SepangOnline

Friday, October 28, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

LAPORKAN SEMUA HUTANG BANK YANG TIDAK DIBAYAR
28 Oktober 2005

--------------------------------------------------------------------------------

Parti Keadilan Rakyat ingin menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi, seperti yang dilaporkan dalam media, supaya tindakan segera diambil ke atas petualang-petualang yang mengakibatkan kerugian Bank Islam sebanyak RM700 juta.
Akan tetapi, kami berharap kenyataan beliau ini tidak akan tinggal kenyataan semata-mata. Selaku Perdana Menteri yang menentang korupsi dan penyelewengan, beliau harus memastikan Pasukan Polis, Badan Pencegas Rasuah dll, yang di bawah Jabatan Perdana Menteri, beserta dengan Bank Islam tidak akan melengah-lengahkan tindakan.

Penyiasatan yang rapi perlu dibuat oleh semua badan ini dari hari ini. Selepas itu, sebagaimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri, tindakan yang cepat, tepat dan sesuai hendaklah diambil ke atas sesiapa yang terlibat dengan jenayah yang menyebabkan kerugian besar ini dan menghukum mereka setimpal dengan kesalahan .

Adalah sangat menyedih dan memalukan perkara ini berlaku di sebuah bank yang mendakwa diuruskan atas prinsip Islam oleh mereka yang beragama Islam. Sebelum ini kita mendengar tentang perlakuan jenayah di Tabung Haji, juga sebuah institusi yang dikaitkan dengan nama Islam. Apakah nilai-nilai Islam yang mereka amalkan? Mengapakah sampai sanggup mereka mencemar nama Islam?

Ada pendapat mengatakan salah satu punca kerugian Bank Islam ialah amalan memberi hutang yang besar jumlahnya kepada beberapa tokoh kroni pucuk pimpinan politik pemerintah, dan kecuaian untuk mendapatkan kembali pinjaman tersebut. Tetapi amalan serta kecuaian ini berlaku bukan saja di Bank Islam.

Perlu ditegaskan bahawa pada masa-masa lalu pinjaman berpuluh bahkan beratus juta ringgit telah diberikan kepada tokoh-tokoh tertentu, kebanyakan kroni pucuk pimpinan politik pemerintah, Kebanyakan pinjaman mereka sudah dihanguskan. Tidak ada tindakan yang diambil ke atas mereka atau bank-bank berkaitan.

Kadilan Rakyat menuntut nama semua tokoh yang diberikan pinjaman lebih daripada RM10 juta oleh mana-mana bank dan gagal membayar kembali pinjaman mereka, hendaklah diumumkan. Siasatan perlu dibuat oleh jabatan-jabatan dan bank-bank yang berkenaan. Perdana Menteri, sesuai dengan prinsip Islam hadari yang beliau war-warkan, hendaklah memberi arahan dan membuat pemantuan yang jelas dan tegas dalam hal ini.


Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

MEDIA KEADILAN RAKYAT

MENGAPA BUNUH BAKAT PIMPINAN PELAJAR?
28 Oktober 2005
--------------------------------------------------------------------------------

Pelajar, khususnya yang di peringkat universiti, merupakan salah satu asset yang bernilai tinggi bagi masa depan negara. Bukankah dari kalangan mereka akan timbul kelak pemimpin negara? Sejauh manakah kita menyediakan suasana paling sesuai sekarang ini bagi pelajar untuk memastikan pimpinan yang unggul pada masa akan datang?
Jikalau kita mahu melihat kualiti pimpinan negara masa akan datang yang mempunyai moral serta intelekl mulia, bersih dari rasuah atau korupsi, prihatin terhadap nasib rakyat jelata, komited kepada negara-bangsa yang bersatu padu, dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kebebasan serta kebenaran, maka asasnya yang kukuh hendaklah disemai dan dibenarkan tumbuh bebas di universiti sekarang.

Tetapi apakah yang sedang berlaku?

Sejak pindaan yang dibuat ke atas Akta Universiti dan Kolej-Kolej Universiti (AUKU), berikutan peristiwa mahasiswa menyokong perjuangan peneroka bandar dan pekebun kecil miskin di Tasik Utara dan Baling pada tahun 1974, universiti kehilangan autonomi yang wujud sedikit sebelum itu. Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu Menteri Pelajaran, dengan bantuan Prof Ungku Aziz, Naib Canselor universiti Malaya, bertanggungjawab atas pindaan itu.

Akibat dari AUKU, pelajar universiti hilang kuasa untuk mentadbir diri sendiri. Persatuan mereka ditutup. Mereka diawasi oleh universiti melalui Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar (HEP), yang selalunya tunduk kepada semua kehendak Kerajaan. Mereka hilang kebebasan untuk menyusun segala jenis aktiviti, melainkan setelah mendapat kebenaran HEP dulu.

Mereka tidak lagi bebas menguruskan sendiri pemilihan wakil-wakil ke Majlis Pelajar atau menguruskan kewangan persatuan sendiri, kerana selepas AUKU tugas ini dirampas oleh HEP. Mereka tidak dibenarkan mengkritik universiti dan menyokong apatah lagi menyertai parti-parti politik. Mereka juga tidak boleh menganjurkan kegiatan di kalangan masyarakat, walaupun yang berbentuk kerja amal, tanpa kelulusan HEP.

Mana-mana pelajar yang didapati melanggar AUKU dihukum, kadang-kadang secara sewenang-wenang mereka digantung atau dibuang begitu saja dari universiti. Dalam sesetengah kes, seperti Mahasiswa 7, pelajar yang dibuang mengambil tindakan mahkamah ke atas universiti, tetapi walaupun menang kes mereka tidak diterima balik. Jelas tujuan universiti ialah untuk mengugut dan menakutkan para pelajar lain.

Mengapakah perlu ada sekatan-sekatan yang ketat ke atas pelajar-pelajar dalam negara, pada hal peljar-pelajar kita di luar negara dibebaskan dari semua sekatan AUKU ini? Mereka yang belajar di luar bukan saja dibenarkan bahkan digalakkan untuk menyertai politik parti, akan tetapi asalkan parti pilihan mereka Umno.

Sebaliknya, pelajar-pelajar di luar negara ini, yang mahu bertindak bebas sedikit, sering diugut dan disekat oleh pegawai-pegawai kerajaan, Umno ataupun sponsor biasiswa mereka daripada menyertai kegiatan parti lawan atau menghadiri ceramah-ceramah oleh pemimpin-pemimpin pembangkang, terutama Anwar Ibrahim.

Kembali ke dalam negara, akhir-akhir ini heboh berita tentang campur tangan aktif Umno yang memperalatkan HEP serta segelintir profesor atau pensyarah yang tidak berwibawa, dalam pemilihan wakil-wakil pelajar. Seolah-olah tidak cukup dengan AUKU, Umno mahu memastikan kemenangan calon-calon pro-kerajaan. Bermacam-macam taktik kotor, yang melibatkan rasuah, ugutan dan penipuan telah digunakan. Malang sekali, taktik-taktik kotor yang diperalatkan oleh parti pemerintah untuk memenangi pilihanraya umum negara, sudah mereka perluaskan pula ke universiti.

Di luar universiti terdapat apa yang didakwa pertubuhan atau gabungan pelajar. Selepas AUKU, bukan saja persatuan pelajar di dalam universiti, bahkan badan yang menggabungkan pelajar-pelajar dari semua universiti pun dibubarkan. Sehingga kini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM), yang dulu dianggotai oleh semua mahasiswa dan bercorak pelbagai kaum, masih tidak dibenarkan.

Seterusnya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), yang asalnya diwujudkan untuk mahasiswa Melayu sudah bertukar wajah. Pimpinan GPMS sekarang diblot oleh mereka yang bukan lagi pelajar bahkan sudah lama bekerja. Hampir semua mereka menjadi ahli atau penyokong Umno. Dalam beberapa bulan ini kita menyaksikan “perebutan kuasa” berlaku di antara puak-puak pemuda Umno yang mempunyai kepentingan sendiri.

Semua peristiwa yang dijelaskan di atas mempunyai beragai-bagai akibat buruk. Pertama, AUKU mencabul hak asasi pelajar dengan merampas hak mereka untuk menguruskan hal-ehwal diri sendiri. Sekaligus ia juga membunuh inisiatif pelajar dan menutup peluang mereka untuk melatih diri sebagai pemimpin. Ini boleh menjejas kualiti pimpinan dalam masyarakat dan negara kemudian.

Kedua, para pelajar bukan saja diugut dan ditakutkan dengan ISA, tetapi ditambah pula dengan ancaman AUKU. Psikologi ketakutan meluas di kalangan mereka, sehingga menjadikan ramai dari mereke bersifat jiwa hamba, hilang keberanian kerana benar, lenyap minda yang bebas dan pupus fikiran yang kritikal. Bukan saja mutu intelektual mereka merosot, bahkan potensi mereka untuk berkembang sebagai pemimpin yang berkaliber pun terbantut.

Ketiga, campur tangan parti, kementerian dan pentadbiran universiti dalam pemilihan wakil-wakil pelajar, sebagaimana yang berlaku akhir-akhir ini menggalakkan nilai-nilai jelik, seperti korupsi, penyelewengan, penipuan dan perkauman sempit (melalui pengaruh Biro Tata Negara – BTN). Dari universiti lagi mereka sudah diajar dengan segala kebururkan ini. Bagimanakah nanti mereka boleh menjadi pemimpin yang bersih dan bertanggungjawab pada masa akan datang?

Keempat, timbul dua tendensi yang tidak sihat. Satu, sesetengah pelajar hilang kepercayaan kepada semua sistem yang ada dan oleh kerana itu mereka tidak mahu turut serta atau memilih untuk memboikot saja. Satu lagi, tendensi “mengampu”, “oportunis” dan “mementingkan diri” meluas; ramai mula merasakan cara yang paling cepat untuk naik dan berjaya dalam hidup ialah dengan tunduk atau menjual diri kepada mereka yang berkuasa.

Banyak lagi akibat buruk yang boleh dikemukakan. Cukuplah dengan yang empat ini. Yang hendak ditekankan di sini ialah pemerintah dan universiti telah memilih jalan yang tidak bijak. Mereka memikirkan hanya keuntungan jangka pendek diri serta parti sehingga sanggup menggadaikan keuntungan jangka panjang untuk rakyat dan negara. Masanya sudah sampai untuk kita mengkaji semula atau bermuhasabah secara mendalam dan menyeluruh. Dasar dan tindakan kita haruslah mengambil berat tentang nasib anak cucu kita yang akan datang.


Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Wednesday, October 26, 2005

Kemelut Akujanji UUM:Surat Kepada Menteri Pengajian Tinggi

Daripada: Azly Rahman 28 September, 05 - Laman M@RHAEN
--------------------------------------------------------------------------------
Saudara Dr. Shafie,
Saya merujuk kepada laporan MalaysiaKini yang menyiarkan respons anda terhadap keengganan saya dan isteri menandatangani Akujanji. Saya sudah lama menantikan respons itu datangnya secara rasmi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sembilan bulan yang lalu. Sebagai pemimpin sektor bukan-politik, anda tidak boleh membiarkan pengalaman politik anda mengacau proses pembuat keputusan, tidak kiralah apakah alasan rahsia/terpendm terhadap pembangunan nasional itu sebenarnya.

Anda mesti faham kenapa Mutiara dan saya enggan menandatangani Surat Akujanji itu.

Kami tidak bersetuju dengan dua Klausa (Clause) terakhir yang melambangkan bentuk totalitarianisme yang anda sedang kembangkan di universiti awam kita. Kenyataan anda bahawa tidak ada salahnya dengan Surat Akujanji dan ia adalah sama sahaja dengan “satu pengakuan kepada Tuhan” memang memusykilkan saya. Jawapan anda yang pendek lagi tidak memuaskan itu menggambarkan anda tidak berupaya menganalisis perbezaan antara ‘mematuhi Tuhan” dan “akur kepada satu organisasi” yang diuruskan oleh dewa jelmaaan.

Anda mesti faham apa maknanya ‘organisational culture' (budaya organisasi) dalam ruang lingkup universiti yang ada dan segala budayanya serta bagaimana institusi menjadi semakin terikat kepada ideologi dan individu yang bertugas sebagai penegak ideologi tersebut. Inilah ciri-ciri yang fundamental dalam pertembungan terhadap perubahan pendidikan yang mesti anda pelajari untuk dilaksanakan sebagai seorang pemimpin sektor pendidikan.

Anda telah menafikan satu permintan yang sungguh mudah; satu, meminta kementeriaan anda dan UUM menjelaskan apakah kami harus menandatangani Surat Akujanji seandainya hak perlembagaan dan hak asasi mengajar secara bebas akan tergugat . Tidak ada pun penjelasannya. Sebaliknya anda telah memperkenankan pemecatan kami. Apakah ini caranya anda membuat keputusan dalam satu jaringan organisasi yang dinamakan universiti awam Malaysia?

Anda tidak sepatutnya mengusahakan satu kilang mengeluarkan orang yang hanya boleh bersuara – anda sepatutnya menguruskan satu institusi yang dinamakan sebuah universiti di mana keunggulan idea mesti merajai kepentingan politik. Doktrin politik yang dipahat sebagai latar belakang universiti tidak akan membantu mencipta longgokan ilmu pengetahuan, kefahaman dan kebijaksanaan. Anda tidak sepatutnya mengepalai satu parti politik yang dianggotai oleh tukang angguk dan tukang enggeh. Anda sepatutnya menguruskan satu jaringan organisasi pembelajaran di abad ke-21, seperti yang dijelaskan oleh para teoris seperti Peter Senge. Anda tidak boleh membenarkan ideologi politik anda mencemar idealisme falsafah sebuah universiti. Anda akan hanya mempercepatkan bencana yang sedang terjadi kepada kehidupan intelek tenaga pengajar dan para pelajar.

“Permohonan Yang di Abaikan”

Sekarang, izinkan saya merujuk kepada kenyataan anda mengenai keengganan anda menyemak dua klausa yang bersifat totalitarian dalam Surat Akujanji. Anda harus memahami pendapat kami pula. Anda telah meluluskan pemecatan kami daripada UUM tanpa memahami kenapa kami enggan terus berkhidmat kepada satu organisasi yang kami percaya tidak berlaku adil kepada kerjaya kami dan martabat kami sebagai pendidik.

