SepangOnline

Tuesday, February 28, 2006

Kisah Sebenar di sebalik kenaikan harga minyak di Malaysia

Oleh Amirulreza - Laman M@RHAEN

--------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum w.b.t.
Rupanya naik lagi harga minyak dipasaran Malaysia. Sebenarnya saya cuba memerhatikan ketidakseimbangan harga minyak dipasaran dunia beberapa bulan yang lalu. Rata-rata ada juga sesekali harga minyak dunia mengalami penurunan. Walaupun begitu, media arus perdana di Malaysia tidak mengambil kisah akan perubahan positif itu. Benar juga kata Pak Samad, surat khabar Malaysia membosankan !

Sesungguhnya pasaran minyak di dunia ini amat 'liar' untuk dijinakkan. Rata-rata iklim untuk kenaikan harga minyak tertumpu kepada "Rancangan memperkayakan uranium" di Iran, krisis pemberontakan dan penculikan di kawasan kemudahan minyak Nigeria, dan terbaru ancaman pengganas di Kingdom's Abqaiq Refining Center Arab Saudi.

Harga Minyak Pernah Turun

Sebelum peristiwa-peristiwa itu berlaku, pasaran harga minyak dunia pernah mencecah harga terendah semenjak dari krisis harga minyak pada Julai 2005 iaitu serendah US Dollar 56.93 se-barrel. Namun pada Isnin 15 November 2005, harga meningkat kembali ke paras US Dollar 58 se-barrel. (AMEinfo.com)

Pada 16 November 2005, harga minyak kekal pada harga US Dollar 57 se-barrel. Dimana pada masa itu harga "US light crude" turun 21 sen kepada US Dollar 56.71 (terendah semenjak 21 Julai 2005) dan harga "London Brent crude" pada paras US Dollar 54.98 se-barrel iaitu menurun 20 sen. (AMEinfo.com)

Harga Minyak Mula Naik

Berita AMEinfo.com melaporkan minyak ditutup pada paras lingkungan US Dollar 60 se-barrel dimana "US light crude" berada pada paras US Dollar 59.30. Pada masa ini, keadaan musim sejuk menyebabkan permintaan minyak tinggi di negara-negara Eropah yang mula mengalami musim sejuk.

Pada 8 Disember 2005, harga minyak naik kembali ke paras melebihi US Dollar 60 se-barrel. Dimana "US light crude" meningkat 43 sen kepada US Dollar 60.87 se-barrel pada harga pembukaan dan "London Brent crude meningkat 46 sen kepada US Dollar 58.07 se-barrel.

Pada masa ini, pengeluaran minyak negara-negara Opec mula ditingkatkan untuk mengimbangi kenaikan harga ini iaitu naik pada kadar purata 30,000 barrel sehingga 30.25 juta bpd (barrel per day) pada bulan November. Saudi meningkatkan pengeluaran kepada 120,000 barrel sehingga 9.62 juta bpd, iaitu tertinggi semenjak November 2004.

Pada rabu, 28 Disember 2005, harga minyak dunia menurun kepada US Dollar 58 se-barrel. Manakala para penganalisa menjangkakan harga minyak berada pada tahap US Dollar 57.34 pada tahun 2006, berdasarkan sumber Reuters.

Namun pada 5 Januari 2006, "US light crude" mencecah paras US Dollar 63 se-barrel berikutan kebimbangan krisis gas Russia. Selepas itu, harga minyak mula "menggila" pada 10 Januari 2006 apabila naik melebihi US Dollar 6 sebarrel semenjak minggu terakhir 2005.

Pada 15 Januari 2006, "US oil futures" ditutup pada US Dollar 63.40 pada 13 Januari 2006, iaitu turun 34 sen selepas Shell meneruskan mengepam 120,000 bpd di Nigeria berikutan krisis penculikan di sana. Namun begitu pengeluaran 100,000 bpd masih ditutup disebabkan letupan pipeline di sana.

Pada 18 Januari 2006, minyak dijangkakan mencecah pada harga US Dollar 65 se-barrel di New York selama 3 bulan berikutan krisis Nigeria serta krisis nuklear di Iran. Selepas itu bermacam-macam spekulasi yang timbul keatas kebimbangan tenaga nuklear Iran yang agak meruncing pada ketika itu sehinggakan ada spekulator yang menjangkakan harga minyak akan mencecah US Dollar 70.

Pada masa itu daripada 55 penganalisa, seramai

29 menjangkakan harga meningkat
8 menjangkakan menolak
18 pula menjangkakan akan mengalami sedikit perubahan.
Nampaknya apa yang dijangkakan itu menjadi kenyataan apabila harga minyak hampir mencecah US Dollar 70 sebarrel apabila "US crude oil" berada pada paras US Dollar 69.20 sebarrel pada 24 Januari 2006 namun masih tidak setinggi rekod tertinggi pada Ogos 2005 iaitu pada US Dollar 70.85.

Tetapi pada 25 Januari 2006, harga minyak tergelincir ke paras US Dollar 67 se-barrel. Dimana "US light crude" menurun 32 sen kepada US Dollar 66.74 se-barrel sementara "London Brent" turun 34 sen kepada US Dollar 65 se-barrel.

Pada 9 Februari 2006, harga minyak turun lagi kepada paras US Dollar 63 se-barrel setelah para pelabur yakin dengan kekuatan "US stockpiles". Pada ketika ini "US light crude" jatuh kepada US Dollar 63.04 se-barrel dan pernah turun sehingga US Dollar 62.76 se-barrel.
Selepas itu harga minyak turun lagi pada 14 Februari 2006 walaupun pada mulanya menjangkakan inventori "US crude" tinggi. Pada masa ini "US light crude" turun 29 sen kepada US Dollar 60.95 se-barrel.

Harga Minyak Mula menampakkan kestabilan pada US Dollar 60 se-barrel.

Keadaan Penculikkan ke atas pekerja minyak di Nigeria

Seperti yang saya sebutkan tadi, penculikkan oleh pemberontak di Nigeria masih lagi berlangsung. Namun pada 19 Februari 2006, berita melaporkan pemberontak telah membebaskan 9 pekerja minyak yang diculik itu. Maka harga minyak berada kembali pada paras US Dollar 2006 pada minggu sebelumnya. Iklim minyak di Nigeria turut memainkan peranan harga minyak dunia memandangkan Nigeria adalah negara ke-8 pengeksport minyak terbesar di dunia.

Keadaan menjadi gawat lagi apabila pemberontak di sana mengebom pipeline dan tanker terminal terbesar menyebabkan pengeluaran negara itu berkurangan 19 peratus. Ini menyebabkan harga pada 20 Februari 2006 meningkat sebanyak US Dollar 1.50. Shell bertindak menutup pengeluaran sebanyak 340,000bpd di platform Forcados tanker serta menutup 115,000 bpd lagi apabila mereka menutup pelantar EA field (Reuters).

Krisis pengeboman di telaga minyak Arab Saudi mengeruhkan suasana.
Pada Ahad, 26 Februari 2006, pengebom berani mati bertindak mengebom telaga minyak disana menyebabkan harga minyak meningkat pula kepada US Dollar 63 se-barrel.

Namun pada hari semalam, iaitu 27 Februari 2006, harga minyak turun sebanyak US Dollar 1.00 setelah mendapat laporan bahawa serangan militan di Arab Saudi tidak mengganggu pengeluaran minyak. Berita terbaru menunjukan bahawa pihak berkuasa Saudi berjaya membunuh 5 orang militan yang dipercayai mempuyai kaitan dengan pengebom berani mati pada jumaat yang lalu. Pada masa kini, harga "US light crude" turun 91 sen kepada US Dollar 61.99 se-barrel.

Keadaan Minyak Di Malaysia.

Mutakhir ini, Malaysia melalui BERNAMA hari ini melaporkan Harga Minyak Naik 30 Sen Mulai Selasa iaitu berkuatkuasa hari ini. Ternyata iklim sementara di Nigeria serta serangan pengebom berani mati di Arab Saudi menjadi "senjata" utama untuk kerajaan Malaysia menaikkan harga minyak. Ketika harga minyak dunia mencecah paras US Dollar 57 se-barrel penganalisa tidak ambil pusing tetapi apabila berada berada pada paras US Dollar 63 se-barrel walaupun mungkin untuk sementara waktu, "alert" pula kerajaan Malaysia memanipulasikan keadaan.

Jika dahulunya pihak kerajaan Malaysia melihat keadaan yang agak lama untuk menaikkan harga petroleum tetapi kini lain pula kisahnya. Mungkin jika keadaan di Saudi serta Nigeria selesai, harga minyak turun lagi walaupun para penganalisa minyak sedunia begitu memberi perhatian kepada iklim Iran-Amerika Syarikat dengan Isu nuklearnya.

Kini saya ambil petikan dari berita BERNAMA,

"Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit LPG sebanyak 30 sen sekilogram berkuatkuasa esok (Selasa)," kata kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri Isnin malam.
Kenaikan tersebut, kata kenyataan itu adalah bagi menangani impak kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan kerajaan memberi jaminan bahawa harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ialah pada 31 Julai, 2005 iaitu petrol sebanyak 10 sen seliter, diesel sebanyak 20 sen seliter dan LPG sebanyak 5 sen sekilogram.

Harga Petrol RON 97 kini berharga 192 sen seliter, Petrol RON 92 -- 188 sen seliter, Diesel -- 158.1 sen seliter dan LPG -- 175 sen sekilogram.

Bagi Sabah pula, Petrol RON 97 berharga 190 sen seliter, Petrol RON 92 -- 188 sen seliter, Diesel -- 158.4 sen seliter dan LPG -- 183 sen sekilogram.

