SepangOnline

Friday, June 30, 2006

Anwar hormati Mahathir sekalipun bersikap 'kejam'

Oleh Azamin Amin
Harakahdaily

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata beliau tetap menghormati hak Tun Mahathir Mohamad untuk mengkritik kepemimpinan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi walaupun tanggapan umum, beliau (Mahathir) pernah bersikap 'kejam', menindas rakyat dan menghalang kebebasan media.

"Tindakan beliau itu tetap salah, tetapi tidak bermakna kerajaan boleh menafikan haknya untuk mengkritik," kata Anwar dalam satu sidang media di kediamannya di Damansara, dekat sini hari ini.

"Sama ada kita bersetuju atau pun tidak dengan Tun Mahathir, itu adalah hak beliau untuk bersuara dan kita mesti menghormatinya," katanya.

Katanya lagi, sekiranya kerajaan sekarang mengulangi perkara yang sama, ia jelas tidak adil dan tidak demokratik.

"Ia memerlukan kesabaran tinggi untuk saya nyatakan ini," katanya.

Beliau sekali lagi menggesa kerajaan yang diterajui Abdullah menjawab segala dakwaan Mahathir dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Ditanya wartawan, sama ada pertembungan ini, memberi peluang beliau memasuki Umno, Anwar menegaskan perkara itu tidak berbangkit sama sekali.

Beliau mengulanginya; "Saya tidak akan menyertai Umno dan tetap meneruskan agenda reformasi."

Namun demikian, Anwar berkata beliau masih meneruskan hubungan dengan ahli Umno di peringkat akar umbi dan menghargai sokongan mereka.

Berkaitan kehadiran pimpinan PAS pada majlis Mahathir, Anwar menjelaskan mereka (pimpinan PAS) telah bertemu beliau baru-baru ini dan menyatakan bahawa mereka tidak berniat sama sekali untuk terlibat dalam kontroversi Mahathir Abdullah.

Malah, katanya, mereka sekadar hadir untuk mendapat penjelasan pertikaian tersebut dan PAS tetap komited dengan agenda pembaharuan bersama beliau.

Isu Matrade

Berkaitan isu Matrade, beliau akui memang benar Kementerian Kerja Raya memberi cadangan kepada Kementerian Kewangan (ketika itu Anwar adalah TPM dan Menteri Kewangan) supaya memberi tender kepada sebuah syarikat.

Namun, sekiranya cadangan itu dilihat mempunyai 'niat berkepentingan' atau menteri terbabit dilihat sangat 'berminat dan 'menyokong' syarikat tersebut, Kementerian Kewangan serta merta akan membatalkan permohonan tersebut.

"Dan ini diperkukuhkan lagi oleh BPR, melalui jawatan kuasa pengurusan Kabinet yang saya sendiri pengerusikan," katanya.

Katanya, cadangan Samy Vellu selalunya bermasalah, selalu dipertikaikan dari segi 'kebersihan' dan ini persepsi yang dibuat oleh BPR melalui Jawatankuasa Pengurusan Kabinet yang dipengerusikannya (Anwar) sendiri.

Beliau menegaskan, sekiranya ada penyelewengan dan kepincangan terhadap mana-mana projek seperti MRR2 dan Matrade, satu penyiasatan yang penuh teliti perlu dilakukan.

Ditanya berkaitan desas desus untuk melantik beliau sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation), beliau menyatakan sememangnya ada cadangan tersebut daripada pihak-pihak tertentu.

"Namun, perkara itu masih terlalu awal dan saya belum memberi perhatian serius dalam kerjaya di peringkat antarabangsa," katanya

"Keutamaan saya adalah di Malaysia, untuk membuka ruang supaya lebih bebas dan demokratik, menumpukan kekuatan pertumbuhan ekonomi serta mengutamakan agenda pembaharuan," katanya.

Thursday, June 08, 2006

Jangan dewa-dewakan Mahathir, kata Azmin Ali

Oleh Roy Rasul KUALA LUMPUR, 8 Jun (Hrkh) - Naib Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengingatkan pimpinan Barisan Alternatif (BA) dan rakyat jelata tidak terperangkap dalam isu pertelagahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan jangan sekali-kali mendewa-dewakan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau mendakwa, apa yang jelas, isu tersebut ialah soal kreadibiliti yang mana kedua-dua pemimpin itu tidak berminat untuk menjaga kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

"Saya lihat serangan Mahathir bersifat peribadi dan dendam kepada Abdullah. Oleh itu saya meminta rakyat jangan terperangkap dengan serangan Mahathir yang tidak diasaskan kepada kreadibiliti.

