SepangOnline

Monday, July 24, 2006

Anwar: Bahaya sokong Dr Mahathir

Arfa'eza A Aziz (Malaysiakini)

Jul 20, 06--Kritikan keras bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran negara sekarang bukanlah satu lesen untuk pembangkang menyokongnya, kata bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini minggu lalu, beliau berkata, adalah amat merbahaya untuk “menyokong seseorang yang memerintah secara authoritarian walaupun pertelagahan antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menguntungkan pembangkang.

“Saya rasa Dr Mahathir (dengan mengkritik kerajaan) telah membuka sedikit ruang demokrasi...saya rasa ia telah banyak membantu, bukan sahaja PAS tetapi juga saya sendiri dan pembangkang. Tetapi kita mesti tahu garis sempadannya,” katanya.

Anwar berkata, beliau telah memperjelaskan perkara itu dalam pertemuannya dengan pemimpin PAS baru-baru ini, termasuk mereka yang secara terbuka menyokong Dr Mahathir. Keadaan itu telah menimbulkan rasa kurang senang antara dua parti komponan Barisan Alternatif (BA) – PAS dan PKR.

“Saya berbincang dengan panjang lebar (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) dan (ahli Jawatankuasa Pusat Datuk) Mustafa Ali. Saya (memberitahu mereka) bahawa persepsi menyokong Dr Mahathir adalah tidak betul.

“Apa yang mereka kata ialah parti itu bersedia menerima Dr Mahathir jika beliau mengakui segala kesilapan yang telah dilakukannya dan memperbetulkannya. Tetapi apakah anda fikir beliau akan berbuat demikian?” soal Anwar yang telah dipecat oleh Dr Mahathir pada 1998.

“Tetapi jika dia berkata: ‘Saya silap mengenai perkara ini, itu dan maafkanlah saya’, saya pasti akan memaafkannya. Malah, saya mungkin bersedia untuk menarik balik saman saya terhadapnya,” kata Anwar.

Pada 24 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Seri Husam Musa dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menghadiri majlis ceramah Dr Mahathir.

Bertanding di Permatang Pauh?

Dalam wawancara selama dua jam itu, Anwar berkata, walaupun beliau tidak optimistik untuk membawa pembangkang di bawah satu bumbung, tetapi tegasnya, mesti ada satu agenda bersama.

“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan PAS dan DAP secara berasingan dan pada amnya, mereka akan terus bekerja secara berasingan dengan saya dan PKR. Bagi saya, itu sesuatu yang amat positif,” katanya.
Beliau berkata, walaupun DAP tidak berminat untuk berbincang dengan PAS, tetapi ia tidak kisah jika PKR meneruskan perbincangannya dengan parti Islam itu.

Anwar juga tidak pasti sama ada beliau akan bertanding semula di kerusi lamanya di Parlimen Permatang Pauh – yang kini diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR – sekiranya beliau dibolehkan aktif dalam politik.

Beliau berkata, akar umbi di kawasan pilihanraya tersebut telah menyatatakan pandangan mereka yang mahu Wan Azizah, tetapi perkara itu belum dimuktamadkan lagi, sambil menambah terdapat juga cadangan supaya beliau bertanding di kawasan berbilang kaum.

Mengulas tentang debat mengenai isu agama sekarang yang timbul ekoran kematian pendaki Gunung Everest, M Moorthy, Anwar berkata, beliau telah ditemui oleh pertubuhan Islam dan bukan Islam untuk bertanyakan pandangannya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, selepas berbincang dengan dua kumpulan tersebut, beliau terperanjat apabila menyedari wujudkan salah maklumat serta betapa besarnya sikap prejudis antara mereka.

Menurutnya, kurangnya komitmen kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut telah memburukkkan lagi keadaannya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak berusaha untuk mencari jalan supaya kedua-dua kumpulan yang bertelagah ini memahami perbezaan antara mereka.

Sunday, July 23, 2006

Kerugian matawang: Anwar dedahkan nama mereka yang terbabit

Arfa'eza A Aziz (Malaysiakini)

Jul 19, 06--Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan siapakah ‘pemain-pemain’ utama – di belakang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaffar Hussein – yang terbabit dalam spekulasi pasaran wang asing (forex) yang mengakibatkan kerugian sehingga RM30 bilion antara tahun 1992 dan 1994.

