Ucapan Dasar Presiden keADILan,Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail - "MARI MENUJU KEJAYAAN"
Assalamualaikum w.b.r Para Perwakilan dan Pemerhati sekalian, Hari ini kita bertemu dan berkongres di sebuah ruang rakyat; di Dewan Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban. Terima Kasih -, Xie-xie - rumbe nandri; thank you yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan sekolah yang membenarkan kami menggunakan dewan bersejarah ini. Parti Keadilan Rakyat akan terus mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan yang memertabatkan Bahasa Melayu. Keadilan juga berikrar akan mempertahankan hak Sekolah jenis Kebangsaan, bahasa ibunda Cina dan Tamil. Kongres kali ini diadakan dalam keadaan paling dekat dengan Pilihanraya Umum ke-12 yang kita jangka adakan diadakan selewat-lewatnya awal Ogos ini. Tindakan Perdana Menteri menaikkan gaji kakitangan awam sehingga 35% adalah petanda yang cukup jelas bahawa Pilihanraya Umum ke 12 (PRU 12) begitu hampir sekali. Parti Keadilan Rakyat adalah parti yang berpegang kepada sistem demokrasi tulen. Justeru itu atas keyakinan ini, sekalipun hampir dengan Pilihanraya Umum, kita tidak pernah menyekat proses demokrasi di dalam parti. Sempena Kongres Nasional Tahunan ke 4 26 Mei 2007, Chung Hua High School, Negeri Sembilan Saudara saudari perwakilan sekalian. Atas kesedaran ini maka tumpuan kongres kali ini haruslah menjurus ke arah memperkemaskan jentera parti dan menyusun strategi yang lebih mantap. Jangan lupa bahawa kita berhadapan dengan penguasa yang rakus dan sistem pilihanraya yang tempang. Maka usaha kita mestilah lebih gigih dan tersusun lagi agar pilihanraya yang akan datang ini tercatat sebagai sejarah perjuangan sebuah bangsa yang mencintai demokrasi tulen. Ramai yang mencadangkan agar pemilihan parti kali ini ditangguhkan kerana ia terlalu hampir dengan PRU 12 dan tidak mahu kita kehilangan fokus serta mengelakkan perpecahan dalaman. Namun kita tidak menjadikan Pilihanraya Umum sebagai alasan menutup pintu pemilihan. Kita amat yakin dan kita cukup matang untuk terus menjadi sebuah parti yang signifikan dalam arus politik tanahair. Pemilihan kali ini pula menunjukkan sikap keterbukaan parti kita terhadap proses demokrasi di dalam parti kerana hampir semua jawatan dipertandingkan termasuk jawatan Presiden sendiri. Barang pasti selepas pemilihan kelak, ada yang menang dan ada yang kalah. Namun saya yakin dengan kematangan tersebut, selepas tamat pelilihan yang kalah dan menang serga kembali bersama menumpu perhatian kepada tugas dan perjuangan parti bagi menjamin Keadilan dan barisan pembangkang menang dalam PRU 12. Saudara saudari Perwakilan sekalian, Saya sememangnya tidak jemu-jemu mengingatkan diri saya dan kita semua tentang asas awal parti ini ditubuhkan. Ini adalah kali yang ke lapan saya menyampaikan Uacapan Dasar dan mungkin juga buat kali terakhir. Jadi izinkan saya mengambil sedikit masa bagi menyentuh dengan lebih dalam tentang teras perjuangan kita. Keadilan adalah prinsip dan dasar utama Parti Keadilan Rakyat. Dasar ini bersesuaian dengan tuntutan ajaran agama Islam. Ia adalah asas yang kukuh dan meresap ke dalam seluruh dimensi kehidupan bagi melahirkan sebuah masyarakat yang maju, berakhlak dan merdeka. Sejarah telah membuktikan bahawa seluruh aspek kebebasan manusia merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisah-pisahkan kerana setiap bahagiannya saling memperkuat dan melengkapi. Tidak mungkin akan tercapai kebebasan ekonomi, politik dan sosial jika kebebasan berfikir, menyuarakan hak dan pendapat dikongkong.. Oleh itu kita juga akan terus memperjuangkan kebebasan berfikir serta kebebasan beragama. Tiada jaminan untuk kita kekalkan kedua-dua unsur tersebut jika kita menyerahkan kekuasaan mutlak kepada sekelompok manusia lebih-lebih lagi manusia tamak dan rakus. Pejuang keADILan harus berfikiran