SepangOnline

Wednesday, March 30, 2005

Lagi isu kematian dalam tahanan - Angkatan Muda terus bawa ke Suhakam

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sungguhpun banyak laporan polis yang telah dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengenai kematian ketika dalam tahanan, masih lagi terdapat peristiwa sedemikian berlaku.

Kes kematian Rastam yang mati dipercayai dipukul oleh pegawai penjara di Sg Buloh tidak berapa lama dahulu, berlaku lagi satu kes di Rembau di mana seorang lelaki dipercayai mati akibat didera teruk oleh pihak polis ketika dalam lokap.

Mainimaran a/l Selvaraj, 33, telah diberitahu meninggal dunia hanya selepas isterinya datang ke Balai Polis Rembau untuk bertemu dengan suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dalam kes kecurian.

Angkatan Muda Keadilan yang telah membawa isu ini untuk pengetahuan Suhakam memberitahu bahawa isu ini berpunca daripada satu motosikal curi yang telah dijumpai diletakkan di hadapan rumah mangsa, S. Manimaran.

Sebelum itu (9 Mac 2005), satu kejadian rompakan telah berlaku di Legong Jaya, Rembau pada awal pagi di mana seorang perempuan tua dan seorang remaja lelaki yang tidak dikenali telah melarikan motosikal kepunyaan remaja tersebut, Viji.

Remaja tersebut kemudiannya telah pergi ke rumah mangsa, S. Manimaran kira-kira jam 2 petang dan bertanya samada beliau mengetahui apa-apa mengenai kejadian rompakan tersebut. Manimaran menjawab tidak tahu.

Angkatan Muda yang diwakili oleh Naib Ketuanya, S. Manikavasagam memberitahu, pada awal keesokan paginya (10 Mac 2005), satu pasukan polis telah memberkas S.Manimaran bersama anak angkatnya, Magendran a/l Muniandy dan abang dan adik ipar mangsa, Kuppusamy a/l Arumugam dan Kalidass a/l Arumugam.

Keempat-empat mereka telah dibawa ke Balai Polis Rembau.

Kematian mencurigakan

Apabila isteri mendiang ingin menemui mangsa pada keesokan harinya, beliau telah diberitahu oleh pegawai polis bahawa suami beliau telah mati kerana mempunyai penyakit.

Selepas mayat tersebut dituntut, didapati terdapat kesan-kesan lebam dan luka pada keseluruhan badan S.Manimaran. Kesan lebam tersebut dipercayai berpunca daripada cucukan kuasa elektrik ke badan mangsa.

Dua laporan polis telah dibuat oleh ipar mendiang, pada 14 Mac dan 18 Mac mengenai kematian tersebut dan menganggap polis telah bertindak di luar bidang kekuasaan mereka.

Pesuruhjaya Suhakam, Prof Hamdan Adnan yang telah menerima memorandum itu diberitahu bahawa sehingga kini tiada apa-apa penyiasatan atau sebarang tindakan daripada pihak polis.

Ahli keluarga juga telah tidak dimaklumkan mengenai sebarang tindakan yang telah diambil malah, mereka telah didatangi pihak polis untuk menakut-nakutkan si pembuat aduan.

Tunututan

Sewaktu menyerahkan memorandum tersebut, Angkatan Muda telah merayu agar Suhakam mempertanggungjawabkan Ketua Polis Rembau, DSP Mazlan, Ketua Polis Negeri Sembilan dan ketua Polis Negara dan juga semua anggota polis yang teribat dalam penahanan dan pembunuhan S. Manimaran diambil tindakan.

Angkatan Muda juga meminta Suhakam membuat penyiasatan yang bebas lagi adil dan memberi cadangan kepada Peguam negara untuk mendakwa kesemua anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan S. Manimaran.

Memandangkan Manimaran telah meninggalkan 13 anak yang masih kecil dan dua isteri yang mengandung dan tidak bekerja, Angkatan Muda Keadilan telah merayu kepada orang ramai untuk bersikap perihatin dan bantu mengurangkan bebanan keluarga itu.

Bagi pihak keluarga mangsa, Angkatan Muda merayu supaya pihak kerajaan menyediakan sebuah dana kecemasan sekurang-kurangnya RM20,000 dengan segera untuk keperluan seharian keluarga dan RM1,000 sebulan setiap bulan sehingga mereka bersalin dan mendapat pekerjaan.

Sebarang sumbangan boleh diberikan terus kepada isteri mendiang, Puan Lechemy a/p Arumugam di No 314 Blok 2 Taman Pertama, 43800 Dengkil Selangor atau hubungi terus ke Naib Ketua Angkatan Muda, Manikavasagam 016-2659511.

Wednesday, March 16, 2005

Mulakan pilihan raya kerajaan tempatan di Kelantan

Oleh: Faisal Mustaffa

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat telah meyeru Kelantan untuk mulakan membentuk kerajaan tempatan yang membolehkan undang-undang pilihan raya kerajaan tempatan digunakan semula.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Badrulhisham Shaharin selaku Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda, pemberhentan pemilihan Kerajaan Tempatan sejak pilihan raya 1965 yang lalu, perlu dimulakan semula memandangkan pelbagai masalah seperti masalah denggi, pembaziran wang dalam pengurusan perbandaran, masalah sampah sehinggalah masalah perumahan setinggan semakin meruncing kini. Masalah berbangkit seperti ini dijangka dapat diselesaikan jika kerajaan tempatan yang diwujudkan mampu memainkan peranan yang sewajarnya.

"Tetapi hakikatnya kini tiada siapa boleh menafikan yang hampir semua kerajaan tempatan di seluruh negara gagal berfungsi dengan baik," jelas Badrulhisham.

Angkatan Muda melihat ini berpunca daripada ahli majlis yang dibentuk untuk
menganggotai kerajaan tempatan tersebut bukan dari mereka yang benar-benar layak.

Menurut Badrulhisham, mereka yang hanya dilantik dari kalangan pemimpin komponen parti pemerintah dilihat hanya memenuhkan kerusi untuk mendapat elaun atau untuk menjamin pengaruh mereka dapat dikekalkan menerusi pertolongan yang dihulurkan kepada orang-orang mereka.

"Biasanya ketua-ketua cawangan UMNO atau MCA atau MIC akan menduduki kerusi ahli majlis dan akan memudahkan permohonan contohnya, lesen perniagaan bagi penyokongnya, ataupun mereka hanya sibuk apabila tiba pembahagian kuota rumah murah atau tapak perniagaan demi memastikan kuota UMNO atau kuota MCA itu dapat kepada orang-orang mereka."

Dahulu kerusi yang mereka duduki dipertandingkan maka masyarakat setempat berhak untuk mengundi dan meastikan siapa yang benar layak untuk menduduki kerusi ahli majlis kerajaan tempatan tersebut. Tetapi malangnya Kerajaan menghentikan pilihan raya kerajaan tempatan pada 1 mac 1965. Walau apapun alasan yang diberikan oleh kerajaan yang berkuasa pada masa itu tetapi yang jelas ialah pilihan raya itu dibatalkan kerana banyak kerusi kerajaan tempatan ini dikuasai oleh mereka yang berlainan ideologi dengan penguasa.

Melihat permasalahan yang semakin gawat akhir-akhir ini maka ini mungkin masa yang tepat untuk kerajaan mengkaji semula untuk mengadakan kembali pilihan raya kerajaan tempatan ini. Mereka yang menduduki kerusi melalui proses pemilihan rakyat akan pasti lebih bertanggungjawab.

Badrulhisham berkata, usaha itu sudah pasti akan mendapat sokongan ramai kerana ia akan dilihat sebagai satu usaha mengembalikan semua demokrasi Malaysia yang telah dipijak oleh penguasa sekarang.

Semenjak merdeka, Malaysia menjamin hak rakyat dengan mengamalkan sistem demokrasi 3 peringkat iaitu Kerajaan Pusat (Parlimen), Kerajaan Negeri (Dewan Undangan Negeri) dan Kerajaan Tempatan (Majlis Kerajaan Tempatan). Namun, semenjak 1965 hak untuk memilih wakil untuk menguruskan hal ehwal perbandaran telah diragut oleh kerajaan Barisan Nasional sehingga kini.