Sambil menyifatkan episod tersebut sebagai “pengalamannya yang paling buruk” sewaktu dalam kerajaan, Anwar mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut bersekongkol yang mengakibatkan kerugian tersebut, yang masih belum diperolehi semula oleh Bank Negara sehingga hari ini.

“Ia (membabitkan) Nor Mohamad, (Dr) Mahathir dan Daim. Ia berlaku ketika saya baru masuk (sebagai Menteri Kewangan). Tetapi saya mempercayai Jaffar yang tidak tahu sehingga saya bertanya mengenainya. Dia fikir ia membabitkan jumlah yang kecil sahaja,” kata Anwar dalam wawancara selama dua jam di pejabat malaysiakini di Bangsar Utama minggu lalu.

“Pada masa saya mendapatkan gambaran mengenainya, masalahnya sudah besar. Kita bercakap mengenai kerugiaan yang hampir mencecah AS$10 bilion,” katanya.

Anwar mendakwa, beliau tidak tahu langsung mengenai spekulasi matawang asing itu sehinggalah beliau berada di luar negara di mana rakan-rakannya telah memaklumkan kepadanya bahawa Bank Negara merupakan antara tiga pemain utama dan dianggap sebagai sebuah bank ‘penyangak’.

“Saya mendapat tahu dari seorang rakan di Switzerland yang memberitahu saya bahawa spekulasi ringgit Bank Negara begitu besar. Saya berkata ia tidak mungkin kerana kita perlu melindungi simpanan kita. Tetapi dia memberitahu saya bahawa ia (Bank Negara) merupakan salah satu daripada tiga pemain utamanya. Saya kata (ianya) mustahil yang kita boleh menjadi antara (negara) yang memiliki berbilion-bilion dolar untuk membuat spekulasi mengenai matawang asingm,” katanya.

Katanya, selepas editor Far Eastern Economic Review turut menemuinya berhubung isu tersebut, beliau mengambil keputusan untuk mendapatkan penjelasan daripada Jaffar, yang ketika itu juga tidak tahu mengenainya.

Anwar berkata, terdapat usaha-usaha awal untuk mendapat penjelasan daripada Dr Mahathir, tetapi beliau (Dr Mahathir) sebaliknya tidak mahu masalah itu diperbesar-besarkan dan menuduh media berat cuba merosakkan Malaysia.

Anwar juga berkata, Nor Mohamed – yang ketika itu merupakan penolong gabenor Bank Negara dan merupakan orang utama dalam spekulasi matawang asing itu – sepatutnya didakwa di mahkamah sekiranya dia tidak dipaksa meletakkan jawatan. Tetapi ini juga telah mengakibatkan penyingkiran Jaffar, yang juga patut bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut.

Anwar juga kesal dengan keputusan Dr Mahathir melantik Nor Mohamed sebagai penasihat ekonominya empat tahun kemudiannya.

"Anda bercakap mengenai seorang yang telah mengakibatkan negara kerugian 10, 15, 20 bilion ringgit...dan namun (Abdullah) melantiknya menjadi menteri kewangan (kedua)," katanya.

Anwar berkata, beliau terpaksa membuat penjelasan di Parlimen mengenai kerugian tersebut dan menjadi sasaran hebat pihak pembangkang.

Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dari DAP baru-baru ini mengulangi perkara yang dibangkitkanaya di Parlimen lebih 12 tahun lalu mengenai kegagalan kerajaan berhubung kerugian yang besar itu.

Isu kerugian yang dialami Bank Negara akibat spekulasi matawang asing itu timbul semula baru-baru ini selepas Tan Sri Tajudin Ramli membuat beberapa dakwaan dalam saman balasnya.

Ekoran itu, Lim menggesa ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk mendedahkan siapakah yang mengakibatkan kerugian tersebut.

Kekesalan Anwar

Sementara itu, Anwar juga melahirkan kekesalannya kerana gagal untuk melaksanakan pembaharuan apabila beliau berada dalam kerajaan.

Katanya, beliau sedang dalam proses membentangkan Akta Pendidikan yang baru yang akan menyaksikan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan memberi lebih perlindungan kepada sekolah jenis kebangsaan, apabila beliau dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

Menurutnya, draf rang undang-undang tersebut telahpun diedarkan, tetapi penggantinya di Kementerian Pendidikan tidak meneruskan usaha tersebut.