luas, matang dan jauh, tidak remeh mahupun lekeh. Pejuang keADILan mesti berjiwa besar dan segar. Pengalaman politik semalam menuntut kita mencedok dan menggilap semangat juang dan budaya kerja. Kita harus mengekalkan fikrah murni dan budaya profesional dan pada masa yang sama terus belajar mengenai susur langkah, tatacara, disiplin dan pendekatan politik yang bijaksana. Semangat juang harus dikentalkan, langkah gerakan perlu dicergaskan, hemah berbicara dan tuturkata perlu diperbaiki agar terserlah wibawa kepimpinan demokratik yang matang, kemas dan adil. Ada di antara kita yang tidak mempunyai latarbelakang jamaah atau berorganisasi sebelum ini perlu melatih diri dan mendidik hati berdisiplin, berbudaya jamaah, menghormati dan mendahulukan keputusan dan kepentingan jamaah, menggilap tuturkata dan tuturcara jamaah, membentuk sensitiviti sesama sendiri, menghargai dan menyanjungi sumbangan bakti dan pengorbanan setiap ahli, belajar menyayangi sesama insan dan makhluk. Saudara saudari perwakilan sekalian, Kita harus sedar dalam berorganisasi, pengalaman amat berharga, tetapi ia tidak mencukupi. Keikhlasan sangat penting, namun belum memadai. Kejujuran juga diperlukan, tapi belum mencukupi. Sifat profesional begitu bernilai tetapi belum boleh memasti. Semangat juang penting sekali, namun masih belum mampu melengkapi. Akhlak mulia dan prinsip agama amat dituntut tetapi masih belum menentukan kejayaan. Apa yang diperlukan di sini ialah penyatuan dan pencanaian kesemua ciri agung dan murni ini hingga terbentuknya satu fikrah dan budaya parti yang lengkap, matang dan mantap. Justeru itu, kepada pewaris kepimpinan selepas ini wajib seringkali bermuhasabah atau menilai diri dan langkah supaya amanah yang dipikul tidak dikhianati. Pemimpin dan parti perlu membantu setiap yang memerlukan latihan dan asuhan, membuka gelanggang, memupuk bakat terpendam, membentuk dan memupuk ketaakulan berfikir dan kebijaksanaan bertindak agar ikatan persaudaraan dibina dan diperkembangkan bagi meneruskan perjuangan murni ini. Hidup kita ada erti, kita semua boleh menabur bakti mengikut kemampuan dan keupayaan diri. Pemimpin harus bijak dan adil dalam menangani krisis pengurusan, pergeseran dalam perbezaan pendapat dan pandangan. Setiap konflik mesti ditangani sebelum merebak menjadi krisis dan krisis mesti segera dihentikan sebelum membiak menjadi konfrantasi. Hanya kematangan berfikir dan keutamaan perjuangan yang lebih besar dapat mematikan benih-benih konflik yang semangnya tidak dapat dielakkan dalam setiap organisasi. Bukanlah namanya demokrasi jika kita tidak mengizinkan "Penentangan" atau dengan izin "dissent". Kita harus mengizinkan teguran terhadap pimpinan namun harus menurut lunas dan tatatertib, berhemah, yakni mematuhi adab berjamaah. Dari Ijok ke Pilihanraya Umum Sahabat seperjuangan sekalian, Pilihanraya kecil Ijok bukan saja panas tetapi ganas.. Ijok adalah sebuah kesaksian: kesaksian terhadap puluhan jutaan wang dicurah melimpah-ruah, semua jentera kerajaan yang sewajarnya berkhidmat untuk rakyat, dipergunakan untuk kepentingan parti pemerintah secara wenangan. Tidak kurang ada pengundi yang diugut dan dibeli. Manipulasi daftar pemilih oleh SPR dan Kerajaan BN bagi mengatur keputusan di Ijok, mengaturnya bukan sekadar untuk menang tetapi bagi memastikan yang mereka menang dengan majoriti yang tidak kurang satu undi pun dari pilihanraya umum 2004 yang lalu. Pepatah ada berpesan, "Sepandai-pandai tupai melompat, ke tanah juga nantinya ia". Pilihanraya kecil Ijok digunakan bukan sahaja untuk memburuk-burukkan pemimpin keADILan tetapi kalau boleh keADILan gulung tikar sepertimana niat jahat mereka selepas Pilihanraya Umum lalu. Pada mereka, jangan ada parti yang lebih progresif; yang menghimpun semua kaum dari segenap lapisan masyarakat kerana mereka tahu mereka tidak mampu melakukan itu. Kerana mereka maklum, pakatan Barisan