Anda tidak tahu-menahu hakikat hubungan saya dengan Naib Canselor yang dulu - yang berasaskan keengganan saya menyetujui cara regim beliau menindas secara bersistem segala idea. Permohonan saya yang lalu agar dinaikkan pangkat telah ditolak tanpa bijaksana dan tanpa penjelasan. Soalan saya meminta penjelasan mengenai Surat Akujanji telah digunakannya sebagai asas memecat isteri saya dan juga saya. Mutiara dan saya hanya meminta satu jaminan bertulis bahawa kami tidak akan dimangsakan lagi oleh UUM. Kami telah meminta anda campur tangan dengan memadamkan dua klausa itu, tetapi anda telah mengabaikan permohonan kami.

Eloklah kita selesaikan isu ini dengan cara apa yang saya lihat sebagai satu analisis yang ada relevannya. - bukan sahaja mengenai anda sebagai seorang pemimpin sebuah universiti awam dan swasta di Malaysia, tetapi juga mengenai seseorang yang cuba secara bersistem membahayakan minda golongan muda yang kreatif di negara ini. Kenyataan anda menyamakan akuan kesetiaan kepada “Akujanji kepada Tuhan” memerlukan penjelasan. Saya tidak fikir analogi itu adalah benar dan ia tidak masuk akal juga.

Anda harus mampu membuat perbezaan yang tepat antara keengganan seseorang memberikan kesetiaannya kepada satu institusi yang diuruskan oleh Naib Canselor yang laparkan kuasa dengan janji kesetiaan ataupun aksi komunikasi memberikan taat dan setia kepada Tuhan yang adil yang perlu diterokai secara peribadi.

Potensi Salahguna

Nampaknya anda keliru mengenai sifat metafizikal dua perakuan ini. Sesungguhnya Surat Akujanji adalah dokumen buatan manusia di mana orang yang merangka matrix kuasa/pengetahuan mahu menjajah minda mereka yang menandatanganinya. Di situ sudah sedia tersemat klausa yang memberi jaminan pengarang mahu menguatkuasakan sebarang arahan sekarang ini dan juga di masa depan; arahan yang begitu cermat dilakar untuk memenuhi keperluan mengekalkan penguasaan yang tidak perlu ke atas orang lain.

Berikut adalah tiga contoh bagaimana ia boleh disalahgunakan:

1. Sebagai contoh, seandainya vice-chancellor ingin menginstitusikan latihan Khidmat Negara sedangkan fakulti yang mahu dikenakan gerakan itu menentangnya, ataupun sesi menguasai minda yang diuruskan oleh Biro Tata Negara, bercanggah dengan falsafah universal kebebasan manusia, pihak pentadbiran boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan mematuhinya. Sudah tentu banyak ruang salah guna kuasa. Seandainya hak perlembagaan seseorang itu digugat, sudah tentu beliau tidak dapat meminta bantuan daripada luar universiti. Sudah tentu ini satu kesalahan yang amat nyata.
2. Seandainya seorang vice-chancellor tidak suka kepada isi kandungan syarahan seorang pensyarah Sains politik yang mempunyai tugas menggalakkan bakat mengkritik, pensyarah itu boleh diarahkan mengubah-suai syarahannya mengikut “pengetahuan rasmi” yang dibenarkan oleh negara. Malahan yang lebih dahsyat lagi, pensyarah itu boleh dipantau sepanjang kuliahnya sehinggalah terdapat bukti yang mencukupi untuk memecatnya.

3. Seandainya seorang pensyarah mendapati wujudnya amalan jijik yang tidak adil untuk menggantung pelajar kerana mengemukakan soalan di forum terbuka, seperti yang terjadi kepada Rizal Anan di UUM, apakah sumpah setia yang wujud melarang seorang pensyarah daripada membantah kepada pentadbiran universiti atau menerangkan pandangannya secara terbuka melalui media?

Demikianlah sedikit contoh yang dapat dikemukakan daripada rangkaian salah guna Akujanji yang dikenakan terhadap para pensyarah untuk memberikan tandatangan mereka.
Inilah cara memperbodohkan golongan intelek, sebagai ciri fundamental satu regim yang authoritarian yang mesti kita semua fahami dan sekat daripada membiak. Mutiara dan saya akan terus berjuang sehingga kami dapat lihat satu versi baru Surat Akujanji yang menyongsang perjanjian yang ada. Kami tidak boleh beralah dengan kehendak ini. Kami ingin melihat universiti awam kita menjadi satu menara gading yang terunggul seperti yang amat diperlukannya.

Cara Bertolak ansur

Sebagai seorang pendidik yang amat yakin dengan prinsip kedamaian pendidikan, saya ada sedikit cadangan bagaimana anda dapat campurtangan di UUM:

1. Gantikan Surat Akujanji dengan satu versi yang dihasilkan oleh Jawatankuasa akademik bebas di UUM sendiri. Jangan cuba memecat mana-mana pensyarah yang mempersoalkan kandungan versi itu. Ini akan dianggap sebagai satu tindakan korupsi kuasa yang menjentik implikasi perundangan akhirnya.

2. Arahkan setiap fakulti/jabatan menubuhkan satu Jawatankuasa sendiri bagi tujuan berbincang, berunding dan menyediakan kenyataan jaminan terhadap kebebasan akademik. Ini adalah penting untuk melindungi para akademik daripada kerap menjadi mangsa salahguna kuasa oleh para pentadbir.

3. Umumkan satu kenyataan ‘berkecuali’ terhadap mana-mana parti politik supaya UUM akan mampu berfikir secara bebas dan tidak mudah dijajah lagi. Universiti adalah satu wadah intelek yang suci yang mesti bersih daripada diperalatkan oleh politik.

4. Galakkan pelajar supaya giat berpolitik supaya mereka dapat belajar bagaimana memahami alternatif yang lebih baik kepada ideologi yang ada. Tidak siapa yang berhak mengaku kepada kebenaran politik.

5. Galakkan semua bentuk pandangan terhadap sosial, politik, ekonomi, agama dan budaya supaya dapat terus subur untuk membolehkan generasi pelajar yang akan datang menjadi lebih bijaksana. Berikan mereka kebebasan untuk melakar masa depan politik, ekonomi dan sosial mereka.

6. Berikan latihan kepada pensyarah baru untuk melihat struktur pengajian daripada pelbagai perspektif, baik daripada ‘Structural-Functionalist, ‘Logical- Positivist’, ‘Post-Structuralism’, Marxist dan neo-Marxist, Agama dan Futuristicism, Pendapat berasaskan. ‘Ethno methodological dan Pheno methodological supaya mereka mampu mencabar para pelajar UUM untuk menjana pengetahuan yang baru. Barisan pensyarah UUM yang baru tentu mempunyai keinginan memiliki pengetahuan baru yang dapat membantu mereka keluar daripada acuan regim yang lama.

7. Galakkan para penyelidik dalam Yayasan Kepimpinan Tun Dr. Mahathir untuk membuat penyelidikan yang kritis terhadap sistem hegemoni pemikiran yang telah ditinggalkan oleh Perdana Menteri yang mencengkam kuasa selama 22 tahun. UUM perlu melahirkan satu barisan teoris yang kritis dan mampu membantu orang lain memahami totalitarianisme terhadap bentuk-bentuk budaya.

8. Galakkan semua kakitangan pentadbiran UUM - daripada super Naib Canselor kepada Pendaftar - untuk terus mengejar ilmu pengetahuan baik bagi keperluan diri dan kemajuan profesionalisme dan kepada memahami makna kebebasan intelek dan hak asasi manusia di satu kampus yang semakin berubah menjadi satu kem indoktrinasi.

9. Dapatkan campuran rakyat Malaysia dan calon antarabangsa untuk fakulti perguruan, sebagai gambaran bercambahnya kepelbagaian penduduk UUM. Dapatkan pensyarah yang tidak mengajar pelajar apa yang mesti difikirkannya, tetapi bagaimana harus berfikir.

10. Terjunlah ke dalam lautan segala kemungkinan transformasi dan ambillah risiko ke atas segala aspek pemerintahan dan enterpris pendidikan sebagai usaha melahirkan satu masyarakat UUM yang bijaksana.

Dengan segala perubahan yang radikal ini, anda tidak akan kehilangan apa-apa kecuali ketakutan menghadapi perubahan yang progresif. Para pelajar kita tidak akan kerugian apa-apa kecuali rantai yang membelenggu minda mereka. Jika anda ingini, saya dapat membantu kementerian anda dengan beberapa idea reformasi yang serba mungkin.

Yang ikhlas,
Azly Rahman.

Azizah mahu PM segerakan pengeluaran permit Suara Keadilan

Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail pada 18 Oktober lepas mengemukakan surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dengan masalah yang dihadapi oleh akhbar lidah rasmi parti, Suara Keadilan sejak kebelakangan ini.

Surat bertarikh 17 Oktober itu antara lain meminta jasa baik Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri menyegerakan pengeluaran permit akhbar Suara Keadilan yang tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

(KDN) mula mengambil tindakan undang-undang kepada pengedar-pengedar akhbar dan suratkhabar dari seluruh Semenanjung Malaysia yang mengedar dan menjual akhbar rasmi Parti Keadilan rakyat, Suara Keadilan.

Menurut Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, pihaknya telah mengemukakan permohonan beserta dengan dokumen lengkap sejak Mei lalu, tetapi hingga kini pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal untuk meluluskannya.

"Pihak KDN bukan sahaja gagal untuk meluluskan permit yang dipohon tetapi turut terlibat dalam melakukan rampasan akhbar sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit," kata Tian Chua dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat KeADILan pada 18 Oktober lepas.

Malaysia Today juga pernah memaparkan laporan berkenaan isu ini beberapa hari yang lalu di mana tindakan yang dijalankan melalui pegawai-pegawainya mula dijalankan pada 1 Jun lalu di Pasir Mas, Kelantan.

Tempat-tempat lain yang dikenalpasti ialah di Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Pada 6 Oktober lepas, dua pekedai di Kota Bahru dikenakan saman dan diperintah ke mahkamah kerana menjual, dipercayai menjual akhbar tersebut.

Suara Keadilan mula diterbitkan pada Jun 2005 hasil percantuman dua akhbar iaitu Suara PRM milik Parti Rakyat Malaysia dan Seruan Keadilan milik Parti KeADILan Nasional, berikutan pengabungan kedua-dua parti.

Suara Keadilan pada mulanya diterbitkan dengan menggunakan permit penerbitan milik Suara PRM dan ini telah dimaklumkan secara bertulis kepada pihak KDN.

Bagaimanapun pihak KDN menolak permohonan untuk menukar nama akhbar dari Suara PRM kepada Suara Keadilan, sebaliknya kami diminta membuat permohonan baru atas nama Parti Keadilan Rakyat.

Permohonan baru ini telah dibuat pada Julai 2005 dengan semua syarat telah dipatuhi dan semua dokumen yang diperlukan telah dibekalkan kepada pihak KDN.

Sepatutnya tidak ada sebab bagi kerajaan untuk tidak meluluskannya kerana ia adalah perkara asas dan merupakan hak setiap parti seperti yang dijamin oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2000.

Tindakan rampasan tersebut sampai ke pengetahuan Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan dengan serta merta mengadakan sidang media pada 13 Oktober lepas di lobi Parlimen.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau melihat itu sebagai satu tindakan terancang untuk menafikan hak Parti Keadilan Rakyat menyampai maklumat dan pendirian parti kepada rakyat Malaysia, dalam pada menghadapi berbagai-bagai sekatan oleh media arus perdana.

"Tindakan ini secara politiknya adalah satu tindakan yang menggambarkan rasa takut pihak pemerintah terhadap parti kami yang memperjuangkan reformasi, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, berlandaskan politik berbilang kaum," jelasnya.

Dalam surat tersebut, Azizah juga telah meminta agar KDN tidak mengganggu pekedai-pekedai yang menjual Suara Kedilan.

Berita terbaru difahamkan pada 20 Oktober lepas, salah seorang agen pengedar Suara Keadilan di Kuching Sarawak memberitahu bahawa kesemua akhbar jualannya telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Dalam sidang media tersebut juga, Tian Chua berkata bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengatur kempen di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Ini bukan hanya masalah parti tetapi juga masalah sekatan kebebasan bersuara," jelas Tian Chua lagi.

Keadilan juga meminta pihak kerajaan supaya mengiktiraf hak setiap parti untuk memiliki akhbar secara otomatik dan hak untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam.

Saturday, October 22, 2005

Hubaya-hubaya Mahathir dan AP-APnya

Oleh Hishamuddin Rais Petikan drp: MalaysiaKini - Oct 21, 05 4:30pm

--------------------------------------------------------------------------------
Minggu lalu seorang pegawai tinggi dari sebuah bank internasional telah bertanya kepada kawan saya kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad terus menimbulkan isu AP dan mempertikaikan semua kenyataan Datuk Seri Rafidah Aziz.
Kawan saya ini seorang ahli perniagaan lalu menyusulkan pertanyaan itu kepada saya. Ini bukan satu soalan yang baru bagi saya. Saya juga telah berkali-kali ditanya oleh anak-anak muda dari Universiti Bangsar Utama dengan persoalan yang sama.

Bila soalan tentang Dr Mahathir ini timbul saya teringat zaman Mao dan Deng di Tanah Besar China. Penyokong-penyokong Mao terus menggodam Deng tentang garis politik yang diambilnya.

Penggodaman yang berkali-kali itu telah disifatkan oleh Deng seperti membelasah anjing yang sudah mati. Ini jugalah rasanya apabila saya menulis tentang Dr. Mahathir. Saya tidak mahu dilihat seperti membelasah anjing yang sudah mati.

Tetapi dalam hal Mahathir dan arus politik Malaysia ini ada sedikit perbezaan. Di kampung, di zaman saya kanak-kanak dahulu, jika kami anak-anak - terserempak dengan ular maka kami akan tergesa-gesa mencari buluh untuk membelasah ular itu. Setelah dibelasah kami memastikan yang ular itu telah betul-betul mati.

Kepalanya akan digodam hingga hancur. Kemudian barulah kami buangkan ke dalam sungai. Mitos antara kami ialah jika kepala ular ini tidak hancur dia akan datang membalas dendam.

Mitos ular

Itu hanya mitos kanak-kanak tetapi boleh diambil sebagai ilmu politik. Musuh politik wajib di digodam sehingga tidak ada kemungkinan ianya kembali bernafas. Kepalanya wajib dipastikan telah betul-betul hancur.