Tuesday, March 15, 2005

Anwar: “Perlu keberanian untuk perubahan”

SEBERANG JAYA 13 Mac: “Jika korupsi telah menjadi barah dan merosakkan sistem, hendak 'repair' cukup susah. Di Malaysia, kontrak besar bekal senjata bernilai ratusan juta masuk poket sendiri daripada peringkat tinggi sampai ke bawah. Hendak cabar saya? Saya ada cukup bukti. Tapi, rakyat di bawah hendak minta lesen gerai Majlis Perbandaran pun cukup susah.” Ketika memberikan contoh korupsi dalam pentadbiran negara.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Perasmian IbuPejabat PKR Pulau Pinang, mahukan seluruh ahli PKR bersikap berani dan bekerja kuat untuk melakukan perubahan membetulkan segala kepincangan dalam negara. Sebab itu, katanya semua perlu ada keberanian untuk buat perubahan ke arah kebaikan. Kita mesti berubah, kita mesti bekerja untuk berubah dan yakin perubahan itu bukannya sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Menurutnya, ahli-ahli PKR perlu berkeyakinan dan bekerja kuat untuk melakukan perubahan. “Jika kita ada keyakinan, barulah kita berikhtiar. Saya minta rakan-rakan semua, kita mantapkan jentera untuk buat perubahan,” katanya.

Anwar mengulangi tekadnya menjadikan PKR sebagai parti berbilang kaum, sambil menyifatkan konsep kerjasama dalam BN sudah ketinggalan zaman. “Konsep BN sudah ketinggalan zaman. Untuk masa depan kita perlu bersedia berdepan dengan masalah Melayu, Cina dan masalah India sebagai satu agenda bersama. Belum ada percubaan ini secara cukup berkesan, kerana masih ada pemimpin hari ini termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan lebih senang memainkan sentimen kaum di kalangan mereka untuk menimbulkan budaya takut di kalangan rakyat.” katanya. Beliau turut membidas sikap pemimpin negara yang kononnya bercakap soal kebebasan bersuara dan pendapat, menganjurkan dialog antara Islam dan Barat, tapi dalam masa sama menyekat penyaluran maklumat alternatif kepada rakyat. “Dialog apa, di sini orang yang tidak setuju, awak gam semua,” sindirnya. Katanya, “Saya berpendapat ini berlaku kerana mereka tidak boleh respon. Bolehkah mereka menjawab tuduhan saya, bahawa saya mendapat dokumen rasuah menteri yang mahu didakwa, saya hendak mendapat penjelasan, benar atau tidak, sah atau tidak dokumen dan tuduhan itu? Oleh kerana mereka tidak boleh jawab, mereka arah jangan sebut perkara itu, kerana salah dari segi undang-undang.”

Maknanya, kata Anwar rasuah tidak salah, yang sebut itu salah. Pada sidang media selepas majlis itu, Anwar menjelaskan beliau akan bekerjasama dengan Perdana Menteri, jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi benar-benar hendak melakukan reformasi dalam pentadbiran negara.

“Saya akan menyokong tindakan Perdana Menteri jika beliau bersungguh-sungguh hendak membetulkan kepincangan dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara termasuk masalah rasuah yang semakin membarah,” katanya. Tapi, soal Anwar, “Adakah berlaku perubahan dalam sistem perundangan dan keadilan dalam negara ini? Kita boleh melihat, sebahagian individu dan hakim yang tidak layak telah dinaikkan pangkat, bukan berdasarkan kriteria yang sepatutnya,” Ujarnya, seluruh dunia termasuk Majlis Peguam Antarabangsa, Pertubuhan Juri Antarabangsa dan sebagainya mengakui bahawa sistem perundangan negara ini telah rosak tulang belakangnya.”

Jelas Anwar, tindakan itu antara lain akan mendatangan kesan buruk masa depan negara. Impaknya, para pelabur akan menjauhkan diri kerana wujudnya kelemahan pengurusan sistem ekonomi serta prinsip-prinsip pentadbiran dalam pemerintahan negara. Anwar bersama Presiden PKR, YB Datin Seri Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan singkat ke Pulau Pinang.

Thursday, March 10, 2005

Anwar Ibrahim mengajak dunia barat supaya tunduk kepada prinsip kemanusiaan

Anwar berlepas ke Jacksonville, Florida pada 25 Februari 2005 (Jumaat) untuk menghadiri dialog mengenai Islam dan Barat yang dianjurkan oleh The Cohen Group. Lebih 40 pemimpin- pemimpin politik dan kerajaan, tokoh-tokoh akademik dan usahawan, wakil media dan pakar-pakar sains dan ekonomi dari pelbagai latar belakang menghadiri bengkel selama 3 hari ini untuk mencari penyelesaian terhadap konflik Barat dengan negara-negara Islam dan memperbaiki persepsi sempit terhadap Islam dan umat Islam.

Di antara peserta yang hadir ialah William S. Cohen, bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat; Jeneral John Abizaid, Commander of the U.S. Central Command of the Armed Forces; Senator George Allen, Virginia; David D. Arnold, President of the American University in Cairo; Howard Berman, Member of the United States House of Representatives, California; Wolf Blitzer, CNN; William Burns, Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat; Susan Eisenhower, President of the Eisenhower Group; Senator Lindsey O. Graham, South Carolina; David Ignatius, Washington Post; Jim Kolbe, Member of the United States House of Representatives, Arizona; Seiji Maehara, Ahli Parlimen Jepun; Senator Don Nickles, Oklahoma; Dr. Surin Pitsuwan, bekas Menteri Luar Thailand; Andrew Qian, China; Hala Shakir Mustafa Saleem, Timbalan Menteri Dalam Negeri Iraq; Mark Sanford, Governor of South Carolina; Tatsuo Sato, Senior Vice President and Chief Operating Officer for the Mitsubishi Corporation’s Aerospace; Dr. Shibley Telhami, Anwar Sadat Professor for Peace and Development at the University of Maryland; Patrick Theros, President and Executive Director of the U.S. – Qatar Business Council; Abdillah Toha, Indonesia; Ambassador Frank Wisner; Dr. James Zogby, President of the Arab American Institute dan Dr. Ahmed Kamal Aboulmagd, seorang pemikir Islam yang terkenal yang kini adalah seorang Professor of Public Law di Cairo University.

Dialog ini bertemakan “The United States and The Muslim World : Through Each Other’s Eyes”. Ianya diadakan di White Oak, sebuah pusat peranginan yang terkenal dengan hutan simpan dan ekologinya.
Anwar juga diberikan penghormatan menyampaikan ucaputama di majlis makan malam meraikan peserta-peserta dialog ini. Beliau menegaskan keperluan saling mengenali dan mempelajari pengalaman, budaya dan politik. Anwar mengingatkan bahawa kita wajar tunduk kepada prinsip kemanusiaan yang memuliakan kebebasan dan hak asasi serta menolak keganasan dan keangkuhan. Umat Islam berhak menyanggah beberapa dasar Amerika Syarikat, tetapi disamping itu perlu melihat ke dalam, menyelesaikan masalah penindasan dan rasuah yang merebak di dunia Islam.
Dikeluarkan oleh Mohamed Azmin Ali, Oxford.

Rubin mendukung gagasan Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim berlepas ke New York untuk mengadakan pertemuan dengan Robert E. Rubin, Director, Chairman of The Executive Committee of Citigroup yang juga bekas Menteri Kewangan Amerika Syarikat.
Pada 1 Mac, pertemuan dengan Robert E. Rubin diadakan di Ibu Pejabat Citigroup, New York. Rubin mengulangi apa yang pernah diungkapkan dalam bukunya, “In An Uncertain World”. Dalam buku tersebut, Rubin yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Clinton, bersetuju dengan saranan Anwar bahawa krisis ekonomi berpunca bukan semata-mata dari negara-negara membangun selaku peminjam tetapi juga bank dan dana antarabangsa.

Penghantaran kapal perang, cabar wibawa Pak Lah

TASEK GELUGOR- 7 Mac: Tindakan Indonesia yang telah menghantar 4 buah kapal perang dan dijangka sebuah kapal selam mereka ke perairan Malaysia ekoran bantahan negara itu terhadap tindakan Petronas memberikan konsesi minyak kepada Shell bagi kawasan yang dipertikaikan pemiliknya, melambangkan wibawa Perdana Menteri sudah tercabar. “Apabila Indonesia menghantar kapal perang ke perairan Malaysia, menunjukkan mereka tidak menghormati Perdana Menteri kita, wibawa PakLah sudah tiada di mata mereka, perkara sedemikian belum pernah berlaku sebelum ini.” Demikian dinyatakan Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor, di Markas Tarbiyah PAS, Tasek Gelugor, dalam lawatan beliau ke Pulau Pinang.