Beliau juga kesal kerana tidak bertindak tegas ketika itu untuk membantah pembinaan Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur di Sepang dan Ampangan Bakun di Sarawak.

"Sesetengah pihak berkata saya sepatutnya lebih tegas....tapi jika saya berbuat demikian ketika itu, mungkin saya sudah dipecat pada 1993,” katanya.

Anwar juga diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz bahawa Malaysia masih merupakan destinasi menarik untuk pelabur asing.

Dalam hal ini, Anwar menyifatkan dakwaan menteri itu bahawa pelaburan asing negara berjumlah RM6.08 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2006 sebagai ‘propaganda kerajaan’.

“Bila sebuah syarikat membawa pelaburan sebanyak RM10 bilion, mereka bermula pada tahun 2007 dan berakhir pada 2020. Ia sepatutnya diagihkan sama rata dalam tempoh tersebut, tetapi (kerajaan) sebaliknya melonggokkan keseluruhan angka tersebut dalam statistiknya.

“Itulah sebabnya apabila anda bertanya sama ada saya kesal menyertai kreajaan, jawapan saya adalah ‘tidak’ kerana saya telah dapat belajar selok-beloknya. Anda tidak lagi boleh memperbodoh-bodohkan (saya) dengan angka...,” tambahnya.

Dalam wawancara tersebut, Anwar juga bercakap panjang lebar mengenai beberapa pembaharuan ekonomi yang perlu dilakukan negara bagi memulihkan semula dayasaingnya, termasuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru.

Saturday, July 22, 2006

Anwar: Pakatan bawa Dr M kembali berkuasa

Arfa'eza A Aziz (Malaysiakini)

Jul 18, 06 --Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kritikan berterusan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin satu pakatan untuk membawa Tun Dr Mahathir Mohamad kembali berkuasa.

“Saya tidak menolak kemungkinan wujudnya rancangan bahawa cabaran tersebut adalah untuk membawa balik Dr Mahathir...,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini.

“Ingatlah bahawa semua asas kritikan (Mahathir) bukan satu atau dua dasar sahaja, tetapi (dakwaan bahawa) pucuk pimpinan sudah hilang fokus.

“(Mahathir menegaskan bahawa) orang Melayu tidak merasa selamat di bawah pucuk pimpinan sekarang. Beliau menegaskan(di bawah pucuk pimpinan sekarang) kepentingan kita (orang Melayu) tidak dilindungi dan bahawa kepentingan (negara) telah dijual kepada sebuah negara asing dan khususnya kepada Singapura.

“Sudah tentunya wujud konotasi perkauman atau mesejnya ialah orang Cina (terus menjadi ancaman)....dan kerana itu, anda perlukan pemimpin yang kuat untuk membuat pindaan dan merencanakan satu dasar yang jelas untuk melindungi kepentingan negara ini sebelum diserahkan kepada sesiapa sahaja, dan dalam kes ini (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” katanya.

Bagaimanapun, Anwar mengakui bahawa senario ini tidak mungkin wujud kerana tindakan melempar kritikan terhadap Abdullah sekarang, masih belum mencukupi untuk membawa perubahan sedrastik itu.

“Saya bercakap dengan pembantu dan penyokong kuat (Dr Mahathir)... dan mereka nampaknya amat optimistik, ditambah pula dengan sokongan yang diterima, termasuk dari sesetengah pemimpin pembangkang. Tetapi saya rasa tidak begitu realistik yang ahli-ahli Umno, dalam jumlah yang besar, akan bangun menentang Abdullah,” katanya.

Pergolakan politik’

Bagaimanapun, katanya, Dr Mahathir mempunyai kemampuan untuk menimbulkan masalah kepada Abdullah. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga meramalkan Abdullah akan berdepan dengan “pergolakan politik” dalam bulan-bulan yang akan datang.

Katanya, Dr Mahathir mempunyai penyokong, bukan sahaja di kalangan veteran Umno, tetapi juga di peringkat akar umbi Umno.

“Dan Dr Mahathir dan para penyokongnnya mempunyai sumber... mereka ada berjuta-juta ringgit...,” dakwa Anwar.

