SepangOnline

Monday, September 05, 2005

PEMBANGUNAN: APA UNTUK RAKYAT?

SYED HUSIN SYED ALI

Apabila ibu bapa dan datuk nenek kita berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dulu, salah satu tujuan utama mereka ialah untuk mencapai pembangunan ekonomi bagi rakyat. Walaupun negara mempunyai sumber kekayaan yang banyak, namun semasa penjajahan sebahagian besar daripadanya dirompak dan dipunggah keluar bagi mengayakan negara penjajah dan beberapa kerat kaum kapitalis. Rakyat ramai yang dijajah tercicir dan taraf hidup mereka sangat rendah.
Tidak hairanlah, selepas merdeka Malaysia telah melancarkan rancangan pembangunan luar bandar secara besar-besaran, yang dipelopori oleh Tun Abdul Razak. Sasarannya masyarakat kampung dan tujuannya untuk menaikkan taraf ekonomi mereka. Rancangan ini jauh lebih hebat, dibandingkan dengan rancangan pembangunan industri kampung yang dilancarkan tidak lama sebelum Merdeka di bawah badan RIDA, dipengerusikan oleh Datuk Onn Jaafar, dan bertujuan untuk menaikkan taraf ekonomi orang kampung yang mahu dibina sebagai benteng melawan pengaruh gerakan komunis.

Banyak yang telah dilaksanakan oleh Tun Razak, tetapi yang paling signifikan ialah pembukaan tanah untuk orang kampung di bawah rancangan Felda. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan memiliki tanah, peneroka Felda mendapat pendapatan bertambah, sungguhpun timbul beberapa masalah, terutama dari segi ikatan hutang, penentuan harga hasil, dan lebih-lebih lagi kerumitan warisan milik serta tugas bagi generasi selepas peneroka yang asal. Malangnya, lama kelamaan pembangunan luar bandar dipengaruhi unsur politik. Rancangan itu digunakan juga sebagai alat untuk memancing undi dan memenangi pilihanraya.

Namun begitu, Felda dan rancangan pembangunan lain bersamanya sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kadar kemiskinan serta jumlah keluarga miskin di luar bandar. Tetapi, kemajuan yang dicapai oleh rakyat kampung pada umumnya tidaklah memuaskan hati keseluruhan orang Melayu. Selepas Merdeka, perdagangan, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain aktiviti ekonomi negara berkembang dengan pesat. Pendapatan kasar negara dan pendapatan per-kapita meningkat berlipat kali ganda. Oleh kerana pengagihannya tidak adil, maka jurang di antara yang kaya di bandar dengan yang miskin di kampung semakin lebar. Ini bererti juga apa yang dipandang sebagai jurang kaya miskin mengikut kaum bertambah luas.

Pada persepsi orang Melayu terutama sekali, yang paling kaya dan menguasai ekonomi negara ialah orang Cina, sungguhpun kekayaan yang dikuasai oleh bekas penjajah jauh lebih besar, dan ada juga sebilangan kecil orang Melayu yang kaya. Seterusnya, mengikut persepsi sama, yang dilihat paling miskin dan bertambah miskin dalam negara yang semakin berkembang ini ialah orang Melayu, terutama dari kampung. Pada hal ada juga orang Cina dan orang India yang miskin, di kampung baru, ladang dan kawasan “setinggan”. Tetapi bilangan mereka lebih kecil dibandingkan dengan orang Melayu.

Apabila persepsi pembahagian kaya miskin mengikut kaum ini dipercayai, walaupun ia tidak menepati keadaan sebenar, mudah saja api perkauman dibakar. Hal ini berlaku selama tiga bulan kempen pilihanraya dalam tahun 1969, dan akibatnya ialah Peristiwa 13 Mei. Dalam pada itu, semua rancangan lalu untuk pembangunan dianggap gagal membela nasib Melayu. Kuasa politik dan ekonomi orang Melayu dianggap sebagai terancam. Pengaruh parti pemerintah merosot, Keutuhan negara dan perpaduan bangsa didapati tergugat. Meluas pandangan di kalangan pemimpin lapisan baru dari elit Melayu yang mempunyai pengaruh dan kuasa, bahawa satu rancangan pembangunan yang lebih radikal diperlukan. Maka itulah lahir Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Tujuan besar DEB ialah untuk membina Perpaduan Nasional. Untuk mencapai ini, ia mempunyai matlamat serampang dua mata. Pertama, menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan identiti ekonomi mengikut kaum, dengan menyeimbangkan pembahagian kaum dalam bidang perniagaan dan industri. Kedua, menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Nyata sekali DEB bukannya rancangan untuk orang Melayu saja. Tetapi ia telah dianggap dan dilaksanakan sebagai hanya untuk orang Melayu. Yang diutamakan pula bukan rakyat ramai Melayu, tetapi hanya segelintir tokoh Melayu.

Dalam beberapa bulan akhir-akhir ini, Sdr Anwar Ibrahim, dalam ceramah-ceramah hampir setiap malam di seluruh negara, semasa berulang-alik pulang ke tanah air dari tugasnya di luar negara, menegaskan masanya sudah tiba untuk DEB ditamatkan dan diganti dengan dasar pembangunan ekonomi rakyat yang baru. Penegasan ini telah beliau buat sebelum pun Perhimpunan Umno menerima usul Pemuda agar semangat DEB diteruskan dalam Agenda Nasional Baru (ANB). Anwar mengutarakan, DEB telah digubal pada tahun 1970, ertinya 35 tahun sudah berlalu. Sejak itu keadaan ekonomi dan masyarakat sudah banyak berubah dan ini saja boleh menjadi alasan untuk mengemukakan rancangan baru.