Nasional adalah didakwa pakatan antara kaum yang hanya dipermukaan namun dasarnya rapuh dan dipenuhi hasad prejudis serta khianat. KeADILan digeruni bukan sahaja kita kini dibarisi "pimpinan kelas pertama," tetapi sesungguhnya kita ditakuti kerana dasar keADILan menjangkaui batas kaum, agama dan kefahaman sempit. KeADILan tegas menolak faham assabiyah dan perkauman sempit. Sesungguhnya, kita percaya tidak akan wujud satu kaum pun yang akan dapat mendirikan kerajaan bersendirian. Sebagai anak merdeka, kita harus mencapai muafakat semua kaum dan ruang terbaik untuk bekerjasama secara terbuka dan ikhlas ialah melalui parti kita yang memperjuangkan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia... Setelah lapan tahun saya memimpin parti ini, saya berasa syukur dan berbangga dengan pencapaian kita kerana sesungguhnya tekanan sebagai sebuah parti bukan kerajaan bukan kepalang hebatnya. Maka tidak hairanlah jika Kerajaan BN telah dengan apa cara sekalipun, termasuk mengarahkan pasukan keselamatn baik dari SB (Special Branch) dan FRU dengan dibantu secara jijik pula oleh pihak media yang dikuasi Umno dan BN, keADILan digambarkan dengan seburuk-buruk wajah. Pilihanraya kecil Ijok bukan saja jijik tetapi menggerunkan. Unsur-unsur gangsterism semakin ketara sehingga sudah ada yang pecah kepala. Saya ingin mengingatkan Suruhanjaya Pilihanraya dan pihak polis supaya memikul amanah rakyat dengan adil dan telus. Saya bimbang sekiranya sikap berat sebelah dan tekanan ke atas parti pembangkang berterusan, tidak mustahil apa yang berlaku di Filipina dan beberapa negara di Afrika di musim pilihanraya akan berlaku di Malaysia. Itulah sebabnya diawal ucapan tadi, saya menyebut, Ijok adalah sebuah kesaksian. Kesaksian rakyat melihat dengan mata sendiri bagaimana berbohongnya pemimpin kerajaan. Menurap jalan hingga ke depan anak tangga tanpa henti hampir dua puluh empat jam. Memacak tiang elektrik dan lampu isyarat dengan sekelip mata. Manakala golongan muda mereka menjadikan botol air mineral sebagai senjata untuk mencetuskan provokasi. Syabas dan tahniah kerana anak-anak muda kita begitu kental tekadnya bahawa kita mempunyai agenda besar dan tidak teruja dengan perangai biadap dan kebudak-budakan mereka. Sesungguhnya kekuatan jati diri mengawal emosi adalah kemenangan sejati. Hadirin sekalian, Kalau mata menjadi saksi, maka apakah rakyat ditipu lagi? Sekalipun kita ditewas secara tipu tetapi sokongan rakyat dalam tempoh sepuluh hari berkempen cukup membanggakan. Lama sudah saya menunggu saat itu. Sejak 1998, sejak melalui beberapa Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Kecil, kebangkitan dan sokongan rakyat di Ijok cukup luar biasa. Saya sendiri, rasanya selepas ini pastinya akan merindukan semua itu; merindui jeritan rakyat yang mahukan keadilan. Tetapi… pada masa yang sama kita wajar berhati-hati kerana semangat sahaja tidak memastikan kemenangan dalam Pilihanraya. Ijok adalah gambaran bagaimana buruknya politik dan kerenah parti pemerintah untuk dengan apa cara sekalipun mahu mengekalkan kuasa. Kerajaan hari ini juga tidak habis-habis mencabar dan memperbodohkan rakyat. Walaupun selepas menang besar pada 2004, siapakah yang boleh bertindak atas kesombongan dan kerakusan mereka memerintah sesuka hati.. Para perwakilan sekalian, Atas nama keadilan, saya menyeru agar kita terus bekerja demi mencapai kemenangan; menumbangkan kerajaan yang berdiri dengan keangkuhannya. Keadilan WAJIB menang. Pada kesempatan ini, saya juga mahu merakamkan rasa terharu dan berterima kasih kepada para petugas dan aktivis parti, juga setiap individu yang telah bekerja keras di Ijok. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada calon hebat kita yang telah berjaya membuka ruang semangat kerjasama yang mantap bukan sahaja di kalangan pimpinan dalam parti tetapi juga seluruh jentera dari komponen parti-parti bukan pemerintah lain terutama dari PAS dan DAP. Pakatan dan persefahaman mantap yang diukir di Ijok itulah yang amat menggerunkan Kerajaan BN. Oleh itu saya menyeru kepada pimpinan selepas ini untuk terus menjalinkan pakatan ampuh tersebut. Dicabut orang akar nibong, Saudara-saudari para perwakilan sekalian, Kesaksian di Ijok harus menjadikan kita lebih bersedia dalam menghadapi PRU 12. Jenters pilihanraya mesti tersusun dan berdisiplin. Persediaan awal hendaklah dilakukan segera. Setiap bilik gerakan hendaklah dibekalkan dengan akta-akta penting yang kerapkali diinjak-injak parti lawan antaranya Perlembagaan Persekutuan, Akta Pilihanraya, Peraturan-peraturan Pilihanraya, Akta Kesalahan Pilihanraya, Akta Polis, Buku Panduan Calon dan sebagainya. Saya yakin di sepanjang perjalanan pilihanraya buku-buku penting ini pasti amat diperlukan. Pimpinan tertinggi parti telah diperingkat akhir mengenalpasti kawasan Parlimen dan DUN yang akan ditandingi. Justeru itu, pimpinan di peringkat Bahagian harus mengumpulkan setiap maklumat, data dan angka yang boleh dijadikan panduan bagi mencapai keputusan muktamad bagi tempat-tempat yang harus kita tandingi. Harapan kita biarlah mencapai kata sepakat agar konsep " satu lawan satu " dapat kita praktikkan sepenuhnya. Setelah pimpinan membuat keputusan jangan hendaknya ada suara-suara yang berbaur perpecahan kerana barang pasti pihak lawan akan mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut. Saya juga merayu agar kita hidupkan kembali semangat gotong-royong dengan bekerja tanpa mengharapkan imbuhan kerana kita bukan parti yang mempunyai dana yang banyak. Sesungguhnya segala amalan dan kebajikan yang kita curahkan untuk parti akan mendapat ganjaran kemenangan kalau bukan di dunia pastinya di akhirat kelak. Bahasa dan Perpaduan Nasional Kerajaan masih sombong walaupun membuat kesilapan dengan mengangkat Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matepelajaran Sains dan Matematik. Ribuan anak bangsa, baik di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain telah tercicir dengan dasar tersebut. Demikian sekali pengkhianatan Umno dan BN terhadap dasar pendidikan negara. Selain meningkatkan penguasaan bahasa Melayu baku, KeADILan juga mengiktiraf hak semua kaum dan suku kaum untuk mempelajari, mengguna dan mengembangkan bahasa ibunda masing-masing. Pembelajaran bahasa ibunda misalnya bahasa Cina Tamil Kadazandusun, Iban Murut Bajau Melanau dan lain-lain mestilah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menilai prestasi dan mutu hasil dari sistem pendidikan negara. Satu Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan hendaklah ditubuhkan khusus untuk berdialog berbahas dan mencadangkan agenda reformasi pendidikan nasional bagi menyiapkan anak-anak muda kita berhadapan dengan keperluan ketika memohon untuk mendapatkan pekerjaan samada di dalam mahupun di luar negara. Majlis tersebut hendaklah terdiri dari pakar-pakar, para pendidik di semua peringkat badan bukan kerajaan dan wakil-wakil dari pihak sekolah kerajaan dan sekolah swasta. Hanya dengan azam dan kehendak politik; niat ikhlas demi kepentingan rakyat terutama anak-anak muda pewaris bangsa penyelesaian sebenar mengenai permasalahan kemuncupan mutu pendidikan negara dan mutu para graduan yang dikatakan pada tahap yang amat membimbangkan ini dapat di atasi. Dalam konteks ini kita berpendirian supaya kerajaan mengiktiraf peranan guru dan tidak meremehkan sumbangan mereka. Kaum guru bukan sahaja mesti ditingkatkan profesionalisme mereka malah wajar diberi ganjaran setimpal dengan khidmat dan pengorbanan mereka agar mutu pendidikan kita ditingkatkan. Sidang perwakilan sekalian, Blogger dan Media Alternatif Tolak Tunduk Tiba-tiba "blog" dan "blogger" dilihat sebagai ancaman kepada pemerintah. Kita berharap agar semua blogger menggunakan kesempatan teknologi itu untuk menyampaikan maklumat dengan tepat