“Saya tidak nampak masalah ini tidak boleh diselesaikan, sekiranya pemimpin negara mengutamakan kepentingan negara. Kita bimbang ada kepentingan lain, iaitu kepentingan perniagaan peribadi yang menambat rundingan kedua-dua negara”. Katanya.

Menurut Ezam, kerajaan perlu bertindak cepat dan tegas supaya konflik itu dapat diselesaikan dengan segera sebelum menjadi lebih rumit. “Jika pemimpin negara cekap dan ikhlas, mereka mampu menyelesaikannya dengan segera.” ujarnya. Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda PKR turut menyarankan, Perdana Menteri mengenepikan persoalan politik dengan meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pengaruh dan hubungan baiknya dengan kerajaan Indonesia untuk bersama-sama menyelesaikan masalah ini.“Perdana Menteri perlu mengenepikan persoalan politik dan meminta Datuk Seri Anwar bersama-sama membantu kerajaan menyelesaikan konflik ini.”

Media AFP bertarikh 3 Mac, melaporkan ketegangan antara Jakarta-Kuala Lumpur bermula sejak 16 Februari lalu apabila Indonesia telah membantah tindakan Petronas yang menyerahkan konsesi eksplorasi minyak kepada Shell di kawasan perairan yang dipertikaikan. Diberitakan, Kerajaan Indonesia telah menghantar nota bantahan kepada Kerajaan Malaysia.

Sebelum itu, dalam ceramahnya, Ezam menjelaskan Barisan Rakyat (BR) masih memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menunaikan janji-janjinya bagi membanteras rasuah dalam pentadbiran negara.“Sebab itu kita masih menyokong Pak Lah untuk menentang rasuah, tetapi sekiranya beliau gagal mengotakan apa yang diucapkan, giliran kita pula untuk bertindak,” ujarnya. Dalam pada itu, Ezam mahukan jentera semua peringkat, sama ada PKR dan PAS diperkuat dan diperkukuhkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memimpin jentera pilihan raya BR. “Kali ini pertarungan pasti berbeza, kerana panglima kita telah bebas,” katanya disambut laungan takbir dan reformasi oleh ribuan hadirin pada malam itu.

Tuesday, March 08, 2005

Rungutan awam

Malaysia Today

Di tengah-tengah masalah denggi, kita mendengar yang kabinet telah memutuskan untuk menghukum pihak berkuasa tempatan yang tidak menjaga kebersihan persekitaran kawasan di bawah bidang kuasa mereka.

Walaupun berita ini tidaklah begitu menarik, kepada orang awam yang tinggal di dalam kesusahan selama ini, ia tidak langsung memberi sebarang kelegaan kepada mereka.

Menurut Menteri Perumahan dan kerajaan tempatan Datuk Ong Ka Ting, rakyat biasa akan didenda jika mereka melanggar undang-undang alam sekitar, dan untuk berlaku adil, kerajaan tempatan juga sepatutnya disaman kerana gagal menjaga persekitaran tempat-tempat di bawah bidang kuasa mereka.

Jika kerajaan benar-benar serius untuk “berlaku adil, maka ramai orang pasti suka melihat perkara tersebut dijalankan.

Jika kita disaman kerana memandu laju di jalan raya, polis-polis yang melanggar lampu jalan raya mesti dihukum dengan lebih berat lagi.

Jika bekalan air dan letrik dipotong kerana kita tidak membayar tunggakan, syarikat kemudahan awam juga perlu diarahkan untuk memberi pampasan kepada pengguna kerana gagal menyediakan bekalan tanpa gangguan.
.
Jika kita didenda kerana mencemar persekitaran, kegagalan syarikat-syarikat pungutan sampah menjalankan kerja mereka untuk seminggu mesti dikenakan denda yang lebih berat.

Dengan berkata begitu, “budaya” kita selama ini adalah sebagai orang awam kita harus didenda dan dihukum untuk kesemua kesalahan yang kita lakukan, sementara jabatan-jabatan kerajaan mendapat kekebalan dari pihak berkuasa walaupun mereka melakukan perkara yang sama.

Jadi, kita kini tidak lagi peduli jika ianya adil ataupun tidak. Apa yang kita lebih prihatin adalah sama ada pihak kerajaan tempatan, yang sudah biasa mengeluarkan saman kepada orang seperti kita, akan merasa malu jika mereka sendiri ditahan kerana tidak menjalankan tanggung jawab. Adakah mereka akan berubah dan kembalikan kepada kita persekitaran kita yang bersih dan menyenangkan?

Apa yang lebih dirisaukan dan mencurigakan adalah sama ada saman-saman yang dikeluarkan kepada kerajaan tempatan boleh digunakan.

Tanpa ragu-ragu, kita akan terasa keperitannya jika disaman, kerana kita terpaksa mengeluarkan duit dari saku sendiri untuk membayarnya; setiap sen yang dibayar adalah dari hasil titik peluh kita sendiri. Tetapi bagaimana pula kepada pihak kerajaan tempatan? Setiap sen didalam akaun mereka adalah dari sumbangan dari setiap pembayar cukai. Dalam lain perkataan, akhirnya, kita juga yang masih membayar kerana ketidak cekapaan mereka.

Hasilnya, apa gunanya jika pihak kerajaan tempatan disaman sementara ketua mereka yang tidak bertanggungjawab masih lagi berkuasa?

Oleh kerana “mekanisma punitif” kita yang kurang jelas, rakyat masih tidak berpuas hati dengan pihak kerajaan tempatan dan sesetengah unit penguatkuasaan dan pentadbiran, dan perasaan tidak puas hati ini adalah hasil yang terkumpul dari dahulu lagi.

Sebagai contoh, gangguan bekalan air dan letrik adalah sesuatu yang biasa, melibatkan kehidupan orang awam dan menggangu pengeluaran kilang-kilang dan juga aktiviti komersial. Macam manakah kita tidak berasa marah?

Satu lagi contoh, projek mencantikkan sebahagian dari bandar telah dijalankan selama bertahun lamanya tanpa sebarang tanda jelas bila ianya akan siap, menggangu lalulintas dan menukarkan tempat-tempat letak kereta dan jalan menjadi lopak-lopak berlumpur. Bagaimanakah kita tidak berasa marah?

Satu lagi contoh, pusat perubatan yang mega, ultra moden telah ditutup buat “sementara” untuk beberapa bulan apabila baru dibuka kerana serangan kulat. Bagaimanakah kita tidak mengeluh kerana insiden mengarut seperti ini?

Dan jika itu tidak cukup lagi, meskipun dengan api yang merebak di tempat-tempat pembuangan sampah yang di bawah bidang kuasa mereka, dengan seriusnya mencemarkan persekitaran kita, pihak kerajaan tempatan mengambil setiap peluang untuk mencuci tangan mereka, sementara pihak kontraktor cuba menuding jari ke arah tuan punya tanah. Bagaimanakah kita mahu mendiamkan diri dengan udara yang kotor dan bertoksid ini selama berbulan-bulan?

Dan kemudiannya, di bandaraya-bandaraya yang mempunyai kadar peningkatan penduduk yang tinggi, jumlah sekolah rendah jenis Cina tidak pernah meningkat dengan kadar yang sama. Ibu bapa terpaksa berbaris semalaman untuk mendapatkan tempat yang amat terhad untuk anak-anak mereka. Bimbang dan keletihan, macam mana kita tidak mengamuk?

Secara ringkasnya, kita semua mempunyai hati yang baik. Selagi pihak kerajaan tempatan tidak melampau, kita tidak akan bergaduh dengan mereka. Tetapi oleh kerana Kabinet telah membuat keputusan, kita amat gembira untuk melihat keputusan itu dilaksanakan. Kita mahu melihat berapa banyak kerajaan tempatan yang akan terlepas dari dikenakan saman, kerana tiada satu pun kerajaan tempatan yang patut terlepas jika dilihat berdasarkan standard yang dikenakan ke atas rakyat!

ANWAR TERHARU SAMBUTAN DI MANCHESTER, UNITED KINGDOM - Rakyat Malaysia Di Manchester Puas Hati.