"Apa yang dikecam Mahathir terhadap Abdullah juga menjadi amalan beliau semasa memerintah negara sebelum ini. Pemerintahan Mahathir pun sama juga mengamalkan kronisme, nepotisme, rasuah dan perkara negatif lain, jadi mengapa beliau serang Abdullah di atas perkara yang sama dilakukannya," dakwanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam satu sidang akhbar di ibu kota semalam Mahathir dipetik mengecam kepimpinan Abdullah.

Beliau mendakwa Abdullah telah melanggar janji untuk meneruskan keputusan yang dibuat oleh pentadbirannya sebelum ini.

Antaranya ialah mengenai soal jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, kedudukan kereta nasional Proton, pembangunan Putrajaya dan dasar kewangan serta ekonomi negara.

Oleh itu Azmin berkata, jangan sekali-kalai pemimpin BA mahupun rakyat mendewa-dewakan Mahathir sehingga ghairah untuk meletakkan Mahathir sebagai Ketua Pembangkang Negara dan penghormatan lain.

Menurutnya jika ini berlaku ia menunjukkan BA dan rakyat terperangkap dalam isu dalaman Umno.

Katanya, jangan mengukur Mahathir sebagai pemimpin Umno yang berani mengkritik kerajaan itu adalah orang yang bersih dan bertanggungjawab.

"Beliau dikenali sebagai pemimpin yang rakus rasuah dan serangan beliau terhadap Abdullah tidak boleh bersihkan namanya walaupun beliau cuba menutup kesalahan dan juga mengalihkan pandangan rakyat mengenai apa yang dilakukan beliau," dakwanya sambil sekali lagi mengingatkan rakyat tidak mendewakan Mahathir.

Sehubungan itu dakwanya, tidak ada langsung pengisian Umno dalam mengatasi masalah-masalah besar negara seperti ekonomi, keselamatan, pelaburan asing, dan sosial.

"Ini yang sepatut menjadi tangungjawab pemimpin BA untuk mencari jalan penyelesaian bukan membuang masa berbicara masalah dalaman Umno," katanya.

Tuesday, June 06, 2006

Umno kian kronik, bubar cawangan sertai BA - Anwar

Oleh Mohd Sabri Said (Harakahdaily)

BATU KAWAN, 5 Jun (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato' Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Ketua Umno Cawangan seluruh negara membubarkan cawangan masing-masing kerana parti itu makin rosak teruk.

Katanya, perkara itu disahkan sendiri oleh beberapa orang Ketua Bahagian di beberapa buah negeri termasuk individu ternama yang bertemu dengannya supaya menyertai Umno semula untuk memperbaiki keadaan yang semakin kritikal.

"Ramai kepimpinan Umno sama ada bahagian atau individu datang bertemu saya sama ada di rumah atau semasa luar negara mendesak saya sertai Umno untuk selamatkan keadaan ekoran Umno berada pada paras nyawa-nyawa ikan, " tegasnya.
Tindakan membubar katanya, merupakan langkah paling bijak kerana parti itu bukan lagi sebuah parti yang membantu meningkatkan sosio ekonomi, pendidikan mahupun agama Islam.

Ia lebih mirip kepada kronisme sedangkan yang berjuang bermati-matian adalah golongan bawahan.

"Apa ada pada Umno lagi, nak katakan pejuang bangsa dan agama ia dah lari dari tajuk. Nak kata berjuang bidang pendidikan orang Melayu dah kurang ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Apa yang ada hanyalah agihan pendapatan negara diberikan sesama sendiri, " ujarnya.

Menurut Dato' Seri Anwar lagi, beliau tahu kepimpinan Umno sendiri memahami keadaan ini tetapi tidak berani bersuara kepada rakyat atau ahli diperingkat akar umbi.

Mereka bimbang katanya, hilang kuasa dan terhina kerana bersekongkol dengan golongan yang meruntuhkan agama dari parti yang suatu ketika dulu berjuang demi bangsa, agama dan negara.