Di Sarawak, Petrol RON 97 berharga 191 sen seliter, Petrol RON 92 -- 188 sen seliter, Diesel 157.8 sen seliter dan LPG -- 183 sen sekilogram. Semua harga baru itu mengalami kenaikan sebanyak 30 sen. - Bernama, 28 Februari 2006

Bagi saya kerajaan tidak perlu gusar dengan subsidi kepada harga minyak di Malaysia memandangkan jika benarlah khabarnya Malaysia akan mula mengeluarkan biodiesel berasaskan kelapa sawit pada tahun depan. Malah mengikut sumber BBC News, Malaysia sedang berada pada landasan betul untuk menjadi pengeluar biodiesel di Eropah !

"Apa sudah jadi ni Pak Lah...?"
SILA LAWATI: http://amirulreza.blogdrive.com

Sekian.

MINYAK NAIK LAGI

Oleh Tun Telanai - Laman M@RHAEN

--------------------------------------------------------------------------------
Assalamu’alaikum wm.wrt.,
Dengan tidak semena-mena selepas mesyuarat MKT UMNO, kilat tiada, guruh tiada tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Dengan satu pengumuman pendek, harga petrol dinaikkan lagi sebanyak RM0.30 di Semenanjung mulai 28.2.2006. Sebelum ini, sebarang kenaikan harga runcit petrol ada klu-klunya, tetapi kenaikan pada kali ini tidak sebarang klu, tiba-tiba harga petrol dinaikkan secara drastic mengejutkan seluruh rakyat. Rakyat tergamam. Terkedu. Mulut ternganga.

Tindakan kerajaan pada kali ini dianggap sebagai tindakan seorang samseng. Bertindak mengikut hawa nafsu tanpa memperhitungkan keselamatan orang ramai, asalkan dia mendapat keuntungan daripada hasil rompakan harta tersebut.

Pada kali ini kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi bertindak paling kurang ajar dan biadap terhadap amalan demokrasi yang memerlukan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum sesuatu dasar atau peraturan baru yang hendak dilaksanakan kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai. Baru di awal bulan Febuari yang lalu, tambang bas sekolah dinaikkan.

Dollah menganggap bahawa seluruh rakyat Malaysia adalah lembu-lembu pawah yang tidak akan berani bertindak melawan tuannya. Lembu-lembu ini akan terus memakan apa sahaja jenis rumput yang diberikan sama ada rumput kering atau hijau, tanpa banyak bersoal-jawab. Maka dengan itu, kerajaan pimpinannya berani buat apa sahaja terhadap rakyat yang dungu dan bodoh ini. Mereka akan menerima apa sahaja alasan yang kerajaan berikan.

Seperti biasa, media massa arus perdana akan mempertahankan kenaikan ini, pada kebiasaannya mereka tetap memberi alasan bahawa kenaikan harga petrol ini masih rendah berbanding dengan Singgapura dan Thailand. Kata media-media ini lagi kerajaan akan memastikan kenaikan ini tidak membebankan rakyat khususnya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akan dikawal oleh kerajaan. Ditambahkan lagi untuk menyedapkan hati bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap nasib rakyat, maka akan dikelentong lagi bahawa kerajaan tidak mampu lagi menampung subsidi, bayaran subsidi itu akan disalurkan kepada pembangunan Negara. Nikmat pembanguan Negara ini sebenarnya hanya dinikmati oleh anak-menantu, sahabat handai dan kroni-kroni terdekat. Rakyat hanya makan hampas sahaja hasil buangan kelompok tersebut. Inilah alasan-alasan yang sering diberi kepada rakyat yang dungu dan bodoh ini yang termakan dengan umpan dan gula-gula yang diberi oleh kerajaan UMNO ini.

Tetapi hakikat sebenarnya setiap kali harga petrol dan desel dinaikkan, maka setiap kali itu juga harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat membebankan rakyat dan rakyat terpaksa menanggung kos sosial yang mahal. Rakyat akan terus dibelenggu dengan kemiskinan. Pendapatan [kuasa beli] tidak dapat bersaing dengan kenaikan kos di pasaran yang tinggi. Rakyat terus berada dalam keadaan papa kedana. Kenaikan terbaru ini juga tetap memberi kesan kepada harga barang-barang keperluan. Kadar inflasi akan meningkat dan taraf hidup rakyat akan menurun.

Sebut sahaja Petronas, apa yang segera tergambar adalah sebuah syarikat minyak terkemuka yang mengaut keuntungan berbilion-billion ringgit dan perlumbaan kereta Formula Satu (F1) dengan berbagai projek meganya yang tidak pernah membawa faedah kepada rakyat secara langsung. Keupayaannya mencatatkan keuntungan kasar pada paras rekod sebanyak RM58.03 billion bagi tahun kewangan 31 Mac 2005, kenaikan 55 peratus berbanding tahun 2004, tetapi sayang keuntungannya itu tidak pernah sekali pun semenjak ia ditubuhkan untuk mengeluarkan zakat untuk membantu fakir miskin. Duit Petronas dihabiskan untuk membina ego pemimpin UMNO.

Lihatlah harga minyak sepanjang zaman [dalam masa 15 tahun- sejak 1990] :

Sebelum 90 - RM 0.89
tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 – RM1.92 (kenaikan RM0.30)
Sudah tiba masanya rakyat menunjukkan 'civil minded' sebagaimana yang berlaku di negara-negara Barat, di Filipina, di Thailand dan di negara-negara lain di mana rakyatnya amat sensitif sehingga kerajaan tidak berani untuk menaikkan harga keperluan sewenang-wenangnya. Mereka bangun dan bangkit serentak beramai-ramai menentang kenaikan tersebut sehingga boleh menggugat kerajaan yang memerintah.
Untuk rakyat Malaysia yang masih berada dalam `zon selesa', saya merayu kepada saudara-saudara semua keluarlah daripada zon itu serta tunjukkan kepada kerajaan bahawa kita tidak rela dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan.

Kepada NGO-NGO, persatuan-persatuan pengguna, parti-parti politik, saya merayu tolonglah gerakkan hati nurani rakyat supaya bangunlah bangkit menentang kezaliman kerajaan UMNO ini yang bertindak dengan sewenang-wenangnya tanpa memperhitungkan kebajikan dan nasib rakyat marhaen. Tunjukkanlah kesatuan dan perpaduan kita seperti mana kita bangkit menentang kes penghinaan terhadap Nabi Besar kita Muhammad s.a.w. Tunjukkanlah penentangan ini di seluruh Negara. Sudah berkali-kali harga petrol dan diesel dinaikkan, tetapi penentangan kita amat lemah menyebabkan kerajaan UMNO ini berani berbuat apa sahaja kerana kita tidak melawan. Kali ini jangan biarkan keadaan serupa berlaku lagi. Kita perlu turun padang ajak rakyat bersama kita menentang kenaikan tersebut yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Sekian. Wassalam.

- Tun Telanai -

Monday, February 27, 2006

Kenaikan cukai tanah: Keadilan buka kaunter aduan

Oleh Zulkifli Mohamed

KULIM: Kenaikan mendadak kadar cukai tanah sehingga mencecah 400 peratus, mendorong Parti Keadilan Rakyat Kulim Bandar Baru dan Padang Serai membuka kaunter aduan orang ramai untuk mengumpul tandatangan bagi memohon kerajaan negeri mengkaji semula keputusan tersebut.

Menurut Naib Ketua Kulim Bandar Baru, Chu Maw Nian pihaknya akan mengumpulkan sebanyak mungkin aduan dan tandatangan yang akan dihantar kepada Menteri Besar Datuk Mahdzir Khalid sebagai tanda bantahan.

“Ia sebagai saluran orang ramai untuk melahirkan protes mereka terhadap kenaikan yang membebankan itu,” jelasnya yang ditemui di Pasar Besar Kulim, 26 Feb lalu.Katanya ada yang mengadu menghadapi kenaikan antara 100 sehingga 400 peratus.

Berikutan itu, katanya telah timbul kesedaran orang ramai perlunya negeri ini mempunyai barisan pembangkang yang kuat.Kaunter yang pertama kali dibuka itu, menerima lebih 100 aduan dalam masa sejam bermula 9.30 pagi.

“Memandangkan sambutan yang menggalakkan, kami bercadang membuka kaunter ini setiap minggu,” jelasnya.

Sementara Ketua Bahagian Padang Serai, Abdul Hamid Othman berkata selain membuka kaunter tersebut, pihaknya juga berkempen dari rumah ke rumah.

“Kita menjangkakan sambutan akan lebih menggalakkan pada bulan Mei, iaitu tarikh akhir bayaran cukai sebelum penalti dikenakan kerana bayaran lewat,” jelasnya.

Pada 18 Januari lalu, kerajaan negeri mengumumkan kenaikan kadar baru antara 20 hingga 156 peratus berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2015.

Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat kerana semakan semula terhadap kadar tersebut tidak pernah dibuat sejak 1994.

Dalam perkembangan berkaitan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Ismail Hamid berkata kerajaan negeri tidak akan mengkaji semula atau menangguhkan kenaikan cukai tersebut kerana kadar itu bersesuaian dengan nilai hartanah masa kini.

Bersih Sangatkah Tangan Paklah?

(How clean are Pak Lah's hands?)
Oleh: Raja Petra Kamarudin - Laman M@RHAEN

--------------------------------------------------------------------------------
Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir telah mengaku “ada seseorang” yang membayar wang sogok untuk melobi – dianggarkan sekitar RM4.56 juta – untuk membolehkan pertemuan beliau dengan Presiden AS George W. Bush pada 2002.
”Saya tidak fikir kerajaan Malaysia yang membayarnya. Tetapi saya mengaku Heritage Foundation (Yayasan Heritage - satu kumpulan pemikir haprak Amerika) yang mengaturkannya.”

“Mereka telah meyakinkan saya agar bertemu Bush kerana kata mereka saya mampu mempengaruhi Bush sedikit tentang dasar Amerika.”

”Kedua. Adalah baik untuk Malaysia seandainya hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat dapat ditingkatkan.”