InfoM@RHAEN
dengan kerjasama Sekretariat Keadilan Antarabangsa Eropah & Penerangan Keadilan

--------------------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum Rakan-rakan sekelian.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa sungguh gembira dan terharu dengan sambutan masyarakat Malaysia di Manchester ketika kunjungannya ke sana Ahad lalu dan lebih terharu lagi apabila mengetahui bahawa mereka semua hadir dalam keadaan tekanan dari Kerajaan, agensi kerajaan serta Petronas yang amat kuat dengan risiko biasiswa ditarik balik, diberi surat tunjuk sebab atau dihantar pulang terus ke tanah air. Namun mereka tidak menghiraukannya dan datang beramai-ramai mengikuti program tersebut dari mula hingga akhir.

Walaupun tidak kesemua pelajar yang tinggal di Manchester hadir kerana khuatir akan dikenakan tindakan, namun kehadiran seramai tidak kurang dari 200 orang itu sudah cukup membuktikan bahawa Anwar Ibrahim adalah satu nama yang besar bukan sahaja di dalam senario politik di Malaysia, malahan juga di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, ramai pelajar yang telah mendapat panggilan telefon serta emel daripada penganjur masing-masing dan juga dari para pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London dan diugut agar tidak hadir ke sebarang program yang melibatkan Anwar Ibrahim. Lebih mengecewakan lagi, para pelajar juga dilarang dari bersua muka, bersalaman serta bertembung dengan beliau. Tekanan ke atas pelajar semakin kuat apabila tarikh kedatangan Anwar semakin hampir dan penganjur menerima maklumat seramai 10 orang anggota PDRM dari Bukit Aman telah tiba di Manchester 2 hari sebelum kedatangan Anwar bagi memantau keadaan seolah-olah undang-undang Malaysia diterima pakai di Britain. Ia juga ada berkaitan dengan kedatangan TPM pada minggu depan.

Hampir kesemua pelajar di Manchester yang menyatakan rasa minat untuk hadir tetapi khuatir akan dikenakan tindakan oleh penaja mereka menyatakan rasa kecewa mereka atas tindakan kerajaan Malaysia dan MSD menakut-nakutkan mereka seperti kanak-kanak kecil dan langsung tidak menggunakan kebijaksanaan dalam menjalankan tugas.

Mereka juga faham bahawa tindakan ini adalah kerana mereka (MSD) khuatir jika pelajar terpengaruh dengan Anwar yang dikenali berkarisma dan bijak berpidato akan menyebabkan sambutan lawatan Najib terjejas dan ini akan memalukan mereka (MSD dan pegawai-pegawai Najib).

Selain masyarakat Malaysia di Manchester, program tersebut juga mendapat perhatian daripada masyarakat Malaysia yang tinggal di Sheffield, Liverpool, Bolton, Birmingham, Edinburgh (Scotland), Dublin (Ireland), Cardiff (Wales) dan London. Ada yang datang sehari lebih awal dan menumpang di rumah kawan-kawan di Manchester bagi mengelakkan daripada terlewat dan terlepas peluang menatap wajah pemimpin kesayangan mereka serta bergambar dan bersalaman. Dewan juga dipenuhi oleh sebilangan masyarakat Britain keturunan Pakistan, India, Bangladesh dan Afghanistan serta pelajar-pelajar dari negara Indonesia, Singapura, Afrika dan Arab seperti Libya dan Mesir.

Anwar yang diiringi oleh Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Saudara Azmin Ali tiba dari Oxford tepat jam 12.55 minit tengah hari. Ketibaan beliau disambut oleh Presiden dan Naib Presiden Keadilan Antarabangsa Eropah serta Imam Masjid Khidzrah, Qari Badaruddin. Beliau beramah mesra bersama petugas-petugas program dan terus ke dewan sembahyang bagi mengerjakan Solat Zohor berjemaah.

Selesai solat, Anwar sambil diiringi oleh Timbalan Datuk Bandar Manchester, Afzal Khan turun ke dewan di tingkat bawah masjid tersebut. Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Imam Besar Masjid Khidzrah, Qari Badruddin. Kemudian syarahan yang dipengerusikan oleh Timbalan Datuk Bandar Manchester bermula dengan Anwar mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Keadilan Antarabangsa Eropah (KAE) serta United Kingdom Islamic Mission (UKIM) dan Pejabat Datuk Bandar Manchester kerana memberi peluang kepada beliau bertemu dan berdialog bersama warga Islam di Manchester dan juga rakyat Malaysia di sini. Anwar juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas sambutan yang tidak disangka-sangkakan.

Di dalam ucapan beliau, beliau menegaskan betapa pentingnya kepimpinan sebuah negara yang adil dan amanah dan beliau juga berkali-kali menekankan bahawa, jika sesuatu itu salah, ianya tetap salah dan patut ditentang habis-habisan begitu juga sebaliknya. Inilah yang beliau tekankan ketika bertemu dengan Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Paul Wolfowitz di Amerika baru-baru ini bahawa tindakan Amerika di Iraq adalah salah begitu juga dengan Israel di Palestin. Beliau bersetuju dengan tindakan Syria mengundurkan tentera mereka jika Amerika turut mengundurkan tenteranya dari Iraq dan Israel keluar dan wilayah Palestin.

Anwar juga mengajak umat Islam agar bersatu menentang keganasan dan bersama menaikkan semula Islam di mata barat dengan menghormati bangsa lain dan berharap barat akan turut menghormati umat Islam di seluruh dunia.

Beliau juga menyatakan keprihatinan beliau terhadap tindakan ke atas orang-orang Islam di Britain di mana mereka berada dalam keadaan yang serba salah akibat dicapkan sebagai pengganas hanya kerana mereka Islam. Beliau berharap agar kerajaan Britain akan lebih berhati-hati di dalam tindakan mereka membanteras pengganas di Britain dan tidak menganiaya orang Islam yang ikhlas menjalankan tanggungjawab mereka untuk agama. Ini adalah kerana berlakunya kejadian di mana rumah orang Islam di Britain ini diserbu oleh pasukan anti-pengganas Britain dan mereka ditahan tanpa bukti yang jelas dan akhirnya mereka dibebaskan oleh mahkamah Britain kerana ketiadaan bukti bagi mendakwa mereka dengan undang-undang anti-keganasan yang baru digubal oleh Parlimen Britain.

Ketika ditanya oleh salah seorang yang hadir mengenai kejadian yang menimpa ke atas beliau, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam kepada sesiapa pun, dan sudah pun memaafkan mereka yang menganiaya beliau. Namun, beliau tetap tidak akan melupakan apa yang terjadi ke atas dirinya dan kesengsaraan serta tekanan yang dialami oleh keluarga beliau dan rakan-rakan beliau termasuk beribu-ribu penyokongnya ketika dipenjarakan. Anwar menyatakan bahawa beliau tahu dan mengambil berat ke atas nasib penyokongnya yang dipukul, ditangkap dan dipenjarakan kerana dirinya dan berjanji akan berusaha membantu apa yang terdaya apabila pulang nanti.

Anwar meluahkan kekecewaan beliau kerana keadaan rasuah di Malaysia bertambah menjadi-jadi sekarang dari apa yang berlaku sewaktu beliau di dalam kerajaan. Beliau menyatakan bahawa dirinya didakwa dan dipenjara atas tuduhan rasuah walaupun tidak melibatkan sesen wang pun tetapi mereka yang jelas melakukan rasuah dengan jumlah yang begitu banyak, bebas melakukannya dan masih lagi dibiarkan walaupun ada bukti jelas mengenai kelakuan mereka.

Ucapan beliau keseluruhannya dilakukan di dalam bahasa Inggeris dan diselang-selikan dengan Bahasa Malaysia bagi menghormati masyarakat antarabangsa yang hadir.

Anwar juga dengan lantang menyatakan rasa kecewa beliau di atas tindakan kerajaan Malaysia yang menghalang para pelajar daripada bertemu dengan beliau kerana ini amat bertentangan dengan semangat dan amalan demokrasi di negara ini dan juga di Malaysia. Katanya “saya mendapat tahu, pelajar akan dikenakan tindakan seperti diberi surat tunjuk sebab, ditarik balik biasiswa atau dihantar terus pulang ke Malaysia jika mereka didapati hadir di mana-mana program saya malah mereka juga dilarang daripada bertembung atau bersalaman dengan saya”.