dan bukan hanya sebahagian daripada "kenderaan politik" untuk melayan sekelompok kecil manusia yang tersilau dengan kuasa. Nyata sekali betapa penguasa gusar kerana teknologi moden pernah digunakan untuk menggulingkan rejim yang zalim. Jangan lupa bagaimana sistem pesanan ringkas, atau sms dapat menjadi alat menjatuhkan pemerintah Filipina kira-kira enam tahun dahulu. Tidak mustahil akan berlaku di sini seandainya blogger jelas dan jujur terhadap isu yang diketengahkan, sekali lagi bukan untuk kepentingan kecil mana-mana pihak. Pada saat ini, kebebasan dan hak bersuara adalah perjuangan tertinggi kepada semua penggiat dan pengamal media kerana kebebasan mendapat maklumat adalah salah satu ciri utama bangsa yang merdeka. Saya dimaklum ada buku-buku yang diterbitkan daripada himpunan tulisan penulis-penulis blog. Saya mengucapkan tahniah dan keadaan ini mengingatkan saya bagaimana bercambah tumbuh portal internet yang menentang pemerintah sepertimana pada awal gerakan Reformasi dahulu. Ketika itu internet merupakan sumber utama penyebaran maklumat. Malah boleh saya katakan pada ketika itu masyarakat di kampung-kampung juga mula mengenali apa itu laman web atau internet bahkan berusaha mendapatkannya kerana dahagakan maklumat sebenar. Anak Muda dan Kebangkitan Bangsa Para perwakilan sekalian, Reformasi, sepertimana yang diungkap intelektual Islam-Mesir yang hidup pada abad lepas, Muhammad Abduh sebagai "projek pembaharuan bangsa" perlu difahami dan diteruskan sebagai agenda besar bangsa kita hari ini. Pejuang reformasi sudah memulakan langkah kanan sejak sekian lama dan ia adalah agenda utama perjuangan golongan muda sejak dahulu. Bagaimana kita mampu menutup mata dan melihat anak-anak mahasiswa terus diikat tangan dan sanubari mereka diinjak dengan pelbagai akta, termasuklah undang-undang lapuk Akta Universiti dan Kolej Universiti - AUKU. Apa maknanya AUKU kalau bukan sikap prejudis pemerintah yang tidak mempercayai bahawa setiap manusia terutama golongan muda mempunyai akal untuk berfikir tentang baik-buruk sesuatu perkara. Melalui AUKU walaupun sesuatu tindakan buruk kerajaan dapat dikesan, anak-anak mahasiswa ini tidak boleh menegur apatah lagi bertindak walaupun merekalah waris pemimpin masa hadapan. Apakah ini waras namanya? Apakah ini logik? Tentulah tidak. Kita memberontak apabila penilaian antarabangsa ke atas kualiti institusi pengajian tinggi di Malaysia menjunam. Hakikatnya inilah yang berlaku. Universiti-universiti di negara ini sedang melalui proses pemandulan intelektual kerana terlalu dikongkong dan dipolitikkan supaya menurut telunjuk parti pemerintah. Bagaimanapun saya mengucapkan syabas kepada sebahagian mahasiswa dan mahasiswi yang turut menyuarakan perjuangan bangsanya sama ada secara terang atau bersembunyi. Sesungguhnya mereka inilah yang akan mewarisi kepimpinan negara ini di masa akan datang. Sejarah telah membuktikan betapa perjuangan pelajar telah mengubah wajah politik di Korea Selatan, Taiwan, Cina, Indonesia dan beberapa negara lain. KeADILan membantah keras sikap kerajaan yang menjadikan anak-anak muda sebagai kambing hitam; dipaparkan setiap hari di media massa. Tudingan termasuk kepada mat-mat rempit adalah sebahagian daripada strategi psykologi pemerintah yang mahu memaksa anak-anak muda, baik yang rempit atau tidak, supaya tunduk dengan mereka dan bagi menutup kegagalan sendiri menyelesaikan persoalan anak muda dewasa ini. KeADILan menegaskan anak-anak muda harus diberi pertanggungjawaban. Malah jika mereka melakukan kesalahan mereka harus diberi peluang untuk memperbaikinya kerana dari situlah mereka boleh mencapai kematangan. Hanya dengan kematangan mereka akan mampu berhadapan dengan dunia tanpa sempadan- arus globalisasi. Saya mahu menegaskan di dalam ucapan kali ini bahawa kepentingan menggunakan akal fikiran begitu ditegaskan di dalam al-Quran kerana akal-budilah yang