”Saya bersetuju dengan pendapat itu. Saya fikir dapat berbuat sesuatu untuk kebaikan Negara ini,” demikian kata Mahathir selepas membentangkan ucap-tama beliau bertajuk “Developing the Nation di Universiti Sains Malaysia.

Catatan rasmi yang diperolehi daripada Senate Committee on Indian Affairs, Amerika telah menunjukkan maklumat lain dari yang disebut oleh Mahathir. Dalam muka surat 59 laporan itu menunjukkan satu invois yang dibayar kepada Kedutaan Malaysia untuk perhatian Dr. Fauziah Mohamad Taib yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua misi di Kedutaan Malaysia di Washington. Invois yang menunjuk nilai US$300,000 kononnya datang daripada American International Center (yang palsu) dan untuk khidmat bagi Jun 19 – Ogos 19, 2001.’

Mengikut bekas sekutu Abramoff, Ketua Misi Malaysia, Duta Ghazzali bin Sheikh Abdul Khalid telah berjumpa dengan Abramoff banyak kali. Tidak pula dijelaskan apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu. Namun adalah dipercayai ia ada kena mengena dengan jemputan agar Mahathir dapat mengongsi secangkir teh di Rumah Putih.

Mengikut laporan sekutu Abramoff itu, pada 2001 dan 2002, Abramoff telah menerima US$1.2 juta daripada kerajaan Malaysia sebagai bayaran untuk khidmat melobi. Beberapa dokumen yang diperolehi oleh para penyiasat Senat memperakukan sekurang-kurangnya US$900,000 memang telah wujud.

Si pembantu ini telah menambah, sejurus selesai pertemuan di Rumah Putih itu, Abramoff yang merupakan seorang pelobi Yahudi yang pro-Israel telah menerima jemputan Kedutaan Malaysia untuk bertemu Mahathir semasa jamuan makan malam di mana Mahathir adalah tetamu terhormat. Abramoff telah diberikan kerusi yang rapat dengan Mahathir di meja utama.
.
Sesungguhnya kita sudah tahu sekarang betapa Mahathir memang bersalah sangat dalam episod ini. Tidak mengapalah sebab dia pun sudah tidak berkuasa lagi. Apa yang kita perlu tahu sama ada Abdullah Ahmad Badawi, yang masih berkuasa pernah menggunakan Kedutaan Malaysia di Washington dalam urusan kotor dan apakah tangan beliau turut terlibat.

Kita mesti ingat bahawa Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi Menteri Luar daripada 1993 (satu jawatan yang pernah dipegangnya sebelum itu sehinggalah dia terhumban pada 1987) sehinga beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sejurus Anwar diaibkan dan dipenjara pada September 1998. Mengambil kira hakikat ini eloklah kita mengimbau beberapa perkara di bawah ini:

Testimoni Jamal Abder Rahman ketika perbicaraan Anwar Ibrahim
(Jamal Abder Rahman’s testimony at the Anwar Ibrahim trial)

Fernando: Bolehkah saudara sebutkan nama-nama orang terkenal Malaysia (VIP) yang pernah menggunakan khidmat limosin anda?

Jamal: Yang DiPertuan Agong yang ada sekarang, Abu Hassan Omar, ketika itu Menteri Luar; Abdullah Badawi, ketika itu Menteri Pelajaran, Tun Daim ketika menjadi Menteri Kewangan,

Fernando: Adakah anda memberikan khidmat limosin kepada Dato’ Seri Anwar?

Jamal: Ya, setiap kali beliau berada di Washington DC.

Fernando: Apakah anda sendiri yang memandu limosin membawa VIP itu semuanya?

Jamal: Ya.

Fernando: Pada September, 1998 adakah anda pergi memasuki Kedutaan Malaysia di Washington?

Jamal: Ya, ada..

Fernando: Adakah anda bertemu dengan seorang diplomat bernama Mustapha Ong?

Jamal: Ya.

Fernando: Apa yang terjadi semasa pertemuan itu?

Jamal: Dia minta saya pergi ke New York atas urusan perniagaan..

Fernando: Bila?

Jamal: Keesokan pagi jam 6.00 am.

Fernando: Dengan limousin anda?

Jamal: Bukan, dengan kereta peribadi saya, jenis Cadillac.

Fernando: Apa yang terjadi di perjalanan?

Jamal: Sebelum kami sampai di Delaware Bridge, dia bertanya kalau Dato’ Seri Anwar pernah cuba memujuk rayu saya. Saya jawab: "You must be joking!" (jangan berjenakalah). Kemudian dia berkata: “Kamu boleh dapat duit.”

Gani” Saya bantah! Ini hanya cakap-cakap sahaja.

Fernando: Kami akan kemukakan para saksi.

Hakim: Benda ini relevan; Ada kaitannya dengan fakta .Teruskan.

Jamal: Dia beritahu saya: “Kalau anda boleh cakap yang dia cuba ajak saya lakukan aksi seksual, kita akan dapat duit sikit " Saya naik tertekan. Kemudian dia berkata: "Bertenang. Apa kata kalau anda sebut ada membawa perempuan dan budak-budak lelaki untuk dia?."

Hakim: Kenapa anda tanya semua ini Mr Fernando?

Fernando: Saya mahu tunjukkan tahap, kehebatan dan usaha yang dilaksanakan untuk mencorak bahan-bukti terhadap Dato Seri Anwar! Ini menunjukkan segala kerja-kerja haprak itu bukan sahaja dirancang di Malaysia tetapi usaha juta dilakukan untuk mendapatkan bahan bukti di Amerika. Semua musibat ini adalah warga Malaysia! Apa lagi yang anda telah katakan?

Jamal: Saya kata; “Tengok sini Ong. Jangan ganggu saya. Saya tak peduli dengan Malaysia. Saya tidak peduli sesiapa pun, buat masa ini. Kita nak pergi ke New York atas urusan niaga kan? Elok kita selesaikan perniagaan itu dan saya tidak mahu dengar perkara ini lagi!.”

Di sepanjang perjalanan itu, dia cuba meyakinkan saya lagi sambil saya berfikir sendirian, apakah ada dua jenis Anwar Ibrahim? Dia (Ong) beritahu saya, “sudah ada pita bahan bukti di Malaysia di mana semua orang tahu sekarang ini apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim. Kenapa kamu tidak mahu bercakap begitu?”

Saya jawab, kalau kamu sudah ada pita video itu apa pula yang kamu mahu dari saya?

Dia menjawab: “Supaya orang Amerika pun boleh tahu juga.”

Fernando: Apa jadi kemudiannya?

Jamal: Perkara itu telah digugurkan. Apabila tiba di New York saya telah turunkan beliau di apartmen seorang diplomat. Saya fikir alamatnya ialah di 13th street, East Side. Pegawai diplomat itu telah muncul membawa satu buku kecil dan menyerahkannya kepada Mustapha Ong dan mereka berbual dalam bahasa Melayu. Saya tidak faham apa yang mereka bualkan. Ong telah meletakan tangan di atas bahu saya dan cuba memujuk agar saya bermalam di situ. Saya menolak kerana mahu pulang ke Washington.

Mustapha menunjukkan buku kecil itu pada saya dan berkata: “Kenapa kamu tidak turunkan tandatangan di sini dan kita boleh dapat sehingga $US 200,000. Janganlah degil sangat.."

Fernando: Apa respons anda?

Jamal: Saya jawab: “Kamu sedang berdepan dengan manusia yang paling gila di dunia. Inilah saya.” Dan saya beritahu dia lagi: ‘Kamu tukar sahaja nama Jamal menjadi Mustapha Ong dan katakan Anwar pernah buat laku sumbang dengan kamu. Sebutlah sesuatu yang membolehkan kamu dapat duit itu. ‘ Kemudian saya kata: ‘Selamat tinggal!’

Fernando: Kemudian?

Jamal: Saya terus pulang ke Washington DC . Kemudian saya terus berjumpa Duta Malaysia, Dato’ Dali.

Fernando: Apa yang jadi selepas itu?

Jamal: Saya beritahu Dato’ Dali apa yang berlaku sepanjang perjalanan. Dia jadi tertekan, terlalu tertekan. Dato Dali berkata: "Jamal, saya ingin beri jaminan bahawa saya tidak ada kena mengena dengan perkara ini. Kedutaan pun tidak terlibat." Memang dia nampak tertekan. Saya dapat melihat kemerahan amarahnya di wajah.

Dia berkata: "Sepatutnya kamu tampar muka dia." Saya jawab, "Memang sepatutnya saya buat begitu."

Fernando: Pernah Dato Seri Anwar memujuk-rayu dan meraba kamu?

Jamal: Tidak tuan, tidak pernah dan tidak mungkin!

Fernando: Nampaknya orang ini (Mustapha Ong) cuba memujuk kamu ada-adakan bahan bukti, bukan?

Jamal: Saya pun fikir begitu.

Fernando: Dalam perjalanan ke New York dari Washington, adakah Ong ajak kamu berjumpa seseorang ataupun menemui sesiapa?

Jamal: Ya, ada.

Fernando: Apa yang dia kata kepada kamu?

Jamal: Dia ada mengajak saya berjumpa salah seorang kakitangan Abdullah Badawi supaya saya dapat mengutip duit itu.

Fernando: Apakah awak berkata:, "...bertemu dengan salah seorang pegawai Abdullah Badawi untuk mengambil duit?"

Jamal: Saya tidak terima duit itu.

Fernando: Kenapa dia mahu kamu berjumpa seseorang daripada pejabat Abdullah Badawi?

Jamal: Saya fikir dengan itu kalau saya setuju berkata apa yang mereka mahu, saya akan diberikan wang itu.


Terjemahan MT-SPAR

Friday, February 24, 2006

KeADILan desak PM jelas isu Heritage Foundation KeADILan desak PM jelas isu Heritage Foundation

Oleh: Faisal Mustaffa

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (keADILan), Dr Syed Husin Ali sekali lagi mendesak Perdana Menteri, Abdullah Badawi untuk menjelaskan isu Heritage Foundation yang mana pihak kerajaan meluluskan pembayaran kepada Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan Bekas Menteri Dalam Negeri, Megat Junid Megat Ayub.

