SepangOnline

Thursday, September 29, 2005

Anwar bertemu wanita profesional, akademia dan usahawan

Malaysia Today

SEPTEMBER 27, 2005: Sekembali Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tanahair pada Isnin, namun, jadualnya sudah dipenuhi dengan pertemuan-pertemuan dengan berbagai kelompok masyarakat.

Usaha memahami dan mendengar pandangan dan pendirian kelompok-kelompok dalam masyarakat wajar, bagi membawa negara ke arah yang diingini oleh semua.

Semalam, Wanita Parti Keadilan Rakyat telah menganjurkan majlis khusus bagi wanita profesional, akademia, dan usahawan bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam dialog yang telah berlangsung dari 5.30 petang sehingga 7.00 malam, membincangkan beberapa perkara.

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Syed Hussein Ali dan Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Antara isu yang dibangkitkan oleh salah seorang hadirin, berkaitan semakin kurangnya ruang untuk bersuara dalam negara menyebabkan sebarang cadangan yang tidak selari dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan yang ada dilihat sebagai menentang dan justeru itu ‘menggugat’ keselamatan negara.

Seorang aktivis wanita merasakan isu wanita tidak semesti diperjuangkan oleh wanita kerana isu berkaitan sebenarnya akan terkesan pada seluruh masyarakat lelaki dan wanita. Beliau menyeru agar dialog berkaitan isu wanita perlu dihadiri oleh kedua-dua lelaki dan wanita. Begitu juga, bagaimana dapat diatasi masalah keganasan terhadap wanita dengan bilangan lelaki yang bertanggungjawab sebenarnya lebih ramai jika dibandingkan dengan bilangan lelaki yang mendera wanita.

Anwar juga digesa mengingatkan para lelaki supaya menjaga dan bertanggungjawab terhadap keluarga mereka masing-masing kerana bermula dari unit keluarga lahirnya sebuah masyarakat yang sejahtera. Dengan itu, ramai wanita akan dibela dan dapat hidup bahagia.

Isu pendidikan juga dibangkitkan memandangkan ramai graduan yang menganggur dan kebanyakan mereka adalah wanita.

Anwar menekankan perlunya pandangan terbuka dalam merangka dasar dan selepas itu, kesungguhan dalam melaksanakannya. Apa yang sering berlaku, dasarnya sudah ada tetapi dari segi perlaksanaannya amat mengecewakan kerana di situ berlaku korupsi dan berbagai penyelewengan.

Beliau berpandangan, hak seseorang diberikan tanpa mengira gender atau bangsa dan agama yang dianuti. Dan seorang pemimpin perlu berani menyatakan pendiriannya, sanggup mengambil risiko dan tidak mengambil pendirian yang popular semata-mata yang kelak merugikan negara.

Walaupun kelihatan penat, Anwar masih memberikan perhatiannya terhadap cadangan-cadangan, teguran dan kritikan para hadirin terhadap parti mahupun dirinya secara peribadi. Beliau menyatakan harapannya agar dialog sebegitu diteruskan dan seterusnya akan diadakan bagi merangka langkah dan tindakan bersama untuk menatijahkan perubahan yang diinginkan.

Beliau sebelum itu telah bersama para karyawan dan penggerak seni negara mendengar pandangan mereka serta bersama berkongsi harapan ke arah perubahan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home