Dr Mahathir yang sedang bercuti di sebarang laut sehingga 22 Julai ini, telah mengkritik keras pentadbiran sekarang berhubung pembatalan projek jambatan indah, pengeluaran AP dan mengenai Proton.

Malah, pada satu ketika, Dr Mahathir pernah menyatakan beliau mungkin tersilap memilih Abdullah sebagai penggantinya.
Beliau bagaimanapun, tidak menjangka Najib akan mencabar kepimpinan Abdullah, dan secara berjenaka berkata:

“Mungkin kita juga perlu meminta pandangan (isteri Najib, Datin) Rosmah... tetapi saya tidak nampak ianya (cabaran) akan berlaku...”

Tetapi, katanya, semua kenyataan Najib menyokong Perdana Menteri setakat ini “masih belum meyakinkan”.

Unsur perkauman

Dalam wawancara selama dua jam minggu lalu di pejabat malaysiakini di Bangsar Utama, Anwar juga mendakwa, Umno yang pernah dianggotainya, memiliki wang tunai sebanyak RM8 bilion.

Katanya, wang tersebut dikumpulkan melalui para jutawan dan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Umno yang memegangnya bagi pihak parti tersebut.

Anwar juga mendakwa wujud unsur-unsur berkauman dalam kritikan Dr Mahathir terhadap kerajaan Singapura, terutama dalam isu jambatan bengkok.

“Ia adalah Singapura, jiran kita – walaupun ia bukan jiran yang mesra – tetapi pada fikiran saya, unsur-unsur tersebut adalah sesuatu yang dianggap tidak bertanggungjawab di pihaknya (Dr Mahathir),” kata Anwar, yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri selama enam tahun sebelum beliau dipecat oleh Dr Mahathir atas dakwaan salahguna kuasa dan salahlaku seks.

“Bukan sahaja (beliau membangkitkan isu) nasionalisme, tetapi (beliau) juga (bercakap) menentang orang Cina dan Singapura (yang didakwanya) cuba bertindak keras terhadap kepimpinan Melayu dan kerana itu mereka (kepimpinanorang Cina di Singapura) perlu diajar,” katanya.

Thursday, July 20, 2006

Mangsa DBKL: Wan Azizah sedia bela penduduk Puah Seberang

Oleh Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa satu jam melihat sendiri nasib penduduk Kampung Puah Seberang, Sentul yang menjadi mangsa roboh rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1 Jun lalu.


Wan Azizah yang menerima memorandum penduduk berkenaan di Parlimen 6 Julai lalu, berkata, beliau mahu melihat sendiri keadaan penduduk yang didakwa tidak ubah seperti pelarian itu.

Sebaik sahaja tiba di kawasan berkenaan jam 11.00 pagi, hampir 50 orang penduduk menyambut kedatangannya.


Beliau melawat satu persatu khemah yang menempatkan dua atau tiga anggota keluarga sambil bertanya khabar dan meminta mereka bersabar dan bertenang.


Walaupun cuaca agak panas, Wan Azizah tidak keberatan meninjau keadaan dalam khemah yang padat dengan barang-barang serta pakaian bergantungan di sana sini.


Bliau turut menyampaikan sumbangan makanan termasuk beras, minyak, sardin dan biskut kepada penduduk.


Beliau juga menawarkan khidmat peguam percuma kepada penduduk untuk membawa masalah mereka ke muka pengadilan.


"Kami akan beri khidmat penguam, kami ada penguam yang gigih, dan kami pun akan memberi sumbangan setakat yang termampu," katanya di hadapan penduduk.


Sebanyak 13 keluarga terus tinggal di kawasan berkenaan biarpun rumah mereka telah dirobohkan oleh DBKL.


Penduduk mendakwa mereka mahukan penjelasan, rundingan dan pampasan yang setimpal.


Kira-kira 50 penduduk kehilangan tempat tinggal kerana terpaksa memberi laluan kepada projek Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) dan pembinaan tiga plaza tol.

Monday, July 17, 2006

Anwar Ketuai Yayasan Masa Depan




Yayasan Masa Depan(Foundation for the Future) yang telah dibentuk akhir tahun lalu atas inisiatif Menteri-Menteri Luar Negar Arab, Afrika Utara, Eropah dan Amerika Syarikat telah mengadakan mesyuarat pertama di Doha, Qatar semalam (15 Julai 06). Anggota pengasas terdiri dari Anwar Ibrahim (Malaysia), Bakhtiar Amin (Iraq) dan Rahmah Bourqiah (Maghreb) telah bersidang bersama ahli Yayasan baru termasuk Ibrahim Kalin (Turki), Andre Cerra (Sepanyol), Hakim Sandra Oconnor (Amerika Syarikat), Naguib Swari (Mesir), Kamel Maher (Jordan), Juhainah (Qatar).