Menerusi artikel Washingto Post, "Think Tank's Ideas Shifted As Malaysia Ties Grew", bertarikh 17 April 2005, kerajaan Malaysia telah membayar kepada Heritage Foundation untuk melobi mesyuarat di antara Presiden AS George Bush dan Mahathir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan 18 Februari, Syed Husin berkata terdapat beberapa maklumat tambahan yang mengaitkan bekas Parti Republican, Jack Abramoff, sebagai menerima bayaran daripada kerajaan Malaysia.

Syed Husin yang memetik isi akhbar tersebut yang menyebut bahawa pejabat Kedutaan Malaysia telah membuat bayaran kepada Pusat Antarabangsa Amerika (AIC) USD300,000 (RM1.4 juta).

Abramoff dikatakan menggunakan badan AIC yang diasaskan di Rehoboth Beach oleh Michael Scanlon bagi melindungi kegiatannya.

Rehoboth Beach, Delaware, adalah sebuah resort di Lautan Atlantik yang jauhnya sejam dari Bandar Washington DC. Menurut siasatan yang dibuat oleh akhbar tersebut, bangunan tersebut sebenarnya sebuah rumah di tepi pantai dan kakitangan yang kononnnya ‘think tank’ kepada badan tersebut adalah sebenarnya bekas pasukan penyelamat pantai dan guru yoga.

“Pak Lah perlu menjelaskan pertuduhan yang mana akhbar tersebut melaporkan bahawa pegawai tertinggi di Kedutaan Malaysia di Washington adalah ipar kepada Daim.

”Akhbar Hill Newspaper bertarikh 13 Julai 2005 dalam laporan bertajuk, “Abramoff's Duo Quits US", pula melaporkan bahawa Abramoff dan Scanlon sedang dalam penyiasatan Jabatan Keadilan Amerika kerana kedua-dua mereka terlibat dalam aktiviti perjudian berjumlah USD60 juta.

“Bagaimana pemimpin besar Negara (Malaysia) boleh terlibat dalam kegiatan-kegiatan seumpama itu?” tanya Syed Husin.

Kisah Abramoff bermula dengan usaha yang dijalankan oleh Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden AS.

Selepas berlakunya kegawatan ekonomi dan pemecatan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 1998, Malaysia telah dikritik hebat atas rekod hak asasi Mahathir terutama dari kalangan AS sendiri.

Heritage Foundation selepas itu mengadakan kerjasama dengan Malaysia bilamana pentadbiran Clinton sudah bersiap sedia mengecam tindakan Mahathir pada ketika itu.

Pada Februari 1999, presiden Heritage, Edwin J. Fuelner menyokong Naib Presiden Gore yang mengecam amalan kuku besi di Malaysia.

Situasi berubah selepas serangan 9/11 pada tahun 2001. Mahathir yang pada ketika itu anti-Barat tiba-tiba ditawarkan mengadakan usahasama dengan AS menentang keganasan.

Pada tahun 2002, Heritage telah menganjurkan ceramah-ceramah Bekas Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Badawi dan Menteri Pertahanan Najib Razak dalam membina jalan untuk memperkukuhkan hubungan AS-Malaysia dan kerjasama dari segi pertahanan.

“Seperti yang dilaporkan dalam artikel Washington Post, perkara tersebut berlaku serentak dengan pengekalan isteri Presiden Heritage, Linda Fuelner sebagai penasihat yang mengasaskan sebuah firma, Belle Haven Consultants,” ujar Syed Husin.

Belle Haven melantik Alexander Strategy Group, sebuah firma di Washington yang digerakkan oleh Tom DeLay, bagi membantu mewakili perwakilan dari Malaysia.

Berdasarkan rekod yang diperolehi, klien bagi Belle Haven Consultants disenaraikan sebagai PK Baru Energy Sdn Bhd, yang berpusat di 12-4 Level 12, East Wing, Rohas Perkasa, No 8 Jalan Perak, KL 50450.

“Difahamkan syarikat tersebut dipunyai oleh Tan Sri Megat Junid,“ jelas Syed Husin lagi.

Menurut Syed Husin lagi, Megat Junid pada ketika itu mengetuai Persatuan Pertukaran AS-Malaysia, yang ditubuhkan sebagai badan hadapan yang dipertanggungjawabkan untuk mengatur lawatan dan mengagihkan dana.

“Terdapat dakwaan bahawa RM5.3 juta telah dibayar untuk memastikan pertemuan Mahathir di White House. Saya juga difahamkan pada Februari tahun lalu, kerajaan membayar RM40 juta kepada Heritage Foundation melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB),” sambung Syed Husin.

”KeADILan di sini ingin mendesak sekali lagi daripada Pak Lah untuk menjelaskan kepada rakyat peranan yang dimainkan oleh Tun Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin and Tan Sri Megat Junid terhadap bayaran-bayaran tersebut,” kata Syed Husin.

Thursday, February 23, 2006

Angkatan Muda Keadilan beri tempoh 2 minggu kepada Dr M

Oleh Zulkifli Mohamed

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat akan melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamed enggan mendedahkan ‘individu’ yang membiayai pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) George W.Bush pada Mei 2002 yang membabitkan pembayaran sebanyak RM4.6 juta.

“Kita memberikan tempoh dua minggu kepada Dr Mahathir untuk berbuat demikian,” jelas Naib Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dihubungi Malaysia Today.

Menurutnya berdasarkan jumlah bayaran tersebut dan kedudukannya selaku Perdana Menteri ketika itu, bayaran sebanyak itu mungkin daripada khazanah negara.

“Kita meragui kemungkinan Dr Mahathir menggunakan kedudukannya ketika itu menggunakan duit rakyat untuk membayar kepada pelobi tersebut,” katanya.

“Sekiranya beliau tidak mampu mendedahkannya kita yakin terdapat salahlaku rasuah…,” jelasnya.

Shamsul berkata tindakan itu diambil kerana ia melibatkan kepentingan negara.

Menurutnya akta rasuah negara ini membolehkan pendakwaan ke atas mana-mana individu walaupun selepas bersara.

Beliau mengulas penafian Mahathir, Isnin yang mendakwa tidak menggunakan wang kerajaan sebagai bayaran perkhidmatan kepada pelobi Jack Abramoff bagi menjayakan pertemuan di White House ketika itu.

Baru-baru ini, Jack Abramoff telah didapati bersalah atas kesalahan melakukan penipuan dan rasuah.

Akhbar Washington Post, 17 April tahun lalu mendedahkan Kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan sebuah yayasan milik pelobi Yahudi, Heritage Foundation bagi mengatur pertemuan Bush-Mahathir yang melibatkan bayaran jutaan ringgit.

Sebuah syarikat Malaysia, PK Baru Energy, yang ditubuhkan pada pada tahun 2000 turut dikaitkan dengan Heritage Foundation.

Pemegang saham utamanya ialah bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub dan anak lelakinya.

Wednesday, February 22, 2006

Mengapa Kedutaan Malaysia bayar RM1.1 juta?

Petikan drp: MalaysiaKini - Feb 22, 06 5:31pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan Isnin lalu yang kerajaan telah membayar AS$1.2 juta (RM4.6 juta) kepada pelobi Amerika, Jack Abramoff, untuk menguruskan pertemuan beliau dengan Presiden George W Bush pada tahun 2002.

Bagaimanapun, beliau mengakui, bayaran berjumlah berjuta-juta ringgit dibayar kepada Abramoff - yang sebelum ini, telah mengaku bersalah melakukan penipuan dan rasuah - tetapi berkata bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak tahu siapa yang membiayai bayaran tersebut.

"Saya difahamkan beberapa orang telah membayar sejumlah wang kepada pelobi-pelobi di Amerika tetapi saya tidak tahu siapa mereka ini dan bukan daripada kerajaan Malaysia," kata Dr Mahathir kepada pemberita.

Tetapi mengapa satu invois telah dihantar kepada Kedutaan Malaysia di Washington DC oleh Abramoff bagi menuntut bayaran sebanyak AS$300,000 (RM1.1 juta) bagi 'perkhidmatan' yang tidak dinyatakan secara khusus.

Invois satu muka surat itu, yang dikeluarkan pada 15 Jun 2001, dialamatkan kepada Dr Fauziah Mohamad Taib, yang ketika itu berjawatan Deputy Chief the Mission di Kedutaan Malaysia di Washington DC.

Dua tahun kemudiannya Fauziah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Fiji dan kini menjadi Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Kementerian Luar.

Mengikut invois tersebut, sejumlah RM1.1 juta dikenakan bagi 'perkhidmatan' bagi tempoh dua bulan - dari 19 Jun kepada 19 Ogos 2001. Ia bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai bentuk perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, cek bayaran hendaklah dibuat atas nama American International Center (AIC), sebuah badan pemikir palsu yang ditubuhkan oleh rakan kongsi Abramoff - Michael Scanlon - yang berpejabat di sebuah rumah pantai di Delaware dekat Washington DC.

Invois tersebut adalah sebahagian daripada rekod rasmi Jawatankuasa Senat Amerika mengenai Hal-Ehwal Kaum Peribumi Indian, yang dipengerusikan oleh Senator John McCain, yang menjalankan siasatan ke atas Abramoff kerana menipu kaum tersebut yang mendapatkan bantuannya untuk mewujudkan operasi perjudian mereka.

Kedutaan Malaysia itu didapati telah mengeluarkan cek berjumlah AS$300,000 kepada AIC, bertarikh 6 Mac 2002. Tidak dapat dipastikan daripada mana datangnya wang tersebut sekiranya ianya bukan daripada pihak kerajaan, seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir.

Firma pelobi

Sebelum ini, Abramoff dan Scanlon mengaku menggunakan AIC untuk mengutip berjuta-juta ringgit bagi perkhidmatan lobi yang dijalankan untuk pelanggan mereka.

