IJOK: Calon Keadilan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim mencadangkan TV3 mengadakan siaran debat terbuka antara beliau dengan calon Barisan Nasional (BN), K.Parthiban.

Khalid berkata, ini bagi memberi peluang kepada beliau dan Parthiban menjelaskan kepada masyarakat Ijok tentang rancangan masa depan masing-masing bagi pembangunan ekonomi masyarakat Ijok

“Ini (debat) lebih baik dan teratur dan peluang terbaik bagi masyarakat Ijok untuk meneliti dan memerhati pemikiran antara beliau dan calon BN.

“Ini satu demokrasi yang sangat baik, dan satu perpaduan yang sangat baik dalam era Selangor maju.”

Selangor, kata Khalid sekiranya ingin menjadi negeri maju dan hebat seperti Amerika, Britain dan Eropah, perlu mempraktikkan berdebat terbuka sewaktu memilih pemimpin seperti amalan negara-negara tersebut.

Dengan cara tersebut, katanya masyarakat Ijok berpeluang menilai tahap kepimpinan antara kedua-dua calon dan memilih pemimpin terbaik untuk mewakili mereka.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat Bilik Gerakan Keadilan, di Batang Berjuntai dekat sini, pagi tadi, Khalid berharap cadangan beliau itu dipertimbangkan oleh pihak berkenaan.

Sementara itu, Khalid masih berharap kerajaan Selangor menjawab persoalan berkaitan pembangunan di Ijok yang beliau bangkitkan semalam.

Menjawab soalan, bekas CEO Guthrie Berhad itu yakin bahawa pengundi DUN 11 Ijok akan melakukan perubahan dalam pilihan raya kecil kali ini.

Seramai 12, 404 pengundi Ijok akan membuang undi pada 28 April depan.