Tambah beliau “ketika saya menjadi Menteri Pendidikan dahulu, saya menggalakkan para pelajar dari pelbagai peringkat bertemu dan berdialog dengan sesiapa sahaja dengan fikiran terbuka agar mereka dapat memperolehi ilmu dari mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan, ini tidak, pelajar dilarang, macam mana mereka hendak maju?”

“Saya telah nyatakan akan hal ini kepada Presiden University Oxford, Chris Patten dan beliau mengambil berat akan hal ini dan berjanji akan bertindak jika terdapat pelajar Malaysia yang dikenakan tindakan oleh kerajaan Malaysia. Gordon Brown, (Menteri Kewangan dan Menteri Kanan Britain) juga berjanji akan membantu di pihak kerajaan Britain”. Oleh itu, Anwar meminta mana-mana pelajar yang menerima surat dari penganjur mereka walau rakaman percakapan telefon sekali pun, diminta menghubungi beliau atau Chris Patten di Oxford University bagi tindakan selanjutnya.

Pertemuan selama 3 jam itu memberikan hasil yang amat positif kepada Anwar dan mereka yang hadir dan banyak persoalan yang selama ini bermain di fikiran dan benak mereka yang hadir terjawab dan ramai yang menyatakan rasa gembira dan puas hati yang tidak terhingga..

Selepas program ditutup dengan bacaan doa oleh Imam Badruddin, Anwar diserbu oleh pelajar dan masyarakat Malaysia serta antarabangsa untuk bersalaman, bertanya khabar dan bergambar. Perkara yang sama juga berlaku ke atas Wan Azizah di mana beliau diserbu oleh kaum wanita yang hadir yang terdiri dari pelajar dan isteri-isteri yang menemani suami belajar juga sebahagian pemastautin tetap di sini.. Anwar dan Wan Azizah mengambil masa selama hampir 30 minit untuk bergerak dari pentas tempat beliau berucap ke meja makan yang hanya terletak dalam lebih kurang 15 meter sahaja lantaran terlalu ramai yang berpusu-pusu untuk bergambar dengan beliau.

Di dalam satu program yang berasingan, Anwar menegaskan bahawa beliau begitu yakin dengan perjuangan Parti Keadilan Rakyat dan teguh dengan komitmen beliau terhadap Parti. Beliau juga berkata bahawa PKR adalah sebuah parti yang terbaik di Malaysia. Namun, beliau akui akan kekuatan BN dan UMNO buat masa ini dan berharap agar semua pemimpin dan ahli PKR tak kira di mana sahaja berada agar bekerja lebih kuat lagi bagi menjamin kejayaan parti.

Anwar berkata demikian ketika berehat sambil bertemu ahli-ahli KAE dan penyokong Barisan Alternatif di kediaman Presiden Keadilan Antarabangsa Eropah di sana selepas program berakhir.

Beliau berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada semua pendokong KAE di atas segala daya usaha untuk menganjurkan program ini walaupun menghadapi tekanan yang amat kuat dan berjanji untuk membantu sehingga ke keringat terakhir jika sekiranya ada di antara mereka yang diambil tindakan oleh pihak penaja mereka.

Dalam isu penubuhan IRC, Anwar dengan jelas menyatakan bahawa walaupun Parti Keadilan merupakan sebuah Parti yang berbilang bangsa dan agama secara total, namun beliau tidak merasa apa-apa masalah jika IRC ditubuhkan asalkan ianya dianggotai oleh mereka-mereka yang bukan beragama Islam.

Apabila ditanya mengenai desas desus yang mengatakan bahawa beliau diramalkan akan menjadi PM selepas Pak Lah dan akan melatih Khairy Jamaluddin bagi menggantikan beliau selepas itu, Anwar menjelaskan bahawa daripada beliau melatih Khairy, adalah lebih baik beliau melatih ahli PKR yang lain yang lebih komited dengan perjuangan PKR. Beliau menganggap ini adalah perkara biasa di dalam politik dan tidak mengambil berat akan hal ini.

Anwar menjelaskan bahawa agenda beliau sekarang adalah membawa Parti Keadilan ke peringkat antarabangsa bagi mendapat pengiktirafan dan sokongan di seluruh dunia dengan bantuan ramai rakan dan kenalan beliau sewaktu beliau di dalam kerajaan dahulu. Katanya, apabila PKR telah kuat di peringkat antarabangsa, maka beliau akan pulang ke tanah air dan dengan bekalan kekuatan jentera parti, beliau akan memacu PKR ke arah sebuah parti yang benar-benar kukuh dan kuat dan mendapat keyakinan rakyat untuk memerintah negara. Ini juga kata beliau, merupakan kelebihan bagi Barisan Alternatif kerana PAS agak sukar untuk mendapat tempat yang sebegini di peringkat antarabangsa terutama di negara barat kerana imej Islam mereka yang belum boleh diterima oleh barat terutama Amerika dan Eropah buat masa ini, begitu juga dengan DAP.

Anwar menegaskan bahawa beliau akan bekerjasama dengan Presiden PAS Tn. Guru Datuk Seri Hj. Hadi Awang di dalam meningkatkan sokongan rakyat kepada Barisan Alternatif.

Anwar dan rombongannya meninggalkan Manchester tepat jam 5.30 petang dengan penuh kepuasan dan bagi penyokong PKR dan Barisan Alternatif di Manchester mereka merasa sungguh berpuas hati dapat melepaskan rindu untuk menatap wajah pemimpin kesayangan mereka dan sepakat menyatakan bahawa Anwar Ibrahimlah satu-satunya pemimpin yang benar-benar layak memimpin Malaysia ketika ini dan berikrar akan berusaha sedaya yang termampu untuk membantu memastikan kejayaan PKR dan Barisan Alternatif di dalam setiap pilihan raya di masa akan datang.


SEKRETARIAT
KEADILAN ANTARABANGSA EROPAH (KAE)
MANCHESTER
UNITED KINGDOM (est. 2000)

Saturday, March 05, 2005

Anwar Di Oxford Menggugat UMNO

(Anwar Ibrahim at Oxford menaces UMNO)
Oleh: MGG Pillai
--------------------------------------------------------------------------------

Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim kini menetap di St. Anthony’s College, Oxford. Berita ini diketahui juga oleh salah seorang graduan universiti itu yang memihak kuat kepada kerajaan. Salah satu peranan beliau selepas bersara dengan kerajaan ialah menyekat pemberian dana kepada Anwar oleh Pusat Pengajian Islam di Oxford yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi. Sejurus mengetahui berita itu, si malaun ini termanggu setakat tidak terkena serangan jantung sahaja ketika itu. Namun dia bertenang semula setelah diberitahu bahawa pusat itu tidak akan diganggu-gugat oleh Anwar.
Kerajaan Malaysia tidak sedar betapa kuasanya tidak mencengkam melepasi sempadan negaranya. Walaupun ia mampu mencengkam kuasa daripada tampuk pusatnya, kuasa itu tidak berguna di Oxford. Kerajaan Malaysia berfikiran bahawa kalau Anwar mahu mendapat tempat terhormat di Oxford ia mesti melalui ehsan kerajaan Malaysia sahaja. Memang sudah beberapa minggu dahulu lagi saya dan beberapa ramai orang yang lain sekitar beberapa ratus orang sahaja yang sudah mengetahui rencana Anwar untuk menonjol di Harvard dan Oxford. Gabenor British di Hong Kong yang terakhir dan kemudiannya menjadi Pesuruhjaya European Union untuk urusan luar negara, Sir Christopher Patten telah memberikan sokongan untuk Anwar menetap di St. Anthony’s College. Di sana Anwar dijangka akan menulis sebuah buku mengenai pengalaman beliau semasa meringkuk dalam penjara. Inilah yang menjadi punca keresahan ramai malaun dalam UMNO gara-gara isi kandungan yang akan terdedah.

Ketika berada di London Anwar telah bertemu dengan mantan Naib Presiden Amerika, Al Gore. Mantan Naib Presiden ini sudah menjadi seorang pelopor satu kumpulan pemikir yang bergelar ‘Generations’. Kumpulan pemikir ini ditaja oleh beberapa bank pelaburan yang tersohor, dan salah satu pelanggan kumpulan ini ialah Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Anwar telah turut menemui tokoh lain seperti Mr. Gordon Brown bekas Chancellor Exchequer (setara dengan Menteri Kewangan) Britain, yang memang merupakan seorang sahabat lama Anwar semasa memegang jawatan dalam kerajaan dahulu. Kerajaan Malaysia sudah kerisauan kalau-kalau mahasiswa Malaysia yang menuntut di Oxford dan pusat pengajian tinggi yang lain akan menderu berbondong-bondong menemui Anwar. Memang sudah ada usaha menyekat gelagat itu, tetapi akhirnya nanti kerajaan sendiri akan terkejut dengan kesannya.