Akan tetapi, beliau telah mengemukakan hujah yang lebih bernas. Selama ini DEB lebih banyak digunakan untuk mengayakan mereka yang berkuasa ataupun rapat dengan pusat kuasa, daripada membela nasib rakyat miskin yang ramai. Mereka yang mahu semangat DEB diperkukuh semula adalah mereka yang sudah menjadi kaya raya. Ketua Pemuda Umno, misalnya, sebagaimana yang didedahkan oleh Azmin Ali dalam Suara Keadilan lalu, membolot keuntungan RM25 juta dari penjualan saham, mendapat kontrak membina lebuh raya bernilai kira-kira RM1 bilion bagi syarikat Duke milik adiknya, dan memiliki sebuah kereta berharga hampir RM1 juta, yang dipunyai oleh hanya tiga orang di seluruh negara. Sehingga ini tiada penafian dari Menteri merangkap Ketua Pemuda itu.

Menantu Perdana Menteri, yang menjadi Timbalan Ketua Pemuda dan pembawa usul ANB dalam Himpunan Umno, ialah seorang muda yang begitu cepat sekali memanjat tangga politik dan mengumpul kekayaan ekonomi. Mereka yang tahu mengetahui beliau sekarang ini mudah-mudah saja sudah bernilai lebih RM200 juta. Seterusnya, seorang anak PM telah mendapat kuasa ke atas syarikat Scomi, yang bernilai RM2 bilion Baru-baru ini adiknya bersama anak Menteri Aziz Shamsudin telah “dihadiahkan” dengan Sabah Shipyard pula. Secara terang dan gelap DEB digunakan untuk mengayakan yang sudah kaya dan berkuasa.

Perkara ini memang sudah lama berlaku. Bukankah syarikat perkapalan anak mantan PM Tun Dr Mahathir telah diselamatkan dengan suntikan sebanyak kira-kira RM2 bilion dari wang rakyat? Bukankah salah guna AP yang dibongkar oleh mantan PM itu telah berlaku di bawah hidungnya dari mula lagi? Sangat aneh jikalau baru sekarang beliau mengetahui mengenainya. Segelintir orang membolot beribu-ribu AP, tetapi apa yang diperolehi rakyat biasa? Begitu juga dengan permit teksi. Segelintir orang yang berpengaruh mudah mendapat beratus bahkan beribu permit, tetapi seorang susah beranak banyak dinafikan walupun satu permit untuk kereta yang dipandunya. Tidak usah sebut pula tentang pemberian saham baru dan “pink form”. Yang berkedudukan istimewa semakin beristimewa lagi mendapatnya. Ada apa-apa untuk yang miskin dan susah?

Beberapa hari lalu saya menemui seorang kawan lama di satu majlis makan. Dia pernah bekerja di bank, lepas itu menjadi seorang korporat yang berjaya. Sekarang sudah bergelar Tan Sri. Kami berbual tentang DEB. Dengan tidak teragak-agak beliau berkata, “Dasar ini mesti diubah. Ia terlalu menguntungkan individu tertentu. Ia tidak mempedulikan rakyat jelata. Dasar ini mesti diterbalikkan. Ia mesti mengutamakan rakyat jelata, dengan tidak menafikan peluang kepada pengusaha-pengusaha sejati. Saya katakan ini dengan penuh kepercayaan, walaupun saya sendiri pernah mendapat untung daripada DEB itu.”

Apabila ditanya lagi untuk menjelaskan pandangannya, beliau berkata, “Bila kita utamakan rakyat miskin atau berpendapatan rendah, kita tidak perlu takutkan soal kaum. Tujuh puluh peratus rakyat yang memerlukan pertolongan dan pembelaan adalah terdiri dari orang Melayu. Bila kita membuka peluang luas kepada mereka untuk mendapat kemudahan sosial yang baik, seperti kesihatan, pendidikan dan perumahan, yang ramai mendapatnya ialah Melayu. Apabila kita memberi lesen perniagaan atau permit teksi kepada golongan ini, yang banyak mendapat ialah orang Melayu juga. Dan jika kita agihkan saham di kalangan golongan sama, bukankah sudah pasti kebanyakan yang mendapatnya terdiri orang Melayu?”

Sebenarnya, Tan Sri ini menyuarakan pandangan yang sudah banyak kali diulang oleh Anwar Ibrahim. Walaupun masih ada lagi mereka yang menanggap DEB perlu untuk mempertahan ketuanan Melayu, bilangan mereka semakin kecil. Sebabnya? Semakin ramai yang sudah mulai celik bahawa slogan ketuanan Melayu sering diperalatkan untuk kepentingan ketuanan segelintir Melayu yang istimewa, kaya dan berkuasa. Mereka sedar, masanya sudah tiba untuk mengadakan rancangan pembangunan yang boleh menegakkan kuasa rakyat. Ini sesuai sekali dilakukan menjelang Merdeka 50 tahun

- Syed Husin Syed Ali

0 Comments:

Post a Comment

<< Home