Ular yang telah dipukul oleh gerakan Reformasi pada tahun 1999 dahulu sebenarnya telah mengundur diri sebelum sempat digodam kepalanya sehingga lumat.

Dengan licik ular ini telah bersalin kulit. Malah ramai pula yang menyangka bahawa ular ini telah mati. Ini tidak tepat. Walau pun ular ini telah patah tulang belakangnya tetapi seperti ular senduk ianya masih berupaya untuk berdengus dan menakut-nakutkan musuhnya.

Kembali kepada persoalan Mahathir dan kenapa dia terus menimbulkan isu AP; saya memiliki beberapa pandangan. Untuk memahami apa yang sedang terjadi kita wajib melihat kembali kepada budaya politik Umno.

Dalam badan politik ini penghormatan hanya diberikan kepada pemimpin yang memiliki kuasa. Pemimpin yang tidak berkuasa tidak akan menerima apa-apa penghormatan.

Hormat ini akan sampai tinggi menggunung jika yang memiliki kuasa berupaya untuk mengagih-agihkan kontrak, lesen balak, meluluskan projek dan segala macam kepentingan ekonomi. Pemimpin-pemimpin yang telah bersara dalam Umno pasti tidak memiliki kuasa untuk menjadi Santa Klaus justeru hamba Allah ini tidak akan dihormati.

Taraf mereka bukan lagi sebagai Quran buruk tetapi telah menjadi surat khabar lama.

Budaya ini bukan sahaja difahami oleh Dr Mahathir, malah dia sendiri pun semasa berkuasa telah mengamalkan dan memperkasa ciri-ciri budaya ini. Jangan lupa apa yang telah terjadi kepada Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Dua hamba Allah ini pernah menjadi kepala kepada Umno. Ingatilah bagaimana kedua-dua hamba Allah ini telah diperlekehkan oleh Dr Mahathir

Ciri-ciri dan pola-pola untuk memperlekehkan Dr Mahathir telah mula kelihatan. Mari sama-sama kita kembali mengingati berita di TV pada October 21, 2005 malam Anwar Ibrahim dibebaskan tahun lalu. Seperti tikus basah Dr Mahathir dengan anak isterinya telah memanggil sidang akhbar di bangunan Petronas.

Serangan media

Rakyat melihat betapa moyoknya Dr Mahathir pada petang itu. Dia hanya dikelilingi oleh isteri dan anak-anaknya yang masih setia. Para juak, hulubalang dan tukang sorak semuanya hilang lesap menikus lari.

Menyedari hakikat ini Dr Mahathir telah mengambil langkah untuk terus menyerang melalui media. Serangan melalui media ini penting untuk strategi Dr Mahathir. Dengan muncul di media maka Dr Mahathir inginkan rakyat Malaysia melihat susuknya bukan kucing yang berkurap tetapi masih seorang negarawan yang relevan.

Pada awal persaraan, universiti-universiti di seluruh negara, kecuali Universiti Bangsar Utama, telah menganugerahkan ijazah kehormat kepada Dr Mahathir. Ini terjadi pada tahun pertama, kini semuanya telah berlangsung dan lihat bagaimana Dr Mahathir kini telah sanggup untuk datang ke majlis penyampaian hadiah di Sekolah Menengah Kampong Esok, Sekolah Jenis Kebangsaan Sinadorrai malah telah dilaporkan bahawa Dr Mahathir sanggup datang ke majlis penyampian hadiah Tadika Seri Murni.

Serangan terhadap Rafidah ini sebenarnya hanyalah satu helah politik Dr Mahathir. Di sini saya bukan hendak menyebelahi Rafidah. Tetapi hakikatnya semasa Rafidah diserang di parlimen, para Yang Berhormat telah cuba memperlihatkan kejantanan mereka. Mereka melihat Rafidah dari gender yang lemah dan wajib diserang.

Pada anggapan saya Rafidah memiliki keupayaan yang cekap sebagai seorang menteri. Malah jika dia bukan perempuan saya yakin Rafidah memiliki keupayaan dan keterampilan untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika dibandingkan dengan menteri-menteri kabinet lain, saya akui Rafidah ini lebih berkualiti sebagai seorang menteri. Lakonan yang dimainkan oleh Rafidah ini sama seperti lakonan Benazir Bhutto jika dibandingkan dengan ahli-ahli parlimen lain yang hanya boleh berlakon ke tahap Napsiah Omar atau Ibrahim Ali.

Rasuah kroni

AP ini bukan isu Rafidah rasuah. Isu rasuah bagi saya tidak timbul kerana dalam kerajaan hari ini hampir mustahil untuk menemui menteri yang tidak mengambil bahagian dalam rasuah. Rasuah itu adalah sebahagian dari amalan politik kerajaan hari ini. Jadi saya menolak heboh-heboh AP ini sebagai tuduhan terhadap aktiviti rasuah Rafidah.

Malah apa yang telah dijalankan oleh Rafidah telah mengikut dasar-dasar yang telah ditetapkan.

Dasar Ekonomi Baru ialah memberi lesen kepada Bumiputera. Maka Bumiputera yang disebutkan ini termasuklah para kroni, penyokong parti, anak bini dan kaum keluarga. Dari segi dasar inilah yang telah dipersetujui. Malah Rafidah telah mengikut apa yang telah pernah dijalankan oleh Dr Mahathir sendiri.

Bagi saya Rafidah telah menjalankan dasar yang sama-sama diketahui dan diluluskan oleh Dr Mahathir. Apakah Dr Mahathir lupa bahawa dia dahulunya boss kepada Rafidah.

Jika tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku maka yang wajib dikritik dan diubah ialah dasarnya. Dr Mahathir telah menimbulkan agenda AP bukan kerana dia menentang rasuah atau menentang dasar memberi lesen kepada kroni. Ini bukan niat Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir sedang menggunakan isu AP ini untuk menyediakan alasan kegagalan Syarikat Proton. Fakta ekonomi yang ada pada hari ini menunjukkan Proton adalah sebuah syarikat yang lemah. Proton hanya dapat bergerak dengan baantuan duit rakyat.

Jika Proton betul-betul bergerak seperti syarikat pembuat kereta maka ianya telah lama ditalkinkan. Di sinilah peranan Dr Mahathir Muhamad. Tanpa dijemput tanpa diminta dia terus menawarkan dirinya untuk menjadi penasihat Proton.

Ini dilakukan kerana Dr Mahathir berkeras kepala ingin membuktikan bahawa babi boleh terbang dan ikan tilapia memerlukan basikal.

Dua minggu lalu Delphi syarikat vendor General Motors Corporation (GM) telah jatuh muflis.

The filing in bankruptcy court is the latest sign that the US auto industry's unionized workers face the painful restructuring efforts forced on airline and steel workers amid bankruptcies in those industries.
Syarikat Delphi ini bukan kecik anak. Jika dibandingkan Proton dengan Delphi, samalah seperti membandingkan Siti Nurhaliza dengan Mariah Carrey. Delphi memiliki 45 buah kilang pembuatan injin di Amerika dan Canada dengan 49,000 orang pekerja. Kilang-kilang ini menyediakan pelbagai barangan untuk syarikat kereta GM.
Dari sejarah Proton, dari awal lagi para akademik dan ahli ekonomi tempatan telah bersuara dan mengatakan bahawa kerja membuat kereta untuk negara seperti Malaysia samalah seperti menghantar Sangkaran Pillay untuk menjadi juara 100 meter dalam sukan Olimpik.

Tetapi dengan angkuh sekali Dr Mahathir telah memperli dan memperlekehkan pandangan para akademik dan para ekonomis ini. Hasilnya hari ini semua rakyat Malaysia dipaksa membayar untuk terus menghidupkan bangkai bernyawa yang bernama Proton.

Penutupan syarikat pembuat kereta bukan satu yang baru. Satu ketika dahulu Australia juga telah mengeluarkan kereta Holden. Akhirnya syarikat ini ditutup. Banyak syarikat pembuat kereta dalam dunia ini sedang menghadapi saingan hebat daripada China dan Jepun.

Fiat dari Italy dan Volkwagen dari German juga sedang mengalami keperitan. Pembuatan kereta bukan hanya untuk jualan dalam negara sahaja. Industri kereta kita tidak mungkin dapat hidup dengan daya beli rakyat Malaysia.

Negara kita bukan seperti China atau India. Hakikat ini disedari oleh Dr Mahathir. Kerana itu, kita jangan lupa, pada satu ketika dahulu Dr Mahathir cuba menggalakkan rakyat bersengama siang dan malam sebanyak mungkin agar penduduk Malaysia menjadi 75 juta orang. Ini kerana niatnya untuk menjual kereta Proton.

Sepanyol yang penduduknya hanya sekali ganda dari Malaysia berjaya dengan industri keretanya kerana - Spain ia mengesksport 82 peratus daripada 3 juta kenderaan yang dikeluarkannya.

Amat jelas dalam kes negara Sepanyol ini, kunci kejayaan ialah bersaing dan dapat menjual kereta ke luar negara. Jadi saya melihat isu AP ini memiliki udang di sebalik batu. Ada satu lagi perkara yang paling penting dalam memahami heboh-heboh AP Rafidah ini.

Apabila Dr Mahathir menyerang dan menimbulkan isu AP maka rakyat diharap-harap akan terlupa kepada lebih banyak jenayah-jenayah ekonomi, kes-kes rasuah dan pelbagai masalah yang telah ditinggalkan bersepah-sepah oleh Dr Mahathir.

Jangan lupa tentang projek Bakun. Berapa bilion ringgit yang telah hangus dibaham oleh para kroni. Jangan lupa dengan projek Pewaja. Berapa bilion ringgit yang telah lebur macam besi buruk. Jangan lupa tentang Bank Bumiputera yang hilang dua bilion ringgit.

Dan pergilah berjalan dan lihat dengan rapi rupa bentuk bangunan di Putrajaya. Banyak yang mula terkehel, robek, berlubang, bocor dan pecah. Plastik-plastik murah, besi-besi tidak berkualiti, batu bata tidak bermutu telah digunakan dalam mendirikan bangunan-bangunan yang dimimpikan Dr Mahathir.

Malah rumah rasmi Perdana Menteri yang baru dihuni telah wajib diperbaiki. Cuba tanya kerja jahat siapa ini? Berapa bilion ringgit agaknya yang telah masuk ke dalam saku para kroni?

Bagaimana pula dengan Convention Center yang sedang menjadi lipas menjalar di atas bukit yang hanya baru dua kali digunakan untuk persidangan antarabangsa. Bagaimana pula dengan stadium Bukit Jalil yang telah mula bocor. Dan bagaimana pula dengan berita 500 juta ringgit dari Bank Islam yang tiba-tiba hangus.

Duit sebanyak ini tidak mungkin berlayar ke Bosnia atau ke Afrika tanpa ada hamba Allah yang membenarkannya.

Projek mega

Bayangkan berapa ramai generasi anak-anak muda yang telah memasuki universiti dan lembaga-lembaga pengajian tinggi telah dibebalkan oleh Dr Mahathir. Mereka telah dibonsaikan otak fikrahnya sehingga terlupa untuk bertanya - apa telah terjadi tentang heboh-heboh Multimedia Super Corridor dahulu?

Apa telah terjadi kepada E-Village? Apakah tujuan mendirikan Cyberjaya itu hanya untuk membuat kajian tentang lalang dan belukar? Berapa bilion ringgit telah tercurah di sini?

Sebenarnya isu AP Rafidah ini adalah amat kecil berbanding dengan berbilion ringgit yang hilang, lenyap dan lupus kerana projek-projek mega Dr Mahathir. Kes Rafidah dengan Dr Mahathir ini samalah seperti kes Saddam dengan Bush. Saddam Hussein menghukum rakyat Iraq yang menentang beliau. Tetapi George membunuh semua rakyat Iraq.

Akhir-akhir ini Dr Mahathir sedang cuba sedaya upaya menunjukkan bahawa dia telah begitu berusaha untuk mendirikan kilang kereta nasional. Dalam usaha suci lagi murni ini dia telah berputar belit, bersilat lidah.

Bayangkan seorang Perdana Menteri sebuah negara dan seorang Wira Dunia Ketiga telah ditipu oleh Naza seorang penjual kereta secondhand. Ini bukan tohmah dari saya. Ini pengakuan Dr Mahathir sendiri.

Saya kasihan terhadap para Yang Berhormat di parlimen yang telah tertelan perangkap yang telah dipasang oleh Dr Mahathir. Serangan-serangan terhadap Rafidah adalah taktik mempertahankan diri untuk memastikan kes dan fail rasuah dirinya sendiri tidak akan dibuka.

Rafidah dan AP akan dipersalahkan apabila Proton menjadi perniagaan buluh kasap; hujung hilang pangkal lesap.

Saya di sini tidak ingin membelasah anjing yang telah mati. Saya hanya terkenang kepada mitos zaman kanak-kanak saya dahulu. Kalau bunuh ular kepalanya mesti dihancurkan.

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved

Friday, October 21, 2005

Wa fm Tutup: 300 Pertahankan Kebebasan Bersuara dalam Hujan

Oleh Chang Teck Peng & Lim Hong Siang (MerdekaReview), diterjemah oleh Jeffrey Lim

SHAH ALAM - Akhirnya, saluran radio Wa fm telahpun tamat siarannya pada pukul 1 pagi, 15 Oktober 2005 (Sabtu). Dari pukul 9 malam 14 Oktober 2005 (Jumaat), ramai pendengar setia telah berkumpul di ibu pejabat ntv 7 di Hicom Glenmarie, Shah Alam, menghadiri Candlelight Vigil "Bersama Wa fm di Langit yang Indah" yang dikelola Parti Keadilan Rakyat, untuk menemani Wa fm pada 4 jam terakhir siarannya. Saluran ini diminati ramai kerana rancangan perbincangan isu semasanya, "Lampu Isyarat Balik Kerja" yang disiarkan setiap petang, telah mempelopori ruangan kebebasan bersuara yang dulu tidak pernah dijumpa di negara ini.

Setelah berita mengenai penutupan siaran Wa fm diumumkan pada 15 September 2005, rakyat seluruh negara temasuk media massa, masyarakat umum, parti-parti politik dan para pendengar amat prihatin terhadap nasib Wa fm, dan cuba mengelakkan pemergiannya melalui usaha pelbagai pihak. Namun, apabila Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengumumkan di Parlimen bahawa beliau telah meluluskan penutupan Wa fm, malah ia tidak dapat dielakkan "sungguhpun sejuta orang menandatangan untuk menentangnya", orang ramai mula memahami bahawa nasib malang ini tidak dapat dielakkan lagi.