Walau pun Yayasan diperingkat awal ditaja dan dibiaya oleh Pemerintah, setakat ini berjumlah 55 juta dolar Amerika, tetapi Yayasan bebas bergerak merangka program dan strategi untuk menjana pembaharuan berdasarkan prinsip kebebasan dan demokrasi. Yayasan akan bekerjasama dengan badan-badan bukan Kerajaan, sarjana, tokoh agama dan politik agar melaksanakan program dengan lebih berkesan lagi. Selain membiaya kegiatan badan bukan Kerajaan, Yayasan akan meneliti kemungkinan mengadakan perbincangan, Seminar, dan lain-lain, dengan masyarakat awam.

Mesyuarat semalam telah membentuk Jawatankuasa Eksekutif untuk menjalankan kerja seterusnya dan akan mengadakan sidang pada bulan September. Mesuarat Yayasan berikutnya akan diadakan di Amman pada awal Disember sabelum mesyuarat Menteri-Menteri Luar dimana Pengerusi akan melapurkan kemajuan kegiatan Yayasan. Anwar Ibrahim telah sebulat suara dilantik sebagai Pengerusi Yayasan dan JK Eksekutif.

Friday, July 14, 2006

Khalid mulakan tugas sebagai Bendahari Agung

oleh Claudia Theophilus (Malaysiakini)

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Bendahari Agung baru Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sudah tiba masanya bagi beliau menyumbang secara terus bagi membetulkan kesilapan yang berlaku dalam pentadbiran negara selama ini.

Katanya, selama ini beliau banyak memainkan peranan di belakang tabir tetapi perkembangan terkini politik negara termasuk pendedahan pelbagai kesilapan kerajaan telah mendorongnya untuk memberi komitmen kepada politik.

“Tahun lalu saya banyak berceramah tentang faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dalam merangka polisi masa depan antarnya termasuklah soal ketelusan, keadilan, kesamarataan dan hak mendapatkan maklumat.”

“ Kini telah terdedah banyak penyelewengan dan kesilapan kerajaan, oleh itu saya rasa inilah masa yang sesuai untuk menceburi politik,” kata tokoh korporat itu dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Beliau juga berpendapat inilah masa terbaik bagi Keadilan untuk bergerak kerana pentadbiran kerajaan tidak boleh dibiarkan terus disalahurus.

“Pengurusan kerajaan mestilah mengikut konsep yang betul. Cara dan matlamatnya mesti betul,” ujarnya.

Pada sidang media itu Khalid telah diserahkan secara rasmi surat perlantikannya sebagai Bendahari Agung Keadilan oleh Presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Apa yang saya katakan tahun lalu telah menjadi kenyataan. Sekarang saya boleh terus memberi penjelasan bagi menghilangkan kekeliruan rakyat yang berpunca dari asas-asas yang salah selama ini,” tambahnya.

Menyentuh tentang krisis antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai beberapa dasar lama kerajaan, Khalid berkata, itu menunjukkan negara akan menghadapi pelbagai masalah.

“Krisis antara kedua-dua tokoh ini menunjukkan selama ini negara ini tidak ditadbir dengan baik. Pelbagai tanda-tanda salahurus dan penyelewengan akan muncul dan rakyat akan menanggung kerugiannya.

“ Drama membabitkan kedua-dua tokoh ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia adalah drama yang melibatkan jutaan Ringgit tetapi hanya menguntungkan segelintir pemimpin dan membebankan majoriti rakyat,” ujarnya.

Ditanya tentang rancangannya untuk Keadilan, Khalid berkata, beliau akan menggunakan segala pengalamannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi merencana program ekonomi dan menguruskan kewangan parti.

“Saya sangat berminat dengan program pembangunan masyarakat dan berharap dapat merangka satu rancangan yang baik dan berkesan bagi mencapai strategi parti,” tambahnya.

