Oleh Zulkifli Mohamed

SUNGAI PETANI: Bekas Ketua Penolong Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas Timbalan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat Johari Abdul, 51, dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Keadilan Kedah yang baru berkuatkuasa 27 September lalu.

Anak kelahiran Tikam Batu, Sungai Petani, berkelulusan Universiti Lancester, England itu juga merupakan bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya.

Johari pernah menjadi Ketua Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan (milik Pemuda Umno Malaysia) menggantikan Mochtar Mansor dalam rombakan pentadbiran parti itu di negeri ini.

Bekas AJK Umno Bahagian Sungai Petani yang juga bekas Pengurus Besar Yadim Holdings itu telah mengorbankan kemewahan hidupnya dengan menyertai gerakan reformasi sebaik Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1988.

Ketika itu, anak penoreh getah ini terpaksa meninggalkan rumah, menyamar dan bermalam di beberapa tempat bagi menggelakkan ditangkap pemerintah.

Daripada memandu Mercedes bertukar pada motosikal dan terpaksa menyara keluarga dengan berniaga minyak gamat di pasar malam, semuanya kerana keyakinan beliau pada perjuangan Anwar untuk menegakkan keadilan untuk semua.

Berucap pada majlis ringkas di Pejabat Keadilan Bahagian Sungai Petani, baru-baru ini, Johari berazam menguatkan Keadilan dan meneruskan kerjasama utuh bersama PAS negeri ini.

“Yang utama sekarang kita akan menguatkan jentera pilihan raya parti bagi menghadapi pilihan raya ke-12 nanti,” katanya.

Jelasnya kepercayaan, tanggungjawab dan amanah oleh Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah dan Penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipikul sebaik mungkin.

Terdahulu, Johari menyampaikan sumbangan hari raya kepada 15 fakir di Surau Al Hidayah Taman Jenaris, Tikam Batu dekat sini.