju. Selagi kezaliman dan penindasan yang bertopengkan pelbagai nama termasuk kaum dan agama tidak dihapuskan, rakyat jelata akan dirampas peluang untuk hidup aman damai dan berbakti kepada ibu pertiwi dengan sepenuh jiwa.

Sokongan padu kepada parti juga tidak dapat dinafikan sama sekali. Ini secara terang terbukti dengan kehadiran penyokong yang begitu menggegarkan setiap kali ceramah, majlis atau perjumpaan pemimpin dengan rakyat yang parti adakan di seluruh pelusuk negara.

"Untuk kempen pilihanraya 2008, seluruh anggota parti mesti bekerja lebih keras untuk mencapai kemenangan. Jentera parti mesti berkemampuan dan setanding dengan status Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin negara alaf baru," ujar Ezam.

Ezam juga menyingkapkan bahawa setelah Anwar dibebaskan, ramai pemimpin kanan dan ketua bahagian Umno telah berjumpa dengan beliau. Ramai yang kecewa dengan rasuah Umno yang tidak terubat lagi, dan mengharapkan satu wadah perjuangan baru. Jika tidak, rakyat akan terus dibelenggu dan diperbodohkan di bawah dasar-dasar parti rasuah itu.

Semenjak Anwar dibebaskan, ramai badut telah menyuarakan keengganan untuk membenarkan beliau daripada menyertai Umno, sedangkan Anwar sendiri langsung tidak berminat menyertai parti rasuah itu. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang korup terus takutkan reformasi, kerana mereka di parti rasuah itu lebih mementingkan kepentingan poket sendiri daripada kepentingan bangsa.

Ezam turut memberitahu Sunday Star bahawa tidak muncul soal jawatan presiden yang kini disandang YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilepaskan kepada Anwar. Azizah yang diamanahkan oleh Kongres Tahunan 2004 untuk menyandang jawatan Presiden sehingga 2007 telah menyesuaikan diri dengan kehidupan dan tanggung jawab sebagai seorang ahli politik yang prihatin kepada keperluan masyarakat.

Akhir-akhir ini Anwar telah berkata sekatan terhadapnya untuk menyandang jawatan politik tidak akan menghalang beliau daripada memimpin kerajaan reformasi, jika parti memenangi pilihanraya akan datang yang dijangka akan diadakan pada tahun 2008.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home