Dengan cara itu, Abramoff menyatakan dalam borang maklumat lobi persekutuan bahawa para pelanggannya adalah dari Delawar dan dengan itu dapat mengelak daripada mendaftar dengan Jabatan Kehakiman sebagai ejen negara asing.

Bagaimanapun, Abramoff bukanlah satu-satunya pelobi yang diberi bayaran untuk mengatur perjumpaan Dr Mahathir-Bush itu.

Sekurang-kurangnya satu lagi firma pelobi di Washington - Alexander Strategies, yang diuruskan oleh rakan Abramoff - turut mendapat habuan kerana membantu menaikkan reputasi Malaysia di Washington.

Firma tersebut terbabit dalam menguruskan pertemuan di Rumah Putih itu dan lawatan berasingan bagi pemimpin utama Kongres dan beberapa ahli Demokrat, ke Malaysia.

Alexander Strategies dikaitkan dengan badan pemikir Heritage Foundation, yang telah dibayar lebih AS$1 juta (RM$3.7 juta) antara tahun 2001 dan 2003 bagi melobi bagi kepentingan Malaysia.

Bayaran tersebut dibuat melalui syarikat yang berpejabat di Hong Kong, Belle Haven Consultants, yang dikaitkan dengan Presiden Heritage Edwin Feulner dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub, yang merupakan penyokong kuat Dr Mahathir.

Belle Haven - di mana Megat Junid yang dipercayai mempunyai kepentingan - telah diberi tugas menjalankan kempen lobi membabitkan AS$1.4 juta (RM5.3 juta), dengan menggunakan platform Heritage Foundation.

Sebahagian wang tersebut dibayar oleh PK Baru Energy, sebuah syarikat Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2000 dengan pemegang sahama utamanya ialah Megat Junid dan anak lelakinya.

Kempen lobi yang membabitkan berjuta-juta ringgit itu membawa hasil. Dr Mahathir akhirnya dapat mengadakan pertemuan dengan Bush pada bulan Mei 2002.

Di samping itu, Heritage juga menjadi hos majlis penyampaian ucapan mengenai hubungan AS, oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tahun 2002. Tamat

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved

Sumber: MalaysiaKini

Polis siasat Anwar yang didakwa buat kenyataan berunsur hasutan

Oleh Arfa'eza A Aziz Petikan drp: MalaysiaKini - Feb 22, 06 7:00pm
--------------------------------------------------------------------------------
Polis sedang menjalankan siasatan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membuat kenyataan yang berunsur hasutan dalam ceramahnya sewaktu kempen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun lalu.
Anwar telah diarah memberi keterangan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman tiga tahun penjara dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Peguam Sankara Nair memberitahu malaysiakini bahawa pelanggannya itu diarah memberi keterangan, melalui sepucuk surat bertarikh 31 Januari 2006 yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat ASP Fazlisyam Abd Majid dari ibupejabat balai polis Pasir Mas.

Katanya, surat tersebut tidak menyatakan siapa yang membuat laporan polis terhadap Anwar yang memberi ceramah di stadium mini Pasir Mas pada 27 November 2005. Ia juga tidak menyebut bila laporan polis itu dibuat.

"Saya tidak dapat memberi banyak komen kerana kami belum diberi salinan laporan polis itu dan kami tidak tahu kenyataan manakah yang didakwa berunsur menghasut yang disebut oleh pelanggan kami."

"Bagaimanapun, kami telah menjawab yang pelanggan kami akan bekerjasama dengan pihak polis dan bersedia memberi keterangan dalam bulan Mac apabila beliau balik bercuti dari Washington," katanya.

Menyatakan kebenaran

Ketika dihubungi, ASP Fazlisyam mengesahkan telah menghantar surat tersebut kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, tetapi enggan memberi sebarang butiran mengenai kes tersebut. Beliau juga enggan mengesahkan sama ada beliau pegawai penyiasat kes tersebut.

"Saya tidak memberi sebarang maklumat kerana terdapat arahan jangan bercakap apa-apa dengan pihak media. Jika anda mahukan butirannya, anda perlu mendapatkannya dari ketua polis negeri," katanya.

Ketua Polis Kelantan SAC 1 Zulkfili Abdullah tidak dapat memberi sebarang komen kerana beliau sedang menghadiri mesyuarat.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang turut menghadiri ceramah tersebut, mendakwa, Anwar tidak menyebut apa-apa yang boleh dianggap berunsur hasutan.

"Beliau tidak menyebut apa-apa yang boleh menyinggung mana-mana bangsa dan agama. Beliau mungkin mengkritik parti pemerintah, tetapi apa yang beliau kata semuanya benar. Apa yang benar tidak boleh dianggap hasutan," tegasnya.

Beliau mengesyaki laporan polis itu mungkin satu percubaan untuk mencemarkan Anwar yang secara terbuka mengkritik kerajaan dan dasar-dasarnya.

Anwar berucap kepada kira-kira 10,000 hadirin di Pasir Mas pada 27 November tahun lalu sebagai menyokong calon PAS yang bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Anwar, yang sebelum ini merengkok selama enam tahun dalam penjara atas kesalahan liwat dan rasuah, kini menjadi pensyarah pelawat di Universiti Georgetown di Washington. Beliau dibebaskan pada bulan September 2004 selepas Mahakamah Persekutuan membatalkan tuduhan liwat terhadapnya. Tamat

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved

Sumber: MalaysiaKini

Friday, February 17, 2006

Anwar sifatkan Kabinet Abdullah "kerajaan rasuah"

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) - "Kerajaan yang rasuah," itulah label yang diberikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, beliau menjangkakan kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Selasa lalu akan memburukkan lagi masalah ekonomi negara kerana "pelabur asing akan menjauhkan diri dari kerajaan yang rasuah".

Beliau menyifatkan usaha memerangi rasuah yang dijanjikan Abdullah tidak akan terlaksana, terus di takuk lama dan "perkara ini sesungguhnya sangat mencemaskan".

"Rasuah semakin menjadi-jadi, kebebasan media semakin ditekan. Semakin banyak suruhanjaya bebas yang ditubuhkan, semakin ramai rakyat yang ditindas dan dibogelkan. Dan sekarang kita mempunyai kabinet ini," keluh Anwar.

Beliau juga menyifatkan keadaan demokrasi di negara ini "semakin buruk".

Beliau juga hairan mengapa Abdullah memilih untuk mengikat dirinya sendiri dengan menteri-menteri yang bermasalah dan terjejas nama mereka.

"Apa perlunya anda mengikat diri sendiri? Anda adalah Perdana Menteri. Anda adalah Presiden parti yang mendapat mandat yang mengkagumkan," tanya beliau.

Apa yang begitu ketara, katanya, kabinet baru Abdullah itu mengecewakan ramai rakyat Malaysia yang begitu mengharap-harapkan perubahan positif yang dijanjikannya berkali-kali.

Beliau juga menyifatkan Abdullah melepaskan peluang keemasan untuk membuktikan ketulusan janjinya untuk melakukan perubahan.

"Dia mengewakan rakyat Malaysia sekali lagi ... Kita terus mendengar tokoh kontroversial yang sama dikaitkan dengan skandal dan rasuah.

"Perkembangan sedemikian tidak akan memberikan gambaran yang baik kepada negara atau meningkatkan keyakinan umum," kata Anwar.

Beliau berkata, pengumuman tersebut benar-benar mengecewakan terutama apabila mengambilkira Abdullah mengambil masa yang begitu lama untuk membuat pertimbangan mengenai kabinet baru.

"Kita menjangkakan beliau akan tampil dengan barisan kepimpinan yang lebih meyakinkan setelah mengambil masa yang begitu lama ... terlalu lama masa yang diambil untuk membuat pertimbangan mengenai perkara ini, beliau mahukan masa untuk mendapat ilham daripada langit ... sama seperti kerajaan langit..." kata beliau, menyebabkan para pemberita yang hadir tertawa.

Anwar juga hairan mengapa Perdana Menteri enggan melantik muka-muka baru di dalam Barisan Nasional dan Umno.

"Sebaliknya beliau memilih untuk mengekalkan kabinet yang bersepah-sepah dengan angota-angota yang rasuah dan mencurigakan," tambah beliau.


© 2006 Harakahdaily.Net

Wednesday, February 15, 2006

GERAK kesal menteri korupsi kekal

Oleh Zukifli Mohamed

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Nor, berkata pengekalan beberapa menteri yang jelas terlibat dalam korupsi dalam rombakan kabinet, Selasa, sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan.

“Kita mengharapkan suatu pembersihan berlaku dalam rombakan kabinet, tetapi perkara ini tidak berlaku,” jelasnya yang dihubungi Malaysia Today.

Justeru, katanya rombakan itu jelas satu tindakan mengundur ke belakang, dari sudut membina negara ini bebas dari korupsi.

Ezam berkata tindakan itu bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu untuk membanteras korupsi.

“Apa yang berlaku hari ini memperlihatkan sikap retoriknya,”

Menurutnya, Abdullah gagal untuk melakukan perubahan kerana tidak dapat menterjemahkan kata-katanya itu melalui tindakan.

“Sama ada beliau menipu kita atau sememangnya beliau tidak mampu melakukan perubahan, tetapi apa yang jelas beliau gagal melakukan perubahan yang diharapkan,” jelas Ezam.

Ezam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan pernah dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah seksyen Petaling Jaya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau didakwa mendedahkan dokumen rahsia iaitu kertas pertuduhan terhadap Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz daripada Bahagian pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Mac 1995, berkaitan peruntukan 1,500,000 unit saham Leader Universal Holdings Bhd, kepada menantunya, Fazrin Azwar Mohd Noor.

Rafidah merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembahagian Saham Khas Bumiputera, yang meluluskan saham berkenaan.

Dengan hukuman itu bermakna mahkamah mengesahkan bahawa dokumen yang didedahkan oleh Ezam itu asli dan benar bukan bahan rekaannya.