"Umno dah hilang sebagai pejuang bangsa, agama dan negara. Sekarang ini marilah beri sokongan pada PKR dan PAS yang berada dalam pakatan Barisan Alternatif (BA)

"Jangan takut untuk buat perubahan, kerana yang penting sekarang ini ialah maruah negara yang perlu dibersihkan," ujar beliau yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri.

Menyertai Umno tegasnya, tidak sekali kerana Umno umpama kereta yang harus ditukar bukan diperbaiki.

Monday, June 05, 2006

Dominique akan kerjasama dengan DAP

Oleh Faisal Mustaffa (Malaysia-Today)

KUALA LUMPUR 2 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tunggal Parti Keadilan Rakyat (keADILan), YB Dominique Ng Kim Ho yang memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Mei lalu akan bekerjasama dengan ahli-ahli pembangkang yang lain bagi memenuhi manifesto yang dijanjikan kepada pengundi-pengundinya di Padungan.


Dominique adalah bekas calon DAP dalam pilihan raya yang sama pada tahun 1991 dan 1996.

Dalam pemilihan Ahli Parlimen untuk Bandar Kuching pada tahun 1999, Dominique keluar parti dan bertanding atas tiket bebas.
Dalam manifesto Barisan Bersatu Sarawak (BBS) yang dianggotai oleh keADILan, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), dan Kongres Dayak Malaysia (MDC), mereka mempunyai misi untuk membina ‘Sarawak Baru’ yang menjadi wadah kepada semua rakyat Sarawak dan membolehkan mereka menikmati hak dan kedudukan sepatutnya dalam Malaysia.


BBS juga berjanji untuk memulihara keadilan, kebebasan, dan kesaksamaan dalam layanan, pengagihan kekayaan yang adil serta peluang sama rata untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa, budaya, fahaman dan agama.

Dominique yang merupakan salah seorang daripada jawatankuasa yang mendrafkan manifesto tersebut, yakin bahawa barisan pembangkang mampu untuk memberikan satu ‘check and balance’ (timbangtara) dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Dominique berada di Semenanjung sejak 1 Jun lepas bagi memenuhi undangan daripada keADILan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka dalam berkongsi kejayaan satu-satunya kerusi daripada 25 Dewan Undangan Negeri yang ditandingi oleh keADILan.

Dalam 72 kerusi yang dipertandingkan; selain keADILan, BBS melalui SNAP memenangi satu kerusi manakala MDC memperolehi dua kerusi.

Parti Demokratik Rakyat (DAP) pula memenangi enam kerusi daripada 12 yang dipertandingkan.

“Kami menyokong agenda yang diketengahkan oleh DAP dan DAP menghormati manifesto BBS,” katanya ketika diaju soalan dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Parti pagi ini.

Menurut Dominique, kesemua ADUN dari pembangkang akan bermesyuarat minggu hadapan bagi membincangkan isu-isu yang perlu diketengahkan dalam Dewan nanti.

“Memandangkan setiap daripada kami hanya diperuntukkan 10 soalan sahaja, maka kami terpaksa membahagikan antara kami isu-isu yang relevan daripada rakyat,” jawabnya.

Pusat Khidmat Masyarakat Padungan

Dominique memberitahu bahawa keADILan Bahagian Kuching akan membuka Pusat Khidmat Masyarakatnya di Padungan bagi menerima sebarang aduan daripada penduduk Bandar Kuching dan mengenalpasti permasalahan rakyat.

“Saya bertanggungjawab bagi rakyat Kuching,” kata Dominique.

Untuk itu, Dominique mengumumkan pembukaan Pusat Khidmatnya di tempat beliau dibesarkan, yakni di rumah pangsa tujuh tingkat di Jalan Ban Hock.

“Tempat itu mempunyai nilai sentimental kepada saya”, jelasnya.

Penasihat Parti, Dato Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Pusat tersebut pada 14 Jun akan datang.

Lily Yong dan SPR

Bercakap mengenai pengalamannya menentang Lily Yong Lee Lee (SUPP), beliau berkata, Lily terpaksa berhempas-pulas dalam menegakkan ‘benang yang basah.’