Walaupun kedudukan syarikat ntv 7 susah dicari, ramai tetap menghadiri Candlelight Vigil ini sepanjang 4 jam ia dijalankan, yang lama pulang tetapi yang baru terus datang. Dijangka jumlah mereka yang datang telah mencecah 300 orang, demi menunjukkan sokongan dan motivasi kepada para DJ Wa fm.

Selain daripada majoriti hadirin yang merupakan pemuda pemudi, ramai juga ibu bapa yang datang bersama kanak-kanak. Kesungguhan para pendengar untuk menyokong kebebasan bersuara langsung tidak ditewaskan oleh hujan renyai-renyai yang turun. Candlelight Vigil ini terus berlangsung sehingga pukul 1:30 pagi.


Sdr Low Chee Chong, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan adalah pengelola utama program ini. Beliau telah menjemput para pekerja media, ahli-ahli politik, wakil-wakil persatuan, kakitangan Wa fm dan orang ramai untuk memberi ucapan demi mempertingkatkan semangat pada malam itu.

Selain daripada para pendengar setia Wa fm, yang menghadiri Candlelight Vigil tersebut termasuk Naib Presiden, Sdr Sivarasa Rasiah; Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San; YB Fong Po Kuan, Ahli Parlimen Batu Gajah; Ng Swee Lim, ADUN Sekinchan, Selangor; Anthony Loke Siew Fook, ADUN Lobak, Negeri Sembilan; Tang Ah Chai, Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH), wakil pemuda dan wanita SCAH, Yong Khai Peng, Editor Bahasa Cina Malaysiakini; Pengerusi Jawatankuasa Pertahankan SJKC Damansara (Asal); Lim Yew Soon, wartawan Yazhou Zhoukan (Asiaweek berbahasa Cina terbitan Hong Kong yang dimiliki bos Sinchew Daily) di Malaysia; komentar isu semasa Liew Chin Tong serta ramai lagi.


Tang Ah Chai berkata, sungguhpun Wa fm akan ditutup, tetapi saluran berbahasa Cina ini telah mendirikan piawaian baru untuk bidang penyiaran di Malaysia. Oleh yang demikian, walaupun malam ini menyedihkan, tetapi ia tetap penting. Wa fm tidak seharusnya dicampak ke dalam tong sampah sahaja. Sebaliknya, ia patut dijadikan piawaian untuk menguji tahap kebebasan bersuara dan masyarakat terbuka.

"Apabila orang lain bertanya tentang industri penyiaran di Malaysia nanti, kita boleh memberitahunya bahawa kita telah mencapai standard Wa fm. Jika mereka menanyakan tahap kebebasan bersuara di negara kita, kita boleh menjawab, kita telah mencapai standard "Lampu Isyarat Balik Kerja," ujar beliau.


Pemuda DAP telah membawakan sebuah kain rentang yang dicetak wajah 4 orang hos "Lampu Isyarat Balik Kerja" yang terkemuka iaitu Jingwen, Xiaohui, Youquan dan Weiqin, serta slogan "Semangat Kebebasan Bersuara Takkan Hilang". Orang ramai menurunkan tandatangan di atas kain rentang ini dan sekejap sahaja ia telah dipenuhkan tandatangan orang ramai.

Timbalan Ketua Eksekutif, Cik Huang bersama beberapa DJ termasuk Shiyu, Jingwen, Jiahui, Xiaohui, Youquan dan Weiqin bergilir-gilir datang ke pintu masuk ntv 7 untuk berterima kasih kepada para hadirin Candlelight Vigil serta sokongan yang diberikan sejak beberapa minggu lalu. Ada juga DJ yang menitiskan air mata.


Kehilangan sesuatu pastilah menyedihkan. Dalam 30 minit terakhir waktu siaran Wa fm, para DJ bersembang dengan jujur dan ikhlas bersama Timbalan Ketua Eksekutif, Cik Huang di dalam studio. Apabila DJ Xiaohui bertanya apakah perkara paling diingini tapi tidak mampu tercapai, Huang secara terus terang menjawab, "Meneruskan Wa fm!"

Para hadirin di Candlelight Vigil tersebut dapat mengikuti siaran Wa fm menerusi sebuah radio yang ditempatkan di pintu utama ntv 7. DJ Xiaohui kehilangan perkataan untuk seketika. Seketika yang senyap ini telah menyakitkan ramai. DJ Xiaohui terus countdown, orang ramai cuma tunggu dalam kesedihan.


Cik Huang berkata, "Wa fm merupakan anak kita. Ia memang sihat dari segi rohani, tetapi badannya telah letih dan perlu berehat. Hari ini kita bukan tamat, cuma bermulanya Countdown kepada masa siaran dimulakan semula setahun dari sekarang. Jika kita dapat memberikan ilham kepada media lain, bagi saya sudah amat memuaskan. Mohd Ibrahim Masrukin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ntv 7 turut berasa sedih setelah ternampak begitu ramainya para pendengar yang datang menyalurkan sokongan, sehingga menuliskan perasaannya yang sepanjang 3 helai kertas kepada saya. Semoga beliau akan cuba sedaya upaya untuk menghidupkan saluan kita semula. Kita ucapkan ribuan terima kasih."

Beliau turut menjemput para pendengar melawat laman www.waonline.com.my.

Perhimpunan yang dilangsungkan selama 4 jam setengah dipenuhi bukan sahaja rasa suka dan duka, malah harapan terhadap masa akan datang. Para hadirin beberapa kali menyanyikan "lagu stesen", Tang Ah Chai juga mengajak semua menyanyikan "We Shall Overcome", untuk memupuk ideal terhadap mencapai kebebasan bersuara.


Apabila detik tepat pukul 1 pagi tiba, perjalanan Wa fm bersama rakyat Malaysia selama 2 tahun setengah telah sampai ke penghujungnya. Orang ramai gemuruh bertepuk tangan untuk memberi tabik hormat kepada para DJ. Ada di antara mereka yang telah mula menangis. Para DJ yang mengulungkan siaran terakhir yang bersejarah ini pula keluar bersalaman dengan orang ramai, menyanyi lagu-lagu seperti "Friendship Forever" bersama-sama, serta mengambil gambar untuk menjadikan kenangan sejati.

Cik Huang memuji para pendengar yang hadir untuk memberi sokongan sebagai pendengar yang bermutu, bukan yang menelefon untuk memenangi hadiah atau tiket konsert. Mesej ini jelas. Saluran-saluran radio kita telah menjadi sangat komersil, sehingga isu-isu semasa dielakkan secara total, dan waktu penyiaran dipenuhi rancangan-rancangan yang membosankan dan tidak bermutu.


Lilin terus menyala. Tindakan 300 orang telah menunjukkan satu kenyataan kepada pemerintah serta korporat besar, serta memaksa mereka mendengar desakan masyarakat madani (civic society), iaitu rakyat perlukan ruangan kebebasan bersuara. Dalil bahawa pendengar tidak meminati perbicangan isu-isu serius tidak tepat sekali.

Jika Wa fm hanya saluran komersil yang biasa, penutupannya tidak akan membawa kejutan yang begitu besar. Rancangan call-in isu semasanya "Lampu Isyarat Balik Kerja", yang pernah menjemput calon-calon dalam pemilihan parti MCA untuk "digoreng" oleh rakyat biasa semasa pemilihan parti MCA, memang telah membuka ruangan baru dalam sejarah Malaysia.

Satu-satunya rancangan politik secara call-in di Malaysia ini mendapat sambutan hangat sungguhpun tiada hadiah atau tiket konsert dapat dimenangi, seperti dikatakan Naib Presiden parti dan peguam hak asasi terkemuka, Sivarasa Rasiah, rakyat mendahagakan kebebasan bersuara. "Kita memerlukan lebih banyak stesen radio, bukan kurang lagi! Kita inginkan saluran radio yang bebas, bukan yang dikawal!"


YB Fong Po Kuan, MP Batu Gajah mendesak YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, jika ingin mendengar kebenaran, dengarlah Wa fm, kerana kedua-dua pandangan rakyat yang bersetuju atau menentang dasar negara boleh didapati. Ng Swee Lim, ADUN Sekinchan pula mencadangkan kepada Datuk Seri Ong Ka Ting, Presiden MCA, jika beliau berasa amat selesa berucap di Wa fm kerana terdapat kebebasan bersuara di sini, cubalah sedaya upaya menghidupkan semula Wa fm dalam masa setahun!

Zheng Ding Xian, timbalan ketua pengarang Sinchew Daily berkata, kita harus mula countdown untuk menantikan masa siaran Wa fm disambung semula setahun dari sekarang. Komentar isu semasa, Zheng Ming Lie menerangkan, kebebasan bersuara memang hak kita, yang tidak harus dilepaskan. Beliau tidak terlupa untuk menyindir, "Apa yang menteri tidak berani cakap, jom kita cakapkan untuk dia!"


Perdana Menteri kuku besi, Tun Datuk Seri Dr. Mahathir telahpun secara rasminya tinggalkan kita untuk dua tahun. Namun, setelah 22 tahun kebebasan diperkosa, ramai di antara rakyat Malaysia tidak lagi berani cuba menguji batasan kebebasan bersuara baru, kerana tidak sudi melompat keluar dari minda lama. Yang menggembirakan, masih ada segelintir di antara kita yang berani mencabar batasan, dan berjaya meluaskan lagi ruangan kebebasan bersuara.

Lebih daripada 11,256 orang telah menurunkan tandatangan di petisyen online, menyampaikan hasrat untuk memelihara hayat Wa fm kepada Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi. Sivarasa menggalakan orang ramai terus membantah, menggerakkan lebih banyak orang, menghantar memorandum bantahan, untuk menyampaikan suara hati rakyat kepada pemerintah.

Candlelight Vigil yang dihadiri 300 orang akhirnya tidak dapat mengubah nasib malang Wa fm juga. Akan tetapi, ia telah membuka mata rakyat terutamanya masyarakat Tionghua bahawa perhimpunan tidak sama sekali dengan keganasan, seperti yang didakwa segelintir. Keinginan untuk kebebasan bersuara telah secara senyap diserap ke dalam kehidupan seharian.

Azmin Tidak Beri Keterangan Palsu, Kata Peguamnya

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali, tidak memberi keterangan palsu dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu semalam.

Peguam CV Prabhakaran berkata meskipun Azmin menggunakan perkataan berbeza untuk menggambarkan keganasan polis apabila dia mengadu ke majistret Mohd Azhar Othman, ini tidak bermakna beliau memberi keterangan palsu jika dibandingkan dengan testimoninya dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Anwar.

Menurut Prabhakaran, adalah salah untuk Mahkamah Sesyen mendapati Azmin bersalah untuk memberi keterangan palsu kerana Azmin sudahpun menjelaskan mengapa perkataan berbeza yang digunakan.

"Kami menghubungi majistret yang merekodkan aduan Azmin pada peringkat awal dan beliau mengaku bahawa berdasarkan apa yang diberitahu oleh Azmin, beliau memahami Azmin sememangnya diancam polis", kata CV Prabhakaran, sebagaimana dipetik oleh Malaysiakini.

Maka, Prabhakran berkata tuduhan keterangan palsu tidak boleh bertahan lagi kerana penjelasan yang terang dan sah sudah diberikan ke mahkamah.

Azmin, yang merupakan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir, yang mendapati beliau bersalah kerana memberi keterangan palsu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 1999, di hadapan Hakim Augustine Paul. Azmin dihukum penjara 18 bulan.

Tetapi pada Julai 1999, Hakim Mahkamah Sesyen Hamdan Indah mendapati tiada apa dalam kes pendakwaraya yang menuntut agar Azmin mempertahankan dirinya, dan beliau didapati tidak bersalah.

Kemudian, pada 17 Februari 2000, Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Wahab Patail membenarkan rayuan pendakwaraya yang menghantar kes tersebut kembali ke Mahkamah Sesyen untuk Azmin memulakan pembelaannya. Azmin kemudian didapati bersalah dan dihukum, dan kini beliau merayu di hadapan Hakim Abdul Kadir Musa.

Mahkamah menetapkan 14 November 2005 untuk penghujahan lanjut isu tersebut.

Azizah sertai Tadarus Al-Quran sempena Ramadhan di Permatang Pauh

Oleh Zulkifli Mohamed (Malaysia Today)

PERMATANG PAUH : Ahli Parlimen Permatang Pauh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menyertai majlis Tadarus Al-Quran, bersama lebih 200 muslimat yang diadakan di sini, pagi Ahad lalu.

Majlis anjuran Wanita Keadilan bahagian itu diadakan sempena bulan Ramadhan di Rumah Ketua Wanita, Hajah Che Wa Harun.

Selain majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan zakat, berbuka puasa dan bersembahyang terawih di sekitar masjid dan surau di sini.

Azizah menunaikan solat terawih di Masjid Timah dan Masjid Bandar Baru Perda.

Selain itu beliau menyertai majlis berbuka puasa di Surau Kampung Petani dan di Masjid Tengah Berapit yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Zahrain Mohd Hashim.

Selepas bertadarus, beliau menyampaikan zakat kepada fakir di sekitar kawasan parlimennya.

Presiden Keadilan itu turut berkesempatan menziarahi sepuluh keluarga malang dan daif
di samping menghulurkan bantuan peribadinya kepada mereka.

Tidak terkecuali beliau turut mengunjungi adik Rozana Saidin,21, yang lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya setahun lalu. Kisah penderitaannya pernah disiarkan dalam rancangan “ Bersamamu TV3,” baru-baru ini.

Selain itu, sebuah keluarga petani Cina di Permatang Nibung yang terlalu daif turut mendapat simpati beliau.

Kok Kam,76, menjalani kehidupannya bersama isterinya, Lee Siew Eng,52, yang terencat akal dan sepasang anaknya berusia 25 dan 26 tahun yang turut mengalami nasib yang sama seperti ibu mereka.

Keadilan sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan sewajarnya daripada pihak-pihak tertentu bagi meringankan penderitaan keluarga tersebut.

Thursday, October 20, 2005

Keadilan Ucap Takziah Kepada Pak Lah

Parti Keadilan Rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kembalinya isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood ke Rahmatullah pada jam 7.55 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia selepas lama bertarung dengan barah payu dara.

