SepangOnline

Wednesday, October 26, 2005

Azizah mahu PM segerakan pengeluaran permit Suara Keadilan

Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail pada 18 Oktober lepas mengemukakan surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dengan masalah yang dihadapi oleh akhbar lidah rasmi parti, Suara Keadilan sejak kebelakangan ini.

Surat bertarikh 17 Oktober itu antara lain meminta jasa baik Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri menyegerakan pengeluaran permit akhbar Suara Keadilan yang tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

(KDN) mula mengambil tindakan undang-undang kepada pengedar-pengedar akhbar dan suratkhabar dari seluruh Semenanjung Malaysia yang mengedar dan menjual akhbar rasmi Parti Keadilan rakyat, Suara Keadilan.

Menurut Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, pihaknya telah mengemukakan permohonan beserta dengan dokumen lengkap sejak Mei lalu, tetapi hingga kini pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal untuk meluluskannya.

"Pihak KDN bukan sahaja gagal untuk meluluskan permit yang dipohon tetapi turut terlibat dalam melakukan rampasan akhbar sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit," kata Tian Chua dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat KeADILan pada 18 Oktober lepas.

Malaysia Today juga pernah memaparkan laporan berkenaan isu ini beberapa hari yang lalu di mana tindakan yang dijalankan melalui pegawai-pegawainya mula dijalankan pada 1 Jun lalu di Pasir Mas, Kelantan.

Tempat-tempat lain yang dikenalpasti ialah di Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Pada 6 Oktober lepas, dua pekedai di Kota Bahru dikenakan saman dan diperintah ke mahkamah kerana menjual, dipercayai menjual akhbar tersebut.

Suara Keadilan mula diterbitkan pada Jun 2005 hasil percantuman dua akhbar iaitu Suara PRM milik Parti Rakyat Malaysia dan Seruan Keadilan milik Parti KeADILan Nasional, berikutan pengabungan kedua-dua parti.

Suara Keadilan pada mulanya diterbitkan dengan menggunakan permit penerbitan milik Suara PRM dan ini telah dimaklumkan secara bertulis kepada pihak KDN.

Bagaimanapun pihak KDN menolak permohonan untuk menukar nama akhbar dari Suara PRM kepada Suara Keadilan, sebaliknya kami diminta membuat permohonan baru atas nama Parti Keadilan Rakyat.

Permohonan baru ini telah dibuat pada Julai 2005 dengan semua syarat telah dipatuhi dan semua dokumen yang diperlukan telah dibekalkan kepada pihak KDN.

Sepatutnya tidak ada sebab bagi kerajaan untuk tidak meluluskannya kerana ia adalah perkara asas dan merupakan hak setiap parti seperti yang dijamin oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2000.

Tindakan rampasan tersebut sampai ke pengetahuan Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan dengan serta merta mengadakan sidang media pada 13 Oktober lepas di lobi Parlimen.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau melihat itu sebagai satu tindakan terancang untuk menafikan hak Parti Keadilan Rakyat menyampai maklumat dan pendirian parti kepada rakyat Malaysia, dalam pada menghadapi berbagai-bagai sekatan oleh media arus perdana.

"Tindakan ini secara politiknya adalah satu tindakan yang menggambarkan rasa takut pihak pemerintah terhadap parti kami yang memperjuangkan reformasi, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, berlandaskan politik berbilang kaum," jelasnya.

Dalam surat tersebut, Azizah juga telah meminta agar KDN tidak mengganggu pekedai-pekedai yang menjual Suara Kedilan.

Berita terbaru difahamkan pada 20 Oktober lepas, salah seorang agen pengedar Suara Keadilan di Kuching Sarawak memberitahu bahawa kesemua akhbar jualannya telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Dalam sidang media tersebut juga, Tian Chua berkata bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengatur kempen di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Ini bukan hanya masalah parti tetapi juga masalah sekatan kebebasan bersuara," jelas Tian Chua lagi.

Keadilan juga meminta pihak kerajaan supaya mengiktiraf hak setiap parti untuk memiliki akhbar secara otomatik dan hak untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home