Walaupun begitu Abdullah masih mengekalkan Rafidah di portfolio yang sama, meskipun beliau terus diselubungi kontroversi, terbaru tentang isu permit import (AP).

Sebelum itu, Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Kelantan Datuk Ibrahim Ali terkejut dengan pengekalan jawatan Rafidah.

Menurutnya, walaupun Rafidah berpengalaman, tetapi beliau adalah Menteri yang diselubungi pelbagai konstroversi.

Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed sendiri pernah menuduh Rafidah menyalahgunakan kuasanya, berkaitan pembahagian permit AP.

Sunday, February 12, 2006

GERAK Bergerak Membanteras Gejala Rasuah

Oleh Ezam Mohd Nor - Laman M@RHAEN

Ini ada satu kisah yang amat lumrah kita dengar di Negara ini. Seorang peniaga telah pergi ke jabatan kerajaan untuk mendapatkan tender.. Tujuan dia berbuat demikian ialah disebabkan seorang peniaga pesaingnya telah mendapat satu kontrak walaupun harganya lebih tinggi.

Syarikat yang menang memperolehi ’kontrak yang lebih baik’ dan anggota majlis pengarah yang mempunyai pengaruh politik telah berjaya menghulur fulus kepada tangan yang terpilih. Kawan kita yang kalah tidak naik angin. Dia mempunyai bukti yang cukup untuk pergi membuat laporan polis ataupun mengemukakan aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Setidak-tidaknya dia boleh membuat satu bantahan rasmi untuk menyedarkan pihak atasan di pejabat tender itu.

Namun, dua minggu telah berlalu, dia menjadi dingin, dan melupakan idea merakam bantahannya dan menunggu kemunculan tender baru pula. Dia mungkin sedar selepas itu bahawa adalah tidak berbaloi untuk mendedahkan korupsi yang berlalu.

Selain daripada kenyataan wujudnya budaya korupsi yang sudah menjadi amalan harian di Malaysia, peniaga tadi juga sedar bahawa keseluruhan episod itu hanya akan terbiar di bawah timbunan kertas dan akan dijerut hingga mati oleh pihak yang berkuasa. Satu usaha menutup kes itu mampu menyelamatkan golongan yang korup sekali lagi.

Walaupun masyarakat umum begitu prihatin akan korupsi yang membarah di merata negara, ramai antara kita yang mempunyai tanggapan sebarang usaha mendedahkan sikap itu tidak akan membawa ke mana-mana. Selalunya, nama yang terlibat sengaja disorok oleh pihak yang bersalah dan sekutu mereka sebelum bantahan rasmi mampu sampai ke meja pihak penyiasat. Ada kalanya, pegawai penyiasat sendiri yang membantutkan kes itu, dengan harapan mengelak dirinya berkonfrontasi dengan golongan kaya dan perkasa.

Kejaiban Satu Minggu (One-week wonders)

Malahan ada kes-kes yang sampai ke pengetahaun akhbar, ataupun sampai kepada pengetahuan umum disebabkan media rasmi, selalunya dapat bertahan untuk satu minggu sahaja. Ia akan muncul selama beberapa hari dan kes itu menjadi tajuk perbualan, kemudian muncul seorang menteri yang berkata kes tiu sedang dalam siasatan dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Iktibar di situ ialah ‘gunakan saluran yang betul.’

Beberapa minggu kemudiannya kita dapati kes itu telah diengsot ke tempat lain kerana telah dicekik begitu sahaja disebabkan kekurangan bukti.

Budaya menyungkup rahsia seperti ini merupakan hambatan yang paling besar dalam usaha memerangi korupsi di Malaysia. Pihak yang berkuasa kerap menggunakan taktik diam membisu untuk melindungi kepentingan peribadi setiap kali korupsi didedahkan kepada umum,

Para menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang dibantu sedikit oleh pihak penyiasat dan pendakwaraya, diam membisu sejurus diberikan segala bukti mengenai tuduhan korupsi. Mereka sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu menggoncang bot di mana mereka hanya merupakan antara penumpangnya.

Pihak akhbar dapat menghidu korupsi tetapi tidak mampu meneruskan siasatan sebaik sahaja dinding pagar senyap-sunyi ditegakkan. Hubungan simbiotik semacam ini antara orang politik dan media perdana menyebabkan berlakunya pendakwaan secara berpilih-pilih. Mereka yang dilawati oleh akhbar rasmi selalunya merupakan orang yang jauh sangat renggangnya dengan kerajaan. Lagi pun mereka belum layak dipotong kepala. Jika tidak, mereka juga turut diselubungi selimut rahsia itu.

Memperkasakan orang ramai. (Empowering the public)

Dengan penubuhan GERAK, yang boleh diakses melalui www.gerakmalaysia.org saya harap dapat mencari laluan membasmikan rasuah. GERAK akan menjadi wadah untuk menghidupkan usaha membasmi budaya sorok. GERAK akan menjadi satu platform untuk menangani seluruh bentuk korupsi dengan mengemukakan satu aduan dan memantau semua kes secara analisis, komen dan kemaskini sehinggalah kes itu akhirnya selesai juga.

GERAK ingin menanam budaya anti-korupsi dalam setiap bidang kehidupan kita ini.

- Ezam Mohd Nor

Friday, February 10, 2006

Writ Saman Anwar Ibrahim terhadap Dr Mahathir

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPURDALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA
(BAHAGIAN SIVIL)
GUAMAN SIVIL NO:

ANTARA

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM (PLAINTIF)

DAN

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD (DEFENDAN)

WRIT SAMAN“

YANG AMAT ARIF TAN SRI DATO’ SITI NORMA BINTI YAAKOB,P.S.M., D.S.N.S., J.S.M., HAKIM BESAR MALAYA ATAS NAMADAN BAGI PIHAK SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG”

Kepada :

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA LEADERSHIP FOUNDATION
NO. 1, JALAN P8H, PRECINT 8
62250 PUTRAJAYA

KAMI PERINTAHKAN KAMU bahawa dalam tempoh lapan (8) hari selepas penyampaian Writ ini ke atas kamu, termasuklah hari penyampaian itu, kamu hendaklah menyebabkan kehadiran dimasukkan untuk diri kamu dalam kausa atau guaman dan ambil perhatian bahawa jika kamu ingkar berbuat demikian, Plaintif boleh meneruskan untuk mendapatkan penghakiman dan pelaksanaan.

DISAKSIKAN OLEH ……………………………………………….., Timbalan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Malaya pada 27 haribulan Januari 2006
…………………… ..……………………………..
Peguamcara Plaintif Timbalan Pendaftar
Mahkamah Tinggi Malaya
Kuala Lumpur

MEMORANDUM YANG HENDAK DITURUNKAN PADA WRIT

Writ ini tidak boleh disampaikan lebih daripada enam (6) bulan kalendar selepas tarikh di atas melainkan jika diperbaharui melalui perintah Mahkamah.

Defendan (atau Defendan-Defendan) boleh hadir bersama dengan memasukkan kehadiran (atau kehadiran-kehadiran) sama ada sendiri atau melalui peguamcara di Pejabat Pendaftaran, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Defendan yang hadir sendiri boleh dikehendakinya mamasukkan kehadirannya malalui pos dan borang-borang tertentu bolehlah didapati dengan menghantar Kiriman Pos berharga RM 10.00 berserta sampul surat beralamat sendiri kepada Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Malaysia.

PENGINDORSAN TUNTUTAN

Seperti di dalam Pernyataan Tuntutan dan melebihi RM250,000.00 dan berserta dengan faedah pada kadar 8% setahun dari tarikh pemfailan saman sehingga penyelesaian penuh dan kos dalam tindakan ini. (Seperti di dalam Pernyataan Tuntutan yang difailkan bersama-sama ini).

Plaintif menuntut daripada Defendan,

(a) Compensatory Damages;
(b) Aggravated Damages;
(c) Gantirugi Teladan;
(d) Injunksi untuk menahan Defendan sama ada menerusi Defendan sendiri, agen dan/atau pekerja dan/atau sesiapapun daripada melafazkan, bercakap atau menerbitkan kata-kata menyinggung tersebut atau kata-kata yang mempunyai kesan terhadap Plaintif atau perkataan yang sama memfitnah Plaintif;
(e) Faedah ke atas jumlah penghakiman untuk jangkamasa dan kadar tertentu yang mana Mahkamah anggap perlu dan sesuai;
(f) Kos;
(g) Apa-apa relif yang Mahkamah anggap perlu dan suaimanfaat.

Dan RM………………………… (atau sekian banyak wang sebagaimana yang dibenarkan setelah ditetapkan) untuk kos dan juga, jika Plaintif mendapat perintah untuk penyampaian ganti, jumlah wang selanjutnya sebanyak RM…………….. ( atau sekian banyak wang sebagaimana yang dibenarkan setelah ditetapkan. Jika amaun yang dituntut dan kos dibayar kepada Plaintif atau peguamcaranya dalam tempoh lapan (8) hari selepas penyampaian Writ ini (termasuklah hari penyampaian), prosiding seterusnya akan ditangguhkan, tetapi jika ternyata daripada pengindorsan pada Writ itu bahawa Plaintif adalah bermastautin di luar wilayah terjadual, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Pertukaran Kawalan, 1953, atau adalah bertindak mengikut perintah atau bagi pihak seseorang yang bermastautin sedemikian, prosiding akan hanya ditangguhkan jika amaun yang dituntut dan kos dibayar ke dalam Mahkamah dalam masa yang tersebut itu dan notis pembayaran itu diberi kepada Plaintif atau peguamcaranya.