memisahkan antara hak dan kepalsuan, antara kebenaran dan kebatilan, antara keadilan dan kezaliman. Malah, sepertimana yang selalu diingatkan, akallah yang memisahkan antara mahkluk manusia dengan haiwan. Rahsia kebangkitan dan kekuatan banyak bangsa di dunia adalah apabila mereka dapat membebaskan diri daripada ketidakmatangan yang ditanggungnya sendiri, sepertimana yang ditemukan oleh pemikir agung Eropah, Immanuel Kant dalam esei penting bertajuk "Apa itu Pencerahan." Teras kekuatan hujah tersebut tentunya tidak terpisah dengan pandangan Ibnu-Qutaibah, pemikir di Zaman Empayar Othmaniah yang menjelaskan mengenai harga diri manusia bukan sahaja perlu dijamin oleh pemerintah tetapi ia telah mendapat jaminan Tuhan. Saudara-saudari sekalian, Menangani Kelembapan Ekonomi Siapa boleh mendakwa ekonomi Malaysia kini kononnya pesat (?) seandainya sudah hampir sepuluh tahun, Keluaran Dalam Ekonomi Kasar, atau KDNK hanya di sekitar 5 peratus; jauh tertinggal berbanding pesaing kita dahulu, termasuklah India dan China. Bahkan, di rantau Asia Tenggara sendiri, selain Singapura; Thailand dan Vietnam juga mula memacu ekonomi mereka lebih baik dari Malaysia. Indek persepsi rasuah meningkat; komisyen ratusan juta ringgit disapu segelintir pemimpin dan peniaga. Rasuah tetap rasuah, walau diberi nama apa sekalipun, termasuklah dengan nama "komisyen"; begitulah yang pernah diingatkan oleh [allahyarham] Profesor Syed Hussein Al-Attas kala mana beliau menulis "Sociology of Corruption". Rasuah adalah musuh yang bukan sahaja melemahkan sistem pemerintahan tetapi juga akan menyebabkan sesebuah bangsa musnah binasa. Keadilan dengan sendirinya akan tetap menjuarai perjuangan menentang rasuah. Kelembapan ekonomi bertambah parah apabila kadar pengangguran masih tinggi dan berlarutan sejak lima-enam tahun dahulu yang terus memangsakan anak-anak muda. Golongan profesional baik di kalangan Melayu, Cina dan India, semakin ramai yang meninggalkan negara dan bekerja di luar negara di mana mereka ditawarkan pendapatan yang lebih baik dan profesionalisme mereka diiktiraf sewajarnya tanpa mengira keahlian parti atau fahaman politik. Kelambapan Kerajaan BN memantau pertumbuhan ekonomi telah juga memberi kesan kepada kenaikan harga barangan pengguna. Barang keperluan asas yang sepatutnya diletak di bawah kawalan harga telah melonjak naik. Baru-baru ini, harga tepung pula melambung naik. Minyak masak sudah berkali-kali kering-kontang di kedai-kedai runcit dan kita menjangkakan harga bahan utama keperluan dapur itu akan meningkat mendadak sekali lagi kesan dari pengumuman kenaikan gaji pegawai kerajaan. Semua peningkatan ini juga ada kaitan dengan peningkatan harga petroleum kesan daripada penarikan balik subsidi kepada bahan bakar itu oleh kerajaan. Apa lagi yang boleh dipertahankan oleh kerajaan? Di samping itu, projek-projek mega yang bertujuan untuk memacu ekonomi juga tidak mendapat sambutan. Insentif yang ditawar kerajaan tidak cukup untuk menarik pelaburan langsung luar negara. Kita juga kian gusar mengapakah semakin banyak usahawan Malaysia khasnya bukan Melayu membawa keluar perniagaan mereka ke luar negara. Apakah mereka tidak lagi yakin dengan suasana perniagaan dan ekonomi di negara ini. Jika ia benar nampaknya bukan sahaja kerajaan BN gagal menarik pelabur luar tetapi suasana ekonomni yang lembab dengan insentif kerajaan yang tidak memberansangkan telah membawa keluar pelabur untuk melabur di negara lain. Keadilan bersimpati dengan nasib usahawan kecil yang semakin terpinggir oleh kronisme yang semakin membesar. Beberapa program melahirkan usahawan Bumiputera dalam konsep payung membela usahawan kecil sudah terbengkalai. Hadirin sekalian, Projek Pembangunan Wilayah Selatan atau dikenali juga sebagai Projek Wilayah Pembangunan Iskandar ( WPI ) yang dilancar pada Julai tahun lalu adalah satu lagi projek tergesa-gesa kerajaan. Selepas