Perlantikan Khalid sebagai Bendahari Agung baru Keadilan dibuat oleh Wan Azizah pada minggu lalu bagi menggantikan Abdul Rahman Othman yang meletakkan jawatannya. Khalid menjadi ahli Keadilan sebulan yang lalu.

Wednesday, July 12, 2006

Protes minta kerjasama polis jaga perhimpunan 29 Julai

Muda Mohd Noor (Malaysiakini)



Jul 12, 06 -- Sekretariat Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) hari ini menghantar notis pemberitahuan tentang perhimpunan aman anjurannya pada 29 Julai ini kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar.


Kordinator Protes, Dr Hatta Ramli berkata, pihaknya menghantar notis tersebut untuk meminta kerjasama pihak polis menjaga keselamatan orang ramai yang menyertai perhimpunan aman itu di KLCC bagi membantah kenaikan harga minyak dan barangan harian.



Katanya, Protes mengambil langkah tersebut bagi mengelak berulangnya kejadian dalam perhimpunan aman anjuran pada 28 Mei lalu di mana seorang pesertanya cedera parah dipukul polis.


Oleh itu, Protes dan polis boleh bekerjasama untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.


“Kami tidak mahu peristiwa berdarah seperti yang berlaku pada 28 Mei lalu berulang dan untuk itu polis perlu membantu menjaga keamanan semasa tunjuk perasaan membantah kenaikan harga minya diadakan,” katanya kepada pemberita selepas menyerah notis pemberitahuan tersebut di Bukit Aman pagi ini.


Notis tersebut oleh Pegawai Perhubungan Awam, ASP Ahmad Nawawi Baharum bagi pihak Bakri. Rombongan Protes itu, yang urut disertai Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Ketua Biro Badan Bukan Kerajaan (NGO) DAP, Ronnie Liu, dimaklumkan Bakri tiada di pejabat.


Dr Hatta berkata, anggota Protes tidak dibawa ke pejabat Bakri sebaliknya mengadakan perbincangan dengan Ahmad Nawawi di mes pegawai.



Bukan pohon permit


Beliau juga menegaskan apa yang dihantar pada hari ini adalah notis pemberitahuan dan bukannnya permohonan mendapatkan permit polis bagi perhimpunan aman tersebut.


Perhimpunan aman di KLCC pada 29 Julai depan akan disertai oleh parti politik pembangkang seperti PAS, DAP, PKR dan NGO bagi membantah kenaikan harga minyak dan barangan harian, katanya.


Menurut Dr Hatta lagi, sebagai penganjurnya, Protes sedia bekerjasama menyampaikan maklumat kepada pihak polis mengenai penyertaan orang ramai dalam perhimpunan aman tersebut.


“Polis boleh menghubungi kami pada bila-bila masa jika mereka ingi mendapatkan apa-apa maklumat mengenai perhimpunan aman tersebut,” katanya lagi.


Sementara itu, Setiausaha Protes, Aiman Athirah A Karim berkata, provokasi pihak polis telah menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini dalam perhimpunan aman 28 Mei lalu.


“Ramai peserta perhimpunan aman itu ditendang dan dipukul oleh anggota polis, sedangkan mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya.


Ketua Biro NGO DAP, Ronnie Liu pula berkata, polis hanya boleh menahan peserta perhimpunn tetapi tidak boleh memukul mereka.


Bagaimanapun, katanya polis tidak mengendahkan peraturan tersebut dan mereka menggunakan kekerasan untuk menakut-nakutkan orang ramai yang menyertai perhimpunan tersebut.

Tuesday, July 11, 2006

Pendedahan Tajuddin – sistem gagal lindung kepentingan rakyat

Saham MAS dan pendedahan Tajuddin – bukti sistem penguatkuasaan yang gagal melindungi kepentingan rakyat.



5 tahun lalu, pada 27 Januari 2001 sekumpulan rakyat yang perihatin dalam isu pembelian saham Malaysian Airline System (MAS) oleh Kementerian Kewangan Malaysia daripada Naluri Berhad telah membuat laporan polis di Balai Polis KLIA.



Laporan polis tersebut mencipta sejarahnya sendiri apabila jumlah pelapor yang membuat laporan pada ketika itu ialah seramai 1336 orang. Jumlah pelapor yang terbesar pernah disaksikan dalam mana - mana laporan polis di negara ini. Antara pelapor tersebut termasuklah barisan pimpinan pemuda Parti keADILan, PAS dan DAP, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang melapor sebagai rakyat Malaysia.