Dalam satu laporan berita, Lily membuat satu sidang akhbar selepas kekalahannya menemui badan pemantau bebas pilihanraya (Mafrel) untuk melaporkan 1000 pengundi Padungan yang terkeluar daripada senarai Padungan dan mendapati nama-nama mereka berada di stesen pengundian yang di luar kawasan seperti di Batu Lintang.

Dominique tidak menafikan kejadian tersebut dan memberitahu bahawa kesemua pengundi-pengundi tersebut adalah sebelum ini pengundi-pengundi pembangkang dari Padungan.

“keADILan akan menang majoriti lebih besar sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bebas dan adil,” kata Dominique.

“Malah calon SUPP di Batu Lintang amat marah apabila mengetahui terdapat 1000 pengundi yang asalnya dari Padungan tiba-tiba mendapati nama mereka di Batu Lintang.”

Dominque memberitahu pemberita bahawa mengenai kejadian sedemikian, SPR bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pengundi-pengundi mengenai perpindahan tempat pengundian tanpa sebarang arahan daripada pengundi itu sendiri.

Jadual ketat di Semenanjung

Bermula dari ketibaannya di Semenanjung, Dominique mempunyai jadual yang ketat yang diatur oleh Parti.

Semalam, beliau menjadi panel kepada forum “Keputusan Pilihan Raya Sarawak” di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di ibu negara.

Selepas bertemu dengan media hari ini, beliau bergegas ke Ipoh bagi memenuhi undangan dalam satu ceramah umum.

Pada keesokan harinya (3 Jun), beliau bersama Anwar akan berada di Melaka dalam jamuan di Warong Reformasi di Jalan Tambak Paya, Ayer Molek pada pukul 3 petang dan kemudiannya ke Machap Baru dalam satu siri ceramah kelompok.

Pada pukul 8 malam, beliau bersama Penasihat akan makan malam di satu majlis untuk kaum Tionghua du Restoran Dragon Court, Oaklanf Commerce Square, Seremban dan seterusnya memberi ceramah di Jalan Tampin.

Sebelum pulang ke Kuching ppada Ahad, 4 Jun, beliau akan berada di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Seberang Prai bagi satu lagi siri ceramah bersama Anwar.

MIC: Seramai 201 ahli Bandar Bukit Mertajam sertai PKR

Oleh Mohd Sabri Said (Harakahdaily)

BATU KAWAN, 5 Jun (Hrkh) - Di celah-celah pergelutan merebut jawatan tertinggi parti MIC antara kumpulan Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu dan timbalannya, seramai 201 orang ahli di dua cawangan Bahagian Bukit Mertajam bertindak meninggalkan parti itu dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.


Mereka diketuai oleh Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Bukit Mertajam, M. Pristiraj, 29, dan Ketua Wanita MIC Cawangan Sungai Rambai, Askusala Kumari, 35.


Borang kemasukan ahli PKR diserahkan kepada penasihat parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum beliau berucap dalam majlis ceramah bersama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam semalam.
Menurut M. Pristiraj, penghijrahannya ke PKR bukan hasil desakan sesiapa tetapi atas rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan negara daripada terus ditipu oleh kepimpinan yang rakus.


Beliau ketika ditanya menyokong kumpulan mana dalam MIC memberitahu, senario sekarang kedua-dua kem serupa dan mempunyai masalah yang tersendiri.


"Sekarang ini saya tak mahu lagi bercakap mengenai MIC kerana apa yang penting sekarang saya dah bersama PKR. Tugas saya ialah akan menarik lebih ramai kaum India menyertai PKR di Parlimen Permatang Pauh, " jelasnya.


Askusala Kumari pula menyifatkan, kemasukkannya ke dalam PKR bermatlamat membantu Barisan Alternatif (BA) yang dilihat lebih releven daripada Barisan Nasional (BN).


Baginya, kemelut yang berlarutan dalam MIC hanyalah agenda peribadi bukan berlandaskan kepentingan bangsa dan negara.


"Kemasukan beramai-ramai ahli MIC menunjukkan kami sudah bosan dengan karenah kepimpinan yang hanya bijak bercakap tetapi tidak pandai melaksanakan impian supaya menjadi kenyataan, " terangnya yang berkhidmat dalam MIC selama 15 tahun.


