SepangOnline

Tuesday, September 20, 2005

Gajah Putih Bernilai RM 160 Juta di Kawasan MB Selangor

Oleh Chan Wei See ( 陈慧思 ), Merdekareview, diterjemahkan oleh KR.org

Selama lima tahun yang lepas, Kawasan ADUN Sungai Panjang di Selangor bertuah memperolehi tiga projek yang bernilai RM 160 juta, iaitu 10% daripada peruntukan pembangunan tahunan di negeri Selangor. Usahlah kita berasa terperanjat dengan angka ini, kerana Sungai Panjang ini merupakan kawasan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohd Khir Toyo, malah, sudahlah pasti semuanya pembangunan ini hanya berlaku selepas beliau mengambil alih kuasa pada tahun 1999.

Di Sungai Haji Dorani, sebuah kampung nelayan terpencil yang berjarak 15 km dari Skinchan, suasananya sunyi dan permandangannya tidak seberapa. Yang memeranjatkan, ia merupakan pusat peranginan yang terpilih oleh kerajaan negeri. Yang pasti, kerajaan negeri Selangor mestilah berani mengambil risiko dan berkreativiti tinggi, untuk melaburkan (meleburkan?) RM 29 juta di sini.

Membelok ke jalan kecil, sebuah papan tanda yang menunjukkan arah D'Muara Marina mengalu-alukan pelawat. Di atasnya terdapat sebuah billboard propaganda Barisan Nasional yang besar. Jika rombongan ini bukan dipimpin oleh ADUN Sungai Pinang, Teng Chang Khim dan ADUN Skinchan, Ng Swee Lim, mustahillah rakyat dapat mengetahui resort pantai yang bernilai RM 29 juta di belakang ladang kelapa sawit ini. Resort yang mula beroperasi sejak Februari lalu merangkumi 10 buah kedai, 13 buah chalet serta 5 buah jeti. Kerajaan negeri juga merancangkan kemudahan jetski dan dataran kebudayaan sebagai tarikan baru. Namun, pantai yang dipenuhi lumpur sehingga 1 km jauh apabila air surut sedikit sebanyak menghampakan harapan kerajaan negeri terhadap resort ini.

Apakah pantai berlumpur ini berpotensi menjadi tarikan pelancong? Siapakah pula akan bercuti di resort yang dikepungi lumpur ini? Adakah seronok untuk berpecut jetski di dalam lumpur?

Chang Khim turut menyoalkan kos pembinaan yang terlampau. Di Shah Alam pun, 10 buah mahligai mewah yang disediakan untuk ahli Exco kerajaan negeri cuma menelan kos RM 21 juta. Apakah chalet kecil yang rekaan serta kemudahannya tidak seberapa dan terletak di tengah-tengah lumpur pula memerlukan kos pembinaan yang jauh lebih tinggi?

Walaupun resort telah beroperasi sejak bulan Februari, tapi tiada seorang pun pelancong didapati. Hanya sebuah daripada chalet yang berjumlah 13 unit didiami. Itu pun menurut penjelasan Chang Khim adalah kerana kerajaan negeri menempatkan banyak mesyuarat jabatan kerajaan di sini agar ia bisnes terpelihara.

Seperti diterangkan oleh Chang Khim, "resort" yang menelan kos terlampau tetapi tidak berupaya menarik pelancong ini secara jelas merupakan projek gajah putih yang tidak mendatangkan manfaat dari segi ekonomi.

Menurut pengiraan dua ADUN ini, jika resort dan restorannya dipenuhi tetamu setiap hari pun, keuntungan dari pelaburan ini hanya akan didapati selepas 30 tahun, dan ini belum mengambil kira penyelenggaraan dan gaji kakitangan lagi!

Terminal Bas RM 410 Ribu Masih Menantikan Bas

Sempena resort di tepi lumpur sedang menantikan masa depan yang tidak pasti, sebuah perhentian bas yang dinamakan Terminal Rakyat telah dibina di kampung Merbau Berdarah. Perhentian yang menelan kos RM 410 ribu ini sejak 5 tahun lalu telah bermula menantikan ketibaan bas yang setakat ini belum kelihatan. 16 unit studio perindustrian kecil dan 2 buah kilang yang berjiranan juga telah menghabiskan 5 tahun untuk menunggu hari ia digunakan nanti.

Sebaik sahaja tibanya di Terminal Rakyat, ramai pegawai Majlis Daerah Sabak Bernam telahpun bersedia mengalu-alukan rombongan ADUN dan para wartawan serta mengambil gambar mereka. Rumput di sekitar baru dipotong, dan dua orang pekerja sedang sibuk mengecat semula dinding kilang yang telah uzur. Chang Khim berpendapat bahawa inilah lakonan sementara yang ditunjukkan oleh konco-konco Umno setempat, untuk memeriahkan suasana di Terminal Rakyat yang biasanya sunyi sepi.