Kira kira sebulan selepas itu, pada 2 Mac 2001, saya sendiri dipanggil ke Ibu pejabat Polis Kontijen Selangor berhubung laporan tersebut.

Saya diminta memberi keterangan kepada Polis atas alasan untuk memulakan siasatan. Saya telah memberi kerjaama penuh pada pihak polis pada ketika itu dan meminta jaminan keterangan mesti diambil terhadap penama yang terbabit di dalam laporan tersebut iaitu Tan Sri Tajuddin Ramli, (Tun) Dato Seri Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Dzainudin.

Malangnya siasatan tidak dilakukan.Tiada satupun keterangan diambil daripada mereka yang terlibat dan saya pula ditahan di bawah ISA sebulan selepas itu.

5 tahun selepas itu iaitu beberapa hari lalu kita dikejutkan dengan pendedahan Tajuddin, Dan hari ini Malaysia riuh dengan perdebatan dan bualan tentang pendedahan tersebut yang jelas merupakan satu bentuk penyelewangan yang membabitkan wang rakyat dalam jumlah yang amat besar dan membabitkan tokoh pimpinan negara yang pernah dilaporkan pada polis 5 tahun lalu.

Episod ini hanya baru bermula dan akan mengundang bermacam persoalan tentang jumlah wang, individu terbabit dan sebagainya. Negara akan didedahkan dengan berbagai pendedahan di mahkamah dan media.

Perkara yang perlu kita tumpukan juga adalah bagaimana lemahnya sistem penguatkuasaan kita khususnya Polis dan Jabatan Peguam Negara dalam melindungi kepentingan rakyat.

Pendedahan Tajuddin ini membuktikan bahawa laporan polis yang dibuat oleh lebih seribu rakyat 5 tahun yang lalu ada asasnya. Sekiranya tindakan dan siasatan dilakukan terhadap laporan polis tersebut kebenaran dan kepentingan rakyat akan dapat dibela jauh lebih awal.

Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) mengajak setiap elemen reformasi dalam masyarakat dan kerajaan untuk mengambil iktibar daripada episod ini untuk suatu usaha yang konkrit dibuat memperbetulkan kepincangan penguatkuasaan dalam Negara yang jelas berlaku didalam episode saham MAS ini.

GERAK juga mendesak agar satu penjelasan dibuat oleh pihak Polis di Raja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara. Mengapa laporan polis yang dibuat dalam kes yang membabtkan ribuan juta ringgit wang rakyat tidak pernah disiasat dan dilakukan tindakan terhadapnya sebelum ini ?

GERAK komited dan mengajak rakyat untuk menangani episod pendedahan penyelewangan ini bukan sahaja dari sudut kes ini sahaja tetapi merangkumi tuntutan untuk dilakukan reformasi dan perubahan dalam sistem negara ini agar akhirnya sistem itu benar - benar adil dan mampu memelihara kepentingan rakyat terbanyak.

Mohamad Ezam Mohd Nor
Pengerusi
GERAKAN DEMOKRASI DAN ANTI KORUPSI (GERAK)

Thursday, July 06, 2006

Anwar dipilih menganggotai ICG

Malaysia Today


Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan bersama Board of Trustees bagi International Crisis Group (ICG) bermula 1 Julai 2006, berikutan pemilihan dalam mesyuarat lembaga yang telah diadakan di Brussels, April lepas.


Anwar Ibrahim akan bersama pasukan yang berwibawa termasuk anggota-anggota lain iaitu, Ricardo Lagos Presiden dari Chile (2000-2006) dan Presiden Club of Madrid (2006-); Christopher Patten (bekas European Commissioner for External Relations, Gabenor Hong Kong dan Menteri Kabinet UK; Canselor Oxford University); Kim Campbell (bekas Perdana Menteri Kanada; Setiausaha Agung, Club of Madrid); Pat Cox (bekas Presiden European Parliament); Wim Kok (bekas Perdana Menteri Netherlands); dan Fidel V. Ramos (bekas Presiden Filipina). Dr.Gareth Evans, bekas Menteri Luar Australia dan para diplomat antarabangsa yang menduduki kerusi dalam kumpulan tersebut.