Presiden Keadilan, YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun menyampaikan ucapan takziah mereka dari Washington DC.

Azizah berasa amat sedih setelah mengetahui berita ini, kerana tidak lama dahulu Allahyarham Endon baru balik daripada menjalani chemotheraphy di Amerika Syarikat. Pada masa itu, kesihatan beliau dikatakan stabil. Oleh yang demikian, berita ini bukan sahaja mendukacitakan malah memeranjatkan sekali.

Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau, isteri beliau serta keluarga berasa amat simpati ke atas pemergian Allahyarham pagi ini.

"Keluarga saya, terutamanya Azizah, tidak akan melupakan persahabatan dengan Endon dan budi baiknya," ujar beliau.

Shamsul Iskandar, Timbalan Ketua Angkatan Muda turut mengucapkan takziah kepada perdana menter dan keluarganya. Shamsul berharap Datuk Seri Abdullah dapat bersabar dan menerima hakikat ini sebagai takdir.

Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali, bersama dengan Naib-naib Presiden, Azmin Ali Sivarasa Rasiah dan Datin Saidatu Badru Tun Said Keruak; Ketua Penerangan, Tian Chua; Ketua Wanita Fuziah Salleh; dan Exco Angkatan Muda Faisal Mustaffa telah mewakili para pemimpin dan ahli-ahli parti untuk menziarahi jenazah Allahyarham di Seri Perdana, Putrajaya.

Mereka sempat bertemu dengan YAB Perdana Menteri dan menyampaikan ucapan takziah dari pimpinan dan ahli parti yang lainnya.

Biro Penerangan Parti telah menghantar SMS ringkas kepada para ahli dalam Adil Net tidak beberapa lama selepas berita menyedihkan tersebut diumumkan.

Allahyarham dikenangi semua sebagai seorang wanita pertama yang berbaik hati dan penyayang. Beliau gigih menghidupkan kembali seni kebaya nyonya, batik dan songket di negara ini. Beliau pernah mempamerkan koleksi peribadi kebaya nyonya yang dikumpul ibunya di Kuala Lumpur dan Singapura.

Allahyarham juga amat prihatin juga terhadap kanak-kanak yang kebuluran di Bosnia-Herzegovina, Kosovo dan Korea Utara. Beliau sangat menyokong kerja-kerja kebajikan untuk membantu kanak-kanak tersebut. Selain daripada itu, Allahyarham juga bersungguh-sungguh menyokong rancangan-rancangan untuk mempertingkatkan tahap kesedaran terhadap barah payu dara di negara ini.


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.


Al Fatihah.

Monday, October 17, 2005

Dr. Azly Rahman Kecam Salah Guna Kuasa

PETALING JAYA - Ahli akademik dan kolumnis Malaysiakini, Dr. Azly Rahman, memberi amaran tentang penyalahgunaan kuasa dalam ucapannya di sebuah majlis anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia di Dewan Masjid Kolej Islam Malaya Sabtu lepas.

Dr. Azly Rahman dan isterinya, Dr. Mutiara Mohamed merupakan pensyarah di Universit Utara Malaysia apabila mereka enggan menandatangani Akujanji pada tahun lepas dan kemudian dipecat dari universiti tersebut. Mereka kini mengajar di Amerika Syarikat.

Ucapannya dibacakan oleh sahabatnya, Hanifa Maidin.

Dalam ucapannya, Dr. Azly berkata beliau dan isterinya akan terus tidak menandatangani Akujanji, dan mendesak agar para mahasiswa terus menuntut penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti serta undang-undang yang menindas yang lain.
Dr. Azly, yang mengajar "Ilmu Pemikiran" dan "Etika" di UUM berkata beliau percaya pada waktu itu abad ke 21 akan menyaksikan lebih ramai orang insan yang beretika dan berfikir. "Tetapi saya dibuang dari sebuah institusi pengajian tinggi awam Malaysia kerana bertanya soalan etika".

Sehingga hari ini, suratnya yang ditulis ke Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Pengajian Tinggi dan menteri-menteri lain tidak dijawab.

Dr. Azly mahukan rakyat Malaysia amnya, dan mahasiswa khususnya, menjadi pejuang menentang penyalahguna kuasa.

"Kuasa dalam suasana yang demokratik boleh bersifat membebaskan dan mengubah sesuatu ke arah yang baik; tetapi dalam keadaan sebaliknya ia boleh menjadi mengekang dan menindas".

Thursday, October 13, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

KDN Nafikan Permit Penerbitan Suara Keadilan
--------------------------------------------------------------------------------

PARTI Keadilan Rakyat mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menafikan hak parti kami untuk menerbitkan akhbar rasmi, Suara Keadilan.
Suara Keadilan mula diterbitkan pada Jun 2005 hasil percantuman dua akhbar iaitu Suara PRM milik Parti Rakyat Malaysia dan Seruan Keadilan milik Parti KeADILan Nasional, berikutan pengabungan kedua-dua parti.

Suara Keadilan pada mulanya diterbitkan dengan menggunakan permit penerbitan milik Suara PRM dan ini telah dimaklumkan secara bertulis kepada pihak KDN.

Bagaiamana pun pihak KDN menolak permohonan untuk menukar nama akhbar dari Suara PRM kepada Suara Keadilan, sebaliknya kami diminta membuat permohonan baru atas nama Parti Keadilan Rakyat.

Permohonan baru ini telah dibuat pada Julai 2005 dengan semua syarat telah dipatuhi dan semua dokumen yang diperlukan telah dibekalkan kepada pihak KDN.

Sepatutnya tidak ada sebab bagi kerajan untuk tidak meluluskannya kerana ia adalah perkara asas dan merupakan hak setiap parti seperti yang dijamin oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2000. (Lihat lampiran)

Namun sehingga kini, tidak ada respon mengenai permohonan kami oleh pihak KDN.

Dalam masa sama, KDN melancarkan beberapa tindakan berupa ugutan dan rampasan akhbar Suara Keadilan untuk menakut-nakutkan penjual, pengedar dan pihak yang mencetak Suara Keadilan. (Lihat lampiran)

Kita melihat ini sebagai satu tindakan terancang untuk menafikan hak Parti Keadilan Rakyat menyampai maklumat dan pendirian parti kepada rakyat Malaysia, dalam pada menghadapi berbagai sekatan oleh media arus perdana.

Tindakan ini secara politiknya adalah satu tindakan yang menggambarkan rasa takut pihak pemerintah terhadap parti kami yang memperjuangkan reformasi, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, berlandaskan politik berbilang kaum.

Oleh itu, kami menuntut supaya pihak KDN segera meluluskan permohonan permit kami sesuai dengan prinsip kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara tanpa berlengah.

Kami juga mahukan supaya tindakan merampas akhbar, ugutan terhadap pengedar dan pencetak akhbar Suara Keadilan dihentikan serta merta.

Sehubungan itu, kami juga meminta pihak kerajaan supaya:

1. Mengiktiraf hak setiap parti untuk memiliki akhbar secara otomatik dan hak untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam.

2. Dihapuskan syarat penyambungan secara tahunan terhadap permit akhbar dan semua penerbitan harus disambung secara otomatik.

3. Mengkaji semula semua undang-undang dan akta yang menyekat kebebasan akhbar di negara ini terutamanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi.

Ini selaras dengan pembaharuan yang dijanji oleh Perdana Menteri dari segi ruang demokrasi, ketelusan dan keterbukaan masyarakat.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti KeADILan Rakyat
(Ahli Parlimen Permatang Pauh)



--------------------------------------------------------------------------------
Lampiran:
TINDAKAN OLEH PEGAWAI (KEMENTERIAN DALAM NEGERI) KDN TERHADAP PENGEDAR SUARA KEADILAN

1. Pada 1 Jun 2005, pegawai-pegawai KDN bertindak memberi amaran lisan agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada dua pekedai di Pasir Mas, Kelantan.

2. Pada 3 Julai 2005, pegawai-pegawai KDN mengeluarkan amaran dan notis agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada seorang pekedai di Melaka Sentral, Melaka.

3. Pada 2 Ogos 2005. pegawai-pegawai KDN mengeluarkan amaran dan notis agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada tiga pekedai di Kuala Terengganu, Terengganu.

4. Pada 9 Ogos 2005, pegawai-pegawai KDN mengeluarkan amaran dan notis agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada ejen pengedar di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Batu Pahat.

5. Pada Awal September 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di bangunan makro, Seremban yang menjual Suara Keadilan.

6. Pada 3 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap beberapa gerai di Pasar Siti Khatijah, Kota Bahru.

7. Pada 6 Oktober 2005, dua pekedai di Kota Bahru dikenakan saman dan diperintah ke mahkamah kerana menjual Suara Keadilan.

8. Pada 8 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di Sentul yang menjual Suara Keadilan.

9. Pada 11 Oktober 2005, dua orang pegawai KDN mengugut syarikat pencetak di Shah Alam agar tidak mencetak Suara Keadilan, sekiranya tidak diikuti lesen percetakan akan ditarik balik.

10. Pada 12 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di Sentul, Kuala Lumpur yang menjual Suara Keadilan.

11. Pada 12 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di UKM Serdang Jaya.

12. Pada 12 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di Desa Bandar Tun Razak.

Kiriman: isamo fer

Kerajaan Mengganggu Permit Penerbitan Suara Keadilan

Chan Wei See (MerdekaReview), diterjemahkan oleh Jeffrey Lim

KUALA LUMPUR - YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan hari ini membidas Kementerian Keselamatan Dalam Negeri kerana enggan mengeluarkan permit penerbitan kepada akhbar parti, Suara Keadilan, serta mengancam dan mengganggu agen-agen Suara Keadilan. Beliau mengumpamakan tindakan Kementerian ini sebagai menafikan hak parti untuk bersuara, suatu hak yang diperuntukkan Perlembagaan. Parti akan melancarkan gerakan seluruh negara untuk membantah penafian terhadap kebebasan akhbar kita.

Azizah menerangkan, setiap parti berhak menerbitkan akhbar parti untuk menyebar ideologinya. Akan tetapi, apabila parti memohon dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, parti asyik diganggu oleh Kementerian. Semenjak mula diterbitkan Jun lepas, Kementerian telahpun sebanyak 12 kali membuat kacau terhadap agen dan penjual akhbar parti kita.

Pada pukul 2:15 petang tadi, Azizah ditemani Naib-naib Presiden Sivarasa Rasiah dan Mustaffa Kamil Ayub serta Ketua Penerangan, Tian Chua untuk mengadakan sidang akhbar di Parlimen, demi menerangkan gangguan yang dihadapi dalam memohon permit, serta membantah tindakan Kementerian yang menafikan kebebasan akhbar.


Suara Keadilan merupakan hasil daripada percantuman akhbar Parti Rakyat Malaysia (PRM), Suara PRM dan akhbar Parti Keadilan Nasional (keADILan), Seruan Keadilan. Azizah menjelaskan bahawa penerbitan Suara Keadilan sebenarnya terus menggunakan permit Suara PRM.

"Akan tetapi, Kementerian enggan mengizinkan kita mengubahkan nama Suara PRM kepada Suara Keadilan. Sebaliknya, mereka memaksa kita memohon permit baru dengan nama Parti Keadilan Rakyat."

Azizah turut meragui motif Kementerian dalam menafikan permohonan untuk menukar nama akhbar. Setahu beliau, selepas Parti Soasialis Rakyat Malaysia (PSRM) mengubah nama kepada Parti Rakyat Malaysia (PRM), ia tidak menghadapi sebarang masalah dalam menukar nama akhbar partinya. Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu dengan jelasnya memberitahu PRM, selagi permit yang sama digunakan, permohonan untuk permit yang baru tidak perlu. Akan tetapi, apabila permohonan untuk menukar nama akhbar oleh Parti Keadilan senantiasa diganggu. Ini menunjukkan bahawa kementerian mengamalkan dwi-standard.

Sejak parti memohon permit baru dengan Kementerian pada bulan Julai 2005, belum ada sebarang balasan lagi mengenai permohonan kita. Ketua Penerangan, Tian amat tidak berpuas hati dengan Kementerian yang mengganggu permohonan itu. Menurut beliau, memandangkan ia telah termaktub dengan jelas di dalam undang-undang bahawa setiap parti berhak menerbitkan akhbar sendiri, permit itu sepatutnya dikeluarkan secara automatik tanpa perlunya permohonan lagi.

Naib Presiden, peguam Sivarasa Rasiah pula berkata, apabila hak asasi bagi parti untuk menerbitkan akhbar parti sendiri pun dinafikan, apakah negara ini layak digelar "negara demokratik"?

Azizah pula berkata, parti telah memenuhi semua syarat permohonan. Semua dokumen yang diperlukan telahpun dihantar kepada Kementerian. Oleh itu, Kementerian tidak harus menafikan permohonan permit kita. "Adalah mustahil permohonan kita tidak dibenarkan. Ini merupakan hak parti kita, yang dijanjikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Dalam Negeri kepada semua parti pada tahun 2000," ujar beliau.

"Mengganggu permit Suara Keadilan menunjukkan pemerintah amat berwaspada kepada parti kita yang mendorong reformasi serta membantah rasuah dan hagemoni," tambah Azizah. Beliau turut mendesak Kementerian agar meluluskan permohonan kita secepat mungkin, untuk menghormati kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.


Gangguan yang dihadapi parti mencerminkan kerajaan Barisan Nasional yang gila kuasa sekali lagi mencengkam kebebasan akhbar dengan memperkudakan Kementerian. Memandangkan Abdullah ingin mendirikan masyarakat yang demokratik, ikhlas dan terbuka, Azizah menyeru kerajaan menjanjikan hak semua parti untuk mendapatkan permit secara automatik untuk menyebarkan fikiran mereka, memansuhkan keperluan untuk memperbaharui permit setiap tahun, serta menyemak semula semua akta yang mengancam kebebasan akhbar terutamanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) serta Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Suara Keadilan yang bertaglinekan "Suara Rakyat Suara Keramat" dikeluarkan setiap dua minggu. Harganya ditetapkan RM 2 di Semenanjung dan RM 2.70 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Suara Keadilan diletakkan di bawah jagaan Ketua Penerangan, Tian Chua, manakala kolumnis dan kartunis terkemuka, Zunar merupakan Ketua Pengarang. Bekas Ketua Pengarang termasuk Khalid Jaafar, Ruslan Kassim yang pernah bersama kita, Raja Petra Kamaruddin dan Faisal Mustaffa.