Anwar sudah mampu memulihkan kembali imejnya di peringkat antarabangsa dengan menyambung hubungan lama, sambil memberikan tonjolan betapa beliau memang seorang ahli politik yang sejati, tahu apa yang dilakukannya dan beliau memang banyak membaca. Sejurus beliau keluar daripada penjara, saya pernah berborak dengan beliau akan buku-buku yang pernah dibacanya. Jelas beliau memang terpaut kepada tulisan yang terkini dan beberapa banyak buku yang saya pernah membacanya sebelum itu telah dijadikan rujukan untuk beliau membetulkan kefahaman saya kerana saya mungkin terlupa ataupun tertinggal sebahagian yang patut benar-benar difahami. Kerajaan Malaysia pernah memperkecilkan keupayaan Anwar dengan sekatan hukuman Undang-undang untuk menyekat kemaraan beliau berpolitik semula. Namun, Anwar terus bersiap diri untuk menyertainya kembali, bukan semestinya pada pilihan raya yang akan datang ini, tetapi bila-bila masa sahaja.

Sebelum berlepas ke luar negara Anwar telah mengutuskan pesanan kepada Najib Tun Razak yang begitu melalak mengaib dan merendah-rendahkan kewibawaan Anwar. Anwar telah berpesan, seandainya Najib terus melalak lagi Anwar akan bertindak balas sehinggakan berita tindakan itu akan menjadi berita tajuk muka depan akhbar arus perdana The New Straits Times. Sungguh mengancam berita ini kerana NST adalah sebuah akhbar yang menaruh sikap benci tetapi rindu terhadap Anwar. Ada lagi satu sudut pesanan ini yang tidak didedahkan, tetapi amat jelas apa yang tidak disebut itu ialah kisah wujudnya seorang Tun Kepala Taik yang menjadi penyokong kuat kepada Najib. Memang jelas betapa hubungan politik antara Pak Lah dan Dato’ Najib sudah sampai menghampiri garisan berantakan. Memang kedua-dua pihak ini sudah tidak begitu selesa kalau melihat ke arah mana Anwar akan condong, pihak itulah nanti yang akan meraih untung. Sedangkan Anwar sudah jelas menyatakan sejak dahulu lagi yang beliau tidak akan rujuk semula menganggotai UMNO.

Gara-gara dipecat dan diaibkan pada 1998 dahulu, UMNO telah tinggal terkapai-kapai sehinggakan para pemimpinnya sudah berubah perangai laksana zombie dan polong tak bertuan, takut dan kecut bertindak kerana kegusaran apakah tindak balas Anwar seterusnya. Semasa perhimpunan tahunan UMNO pada September dahulu, Anwar baru sahaja dibebaskan. Baru sahaja dua minggu beliau merasa kebebasan, persidangan berkenaan telah meluluskan satu resolusi menyekat kemasukan semula beliau ke dalam UMNO. Namun demikian, Anwar yang tidak kelihatan ketika itu menjadi bintang berkerlipan di sidang tersebut. Walaupun secara rasminya beliau dianggap tidak wujud dan terus diserang dengan kata-kata retorik belaka, beliau tetap menjadi tajuk perbualan di mana sahaja orang bersua muka. Tidak ada yang berubah selepas itu. Semasa Anwar muncul di rumah majlis jamuan terbuka Hari Raya di kediaman Pak Lah di kawasan pilihan raya beliau, ketokohan beliau semakin menyerlah lebih-lebih lagi apabila Pak Lah tidak membalas kunjungan itu ke kediamannya pula.

Anwar tidak membuat kunjungan hari raya ke rumah kediaman Najib Tun Razak kerana alasan yang amat bernas. Najib pernah mengepalai satu Jawatankuasa khas untuk menyediakan satu rakaman video yang mendakwa Anwar bersenggama dalam perbuatan homoseks dengan seorang pondan Cina. Rakaman itu telah dibuat begitu tidak profesional sehingga tidak meyakinkan. Semasa ia ditayangkan kepada kumpulan Duta-duta Malaysia yang diterbangkan pulang secara khusus untuk bersama dengan pegawai tinggi tentera menontonnya, tidak ada sesiapa yang mempercayai perbuatan itu dilakukan oleh Anwar. Dalam sesi yang berasingan seorang Duta Malaysia dan seorang pegawai tinggi tentera telah membuat komen: “Bagaimana mungkin Anwar mempunyai rambut yang panjang semasa membuat aksi terkutuk itu tetapi kelihatan mempunyai rambut yang pendek ketika berehat?” Beberapa bulan yang lalu, seorang pegawai utama dalam konspirasi tersebut telah mendedahkan kepada Anwar bagaimana rakaman pita video itu telah dilaksanakan.

{Catatan: Seorang Duta yang sudah bersara telah mengirimkan komen ini sejurus membaca artikel saya dan membetulkan para di atas: “Saya baru sahaja membaca artikel saudara mengenai Anwar di Oxford dan ingin membetulkan kisah majlis pertemuan para Duta dengan Ketua Polis Negara ketika itu, kerana saya turut menghadirinya.. Kami tidak pun ditunjukkan gambar-gambar Anwar dengan gelagat homoseks dengan pondan Cina, tetapi telah diberikan begitu banyak gambar hotel dan bilik-bilik hotel yang dikira sebagai tempat Anwar melakukan kerja-kerja tersebut dengan lelaki. Ada juga rakaman apa yang dikatakan perbualan telefon Anwar dengan kekasih beliau. Semua itu tidak meyakinkan dan memang amat meloyakan.

{“Saya memang mengagumi Anwar kerana kepintarannya dan beliau bercakap dengan kami dengan lantang akan wawasannya terhadap mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bertoleransi dan terbuka. Ini adalah kejadian sebelum perhubungan beliau dengan Mahathir menjadi retak. Katakanlah beliau biseksual dan walaupun ketiadaan buktinya, saya tidak kisah sangat akan perkara itu. Memang ramai pemimpin tinggi kita yang sebenarnya mempunyai perangai yang buruk-buruk belaka.” – MGG: Saya sedia ditegur akan kenyataan ini. }

Sejurus beliau dibebaskan, Dato’ Seri Anwar telah bercakap dengan saya betapa beliau enggan terpaut kepada kisah silam ataupun mengelaknya kecuali beliau diancam. Kalau musuhnya dalam UMNO membiarkan sahaja perkara itu, mujurlah begitu. Ramai pemimpin UMNO yang kehairanan betapa ramai sangat pemimpin UMNO yang lain yang tertarik kepada Anwar. Seandainya beliau menganggotai parti itu semula beliau akan diangkat untuk memegang tampuk kuasa dengan pilihan suara yang besar. Sudah tentu ini mencetuskan implikasi besar kepada mereka yang masih mengepalai UMNO dan rakus serta tidak sehaluan dengan Anwar. Mereka semakin gusar betapa walaupun Anwar masih berada di luar UMNO beliau masih mampu mengkucar-kacirkan kerjaya politik mereka.

Apa pun, sudah jelas betapa Anwar tidak ingin membazirkan masa dengan karenah UMNO, dan perbuatan ini amat berbeza dengan musuhnya dalam UMNO yang masih yakin bahawa Anwar akan cuba memusnahkan UMNO. Anwar menjawab betapa beliau tidak perlu menghancurkan UMNO kerana UMNO akan secara tersendirinya dimusnahkan daripada dalam, tanpa sebarang bantuan darinya. Sekarang ini UMNO sedang kekalutan dan pada persidangan 2007 nanti sudah pasti ramai pemimpin yang sedia ada akan tergugat dan disagat. Perpecahan sudah semakin kuat dan ketara sehingga sukar untuk diperbaiki semula. Segelintir ketua yang masih kelihatan perkasa waktu ini akan terkejut beruk juga.