hampir setahun, apakah perkembangan dan ukuran kejayaan projek itu yang dijangka siap sepenuhnya 19 tahun dari sekarang? Apakah kepentingan rakyat terjamin atau akan menguntungkan kroni? Rang Undang-undang yang dibentangkan secara tergesa-gesa oleh Yang Berhomat Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri tahun lalu, persoalan bidangkuasa nampaknya masih begitu kabur walau pada hakikatnya persoalan bidangkuasa adalah intipati bagi setiap Rang Undang-undang. Saya mengemukakan soalan ini kerana WPI membabitkan isu tanah yang terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri. Kalau kuasa ini dialihkan walaupun secara tidak langsung kepada Kerajaan Persekutuan pastinya ini akan menjejaskan konsep Negara Persekutuan yang diamalkan sejak 1963. Sistem Persekutuan Negara Malaysia digelar sebagai (dengan izin) "Assymetrical Federation" iaitu, kuasa yang diberi kepada negeri-negeri dalam Persekutuan tidak saksama dan ia berkaitrapat dengan faktor sejarah dan adat resam di dalam sesuatu negeri ataupun kewujudan ciri-ciri yang istimewa yang berlebihan atau khas dalam negeri-negeri tertentu. Sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat Permatang Pauh saya dan rakan-rakan dari Pas dan DAP telah dengan sedaya upaya- walau tidak begitu lantang dan petah berkata-kata cuba membahaskan Rang Undang-undang tersebut ketika dibentangkan di Parlimen pada sesi lepas, namun apakan daya, dengan jumlah kerusi melebihi 90%, Kerajaan BN telah meluluskankan Rang Undang-undang tersebut walau wujud banyak persoalan dan kekaburan. Para perwakilan sekalian. Di samping kita menuju ekonomi terbuka atau ekonomi pasaran adalah aneh seandainya kemampuan untuk bersaing tidak betul-betul dipastikan. Perjanjian FTA atau Free Trade Agreement dengan Amerika Syarikat sewajarnya tidak digunakan sebagai "perjanjian politik," iaitu dimanipulasi untuk kepentingan kerajaan Barisan Nasional. Walaupun perjanjian ini perjanjian antara dua negara, tetapi kerajaan Barisan Nasional nempaknya meletakkan kepentingan kerajaan lebih tinggi daripada kepentingan rakyat dan negara. Sewajarnya perjanjian tersebut dilihat sebagai kesempatan untuk melebarkan peluang pasaran produk dan sektor perkhidmatan kita. Perjanjian tersebut juga antara lain adalah kesempatan untuk menjamin hak pekerja dan kepentingan umum lainnya, termasuklah tidak tunduk dengan desakan yang menyentuh sektor kesihatan. Seandainya pemerintah mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa, maka kita yakin tidak akan timbul persoalan di mana nasib rakyat terbanyak tergadai semata-mata untuk melebar jaringan dan peluang perdagangan. Atas keinsafan ini, keADILan akan bersungguh-sungguh menyelesaikan krisis kepimpinan yang sedang melanda negara hari ini dengan kita membariskan wajah kepimpinan yang jauh lebih berwibawa daripada apa yang ada di dalam kerajaan hari ini. KeADILan Mesra Pekerja Setiap tahun pada 1hb Mei kita akan meraikan Hari Buruh atau Hari Pekerja untuk mengenang jasa, bakti serta sumbangan golongan pekerja yang sememangnya diakui sebagai tulang belakang kepada setiap negara di dunia. Sambutan Hari Pekerja ini bukan hanya disambut di Malaysia bahkan di seluruh dunia. KeADILan sentiasa mengiktiraf sumbangan golongan pekerja. Golongan ini bukan sahaja berperanan sebagai penentu kepada jatuh bangunnya sesebuah masyarakat dan negara bahkan juga sebagai golongan yang bertindak dalam memastikan wawasan dan aspirasi negara tercapai. Lantaran itu, jika kesempatan diberikan kepada keADILan mentadbir dan mengurus negara keADILan akan memperkenalkan kadar gaji minimum golongan pekerja di negara ini baik dalam sektor awam mahupun swasta sekurang-kurangnya pada kadar RM1000 sebulan. Kita juga akan mengkaji semula kadar dan sistem percukaian terutama cukai pendapatan individu. KeADILan juga berazam akan menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua golongan pekerja dalam sebarang kes kesihatan, pengecualian kos pendidikan kepada anak pekerja yang berpendapatan rendah, menyediakan kemudahan rumah mampu milik dan faedah-faedah lain yang memberi manfaat kepada para pekerja. Bukan itu sahaja keADILan akan menggalakkan golongan pekerja ini berkesatuan kerana hanya dengan berkesatuan akan membolehkan golongan pekerja menuntut kebajikan yang sah termasuk hak mendapatkan kemahiran tinggi daripada para majikan. Para Perwakilan Sekalian, KeADILan juga perihatin melihatkan nasib pekerja asing yang acap kali hak mereka diinjak samada melalui dasar atau peraturan mahupun keadaan ketika di mana mereka ditangkap- semasa di dalam tahanan dan depot di dalam negara ini. Kita kesal apabia hak dan kepentingan pekerja asing ini dicerobohi tanpa menghormati hak asasi seorang manusia KeADILan juga prihatin terhadap permasalahan hari ini yang kian membimbangkan dan telah merobek nama Malaysia iaitu "Permerdagangan Manusia". Kalau kita merujuk kepada definisi 'pemerdagangan' yang digunakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu dalam (dengan izin) "Recommended Principles and Guidelines on Human Rights dan Human Trafficking, July 2002", pemerdagangan manusia merujuk kepada satu tema utama iaitu – Paksaan. Definisi PBB merangkumi terma tersebut di mana ia mengambil kira paksaan seseorang manusia walaupun diberi wang dan manfaat. Pemerdagangan manusia tidak semestinya tertumpu kepada eksploitasi perempuan dan kanak-kanak yang dipaksa bekerja dalam industri seks tetapi juga merangkumi para pekerja, biasanya dari luar negara, yang dipaksa untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang tidak dipersetujui dalam kontrak mereka. Permasalahan ini kian meruncing di dalam negara ini dan kita harus serius memikirkan bagaimana menanganinya. KeADILan risau kerana di dalam beberapa laporan antarabangsa Malaysia disenaraikan sebagai sebuah negara yang digunakan oleh pihak pemerdagangan manusia sebagai titik laluan ataupun 'transit point', di mana mangsa-mangsa dari Asia Tenggara dibawa masuk ke Malaysia, lalu dikirim ke negara-negara lain seperti ke Eropah, Australia dan Jepun. Pihak yang terlibat bukan terdiri dari kumpulan kecil tetapi mempunyai jaringan antarabangsa dan berkait juga dengan jaringan mafia yang ganas. Fenomena ini amat memalukan dan KeADILan menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah wajar menanganinya. Saudara-saudari sekalian, Saya menjawat jawatan Presiden secara muafakat kala parti ini ditubuhkan pada 4hb April 1999 begitu juga selepas penggabungan dengan PRM pada 3hb Ogos 2003. Segala liku dan pancaroba politik telah dilalui. Tidak pernah saya berasa lemah, apatah lagi kesal. Ditembak dengan peluru gas pemedih mata pun sudah. Rumah diserang dan anak-anak hidup dalam ketakutan pun sudah. Dilayan tidak seumpamanya dan dicemuh dengan fitnah pun sudah. Keutamaan saya bukan untuk mendapat pujian dan sanjungan namun berusaha mengekalkan parti berada di persada politik tanahair. Alhamdulillah.. syukur kita kepada Tuhan pencipta seisi alam.. Dia Maha mengetahui walau ketika jatuhnya sehelai daun ke bumi.. kita berjaya memasuki dua Pilihanraya Umum walau sukar, kita lalui dengan bergaya. Ku genggam bara Saya telah berulangkali melafazkan niat untuk melepaskan jawatan Presiden sebaik Saudara Anwar bersedia. Bagaimanapun saya akan terus memberi khidmat dan sumbangan sedaya mungkin kepada perjuangan Keadilan. Saya pulangkan kata-kata dan kebijaksanaan perjuangan ini kepada para perwakilan sekalian; kepada seluruh ahli parti dan semua para pejuang dan pencinta keadilan. Kita akan terus bersama, menjunjung kasih tidak terperi, kepada cita-cita murni perubahan, demi mencapai makna keadilan. Wabillahi-taufik-walhidayah wasalamualaikum-warahmatullahi-wabarah-katuh. Sekian, selamat berkongres. |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home