Pada ketika ini, terdapat tujuh orang wartawan yang menyumbang kepada Suara Keadilan, termasuk Faisal Mustaffa, Zulkifli Mohamed dan Helme Hanafi, manakala kolumnis yang sering mengarang termasuk Azizah, Rustam Sani, Ahmad Lutfi Othman dan Hishamuddin Rais.

Suara Keadilan terkini, iaitu keluaran 69 telahpun berada di pasaran. Untuk berita-berita hangat dan tulisan-tulisan menarik yang dimuat di dalamnya, serta senarai pengedar.

Wednesday, October 12, 2005

OIC perlu tegas selesai konflik umat Islam, kata Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed

KEPALA BATAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang diterajui Malaysia perlu bertegas untuk menyelesaikan konflik di negara-negara Islam termasuk di Selatan Thailand.

“OIC kena ada peranan sikit, kitalah kena beritahu negara-negara Islam baik Iran, Syria, Jordan dan negara-negara Islam yang lain Turki, Pakistan, Malaysia dan Indonesia supaya mengambil pendirian tegas terhadap dasar Amerika di Iraq.”

Katanya, negara-negara tersebut perlu menyediakan pasukan tentera untuk menunjukkan kesungguhan OIC untuk membantu mengamankan Iraq.

”OIC perlu tunjukkan kesungguhannya,” demikian tegas Anwar di ceramah perdana di Pongsu Seribu di sini, baru-baru ini.

“Sebab itu apabila saya berbincang dengan pemimpin Amerika, saya menyatakan pendirian secara tegas menentang pencerobohan Amerika terhadap Iraq,” katanya.

Anwar berkata, ada pemimpin negara ini, yang kononnya berani mengkritik Amerika, tetapi dalam masa yang sama tunduk takut apabila berhadapan dengan pemimpin negara itu.

Malah, katanya pemimpin tersebut telah membayar jutaan ringgit melalui sebuah yayasan para pelobi Yahudi iaitu Heritage Foundation (berpusat di AS) bagi membolehkannya menemui Presiden Amerika George W.Bush.

Akhbar Hong Kong Standard dan Washington Post pernah melaporkan pertemuan Mahathir-Bush pada Mei 2002, dibiayai kerajaan Malaysia berjumlah RM5.3 juta yang dibayar melalui US-Malaysia Exchange Foundation (USMEA) dan Belle Haven Consultants berpengkalan di Hong Kong yang dipengerusikan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menggunakan platform Heritage Foundation.

Pembayaran itu masih berlaku Februari lalu, apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membayar RM40 juta kepada Heritage Foundation.

Menyentuh konflik di Selatan Thailand, Anwar menyifatkan masalah di sana semakin berat.

“Kita bukannya suruh berperang tetapi tindakan tentera Thailand ke atas umat Islam semakin parah. Malaysia perlulah ambil pendirian tegas. Hantarlah Menteri pergi berunding,” katanya.

Menurutnya, akibat konflik yang berlanjutan ramai pelarian Islam melarikan diri ke Kelantan.

“Akhbar-akhbar di sana telah ‘menyerang’ Kelantan sebagai terlibat,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan pusat perlu bekerjasama dengan kerajaan Kelantan untuk menangani masalah itu.

“Orang Islam kena bunuh, bukannya seorang tapi beribu. OIC jangan lagi ‘Oh I See’,” katanya.

OIC dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi.

Tuesday, October 11, 2005

Jabatan Parlimen langgar lunas demokrasi - Azizah

Malaysia Today

Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pada Khamis lepas mengenai mewujudkan satu jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Parlimen sebagai melanggar lunas demokrasi.

Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) menyifatkan pengumuman Nazri itu secara tidak langsung meletakkan Parlimen yang seharusnya menjadi institusi tertinggi dalam sistem demokrasi negara diletakkan di bawah satu jabatan kerajaan.

"Kewujudan jabatan ini secara tidak langsung meletakkan Parlimen yang seharusnya menjadi institusi tertinggi dalam sistem demokrasi negara diletakkan di bawah satu jabatan kerajaan," jelas Presiden Keadilan itu.

Dalam kenyataan medianya pada 11 Oktober lepas, Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, hampir semua negara demokrasi di dunia bersetuju asas sistem demokrasi iaitu perlu mempunyai pengasingan jelas dalam kuasa pentadbiran dipilih (executive) dan lantikan (legistative).

"Maka wujudnya Jabatan Parlimen akan menghina kuasa rakyat dalam sistem demokrasi kerana Parlimen yang seharusnya bertanggungjawab kepada rakyat kini di paksa bertanggungjawab kepada kabinet, apabila diletakkan di bawah jabatan Parlimen nanti," kata Azizah lagi.

Keadilan menyatakan rasa kekecewaannya apabila kerajaan Malaysia tergesa-gesa mewujudkan Jabatan Parlimen tanpa mendapat persetujuan Parlimen sendiri.

Nazri, Khamis lepas menyatakan kerajaan melantik Ketua Pengarah Jabatan Parlimen yang akan memulakan tugasnya bermula pada 15 Oktober ini.

Azizah memberitahu, isu ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikawal untuk menyatakan pendapat mereka perlu dipandang serius kerana dalam keadaan lebih 90 peratus ahli Parlimen merupakan anggota BN.

"Maka kewujudan Jabatan Parlimen akan mengawal ahli Parlimen ini dan bakal menjadikan Parlimen Malaysia hanya sebagai 'rubber stamp' kepada keputusan Kabinet," kata Azizah.

Justeru, Keadilan mendesak supaya cadangan mewujudkan Jabatan Parlimen ini di batalkan.

Sementara itu, Parlimen dan ahlinya seharusnya tidak dikenakan kawalan yang menghadkan kebebasan bersuara mereka.

Menurut Keadilan, apa yang seharusnya dilakukan untuk membantu menaikkan imej Parlimen ialah kerajaan di bawah Datuk Seri Abdullah Badawi perlu lebih berani untuk memberikan kuasa lebih kepada Parlimen dengan meletakkan agensi penting bertanggungjawab terus di bawah Parlimen contohnya seperti Badan Pencegah Rasuah.

Najib Dan Pembelian Senjata

Oleh Hishamuddin Rais Petikan drp: MalaysiaKini - 7 Okt, 05 4:18pm

--------------------------------------------------------------------------------
Dalam semua bentuk perniagaan selain dari menjual dadah, menjual/membeli senjata adalah jenis perniagaan yang paling menguntungkan.
Dalam sesebuah negara terutama dalam negara yang tidak memiliki ketelusan dan kebebasan media - Kementerian Pertahanan adalah jabatan yang paling diidam-idamkan oleh para politikus.

Kementerian ini adalah lubuk terkumpulnya dana negara yang boleh dipunggah untuk mengkayakan anak, isteri dan kroni.

Jika negara itu dalam kancah perang, syukur - kerana ini bermakna lebih senang duit dapat dikeluarkan untuk membeli senjata. Jika negara tidak dalam keadaan perang, maka akan di wujudkan musuh-musuh negara seperti kumpulan komunis, kumpulan Islam fundamentalis, kumpulan agama militan, kumpulan ajaran sesat atau sindiket penyeludup.

Musuh-musuh negara ini penting untuk terus diwujudkan. Dengan adanya musuh-musuh negara ini rakyat boleh ditakut-takutkan. Rakyat yang takut akan meminta perlindungan dari pemerintah.

Rakyat Amerika menyokong George W Bush kerana takutkan Osama Bin Laden. Rakyat Israel menyokong Ariel Sharon kerana takutkan Hamas. Tony Blair disokong kerana ada kumpulan fundamentalis Islam berkeliaran di setiap lorong di London. Pervez Musharaff disokong kerana rakyat Pakistan ditakut-takutkan dengan kuasa tentera India.

Justeru, untuk melindungi rakyat yang dalam ketakutan maka perlu ada bala tentera dan persenjataan yang tercanggih.

Jadi, kita jangan terperanjat apabila membaca berita tentang bekas Menteri Pertahanan Iraq dalam kabinet Allawi telah melarikan diri ke Jordan. Bekas Menteri Pertahanan ini bukan lari sehelai sepinggang dengan sekor unta tetapi lari bersama US$1 billion.

Duit sebanyak ini telah meloroh masuk ke dalam kantung Menteri Pertahanan ini kerana dia ditugaskan membeli senjata untuk mempertahankan Iraq dari diserang oleh kumpulan pejuang Al-Zarkawi.

Parlimen dan senjata

Belanjawan yang dibentangkan ke parlimen kita baru-baru ini tidak pula secara jelas menunjukkan berapa banyak duit yang akan digunakan oleh Kementerian Pertahanan untuk membeli senjata.

Saya menimbulkan persoalan ini kerana kebelakangan ini saya melihat Menteri Pertahanan kita, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin rancak ke hulu ke hilir dengan niat untuk membeli dan mengumpul senjata.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, pembelian senjata seperti yang sedang dilakukan oleh Najib ini akan dibentangkan secara terperinci ke parlimen. Membeli senjata adalah dasar pertahanan negara yang bersangkutan pula dengan dasar luar.

Justeru ia wajib dilakukan secara berhati-hati. Wajib diambil pandangan dari semua pihak termasuk laporan dari pegawai-pegawai pertahanan yang profesional.

Dalam parlimen yang telus dan demokratik, sebelum senjata dibeli akan diwujudkan badan bersama dari semua parti politik, bukan hanya parti yang berkuasa, untuk meneliti cadangan pembelian senjata.

Membeli senjata bukan hanya keputusan Menteri Pertahanan dengan penasihat-penasihatnya. Wajib wujud badan bebas di bawah parlimen kerana ada kemungkinan para penasihat menteri ini juga akan dipengaruhi oleh pelobi-pelobi yang ingin mendapatkan kelulusan kontrak menjual senjata.

Di sini lubang rasuah terbuka luas. Ini pernah berlaku lima tahun dahulu di India dalam kes pembelian senjata dari Sweden di mana pegawai dan Menteri Pertahanan India telah di rasuah oleh pelobi penjual senjata.

Rahsia negara

Dalam hal pembelian senjata di Malaysia saya dapati tidak wujud apa-apa bentuk ketelusan. Tidak ada perbincangan yang rapi di parlimen tentang jenis senjata apa yang diperlukan. Kenapa senjata jenis ini yang perlu dibeli. Apa keistimewaan senjata dari negara ini dan bukan dari negara itu. Kenapa negara yang ini dipilih dan tidak yang itu.

Atau apakah kita betul-betul memerlukan kapal selam ini. Perlukah kita dengan kereta kebal dan kapal terbang jenis itu. Kenapa senapang jenis ini dan bukan jenis itu. Alat kelengkapan senjata ini untuk menyerang atau untuk bertahan.

Semua ini tidak wujud perbincangan di media kita apabila negara kita ingin membeli senjata. Saya menolak hujah yang mengatakan bahawa jika dibincangkan dalam media secara terbuka maka rahsia pertahanan kita akan diketahui oleh musuh.

Perlu diingat apa sahaja yang dibeli dari luar negara semuanya mendapat laporan akhbar luar negara. Majalah-majalah senjata yang berpuluh-puluh dalam pasaran akan memberikan laporan seluas mungkin tentang senjata-senjata yang dijual beli.

Masukkan sahaja nama Najib/Senjata ke dalam Internet, maka akan keluar semua kisah-kisah senjata yang cuba dibelinya di pasaran antarabangsa. Tidak masuk akal jika perkara jual/beli ini yang ingin disorokkan daripada pengetahuan musuh kerana mereka juga meneliti secara rapi kelengkapan musuh mereka.

Hakikatnya pembelian senjata dari luar negara tidak perlu disorok-sorokkan kerana sesiapa sahaja yang kita anggap musuh itu akan mengetahuinya juga.

Rakyat mahu tahu

Persoalan timbul kenapa Mak Cik dan Pak Cik dari Kampung Kerinchi dinafikan maklumat perbelanjaan senjata ini. Kenapa rakyat dinafikan untuk mengetahui bagaimana duit mereka digunakan untuk membeli senjata, walhal duit yang membeli senjata itu adalah duit cukai, hasil titik peluh mereka.

Apa yang ingin disorokkan di sini ? Ini persoalan yang wajib terus kita timbulkan bersama.

Senario membeli senjata di negara kita ini terus berlegar dalam gelap. Jangan harap kita akan mendengar suara-suara atau pandangan dari para ahli akademik; semua mereka telah mandul lagi memandulkan.

Akhirnya, pembelian senjata di Malaysia bermula dengan desas desus di warung-warung kopi yang kemudian beralih ke berita SMS dan akhirnya berita-berita ini akan disahihkan oleh laporan akhbar di Singapura atau majalah dari Hong Kong.

Apabila ini terjadi maka sang Menteri Pertahanan akan menafikan dan menuduh akhbar luar negara ini berniat jahat.

Cerita membeli senjata ini tidak habis di sini. Sebulan kemudian tiba-tiba media kita melaporkan Menteri Pertahanan Malaysia akan melawat beberapa buah negara Eropah.

Beliau akan juga diiringi oleh para pegawai dari kementerian pertahanan dan isterinya. Bila berita ini keluar hanya peminat Mawi yang bebal politik sahaja yang tidak dapat mencampurkan satu dengan satu untuk menjadi dua. Rupa-rupanya desas desus SMS dan laporan akhbar dari luar negara itu sahih!

Antara contoh laporan yang mengesahkan cadangan Malaysia untuk membeli senjata canggih ialah kunjungan Presiden Rusia, Valdimir Putin ke negara ini beberapa tahun lalu yang menyaksikan persetujuan untuk membeli pesawat pejuang Sukhoi MK30 bernilai US$ 900 juta.

Malaysia juga dilaporkan akan membeli tiga buah kapal selam dari Perancis, rifel Steyr buatan Austria dan peluru berpandu anti-kereta kebal dari Pakistan

Habuan Lumayan

Sementara itu laporan S.Jayasekaran dalam majalah Far Estern Economic Review terbitan 16 Mei 2002 memetik kenyataan seorang diplomat Barat bahawa perniagaan senjata ini sangat lumayan.

Menurutu diplomat tersebut, komisen jualbeli adalah antara 10 hingga 20 peratus. Komisen yang akan didapati dari penjualan dan pembelian ini adalah di antara 10 hingga 20 peratus. Ini bukan saya yang cakap. Ini kata petikan dari seorang diplomat Barat yang bertugas di Kuala Lumpur.