Kewujudan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menentukan fenomena ini. Beliau telah merombak Keadilan agar setiap Ketua Bahagian mesti menetap di negeri yang mereka pimpin dan tidak lagi di Kuala Lumpur. Beliau telah melakukan rombakan pada parti itu daripada peringkat akar umbinya. Namun beliau tidak layak bertanding pada pilihan raya 2008 nanti. BN terpaksa mengadakan pilihan raya sebelum tarikh itu. Inilah yang akan menggugat UMNO sehingga tidak dapat membaiki keadaannya. Tidak kiralah kalau pilihan raya itu diadakan sebelum ataupun selepas persidangan tahunan parti. Lebih-lebih lagi kalau buku tulisan Anwar mengenai kejatuhannya itu laris terjual untuk menjadi bahan bakar yang menghanguskan UMNO.

Tidak ada seorang insan pun dalam UMNO yang mempunyai kewibawaan untuk melupakan Anwar dan menjadikan UMNO sebuah parti yang mampu memperkecilkan ketokohan Anwar. Kekalutan dalam UMNO sudah menjamin perkara semacam itu sebagai satu ilusi sahaja. Kini, dengan beradanya Anwar di Oxford dan Harvard, kerajaan BN sedang dihantui satu ancaman yang lebih besar lagi. Satu ketika dahulu kerajaan mencetuskan pelbagai karenah semasa Anwar meminta bantuan dihantar ke luar negara untuk mendapatkan rawatannya. Kini, semua itu dilupakan kerana telah dibayangi oleh kegerunan kerajaan akan apa yang mampu Anwar lakukan untuk tahun hadapan. Tidak ada yang mampu dilakukan oleh BN dan UMNO mengenai perkara itu. Namun demikian inilah situasi yang akan terus menjadi mimpi ngeri mereka.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com

Komen Marhaintua: Kuasa Allah amat nyata: Anwar akan berada di Oxford dan Harvard bercakap kepada bakal pemimpin dunia. Tun Kepala Taik akan berada di Sri Lanka bercakap kepada siapa??? Takkan kepada bakal pemimpin Tamil Eelam??

Thursday, March 03, 2005

Anwar Ibrahim mengambil pendekatan berdialog dengan pentadbiran Washington

Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini sedang giat mengadakan dialog dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan di Barat dan Timur Tengah dalam usaha beliau untuk menggalakkan peningkatan kefahaman mengenai tamaddun dan agama.

Beberapa hari yang lalu ( 23 Februari 2005 ), ketika di London, Anwar mengadakan perbincangan dengan Al Gore, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat dan Mary Robinson, bekas Presiden Ireland ( 1990 – 1997 ) dan United Nations High Commissioner for Human Rights. Al Gore mengulangi tentangannya terhadap penglibatan tentera Amerika Syarikat di Iraq dan menyokong kuat gagasan Anwar untuk meningkatkan dialog antara Islam dan Barat.

Anwar menjelaskan bahawa beliau bersama beberapa pemimpin masyarakat dan tokoh-tokoh perniagaan telah menerima undangan Al Gore untuk menganggotai Lembaga Penasihat sebuah syarikat pelaburan antarabangsa, Generation Investment Management Group yang berpusat di London. Generation Investment Management Group menekankan konsep pelaburan yang terikat kepada prinsip etika dan alam sekitar. Mesyuarat pertama Lembaga Penasihat berlangsung di London pada 23 Februari 2005 yang lalu.

Ketika di Washington D.C. pada 24 Februari, Anwar juga diraikan dalam satu majlis makan tengahari oleh Jim Wolfensohn, Presiden Bank Dunia di pejabatnya. Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, isteri Jim, Elaine serta Azmin Ali.
Anwar diberikan taklimat ringkas mengenai suasana ekonomi dunia yang semakin muram khususnya di Asia Tenggara dan juga program-program yang sedang dijalankan oleh Bank Dunia khususnya untuk membangunkan semula negara-negara yang terlibat dengan Tsunami.
Pada sebelah petang, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Penasihat Presiden Bush dan Pengarah National Security Council, Elliots Abrams di White House. Dalam pertemuan selama 45 minit, Elliots berkongsi pandangan dengan Anwar mengenai usaha untuk mewujudkan keamanan dunia.
Pemangku Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Robert Zoellick juga menemui Anwar di hotel penginapannya di Washington D.C. pada 24 Februari.

Zoellick yang baru dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Negara bertanggungjawab di atas perkembangan politik dan pembangunan di Timur Tengah.

Zoellick meninjau pandangan Anwar mengenai masalah ketegangan di antara Islam dan Barat khususnya Amerika Syarikat.
Anwar memulakan penjelasan dengan menyatakan penghargaan beliau kepada pentadbiran Amerika Syarikat yang secara tuntas prihatin terhadap masalah yang menimpa beliau sebelum ini.
Dalam menghimbau permasalahan politik antarabangsa terutamanya yang menyangkut kedudukan umat Islam, Anwar menegaskan betapa perlunya sikap sederhana bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi juga pentadbiran di Washington D.C. Menurut Anwar lagi, umat Islam merasa resah kerana persepsi di kalangan mereka, umat Islam tidak diberikan keadilan. Walau bagaimanapun, Anwar tetap menyokong langkah mendesak pengunduran tentera asing dari negara berkaitan seperti tentera Syria di Lebanon, tentera Israel di tanah jajahan Palestin dan tentera penaklukan Amerika Syarikat di Iraq.

Zoellick menegaskan bahawa berbeda daripada tanggapan umum, pentadbiran Amerika Syarikat tetap mendukung prinsip kebebasan dan menganjurkan dialog di antara Barat dan Islam.
Sekembali dari Jacksonville, pada 27 Februari, Anwar singgah semula di Washington D.C. untuk mengadakan perbincangan dengan bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeline Albright.
Semasa menjadi Setiausaha Negara, Madeline Albright paling tegas mengecam sistem perundangan Malaysia yang tidak adil dan menganggap Anwar sebagai tahanan politik. Kini selaku Pengerusi Institut Demokratik Kebangsaan ( NDI ), Albright bersedia memberikan kerjasama bagi menjayakan rencana dialog Islam dan Amerika Syarikat.
Dikeluarkan oleh Mohamed Azmin Ali, Oxford

Anwar minta Wolfowitz ambil pendekatan ‘constructive engagement’ dengan negara-negara Islam

Sebelum itu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Paul Wolfowitz, Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Pentagon pada 24 Februari 2005. Perbincangan selama satu jam ini memberi tumpuan kepada perkembangan pasca pilihan raya di Iraq, konflik di antara Barat dan Islam serta program pembangunan semula Acheh.
Walaupun perbincangan berjalan dalam suasana yang harmoni namun Dato’ Seri Anwar menegaskan perbedaan pandangan beliau mengenai pendekatan Amerika Syarikat dalam menangani persoalan keganasan global.

Anwar mahu Amerika Syarikat mengambil pendekatan “constructive engagement” dalam menjalin hubungan dengan negara-negara Islam; dan tidak dilihat sebagai angkuh dengan pendekatan keras dan mengenepikan muafakat dan tidak mengambil pendekatan unilateral yang menjadi amalan pentadbiran Bush hari ini.
Anwar memberikan contoh Indonesia di mana sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam terbesar di dunia mampu membuat transformasi dan reformasi ke arah penyuburan demokrasi dan kebebasan media dengan aman dan teratur. Justeru itu, Anwar bersetuju dengan dasar pentadbiran Amerika Syarikat yang menyokong prinsip kebebasan.

Anwar yakin bahawa sebarang kemajuan positif ke arah demokrasi yang berlaku dalam mana-mana negara Islam akan memberikan dampak kepada negara Islam yang lainnya.

Pada masa yang sama, Anwar juga menegur sikap sebahagian besar pemimpin negara-negara Islam yang tidak konsisten – lebih cenderung untuk menyerang Amerika Syarikat tetapi bersikap ganas terhadap rakyat negara masing-masing termasuk menyekat kebebasan media, menghalang usaha ke arah demokrasi dan mengekalkan undang-undang kuku besi seperti ISA. Sebagai contoh, kata Anwar, terlalu mudah bagi pemimpin-pemimpin negara-negara Islam membangkitkan kemarahan umat Islam mengenai kezaliman tentera Amerika Syarikat di penjara Abu Gharib di Iraq tetapi pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin ini mengamalkan kekejaman di penjara negara masing-masing.