WRIT SAMAN ini telah difailkan oleh Tetuan S.N. Nair & Partners, Peguamcara Plaintif yang mempunyai alamat penyampaian di Suite 5C, Level 5, Wisma Kosas, Jalan Melayu 50100 Kuala Lumpur. Tel: 03 26976686; Fax: 03 26976685 (Ref: SNN/DSAI/TUN M/05)

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPURDALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA

(BAHAGIAN SIVIL)GUAMAN SIVIL NO:

ANTARA

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM (PLAINTIFF)

DAN

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD (DEFENDANT)

PERNYATAAN TUNTUTAN

1. Plaintif ialah seorang Distinguished Visiting Professor of Southeast Asian Islam di School of Foreign Service di Georgetown University, Washington D.C, Amerika Syarikat dan seorang Senior Associate Member di St. Anthony’s College di Oxford University, United Kingdom. Plaintif juga antara lain, merupakan Visiting Diplomat di Council of Foreign Relation, New York.

2. Plaintif merupakan seorang ahli politik kebangsaan dan antarabangsa, memegang jawatan dan portfolio-portfolio di dalam Kabinet Malaysia sejak awal tahun 1980, antaranya, Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri pada tahun 1982; Menteri di Kementerian Belia, Sukan dan Budaya pada tahun 1983; Kementerian Pertanian pada tahun 1986, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kewangan pada tahun 1991; dan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1993 sehingga 2.9.1998. Di pertengahan tahun 1997 Plaintif ialah pemangku Perdana Menteri selama 2 ½ bulan. Plaintif juga memegang jawatan di pertubuhan antarabangsa termasuk UNESCO and IMF. Plaintif juga merupakan Timbalan Presiden UMNO, antara lain-lain jawatan yang dipegang oleh Plaintif di dalam UMNO sejak Plaintif menyertai UMNO dan juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

3. Defendan merupakan Perdana Menteri Malaysia sehingga perletakan jawatan pada bulan Oktober 2003.

4. Pada 9 September 2005, di satu sidang akhbar di premis SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (“SUHAKAM”) di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh beberapa jurnalis dan perwakilan akhbar dan media, tempatan dan antarabangsa, termasuk media elektronik, (yang mana Plaintif tidak dapat mengenal pasti kecuali Roshan Jason, seorang jurnalis dari MALAYSIA KINI (selepas ini disebut sebagai “Malaysiakini”), Defendan, apabila bercakap mengenai Plaintif dan kelakuannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, antara lain, secara salah dan secara niat jahat bercakap dan menerbitkan kepada jurnalis-jurnalis perkataan berikut berkenaan dan ditujukan kepada Plaintif:-

“I cannot have a sodomiser in my cabinet”.

“Imagine a gay PM………..nobody will be safe” (selepas ini disebut sebagai “kata-kata menyinggung”)

Terjemahan Bahasa Malaysia adalah,

“Saya tidak boleh menerima seorang peliwat di dalam Kabinet saya”

“Bayangkan seorang Perdana Menteri homoseksual …… tiada siapa yang akan selamat” (selepas ini disebut sebagai “kata-kata menyinggung tersebut”)

5. Kata-kata menyinggung tersebut adalah fitnah terhadap Plaintif. Kata-kata menyinggung tersebut di dalam maksud semula jadi dan biasa (natural and ordinary), di dalam konteks percakapan, dimaksudkan dan difahami, antara lain, bermaksud:

i) Plaintif ialah seorang homoseksual;

ii) Plaintif telah mengadakan persetubuhan dengan lelaki berlawanan dengan peraturan alam semulajadi yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 377A dan 377D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara dan sebatan.

iii) Plaintif telah terlibat dengan aktiviti-aktiviti berlawanan dengan Islam dan seterusnya telah bersalah di bawah kesalahan liwat di bawah seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang boleh dihukum dengan penjara dan sebatan.Plaintif akan merujuk kepada semua undang-undang berkenaan di prosiding interlokutori dan perbicaraan penuh nanti.

iv) Plaintif merupakan seorang yang terpesong (pervert) dan tidak mempunyai akhlak mulia;

v) Plaintif merupakan seorang yang tidak sesuai untuk memegang jawatan politik, atau mana-mana jawatan;vi) Plaintif merupakan seorang yang cenderung kepada jenayah.

vii) Plaintif merupakan seorang yang berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

6. Defendan telah melafazkan kata-kata menyinggung tersebut dengan niat untuk merendah-rendahkan Plaintif di dalam kapasiti peribadi dan rasmi, termasuk kapasiti Plaintif sebagai mantan Menteri Kewangan dan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

7. Defendan telah bercakap mengenai kata-kata menyinggung tersebut di dalam pengetahuan bahawa kata-kata menyinggung tersebut atau intipatinya akan diterbitkan di media tempatan dan antarabangsa, termasuk media elektronik dan akhbar, termasuk Malaysiakini di bawah tajuk “Nobody will be safe from ‘gay’ PM says Dr. M” pada 9-9-2005 dan Agence France-Presse (selepas ini disebut sebagai “AFP”) pada 10-9-2005, dan diterbitkan semula pada tarikh yang sama atau lain di dalam Singapore Business Times; Straits Times Singapore; The Associated Press (selepas ini disebut sebagai “AP”), suratkhabar The Age di Melbourne dan di tempat lain dan/atau pengulangan dibenarkan. Selanjutnya dan/atau secara alternatif, penerbitan semula adalah kesan semula jadi dan kesan kemungkinan dari penerbitan asal oleh Defendan.

8. Plaintif memplid bahawa kata-kata menyinggung tersebut juga telah disiarkan di televisyen secara meluas oleh ANN Singapore dan beberapa media Jepun dan lain-lain televisyen dan stesen radio seluruh dunia sehingga menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dibaikpulih terhadap reputasi Plaintif.

9. Plaintif memplid bahawa AP dan AFP adalah ‘wire service’ dengan pelanggan seluruh dunia dan antarabangsa dengan pengedaran yang meluas dan berpengaruh termasuk Malaysia.

10. Dengan sebab penerbitan kata-kata menyinggung tersebut oleh Defendan dan penerbitan semula kemudiannya yang telah diplid di atas, peribadi, kedudukan dan reputasi kebangsaan dan antarabangsa telah dirosakkan dengan serius dan telah dibawa ke dalam skandal awam, kebencian dan kehinaan dan Plaintif telah mengalami penderitaan yang besar, kebimbangan dan perasaan malu, yang mana memberhakkan Plaintif kepada gantirugi ‘aggravated’ dan teladan

11. Plaintiff akan bergantung kepada fakta-fakta berikut sebagai memburukkan lagi fitnah tersebut:

BUTIR-BUTIR

i) Takat penerbitan kata-kata menyinggung tersebut atau intipatinya terdapat di, antara lain: The Singapore Business Times, Straits Times Singapore, The Age Newspaper in Melbourne, AP, AFP, ANN dan di tempat lain, termasuk di dalam internet, antara lain: Malaysiakini; Harakah Online dan lain-lain.

ii) Defendan mengetahui dan/atau seharusnya mengetahui dan/atau berniat bahawa kata-kata menyinggung atau intipatinya akan diterbitkan di berbagai-bagai ‘wire services’, agensi berita, suratkhabar, dan diterbitkan semula di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di dalam lain-lain suratkhabar, majalah-majalah dan media, termasuk media elektronik, dan/atau pengulangan dibenarkan.

iii) Defendan telah enggan dan ingkar berterusan untuk memohon maaf.

12. Plaintif akan bergantung kepada fakta-fakta berikut bagi menyokong permohonan untuk gantirugi teladan: -

BUTIR-BUTIR

(a) kata-kata menyinggung tersebut secara jelas adalah sesuatu yang terlalu serius dan merosakkan dan secara terburu-buru dibuat oleh Defendan;

(b) Defendan telah bercakap dan menyebabkan kata-kata menyinggung tersebut diterbitkan dan diterbitkan semula seperti yang telah diplidkan di atas walaupun dengan pengetahuan yang khusus bahawa Plaintif telah menafikan sekeras-kerasnya kata-kata menyinggung tersebut atau kata-kata yang sama terhadap Plaintif pada masa lalu yang mana penafian tersebut telah diterima oleh Defendan dengan kenyataan umum pada bulan Ogos 1997 yang telah membersihkan Plaintif daripada tuduhan tersebut. Selanjutnya, Defendan mempunyai pengetahuan yang khusus bahawa pada masa tuduhan tersebut dibuat terhadap Plaintif, ianya adalah perkara subjek siasatan jenayah dan seterusnya Defendan telah membebaskan Plaintif secara terang-terangan;

(c) Defendan secara terang-terangan menyebut kata-kata menyinggung dengan pengetahuan tersuratnya bahawa Plaintif telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 terhadap tuduhan liwat dan juga selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Ogos 2005 memutuskan memihak kepada Plaintif di dalam tindakan guaman fitnah dimulakan terhadap penulis dan penerbit buku “50 Dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM” Plaintif.

(d) Defendan telah bercakap dan menyebabkan kata-kata menyinggung tersebut diterbitkan dan diterbitkan semula dengan niat tersurat untuk merosakkan reputasi dan pegangan politik Plaintif, untuk memelihara kepentingan politik dan jawatan Defendan sebagai perdana menteri Malaysia tanpa terlebih dahulu membuat pertanyaan yang efektif dan benar mengenai kebenaran dan ketepatan kata-kata menyinggung tersebut; dan

(e) Defendan telah bercakap dan menerbit kata-kata menyinggung tersebut setelah mengira bahawa Defendan akan mendapat lebih dengan penerbitan dan penerbitan semula kata-kata menyinggung tersebut daripada Defendan akan kalah sekiranya Plaintif berjaya di dalam tindakan guaman fitnah.

13. Kecuali dihalang oleh Mahkamah yang mulia ini, Defendan berniat untuk meneruskan dan akan selanjutnya menerbitkan kata-kata menyinggung tersebut atau perkataan fitnah yang sama terhadap Plaintif.