Menurut Swee Lim dan Chang Khim, apabila mereka datang mengkaji projek pelaburan ini setengah tahun dahulu, tempat ini dipenuhi semak samun, tandas dan pintu pun sudah berkarat. Tiada sesiapa pun yang akan melaluinya. Keadaan itu amat berbeza daripada kali ini. Bersyukurlah kepada pelakon-pelakon dari Umno.

Namun, kesepiannya tidak dapat disembunyikan. Perhentian bas yang cuma terdiri daripada tiga wakaf kecil dan sebuah pondok jualan makanan langsung tidak mencerminkan kosnya yang setinggi RM 410 ribu. Di taman perindustrian yang bersebelahan, cuma sebuah kilang kecil dapat disewa.

Rombongan lawatan sambil belajar ini juga mendapati meter elektrik pun belum dipasang di studio dan kilang tersebut. Bagaimanakan satu-satunya kilang di sini beroperasi tanpa tenaga elektrik? Ataupun ia merupakan satu lagi projek penipuan Barisan Nasional yang hanya dipentaskan pada saat terakhir?

"Terminal ini tidak pernah menyambut ketibaan sebuah bas pun sejak dibina. Ia merupakan satu lagi pembaziran kerajaan Barisan Nasional," ujar Chang Khim.

Terang beliau, Merbau Berdarah sebenarnya merupakan kubu kuat PAS di mana Khir Toyo cuma menang dengan majoriti 165 undi di peti undi ini. Untuk menstabilkan keadaan, beliau yang memegang jawatan Menteri Besar sejak 1999 terpaksalah "meleburkan" banyak wang di sini untuk memikat hati pengundi sini.

Jalan Raya RM 92.5 Juta untuk 20 Keluarga

Dari Tali Air 4 Skinchan ke Parit 4, Sungai Haji Dorani, sebatang jalan raya sejauh 20.5 km telah dibina dengan peruntukan RM 92.5 juta, atau puratanya RM 4.5 juta sekilometre. Jalan ini layak dikira jalan yang paling mahal di seluruh Malaysia.

Di hujung jalan raya ini, ia berpusing 90 darjah dan disambungi sebatang jalan raya baru yang menghubungkan Parit 4, Sungai Haji Dorani ke Parit 13, Kampung Sungai Panjang. Jalan berjauh 9.3 km ini bernilai RM 32.5 juta, iaitu RM 3.49 juta sekilometre. Jalan raya ini adalah selari dengan sebatang jalan sedia ada. Memandangkan hanya 20 keluarga bermastautin di kawasan ini, adakah ia amat diperlukan?

Sebuah ujian yang mudah telah dilancarkan oleh Chang Khim dan Swee Lim. Sepanjang jangkamasa 10 minit, hanya sebuah lori, 5 buah kereta dan 4 buah motorsikal melaluinya. Rombongan ini juga telah duduk di tengah-tengah jalan ini selama seminit untuk membuktikan ia jarang digunakan. Meleburkan wang sebanyak RM 92.5 juta untuk jalan yang tidak memanfaatkan, manakala membiarkan sahaja kesesakan lalulintas di Lembah Klang, memangnya "cemerlang, gemilang, terbilang"nya Barisan Nasional.

Seorang penduduk Skinchan yang juga merupakan pembantu khas Swee Lim berkata, jalan yang lurus ini telah menjadi syurga perlumbaan haram bagi para mat rempit, sehingga kemalangan selalu berlaku. Swee Lim pernah menyifatkan jalan ini sebagai "Jalan raya cepat kaya dan cepat maut" di DUN. Chang Khim pula menyindir bahawa ia boleh digunakan sebagai litar lumba pada zaman damai, serta landasan (runway) pesawat pejuang pada zaman peperangan.

Tiga projek gajah putih yang bertumpu di kawasan pilihanraya MB Selangor ini bernilai RM 160 juta, iaitu 10% daripada perbelanjaan pembangunan setahun negeri Selangor. Swee Lim berpendapat bahawa ia lebih molek dibelanjakan untuk menaiktaraf jalan kecil dan membina rumah kos rendah daripada dibazir sebegini.

Menurut Chang Khim, tiga projek gajah putih ini menunjukkan Khir Toyo langsung tidak pernah merancang secara terperinci sebelum projek dilaksanakan, sehingga ia tidak diperlukan oleh rakyat setempat pun. Ia hanya bertujuan untuk membuktikan beliau pernah memajukan kawasannya, dan entahlah berapa daripada kos tersebut telah ditelan oleh para kontraktor yang mengcajkan kos terlampau untuk kerja itu. Perbuatan sedemikian yang memenuhi kehendak sendiri dengan membazirkan wang rakyat amat merugikan rakyat, dan Chang Khim mengkehendaki Khir Toyo haruslah meminta maaf kepada seluruh rakyat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home