Anwar sekali lagi menegaskan pendirian beliau yang mahu tentera Amerika Syarikat segera meninggalkan bumi Iraq, mendukung desakan pengunduran tentera Syria dari Lebanon dan tentera Israel dari tanah jajahan Palestin.

Anwar juga menjelaskan kepada Paul Wolfowitz bahawa laporan yang mengatakan bahawa Sheikh Yusuf al-Qardawi pernah mengeluarkan fatwa membenarkan pembunuhan rakyat Amerika dan orang awam adalah tidak benar dan berniat jahat. Anwar mendesak Amerika Syarikat supaya membetulkan pandangan serong mereka terhadap Sheikh Yusuf al-Qardawi kerana beliau sendiri telah bertemu dengan Sheikh Yusuf al-Qardawi di Qatar beberapa bulan lalu untuk mendapatkan penjelasan. Anwar mempertahankan bahawa Sheikh Yusuf al-Qardawi adalah seorang ulama’ besar yang sentiasa mengambil pendekatan yang sederhana dan terbuka kepada dialog dan perbincangan. Anwar mengulangi pendiriannya bahawa sebarang perbedaan pendapat tidak wajar menjurus kepada ketegangan.
Anwar kini sedang giat mengadakan dialog dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan di Barat dan Timur Tengah dalam usaha beliau untuk menggalakkan peningkatan kefahaman mengenai tamaddun dan agama.

Kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Mohamed Azmin Ali, Oxford, 3 Mac 2005

Kofi Annan: Peranan Anwar lebih besar untuk keamanan dunia Islam dan Barat

Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba di Washington D.C., Amerika Syarikat lewat malam, Rabu (23 Februari 2005) untuk memulakan lawatan kerja selama 7 hari. Anwar mempunyai jadual yang ketat di sepanjang tempoh lawatan pertama beliau ke Amerika Syarikat selepas Mahkamah membebaskan beliau dari penjara lebih 5 bulan yang lalu. Turut sama dalam lawatan ini ialah YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (keADILan); Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD); dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden keADILan.

Sebelum ini, Anwar telah melakukan lawatan kerja ke Arab Saudi, Afrika Selatan, Indonesia, Abu Dhabi dan Qatar. Anwar dan rombongan yang tiba dari London di Lapangan Terbang Washington Dulles disambut oleh pegawai-pegawai yang diketuai oleh Edward J.Bolton, Timbalan Pengarah dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Amerika syarikat.

Anwar berlepas ke New York pada hari Isnin (28 Feb) untuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan. YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Azmin Ali dan Michael Moller turut serta dalam pertemuan dengan Kofi Annan di Ibu Pejabat PBB. Kofi melahirkan keprihatinan terhadap Dato’ Seri Anwar dan melahirkan rasa gembira di atas pembebasan beliau.

Kofi adalah di kalangan pemimpin dunia yang menyuarakan pandangan beliau terhadap layanan buruk yang diberikan kepada Anwar semasa di dalam tahanan dan juga prihatin terhadap kebebasan mahkamah di Malaysia. Kofi meminta Anwar supaya dapat bersama-sama menyumbangkan peranan yang lebih besar di pentas dunia untuk mewujudkan suasana yang lebih aman dan harmoni khususnya di antara Islam dan Barat.
Kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Mohamed Azmin Ali, Oxford, 3 Mac 2005

Wednesday, March 02, 2005

25 keluarga Setinggan Mangsa UMNO Cawangan

AMPANG, 2 Mac - 17 keluarga malang di Kampung Sri Damai, Ampang, Selangor telah tercicir dalam program pemindahan setinggan ke penempatan baru mereka. Manakala 8 lagi keluarga telah membayar sejumlah wang kepada kepimpinan UMNO cawangan tetapi akhirnya mereka juga tidak mendapat rumah yang dijanjikan.
Inilah antara masalah yang disampaikan oleh penduduk terlibat dalam satu pertemuan dengan Syed Nazarudin Syed Aziz, Pengerusi Biro Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Faisal Mustaffa, Exco Angkatan Muda Keadilan Pusat hari ini.

Kampung Sri Damai yang mempunyai lebih 200 buah rumah terletak di antara Taman Kencana, Ampang dan Kampung Cheras Baru dan telah wujud lebih 20 tahun yang lalu. Asalnya kawasan ini berukuran 15 ekar ini adalah bekas lombong tinggal yang mana 8 ekara darinya telah ditimbus dan dibangunkan oleh penduduk semenjak 1984 lagi.
Dalam program pemindahan pada bulan November 2004 itu, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah memindahkan kira-kira 198 keluarga ke penempatan baru mereka di di kawasan Pangsapuri Intan, Bukit Permai yang terletak berhampiran Cheras Baru.
Ramai yang tercicir tadi mengadu kepada Angkatan Muda bahawa pihak MPAJ telah telah dua kali membanci rumah mereka pada tahun 1997 dan bancian kedua pada 2000 dan nama-nama mereka telah dimasukkan dalam senarai permindahan tetapi mereka kecewa apabila tidak dipanggil untuk mencabut undi pemilihan rumah. Mereka juga mempertikaikan bagaimana sekumpulan 15 keluarga ahli MIC yang tidak menetap di kampung tersebut juga mendapat rumah di kawasan penempatan baru tersebut.

Di samping mempertikaikan bagaimana beberapa orang kepimpinan UMNO cawangan mendapat masing-masing mendapat 3 buah rumah setiap seorang, mereka juga mempersoalkan bagaimana orang-orang luar kawasan yang langsung tidak terlibat dengan pemindahan setinggan juga mendapat rumah di pangsapuri kos rendah tersebut.

Tambah mereka lagi, apabila dirujuk kepada ketua UMNO dan Ketua Penerangan cawangan, mereka cuba mengelak dengan mengatakan keputusan dibuat oleh pihak MPAJ bukannya mereka, tetapi sebaliknya mereka ini (pemimpin UMNO cawangan tersebut) mendapat 3 buah rumah setiap seorang di kawasan penempatan baru tersebut.
Ada di kalangan penduduk yang malang sanggup membayar di antara RM300 hingga RM500 setiap keluarga seperti yang ditawarkan Ketua Cawangan / Ketua Perhubungan Cawangan untuk mendapatkan rumah tetapi akhirnya hampa dan sebaliknya wang yang dibayar tidak dipulangkan kepada mereka. Salah seorang ibu tunggal, Puan Jemaah Bte Abd. Majid, 45, mempunyai tanggungan 2 orang anak dan 4 orang anak saudara juga dijanjikan rumah tetapinya akhirnya hampa. Jemaah yang bekerja sebagai pekerja housekeeping di sebuah hotel di bandaraya sekarang terpaksa menyewa sebuah rumah teres dengan sewaan RM400 sebulan. Beliau telah merayu agar dipertimbang untuk mendapat rumah seperti yang dijanjikan tetapi Ketua Penerangan UMNO cawangan telah meminta wang pendahuluan RM500. Jemaah gagal untuk memberi wang tersebut kerana kesempitan wang.
Pihak-pihak yang terlibat telah beberapa kali bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lembah Jaya, Dato Ismail Kijo dan juga Ahli Parlimen kawasan Ampang Jaya, Ong Tee Kiat, yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan tetapi tiada sebarang tindakan positif telah diambil.

Sebilangan penduduk yang telah mendapat rumah di pangsapuri penempatan baru tersebut juga mengadu bagiamana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meluluskan Sijil Kelayakan Menduduki Rumah (CF) sedangkan pangsapuri mereka terletak begitu hampir dengan bongkah-bongkah batu besar dan tebing tinggi bukit yang begitu curam. Mereka sentiasa dalam keadaan gelisah apabila berlaku hujan lebat , khuatir berlaku sebarang tanah runtuh dari tebing bukit berdekatan dengan pangsapuri mereka.

Mereka juga mengadu bahawa Adun sebelum ini telah menjanjikan mereka untuk pampasan wang lori sebanyak RM450.00 semasa permindahan tetapi akhirnya mereka terpaksa menangung sendiri kos pengangkutan tersebut.
17 keluarga yang terlibat serta 8 lagi yang membayar untuk mendapatkan rumah tetapi tidak mendapatkannya telah sepakat untuk menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk membuat laporan polis terhadap pemimpin UMNO cawangan di atas penyelewengan pemberian rumah tersebut serta salahlaku mengambil wang mereka. Mereka juga bercadang mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua MPAJ untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan rumah.