SepangOnline

Thursday, September 22, 2005

WIRDA Pulau Pinang ditubuh di Permatang Pauh

Oleh Zulkifli Mohamed

SEBERANG JAYA: Women’s Institute of Research, Development And Advancement (WIRDA), iaitu sebuah badan amal untuk masyarakat prihatin yang dipelopori Wanita Keadilan Rakyat telah mengembangkan sayap ketiganya di sini, selepas Kuala Lumpur dan Johor.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi WIRDA Hajah Zuraida Kamaruddin, yang juga Naib Ketua Wanita Keadilan pada 18 September lalu.

Badan amal itu telah dilancarkan pada 28 Mei lepas oleh ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Presiden Keadilan YB. Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

WIRDA ialah sebuah “non-profit organisation” yang mendapat sumbernya daripada sumbangan masyarakat dan individu-individu yang memberi ‘pledges’.

Tenaga penggeraknya adalah sukarela yang menawarkan khidmat serta kepakaran untuk usaha-usaha pengayaan komuniti.

Menurut Zuraida, sejarah WIRDA bermula selepas tragedi tsunami, 26 Disember 2004 apabila beliau bersama rakannya seramai 12 orang menyertai misi bantuan ke Acheh.

“Pasukan kami ke Acheh seramai 12 orang, yang paling tua berumur 65 tahun, dan remaja berumur 18 tahun,” katanya pada majlis perasmian tersebut.

Tambah Zuraida, pengalamannya di Acheh mendorong beliau dan rakan-rakannya menubuhkan WIRDA di Malaysia bagi membantu masyarakat setempat.

Katanya lagi, WIRDA sudahpun mengendalikan beberapa misi bantuan di dalam dan luar negara. Sumbangan daripada individu-individu serta masyarakat dikumpulkan dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Selain sebagai pusat bantuan kemanusiaan tempatan dan antarabangsa (pengumpulan dan pengagihan), Pusat Khidmat Komuniti itu turut menawarkan rumah penginapan sementara kepada musafir, mualaf, anak yatim, fakir, ibu tunggal, isteri teraniaya dan remaja teraniaya.

“Kami juga menawarkan latihan pembangunan sosial ekonomi, iaitu latihan kemahiran dan pinjaman modal untuk mereka yang berkelayakan

“Kita turut menawarkan aktiviti kepada remaja dan pelajar, antaranya untuk mereka yang ingin mengadakan sesi perbincangan dan dialog pembelajaran,” jelasnya.

Tambahnya lagi, WIRDA juga telah menubuhkan sayapnya iaitu Gerakan Kemanusiaan Malaysia (GEMA) yang dianggotai golongan muda berumur antara18 – 40 tahun.

GEMA dipengerusikan Zarif Afendi,25, seorang remaja istimewa (tanpa tangan) yang memiliki Ijazah Psikologi. Beliau antara remaja yang pernah menyertai misi bantuan ke Acheh.

Sementara itu, Salma Ismail, Exco Wanita Keadilan Pusat merangkap Pengerusi WIRDA Pulau Pinang menjelaskan pihaknya sedang merancang program untuk memperkenalkan WIRDA kepada masyarakat negeri ini.

“WIRDA terbuka untuk semua, tanpa mengira kaum, agama dan jantina,” jelas Salma.

“Kami juga memerlukan sokongan semua pihak dari segi kewangan, kemahiran atau sumbangan barangan bagi menggerakan aktiviti WIRDA.”

Salma berkata pihaknya sedang merangka program remaja bagi membawa mereka mengenali diri dan peranan mereka kepada keluarga, agama dan masyarakat.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Negeri, Dato, Zahrain Mohd Hashim; Timbalannya Mustafa Kamal Yusof, Ketua Wanita Negeri, Aminah Abdullah; Exco Wanita Pusat, Zariny Zainal; Setiausaha Kerja Negeri, Rezal Huzairi Md Zaki; Ketua Wanita Permatang Pauh, Hajah Che Wa Harun dan beberepa exco Wanita Negeri dan Bahagian.

Untuk pertanyaan hubungi Salma Ismail (013-5155815) atau Fuziah (04-3904190/019-5088209), di alamat No. 5 Lengkok Siakap 3, Taman Siakap, Seberang Jaya, Permatang Pauh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home