ICG yang pengkhususannya kepada resolusi konflik dan mensasarkan kepada pembuat keputusan antarabangsa utama.


Di rantau ini, ICG telah memberikan hasil penyelidikan dan analisis yang penting, antara lain; pembangunan politik Indonesia, peningkatan dalam keganasan dan implikasinya terhadap Islam, dan peranan komuniti antarabangsa dalam peralihan Burma kepada demokrasi.


Awal tahun ini, Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden Kehormat Institute of Social and Ethical AccountAbility (AccountAbility), sebuah institut yang mengumpulkan ahli-ahli dari perniagaan, masyarakat sivil dan sektor awam dari seluruh dunia, mengenai pertanggungjawaban sosial dan pembangunan yang mapan.


Dalam perkembangan lain, sebuah temubual bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim oleh stesen tv Bloomberg akan ke udara di saluran 12, ASTRO (Malaysia) kali kedua pada 6 Julai 2006 (Khamis) - 1:00pm, 8:00pm (ulangan), 11:00pm (ulangan)


Dalam temubual bersama Haslinda Amin, Anwar memberi pandangan dan pemerhatian beliau mengenai pentadbiran yang sedia ada, khususnya mengenai dasar ekonomi negara dan sistem demokrasi. Bekas timbalan perdana menteri itu juga telah memberi pandangan beliau mengenai kemelut politik Barisan Nasional dan kesannya kepada proses pembaharuan negara.

Saturday, July 01, 2006

Anwar desak Samy Vellu disiasat

Oleh Faisal Mustaffa (Malaysia Today)

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (keADILan), Dato Seri Anwar Ibrahim mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR) siasat Menteri Kerja Raya, Dato Seri S Samy Vellu atas skandal Matrade.

Menurut Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan, Kementerian Kerja Raya memberikan cadangan kepada kementeriannya ketika berada dalam kerajaan untuk meluluskan tender kepada sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Perangsang International Sdn Bhd (PISB).

Samy Vellu bagaimanapun menafikannya dalam laporan media bahawa kementeriannya mencadangkan pembinaan Menara Matrade diberikan kepada Ireka Construction Berhad tetapi Kementerian Kewangan tidak bersetuju, sebaliknya memilih PISB.

PISB gagal menyiapkan projek itu mengikut jadual hingga menyebabkan kos pembinaannya melambung naik kepada RM287.5 juta.

Projek tersebut yang dimulakan pada tahun 1994 hanya berjaya disiapkan awal tahun ini oleh kontraktor baru, sedangkan ia sepatutnya disiapkan pada 1997.

PISB telah didenda sebanyak. RM159.8 juta atas kegagalan menyiapkan projek tersebut tetapi berjaya melepaskan diri apabila syarikat tersebut dijual serta ditukar nama.

Dalam sidang media yang diadakan di kediaman beliau di Damansara 29 Julai lepas, Anwar memberitahu bahawa Bahagian Perbendaharaan bertindak atas arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tender yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan iaitu Dato (kini Tan Sri) Abdul Ghani Othman.

Anwar terpaksa mendedahkan kes ini kerana Kementerian Kerja Raya mengambil sikap mudah dalam melepaskan tanggungjawab apabila projek Menara Matrade gagal disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan menuding jari kepada Kementerian Kewangan, yang mana menteri pada ketika itu ialah Anwar, bahawa kontrak pembinaan dilantik oleh Kementerian Kewangan.

Jelas Anwar, dalam meluluskan sesebuah kontrak, ia melibatkan beberapa langkah dalam proses asas iaitu; Bahagian Kontrak akan meneliti cadangan yang diterimanya dan kemudian dibawa kepada Jawatankuasa Tender.

Dalam kes Matrade, Anwar memberitahu pegawai-pegawai kementeriannya membuat penelitian dengan mendalam kerana projek tersebut mendapat campurtangan daripada Menteri Kerja Raya.

“Ini diperkukuh oleh cadangan BPR melalui jawatankuasa kabinet yang saya pengerusikan,” kata Anwar.

Selain daripada Matrade, Anwar juga mendesak agar BPR menjalankan siasatan kepada projek-projek lain yang melibatkan Kementerian Kerja Raya termasuk projek Lebuhraya MRR2 di mana ia mengandungi elemen kegiatan rasuah dan perilaku jenayah.