Dato' Seri Anwar ketika berceramah memuji langkah drastik 201 ahli MIC kerana berani melakukan perubahan demi menyelamatkan maruah negara daripada terus dikenali sebagai negara perasuah.


Tegas beliau, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih gagal tangani rasuah sedangkan semasa baru dilantik menerajui negara, beliau telah berjanji mahu membanteras gejala tersebut tanpa pilih kasih.


Sementara itu, Setiausaha PKR Negeri Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Kasim berkata, kemasukan ahli MIC merupakan usaha berterusan Dato' Seri Anwar yang sering turun padang ke negeri ini.


"Kita akan mengatur majlis penerangan dan pertemuan dengan masyarakat bukan Islam di mana jua pada masa depan supaya mereka memahami kedudukan negara sekarang, " jelasnya bangga.


Pada bulan Januari lalu, 1000 orang ahli MCA yang diketuai oleh Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choong Peng juga mengambil langkah sama meninggalkan parti berteraskan kaum Cina untuk menyertai PKR yang dilihat lebih kemampuan.


Hadir sama dalam ceramah anjuran PKR Negeri itu ialah Pengerusi PKR Negeri, Dato' Zaharin Mohd Hashim; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Sarawak, Dominique Kim Ho.

Thursday, June 01, 2006

Di manakah 60% pengguna TNB yang tidak terjejas dengan 12% kenaikan?

Malaysia Today

Pada hari pertama tarif elektrik dinaikkan 12%, TNB perlu jelaskan mengapa Independent Power Producers (IPP) tidak perlu pikul beban kenaikan harga bahan bakar, dan terus menikmati harga gas subsidi yang sudah diberi diskaun. Begitu juga, TNB perlu buktikan bahawa 60% pengguna TNB tidak terjejas oleh kenaikan 12% tarif elektrik kerana bil mereka kurang daripada RM44.

Kepimpinan BN kian terputus daripada kehidupan dan kesengsaraan rakyat jelata dengan mengatakan tahap kehidupan rakyat tidak terjejas dengan kenaikan kadar tarif elektrik. Hal ini kerana kononnya majoriti rakyat tidak terkesan dengan kenaikan tersebut.

Kebanyakan pengguna memang tidak percaya yang kenaikan tarif elektrik hanya melibatkan 40% daripada pengguna. Memang mudah bagi menteri mengatakan, lebih banyak penggunaan elektrik, lebih tinggi bayarannya, namun, kebanyakan rakyat tiada pilihan kerana penggunaan elektrik ialah satu keperluan bukan bermewah-mewah.

Pada ketika rakyat jelata terbeban dengan kenaikan harga minyak dan elektrik, tiada alasan dan keadilan sosio ekonomi untuk membiarkan beberapa IPP yang kaya-raya untuk terus mengaut keuntungan yang besar, harga diskaun bahan bakar dan perniagaan yang berisiko rendah. Dalam perjanjian IPP dengan TNB, mereka dibenarkan menyalurkan kos inflasi, antara lain, kepada TNB. Klausa tersebut membuatkan perniagaan membekalkan tenaga oleh IPP, satu perniagaan yang tiada risiko dengan menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Petronas telah memberi subsidi kepada sektor tenaga sebanyak lebih RM25 bilion sejak 1997, RM14 billion daripadanya atau 55% pergi kepada IPP, sementara baki RM 11 bilion dinikmati oleh Tenaga. Bagi Tenaga yang mahu menaikkan tarif sedangkan ia menikmati subsidi sebanyak RM 11 bilion adalah tidak dapat diterima, tidak bertanggungjawab dan bukan demi kepentingan negara.

Subsidi Petronas kepada IPP sebanyak RM 14 bilion sejak 1997 mesti dihentikan. Subsidi tersebut lebih wajar dibelanjakan ke atas pembiayaan perbelanjaan dan keperluan penyelenggaraan Tenaga. Oleh kerana IPP adalah syarikat swasta dan menikmati kadar istimewa bagi menjana tenaga elektrik yang TNB terpaksa bayar walaupun tidak memerlukannya, tiada alasan bagi IPP mendapat subsidi yang besar sebanyak RM 14 bilion, yang mendapat keuntungan di atas Tenaga dan pengguna TNB.