Bayangkan berapa juta ringgit duit yang masuk ke dalam saku orang tengah. Siapa orang tengah ini? Apa hubungannya dalam hal jual beli senjata ini?

Bagi saya perkara pembelian senjata inilah yang wajib ditimbulkan oleh ahli-ahli parlimen kita secara bertubi-tubi. Jangan hanya berani berkokok tentang permit import (AP) kereta dan menyerang Datuk Seri Rafidah Aziz.

Kes AP Rafidah Aziz ini hanya kes beli petai berbanding dengan berbilion ringgit dana negara yang mencurah keluar tanpa penyelidikan yang rasmi.

Pak Cik dan Mak Cik Felda ingin mengetahui apakah kita perlu membeli senjata-senjata ini. Yang Berhormat di parlimen wajib bersuara kalau tidak mereka semua ini hanya seperti kata Rafidah Aziz; hanyalah court jester atau tukang lawak di Istana.

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved

Sumber: MalaysiaKini - 11.10.2005

Sunday, October 09, 2005

Hutang RM377 juta: Khir cuba mencari alasan

Oleh ROSLAN SMS
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (sebagaimana terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara) negeri Selangor Darul Ehsan mempunyai baki hutang sebanyak RM377.33 juta dengan kerajaan Pusat. Dan menurut senarai jumlah ini meletakkan Selangor sebagai negeri yang keempat dalam Malaysia yang paling banyak hutang tertunggak dengan kerajaan Pusat.

Ketua Audit Negara dalam laporannya juga menyebut bahawa Selangor adalah salah sebuah negeri yang tidak membayar langsung ansuran berjadual terhadap tunggakan tersebut sepanjang tahun lalu, 2004.

Semalam akhbar UTUSAN melaporkan MB Selangor Khir Toyo sebagai membuat penjelasan:

Sebahagian besar hutang kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan Pusat berjumlah RM377 juta seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2004, digunakan untuk projek perumahan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, hutang itu juga bukan hutang tertunggak kerana kerajaan negeri membayarnya secara berperingkat-peringkat dan telah membayar RM20 juta baru-baru ini.

Isu untuk apa jumlah hutang itu digunakan tidak berbangkit, isunya adalah kelewatan menjelaskannya. Khir Toyo tidak pun diminta menjelaskan untuk apa wang sebesar itu digunakan, yang ditanya kenapa tidak bayar-bayar mengikut jadual?

Dan seterusnya Khir jelas cuba menyelewengkan fakta apabila menafikan yang jumlah tersebut sebenanrnya adalah hutang tertungak. Adakah MB Selangor mempertikaikan Laporan Ketua Audit Negara?

Kata Khir RM20 juta telah dibayar baru-baru ini oleh itu ianya bukan lagi hutang tertunggak. Wahai Dato MB, Laporan ini adalah untuk tahun 2004. Dan pada tahun 2004 Selangor Negeri Maju lansung tak bayar hutangnya, janganlah dikira yang dibayar baru-baru ini pada tahun 2005 yang tak sampai pun 10 peratus dari jumlah hutang tertunggak yang berjumlah RM377 juta itu.

Memang ini bukan kali pertama Khir bersikap mengaburi fakta. Ketika pengisytiharan Selangor Negeri Maju dahulu pun apabila fakta ukuran kemajuan dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, Khir dengan selamba tepis dan tolak ke tepi sahaja.

Isunya sekarang Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa bagi tahun 2004 hutang tertunggak Selangor kepada kerajaan pusat sebanyak RM377.33 juta dan sepanjang tahun tersebut tiada pembayaran dibuat. Khir tak perlulah melenting dan mencari alasan. Apa yang perlu dibuat adalah bayar hutangnya, takkan negeri sahaja maju tapi hutang tak mampu bayar?

SILA KE ROSLAN SMS CORNER
http://n32.blogspot.com/

Syed Husin: Belanjawan Abai Petani dan Orang Ramai

KUALA LUMPUR - Dr. Syed Husin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, menyifatkan bahawa Belanjawan 2006 mengabaikan sektor pertanian, dan secara umumnya gagal memberi keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang masih lagi hambar.

Menurutnya, "jikalau kita sedia mendengar rintihan peniaga-peniaga kecil dan sederhana, bahkan juga sesetengah korporat besar (khusus yang terlibat dengan pembangunan perumahan), kita akan mengetahui bahawa mereka dalam kesusahan".

Antara lain, Syed Husin mengusulkan agar pendekatan terbaik sebaliknya ialah kenaikan gaji untuk pekerja kerajaan (bukannya bonus); pemberian gaji minima untuk mereka yang berpendapatan rendah, seiring dengan negara-negara maju; dan kelonggaran pemberian bantuan dan subsidi kepada golongan petani.

Dr. Syed Husin mempetikaikan pemberian bonus kerana menurutnya ia hanya akan lesap di musim perayaan ini, tambahan lagi dengan kenaikan harga barangan sejak akhir-akhir ini.

"Tentang petani dan pekebun kecil pula, pendapatan mereka tidak tetap, misalnya bagi getah dan kelapa sawit mengikut harga pasaran dunia'" ujar Syed Husin. "Bagi petani padi pula, pendapatan mereka adalah yang terendah sekali, berbanding dengan pekerja di dalam sektor lain. Kemiskinan masih meluas di kalangan mereka."

Kerajaan mestilah mengkaji semula garis kemiskinan yang ada sekarang ini, kerana ia sudah lama berada pada takuk yang sama dan tidak mencerminkan keadaan sebenar. Seterusnya, kerajaan seterusnya seharuslah memikirkan subsidi dan bantuan untuk mereka, yang mana 70 peratus berbangsa Melayu.

Dr. Syed Husin turut menuntut agar kerajaan memberikan penumpuan kepada petanian sebagaimana yang diwarwarkan, dengan mengatasi masalah kekurangan modal, saiz yang kecil dan teknologi yang lembap.

Saturday, October 08, 2005

PLKN Jadi Alat Umno

Oleh Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimulakan beberapa tahun yang lalu ternyata menjadi alat Umno bagi mengumpul sokongan.

Akhbar Metro Ahad 25 September di muka 14 yang menyiarkan berita mengenai PLKN menjadi bukti bahawa Umno menggunakan platform PLKN untuk merekrut remaja bagi menyokong Umno.

"Jelas dalam gambar itu menunjukkan pelatih PLKN turut menyambut Timbalan Presiden Umno dalam satu program Umno Bahagian Pekan," kata Ketua Penerangan Angkatan Muda, Badrulhisham Shaharin.

Angkatan Muda Malaysia melalu kenyataan mereka pada 6 Oktober lalu menyebut, pelaksanaan program tersebut diragui kerana ianya dilaksanakan secara tergesa gesa, melibatkan perbelanjaan yang terlalu tinggi dan merahsiakan modul pelaksanaannya.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa keraguan tersebut juga dialami majoriti rakyat Malaysia termasuklah golongan ibu bapa yang bakal menghantar anak mereka memasuki latihan itu.

Sungguhpun pelbagai jenis bantahan telah dinyatakan namun ianya tetap dijalakan walaupun pelaksanaannya amat kucar-kacir. Ibu bapa pula terpaksa menghantar anak mereka kerana diugut akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Badrulhisham, banyak kes yang melibatkan kelalaian pihak pengurusan (PLKN) termasuklah melibatkan keselamatan pelatih, bukan sedikit kes rogol, cabul, salah laku jurulatih mahupun pelajar malah sehingga mengakibatkan kematian telah dilaporkan.

"Pelaksanaan modulnya juga kelihatan seperti dirahsiakan, tiada siapa di luar PLKN yang mengetahui modul lengkap mengenai PLKN ini. ," kata Badrulhisham.

Terbaru ialah pelatih PLKN mula dilatih menggunakan senjata api tanpa pengetahuan ibu bapa.

Belum lagi isu ini dapat dijelaskan kepada ibu bapa maka muncul lagi satu bukti bahawa kerisauan ramai bahawa pemerintah bakal menggunakan PLKN untuk mengukuhkan kedudukan politik telah terbukti.

Angkatan Muda berpendapat PLKN telah memakan dan bakal terus membazirkan wang ratusan juta wang rakyat.

Kenyataan itu menyebut bahawa sehingga kini tidak ada sebarang laporan lengkap mengenai hasil PLKN dan apa yang telah jadi kepada pelatih yang telah menjalani latihan.

"Pembaziran ini makin parah jika program ini hanya untuk mem"brain wash" remaja untuk menyokong Umno dan memastikan kontraktor pro Umno terus mendapat kontrak jutaan ringgit dari program ini," jelas Badrulhisham lagi.

ULASAN TENTANG BELANJAWAN 2006

SYED HUSIN SYED ALI

Assalamualaikum wbt,
EKONOMI BELUM PULIH

Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri mendakwa dengan bangga bahawa dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.9 dalam separuh pertama tahun 2005, ekonomi negara telah pulih daripada krisis kewangan yang melanda mulai tahun 1997. Beliau tidak mahu mengakui sebenarnya prospek ekonomi negara tahun depan dan selanjutnya adalah buruk.

Saya tidak mahu mempertikaikan statistik ini walaupun boleh, tetapi saya hanya hendak menyuarakan keluhan golongan-golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang membuktikan bahawa rasa bangga Menteri Kewangan itu tidak kena pada tempatnya.

Pertamanya, jikalau kita sedia mendengar rintihan peniaga-peniaga kecil dan sederhana, bahkan juga sesetengah korporat besar (khusus yang terlibat dengan pembangunan perumahan), kita akan mengetahui bahawa mereka dalam kesusahan.

Pendapatan peniaga kecil dan sederhana masih jauh kurang daripada yang mereka perolehi sebelum krisis kewangan dulu. Jikalau dapat 70 peratus pun sudah cukup baguslah. Beberapa syarikat atau industri besar sudah terpaksa gulung tikar atau masih hidup segan mati tidak mahu.

Mengenai golongan berpendapatan rendah pula, khususnya pekerja dan petani, mereka lebih berat dibebani harga barang yang semakin meningkat. Seperti yang kita ketahui CPI (Indeks Harga Pengguna) sudah melebihi paras 3 peratus. Tanyalah suri-suri rumah tangga yang berbelanja setiap hari. Cuba Menteri lawat pasar-pasar secara mengejut. Beliau akan ketahui, barang-barang keperluan harian sudah melambung tinggi.

Saya lihat, Belanjawan 2006 banyak menumpukan perhatian kepada syarikat dan korporat besar-besar, dan beberapa langkah dicadangkan untuk melindungi kepentingan mereka. Sebaliknya, nasib peniaga atau pengusaha sederhana kurang disentuh; nasib peniaga-peniaga kecil, tidak dibela sama sekali.

PEMBERIAN BONUS

Banyak pihak merasa lega dengan tindakan Menteri memberikan bonos sebulan setengah dan sebulan kepada kakitangan kerajaan berpendapatan di bawah dan di atas RM1000 sebulan. Sungguhpun menggalukan bonus tersebut, namun saya berpendapat ada tindakan lebih baik yang patut dilakukan.

Sebenarnya, saya mengharapkan bonus yang lebih besar bagi mereka seperti yang dituntut oleh CEUPACS. Begitu juga, saya berpendapat sepatutnya kakitangan sudah bersara patutnya diberikan bonus lebih daripada RM200 yang ditetapkan, dan wajar diselaraskan supaya separas dengan bonus mereka yang masih berkhidmat. Terdapat lebih 3 juta orang pencen di negara ini. Ada yang masih mempunyai tanggungan, terutama pelajaran anak-anak. Mengapakah kita kurang prihatin kepada mereka?

Seperti yang kita lihat dengan jelas, bonus adalah untuk hanya pegawai-pegawai Kerjaan. Walau berapa kalipun PM menafikannya, persepsi umum ialah Kerajaan cuba hendak menawan hati mereka. Bahkan ada yang menganggap ini cara menyogok kakitangan yang memang sudah lama kecewa terhadap Kerajan dan kurang menyokongnya.

Tetapi sudah pasti bonus ini tidak akan mengubah nasib mereka, kerana gaji rendah, keperluan harian mahal, dan mereka melihat ramai pemimpin besar politik yang tidak efisien akan tetapi kaya raya melalui korupsi.

KENAIKAN GAJI LEBIH BAIK

Lebih penting lagi, saya ingin menegaskan bahawa langkah memberikan bonus sekali sekala tidak mempunyai kesan jangka panjang yang berfaedah kepada penerimanya. Sedikit masa lagi, kita akan menyambut Hari Raya, Krismas, Tahun Baru dan Raya Cina. Harga barang akan melambung. Kuasa beli dari wang bonus itu akan meleset.

Langkah yang lebih baik ialah untuk mengadakan sistem “flexi-wages”, iaitu menaikkan gaji yang disesuaikan dengan kenaikan harga barang atau CPI. Akan tetapi saya tahu bahawa Kerajaan tidak akan mampu berbuat demikian, kerana sekarang ini tidak mempunyai wang. Selama beberapa tahun yang lalu, pendapatan atau hasil negara, terutama dari minyak telah digunakan (astau lebih tepat disalahgunakan) untuk projek-projek mewah yang membazir dan tidak ekonomik.

Akibat kantung wang kerajaan yang semakin kempis itu, kita dapati ramai kontrektor yang mendapat kontrek kerajaan tidak dibayar sampai 6 bulan ataupun setahun. Itu sebab juga, projek membuat hospital-hospital yang baru ditangguhkan. Saya kurang faham bagaimana Kerajaan kini berjanji hendak membina hospital baru pula.

NASIB PEKERJA SWASTA

Sekarang saya berpaling kepada pekerja-pekerja swasta. Mereka boleh dikatakan tidak mendapat apa-apa. Saya faham memang tidak praktikal hendak memberi bonus kepada pekerja-pekerja industri swasta, buruh-buruh ladang dan petani-petani kampung. Tetapi ini tidak bererti kita harus terus melupakan mereka. Sebenarnya, mereka ini ramai yang hidup dalam kesempitan; semakin sempit lagi dengan kenaikan harga barang. Tetapi mengapakah Kerajaan tidak memikirkan cara-cara lain untuk membela nasib mereka?

Sudah bertahun-tahun kesatuan pekerja serta NGO dan juga sebahagian rakyat ramai menuntut supaya diadakan gaji minima untuk pekerja-pekerja. Mengapakah tuntutan ini tidak pernah dipertimbangkan? Gaji pekerja ladang masih rendah, ada yang di bawah paras kemiskinan, tetapi kenaikan gaji jarang sekali berlaku. Kalau naik pun dengan kadar paling kecil.