14. OLEH YANG DEMIKIAN, Plaintif memohon relif-relif berikut terhadap Defendan;

(a) Compensatory Damages;
(b) Aggravated Damages;
(c) Gantirugi Teladan;
(d) Injunksi untuk menahan Defendan sama ada menerusi Defendan sendiri, agen dan/atau pekerja dan/atau sesiapapun daripada melafazkan, bercakap atau menerbitkan kata-kata menyinggung tersebut atau kata-kata yang mempunyai kesan terhadap Plaintif atau perkataan yang sama memfitnah Plaintif;
(e) Faedah ke atas jumlah penghakiman untuk jangkamasa dan kadar tertentu yang mana Mahkamah anggap perlu dan sesuai;
(f) Kos; dan
(g) Apa-apa relif yang Mahkamah anggap perlu dan suaimanfaat.

Bertarikh pada 27 haribulan Januari 2006

------------------------------------
Peguamcara Plaintif

PERNYATAAN TUNTUTAN ini difailkan oleh Tetuan S.N. Nair & Partners, Peguamcara Plaintif yang mempunyai alamat penyampaian di Suite 5C, Level 5, Wisma Kosas, Jalan Melayu 50100 Kuala Lumpur. Tel: 03 26976686; Fax: 03 26976685 (Ref: SNN/DSAI/TUN M/05)

Sunday, February 05, 2006

Anak Muda Terus Sokong Keadilan

Muda Mohd Noor (Malaysiakini)

KUALA LUMPUR - Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, golongan muda, terutama pelajar dan kakitangan kerajaan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara senyap-senyap kerana takut dikenakan tindakan oleh kerajaan.

Berikutan itu, katanya, mereka hanya menjadi aktivis PKR, iaitu dengan menjalankan kerja-kerja untuk parti secara senyap-senyap.

“Mereka ini kita panggil sebagai aktivis parti, iaitu menyokong PKR tetapi tidak menjadi ahli parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsul berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang pemimpin kanan PKR bahawa sokongan golongan muda terhadap parti itu semakin berkurangan berbanding di peringkat awal penubuhannya pada 1999.

Pemimpin PKR itu mendedahkan, sokongan orang muda terhadap parti itu merosot teruk berbanding tahun 1999 kerana beberapa faktor, termasuk kegagalan pemimpin turun mendekati mereka.

Katanya, pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga gagal menarik sokongan orang muda terhadap parti itu.

Sehubungan itu, Shamsul berkata, aktivis ini bertindak sebagai ejen parti di seluruh negara dengan sebahagian besarnya bergerak aktif di kawasan Lembah Kelang.

Pilihanraya kampus

Katanya, tugas aktivis parti ialah menyampaikan maklumat dan program parti, mengedarkan risalah dan dalam masa tertentu menghadiri program parti.

“Mereka bertindak lebih sebagai jurucakap parti dengan menyebarkan berita parti kepada kumpulan tertentu di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Beliau berkata, kesedaran politik orang muda, terutama pelajar hari ini semakin meningkat menyebabkan kerajaan terpaksa campurtangan dalam pilihanraya kampus.

Shamsul juga mengulas mengenai keenganan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.

Shamsul mendakwa, ini kerana kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mahu mengawal aktiviti pelajar supaya terus berada di bawah kawalan mereka.

Katanya, sejak dulu lagi pelajar aktif berpersatuan dan ini menimbulkan kebimbangan bahawa mereka akan menentang kerajaan.

Sehubungan itu, Shamsul mencabar kerajaan supaya memberi kebebasan kepada pelajar untuk membabitkan diri dengan persatuan dan aktiviti luar termasuk politik.

“Jika pemikiran pelajar dikongkong, bagaimana untuk melahirkan masyarakat glokal? Saya anggap kenyataan itu sebagai retorik semata-mata,” katanya.

Saturday, February 04, 2006

Anwar pimpin gabungan pembangkang gempur BN di Sarawak

Oleh Hakim BujangBekas

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkampung di Sarawak di musim pilihan raya negeri bagi membantu pimpinan gabungan pembangkang Sarawak melawan Barisan Nasional.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dalam ucapan beliau di sesi dialog di Kampung Tengah, Gedong, Sarawak berkata Anwar akan turun padang bagi membantu calon-calon PKR, DAP, PAS, MDC dan SNAP di seluruh Sarawak. "Anwar akan berkampung di Gedong, Simunjan, Kuching malahan menjelajah seluruh Sarawak kali ini," kata beliau.

Azmin yang berucap di majlis dialog itu terkilan kerana majlis yang dirancang PKR di sebuah Rumah Panjang di Temiang disabotaj oleh Pegawai Daerah, Kakitangan Kemas serta anggota polis sehinggakan mereka terpaksa berpindah lokasi di saat-saat akhir. Petanda itu menurut beliau menunjukkan BN kini gusar dan merasakan cabaran yang bakal diberikan oleh PKR dalam pilihan raya kali ini.

"Saya bukannya Menteri atau wakil rakyat, saya dengan Wan Zainal (Wan Senusi) cumalah orang kecil tetapi mengapa mereka menghalang saya untuk berkunjung ke sebuah rumah panjang?

"Ini kerana mereka sudah takut dan rakyat sudah tahu bahawa PKR bukannya pencuri atau perompak tanah rakyat, dan rakyat sudah tahu perkara sebenar dan bakal berkata ‘enough is enough’," katanya.

Beliau menegaskan BN pasti mempersundalkan isu PKR sebagai sebuah parti semenanjung bagi mengelirukan rakyat agar terus melihat parti itu sebagai tidak mempunyai paksi di Sarawak. "PKR bukannya parti bersikap kenegerian, tetapi sebuah parti bersifat nasional yang memperjuangkan keadilan," tegasnya.

Beliau berkata BN pasti menerima tamparan hebat kerana ribuan penyokong gabungan BN sudah bertindak meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR di Sabah dan Pulau Pinang. "Ribuan penyokong PBS di Sabah sudah mengucapkan selamat tinggal kepada BN."

"Di Pulau Pinang ribuan orang penyokong serta pemimpin MCA juga sudah mengisytiharkan diri mereka memasuki PKR dan bakal berbuat demikian secara rasmi tidak lama lagi," tegasnya.

Azmin berkata walaupun pemimpin BN berusaha keras bagi memburuk-burukkan imej Anwar di Malaysia, Penasihat PKR itu mendapat sanjungan tinggi di mata dunia. "Bayangkanlah sendiri doktor yang membedahnya tidak mahu dibayar, manakala Raja Arab Saudi menghantar jet untuk membawa Anwar sebagai tetamu negara untuk mengerjakan Umrah."

"Malahan, mana-mana usahawan Malaysia yang ingin mengintai projek di Turki sudah diarahkan oleh pemimpin negara itu supaya memintanya daripada Anwar," katanya.

Selain itu, Azmin berkata penghormatan yang diberikan oleh negara-negara besar dunia seperti India dan Indonesia terhadap Anwar juga menggusarkan pimpinan BN.

"Ketika TPM Datuk Seri Mohd Najib Razak di Indonesia, Anwar yang kebetulan berada di sana mendapat ruang muka depan akhbar tiga hari berturut-turut dengan gambar berwarna sedangkan Najib cuma berada di muka surat tujuh tanpa gambar," jelas beliau.

Azmin berkata walaupun segala jenis penghinaan sudah dilemparkan terhadap Anwar, segala usaha itu tidak menjejaskan beliau malahan menaikkan lagi imejnya di mata dunia. Azmin mengakui prestasi PKR dalam pilihan raya yang lalu agak hambar, tetapi kini segalanya bakal berubah.

"Dulu ketua kita di dalam kini beliau sudah berada di luar maka kita akan membacakan talkin untuk menguburkan BN," tegas beliau.

Azmin berkata pihaknya akan melakukan pendedahan demi pendedahan di musim pilihan raya yang akan datang kerana rakyat berhak untuk tahu perkara sebenar.

"Jika pemimpin-pemimpin boleh diberikan tanah ratusan malah ribuan ekar, masakan rakyat meminta tanah sekangkang kera untuk dijadikan tapak rumah pun tidak boleh," katanya.

Terdahulu, pemimpin PKR Sarawak Wan Zainal Wan Senusi berkata pihaknya akan menyerahkan notis bantahan rasmi kepada pejabat Daerah Simunjan atas tindak-tanduk Pegawai Daerah menghalang lawatan PKR ke rumah Panjang di Kampung Temiang.

"Kita merupakan sebuah parti politik berdaftar dan mempunyai hak untuk menerangkan agenda politik kita kepada rakyat, kita bukannya pengganas komunis. Mengapa pula DO bertindak mewakili parti pemerintah untuk mengganggu dan menggagalkan rancangan kami.”

"Jika dia ingin hendak masuk politik, letak jawatan dan masuklah politik sepenuh masa," kata Wan Zainal. Beliau berkata perkara itu tidak akan melemahkan semangat penyokong serta pimpinan PKR untuk menghampiri rakyat.

Malah tindakan menghalang mereka dari menaiki rumah panjang secara rasmi itu membuka jalan kepada mereka bagi menghampiri penduduk rumah panjang melalui jalan alternatif.

Wan Zainal berkata pihaknya akan mendedahkan penyelewengan BN dalam pilihan raya kali ini supaya rakyat tidak terus ditipu dalam pilihan raya akan datang.

"Dulu mereka menggunakan syarikat mati bernama Punggur Wibawa dan Sadong Wibawa untuk menerbitkan saham bernilai RM1 kepada pengundi.”

"Malah janji untuk memberikan tanah 5 ekar seorang kepada setiap penduduk kampung di Gedong dan Simunjan dalam pilihan raya 2001 masih tidak ditunaikan sehingga hari ini.”

"Selain itu, kita juga tidak tahu dimanakah letaknya tanah 24 ribu ekar yang dibangunkan bagi penduduk Melayu Gedong dan Simunjan seperti yang dijanjikan," kata beliau. Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi protem Malaysia Dayak Congress, Nicholas Bawin serta Ketua Pemuda SNAP, Dayrell Walter Entrie.