Tertuduh Kes Lunas Didapati Tak Bersalah
Zulkifli Mohamed
LUNAS - Setelah berlangsung selama lima tahun dengan empat Hakim dan lima Timbalan Pendakwaraya bersilih ganti, akhirnya kesemua sepuluh tertuduh dalam perbicaraan kes pengundi hantu pilihan raya kecil Lunas dibebaskan tanpa perlu membela diri.
Pendaftar Mahkamah Seksyen Sungai Petani, Tuan Ganesan A/L Vello, membacakan keputusan seperenggan itu pada jam 10.15 pagi semalam, mewakili Hakim Tuan Haji Zainol Rashid Hussin yang tidak hadir.
Selepas keputusan diumumkan kamar Mahkamah Majistret Kulim, diselubungi tepukan gemuruh penyokong Parti Keadilan Rakyat.
Menurut Ganesan mahkamah mendapati pihak pendakwa gagal mewujudkan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan mengarahkan kesemua mereka dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.
Keputusan tersebut sepatutnya diumumkan 11 September lepas, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Hakim berkenaan sedang berkursus.
Perbicaraan itu bermula sejak 2001 selepas pilihan raya kecil Lunas pada 29 November 2000 yang dimenangi calon Keadilan, Saifudin Nasution Ismail.
Para tertuduh Naib Presiden Keadilan Mohd Azmin Ali, Ketua Penerangan Tian Chua, Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Noor, Exco Angkatan Muda Zamil Ibrahim, Aktivis Keadilan Gobalakrisnan, aktivis PAS Mohd Fauzi Awang Kecil, Khairi Yahya dan Ahmad Khairuddin Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan Keadilan yang menyertai Umno Roslan Kassim dibebaskan daripada tuduhan melakukan rusuhan kerana menghalang dan menahan bas-bas yang membawa pengundi hantu pada pilihan raya kecil itu.
Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali melahirkan rasa syukur dan kesal dengan keputusan yang disifatkannya itu sebagai kes politik dan bukannya kes jenayah.
"Perbicaraan yang terlalu lama itu membazirkan wang rakyat," katanya.
Beliau juga menyifatkan keputusan itu sebagai bukti pihaknya tidak melakukan rusuhan, tetapi sekadar menunaikan tanggungjawab bagi menjamin keadilan terhadap para pengundi.
"Secara tidak langsung, mahkamah mengakui bahawa tindakan yang kami lakukan itu sebagai langkah yang wajar, untuk memastikan pengundi hantu tidak berpeluang menyusup untuk mengundi pada hari tersebut," katanya.
Menurut Azmin, pihaknya akan melakukan apa sahaja yang tidak menyalahi undang-undang bagi membanteras pengundi hantu dalam sebarang pilihan raya akan datang.
Tambahnya lagi, kesemua mereka yang disyaki sebagai pengundi hantu telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan tetapi sehingga kini tiada tindakan lanjut.
Sementara itu, Zamil Ibrahim mengakui memang wujud pengundi hantu ketika pilihan raya kecil Lunas.
"Ada seorang makcik (dalam bas) yang ditanya mengakui mereka dalam perjalanan ke majlis perkahwinan, padahal ketika itu pagi bulan Ramadhan," kata Zamil.
Gobalakrisnan pula berkata jika Dr Mahathir masih berkuasa para hakim akan takut membuat keputusan berdasarkan prinsip keadilan.
"Terima kasih kepada para hakim kerana membuat keputusan berdasarkan prinsip keadilan," katanya.
Ketika keputusan diumumkan Ezam,Tian Chua, Mohd Fauzi dan Khairuddin tidak hadir.
Sementara bagi pihak pendakwa hanya diwakili Ketua Inspektor Sobberi Ismail mewakili Timbalan Pendakwaraya yang tidak hadir.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home