NASIB PETANI LEBIH BURUK

Tentang petani dan pekebun kecil pula, pendapatan mereka tidak tetap, misalnya bagi getah dan kelapa sawit mengikut harga pasaran dunia. Bagi petani padi pula, pendapatan mereka adalah yang terendah sekali, berbanding dengan pekerja di dalam sektor lain. Kemiskinan masih meluas di kalangan mereka.

Kadar kemiskinan desa dikatakan sudah turun kepada lebih kurang 10 peratus. Ini tidak memberikan gambaran yang realistik. Garis kemiskinan sepatutnya tidak lagi dikaitkan dengan apa yang ditetapkan dalam tahun tujuh puluhan dulu. Jikalau disesuaikan dengan harga barang dan taraf hidup sekarang, sepatutnya garis kemiskinan baru harus diletakkan pada paras RM800 hingga RM1000.

Sehubungan ini saya mencadangkan supaya Kerjaan membuat kajian semula untuk menetapkan garis kemiskinan yang baru. Mungkin Kerajaaan keberatan melakukan ini, kerana jika garis kemiskinan dinaikkan lebih tinggi, bererti mereka yang akan jatuh di bawah garis itu lebih ramai dan peratusnya lebih tinggi daripada yang sudah-sudah. Tetapi kita perlu belajar bersedia menerima kebenaran.

Kerajaan berkata ia hendak menumpu kepada pertanian sekarang ini. Kita dapati dalam bidang pertanian kemiskinan paling meluas dan kadarnya paling tinggi. Berdasarkan jumlah keluarga miskin yang ada sekarang, kita dapati bahawa 70 peratus daripada mereka terdiri dari orang Melayu, yang sudah tentu bekerja sebagai petani.

SUBSIDI DAN BANTUAN UNTUK PETANI

Jikalau pegawai kerajaan boleh diberi bonus, mengapakan petani miskin tidak boleh diberikan subsidi dan pinjaman murah serta mudah yang lebih? Ini terutama sekali bagi petani padi. Kita jangan lupa sebenarnya sekarang ini mereka yang paling banyak mendapat subisdi dan pinjaman ialah korporat-korporat besar.

Subsidi berbilion-bilion diberi kepada beberapa syarikat dan korporat besar yang bermasalah, untuk menyelamatkan mereka daripada lingkup. Lupakah kita dengan berbilion wang Petronas yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat perkapalan MISC yang dimiliki oleh Mirzan Mahathir. Ini satu contoh saja. Banyak lagi yang kita semua sudah ketahui.

Begitu juga. beberapa kerat korporat kroni diketahui mendapat berjut-juta bahkan beratus juta pinjaman bank. Bila mereka tidak mampu membayar balik, pinjaman itu dengan mudah dihanguskan begitu saja. Malang sekali, petani-petani miskin tidak mendapat apa-apa, walaupun kerak.

DI MANA WANG PETRONAS UNTUK PETANI?

Skandal penggunan wang Petronas untuk projek-projek mega memang banyak. Ada pihak yang membuat estimet bahawa simpanan bertambah Petronas sekarang ini sepatutnya dalam lingkungan RM300 bilion. Tetapi yang tinggal hanya kira-kira RM50 billion saja. Ke mana yang hilang itu pergi?

Saya menuntut supaya laporan penuh tentang kedudukan kewangan Petronas, sejak ia ditubuhkan pada tahun 1974 dikemukakan kepada Parlimen. Saya tahu bahawa mengikut akta, Petronas di bawah Perdana Menteri dan segala laporan dikemukakan hanya kepada PM. Tetapi Parlimen adalah badan perlembagaan negara yang tertinggi. Sekurang-kurangnya Parlimen sepatutnya berhak mengetahui bagaimana kekayaan negara ini dibelanjakan, untuk apa dan oleh siapa.

Saya ingin tahu, berapa banyakkah kekayaan negara dari hasil minyak itu digunakan untuk petani miskin? Saya harap Penasihat Petronas akan cuba mula menasihatkan Petronas tentang hal ini. Saya berharap juga beliau akan berfikir sedikit tentang cara-cara hendak menggunakan wang Petronas bagi keuntungan dan kebajikan petani-petani dan golongan miskin yang lain dalam negeri ini.

PEMBANGUNAN BARU PERTANIAN PERLU

Sekarang saya ingin mengalihkan perhatian kepada sektor pertanian secara umum.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa pertanian merupakan sektor penting yang seharusnya mendapat penumpuan. Memang ini kena pada tempatnya. Walaupun kita bersetuju bahawa perkembangan industri dan teknologi perlu mendapat dorongan dan sokongan, ini tidak bererti perkembangan pertanian harus diabaikan sama sekali.

Sudah tentulah perkembangan pertanian seharusnya tidak merupakan hanya proses tampal sulam aktiviti pertanian mengikut kaedah dan skala tradisional. Kita memerlukan kaedah pertanian yang moden, yang disuntik dengan lebih banyak modal, teknologi serta kepakaran.

Pertnian tidak tidak efisien dilakukan atas kepingan tanah yang kecil-kecil dan berpecah-pecah. Kita mesti merintis usaha untuk membentuk projek-projek pertanian berskala besar, dalam kawasan lebih luas dan menggunakan modal serta teknologi yang sesuai. Saya mengetahui ini memang susah hendak dilakukan, kerana menyentuh kepentingan pemilikan, pemilik dan tenaga kerja tanah kecil-kecil, yang sudah turun-temurun dimiliki dan diusahakan dengan cara tradisional di kampung-kampung.

Kita mesti mula memikir dan melaksanakan cara yang baru yang lebih efisien dan produktif. Malangnya, pihak pemerintah dan kementerian yang berkenaan nampaknya masih belum bersedia berbuat demikian. Peranan pemerintah untuk menganjur dan memberi modal serta pertolongan permulaan adalah sangat penting. Kita tidak boleh meninggalkan segala-galanya kepada petani yang lemah saja. Reformasi pertanian penting, dan ia perlu mendapat sokongan kuat dari pihak atas yang berkuasa.

MEMBAIKI SISTEM PASARAN

Kita bukan saja memerlukan asas bagi pengeluaran berskala besar. Lebih mendesak lagi, kita perlu membantu menyediakan saluran atau organisasi pasaran yang lebih baik bagi petani-petani. Sekarang ini kita melihat, pada musim-musimnya, buah-buahan tidak boleh dipasarkan dengan harga yang baik. Bahkan ada kalanya kita lihat rambuatan dan juga durian berlambak di desa dengan terbiar begitu saja, atau terpaksa dijual kepada orang tengah dengan harga paling murah.

Hasil buah-buahan boleh menjadi pendapatan penambah bagi petani-petani. Eksperimen dengan pasaran koperasi tidak berjaya pada masa-masa yang lalu. Tetapi tidak ada kajian mendalam mengapa ini berlaku dan apa cara hendak mengatasinya. Begitu juga tidak ada kajian begaimana ia dapat dilaksanakan dengan jaya di negara-negara Skandinavia, terutama Denmark. Bolehkah mereka dapat dijadikan contoh?

Jikalau cara koperasi sudah jelas tidak dapat dilaksanakan, demi kepentingan dan kebaikan petani-petani, mengapakah kita tidak memikirkan dan membina cara yang baru untuk memperbaiki sistem pasaran ini. Yang penting, usaha mesti dimulakan. Di sini peranan Kerajaan melalui jabatan, pakar dan kaitangan yang berdedikasi sangat penting.

Sekarang ini Menteri Pertanian sering melawat ke luar negara untuk mencari idea menaikkan hasil keluaran petanian, seperti tomato dan lain-lain. Tetapi kalau hasil bertambah tetapi cara pemasaran tidak dibaiaki, tidak ada gunanya. Nasib petani tidak akan banyak berubah.

KESELAMATAN MAKANAN

Ada satu lagi satu perkara yang hendak saya sebutkan di sini, walaupun sudah banyak kali disebut dan diulangkan di dalam dan di luar Parlimen. Ini ialah mengenai jumlah wang yang dibelanjakan untuk mengimport terutama sekali barangan makanan, seperti beras, gandum, daging, susu, mentega, bahkan sayuran dan buahan juga. Kita berbelanja lebih RM15 bilion setahun untuk mengimport barangan makanan ini.

Saya sedar bahawa kadang-kadang memang lebih mudah, murah dan juga ekonomik bagi kita mengimport sesetengah barangan makanan itu. Tetapi yang merunsingkan saya ialah kita masih bergantung banyak kepada makanan utama kita, iaitu beras. Dari segi keselamatan ini adalah berbahaya.

Adalah lebih selamat jikalau kadar pengeluaran beras lebih tinggi di negeri ini. Dari segi keselamatan makanan Negara perlu mempunyai bekalan makanan yang cukup untuk memenuhi keperluan rakyatnya dalam keadaan stabil dan juga tidak stabil. Fikirkanlah kesulitan yang mungkin timbul sekiranya konflik berlaku, di peringkat wilayah atau dunia, dan kita tidak mempunyai cukup makanan utama. Pengalaman zaman Jepun dulu tidak harus dilupakan. Manakala dii negara jiran beras lebih dari cukup semasa perang, kita di sini terpaksa makan ubi kayu.

PERUNTUKAN PERTANIAN TIDAK MENCUKUPI

Saya cukup kecewa kerana peruntukan bagi pembanugnan luar Bandar begitu kecil, iaitu RM5.7 bilion saja. Daripada jumlah ini cuma RM2.7 bilion ialah untuk projek-projek pertanian. Apakah jaminan seluruh jumlah yang kecil ini akan sampai kepada petani sasaran utamanya? Saya bimbang, lebih banyak nanti akan pergi kepada kontrek dan kontrektor kroni. Sepatutnya, mesti disediakan peruntukan jauh labih besar lagi bagi pembangunan pertanian, tetapi pada masa yang sama pemantauan ketat perlu dilakukan..

Jumlah ini hampir sama banyaknya dengan peruntukan bagi membuat jalan di Sabah dan Sarawak. Saya sedar kedua-dua negeri ini perlukan jalanraya. Tetapi mengapakah itu yang diutamakan. Adakah untuk memberikan kontrak kepada kroni-kroni? Mengapakah tidak kelihatan belanja yang lebih besar untuk projek-projek pembagunan pertanian di sana, pada hal kadar kemiskinan di Sabah dan Sarawak adalah antara yang tertinggi dalam negara kita ini.

DEB MESTI MENGUNTUNGKAN RAKYAT

Akhir-akhir ini banyak diperkatakan tentang menghidupkan semula semangat DEB. Saya dan Parti Keadilan Rakyat berpendapat dasar ini sebenarnya telah dikhianati oleh Kerajaan dan para pemimpin parti pemerintah. Ia telah digunakan untuk mengayakan hanya segelintir kroni dan keluarga, sehingga menimbulkan korupsi leluasa.

Walaupun diakui ada juga faedah yang diperolehi rakyat biasa dari kalangan Bumiputera dalam beberapa bidang, terutama sekali pendidikan, namun secara perbandingan, keuntungan yang diperolehi kroni dan keluarga daripada DEB itu jauh lebih besar. Sekarang ini ada pihak, dengan menghunus keris mengancam akan mempertahankan hak Bumiputera. Yang sebenarnya, mereka hanya mahu mempertahan serta memperluas kekayaan dan keuntungan sendiri. Mereka sudah menjadi kaya raya atas nama DEB, manakala rakyat jelata, terutama dalam sektor pertanian semakin papa kedana.

Kami menolak urua-ura hendak menghidupkan semula DEB, yang sudah tamat tempohnya itu. Kami berpendapat, dalam suasana negara yang sudah banyak berubah dari segi ekonomi, politik dan sosial pada masa ini, kita memerlukan pendekatan yang baru bagi pembangunan. Pendekatan ini mesti mengutamakan kepentingan rakyat jelata yang ramai dari semua kaum, bukan segelintir elit,. Kita harus menunjukkan kepedulian terhadap nasib rakyat jelata.

Lebih separuh daripada keluarga di negara ini berpendapatan kurang dari RM1500. Kebanyakannya dari golongan Melayu/Bumiputera yang ramai hidup segan dan mati didak mahu dengan usaha pertanian. Seperti kita telah lihat di atas, daripada mereka yang miskin, 70 peratus adalah Melayu/Bumiputera. Oleh itu apabila kita membela nasib rakyat jelata berpendapatan rendah ataupun miskin, walaupun dengan tidak mengira kaum, sudah tentu yang ramai terbela ialah Bumiputera juga.

Tetapi kita tidak pula mengabaikan bukan Melayu/Bumiputera miskin dan berpendapatan rendah, yang juga perlu kita bela. Dengan berbuat demikian, bukan saja kita boleh membantu semua orang miskin, yang kebanyakannya terdiri dari Melayu/Bumiputera, tetapi pada masa yang sama kita boleh menghilangkan perasaan cemburu kerana merasa dianaktirikan di kalangan orang bukan Melayu/Bumiputera yang miskin atau berpendapatan rendah juga..

Sikap kepedulian kita terhadap rakyat bererti menumpukan perhatian dan mengambil berat akan nasib golongan lapisan rendah dan menengah dalam masyarakat, yang sering terpinggir, tertindas, terbiar dan berkedudukan sosio-ekonomi yang lemah. Pendekatan baru kita mesti bercorak tidak perkauman. Orang Melayu atau Bumiputea tidak perlu takut kerana apabila kita lebih mempedulikan golongan rakyat jelata, akhirnya yang lebih ramai mendapat faedah ialah orang Melayu/Bumiputera juga.

Oleh itu, dari segi Belanjawan, sangat perlulah golongan rakyat jelata dari lapisan rendah dan menengah diberi peruntukan lebih banyak, antara lainnya bagi memperbaiki punca pendapatan mereka dan memberi mereka lebih banyak kemudahan sosial yang murah dan mudah, tetapi bermutu. Akan tetapi ini tidak bermakna kita mengabaikan golongan yang lebih senang atau kaya. Cuma bezanya, jikalau dulu dan sekarang, yang diutamakan ialah golongan kaya, sebaliknya pada masa akan datang mereka yang harus diutamakan ialah golongan rakyat jelata. Mereka lebih ramai, lebih susah dan lebih banyak keperluan.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat
6hb Oktober 2005