SepangOnline

Friday, October 21, 2005

Azizah sertai Tadarus Al-Quran sempena Ramadhan di Permatang Pauh

Oleh Zulkifli Mohamed (Malaysia Today)

PERMATANG PAUH : Ahli Parlimen Permatang Pauh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menyertai majlis Tadarus Al-Quran, bersama lebih 200 muslimat yang diadakan di sini, pagi Ahad lalu.

Majlis anjuran Wanita Keadilan bahagian itu diadakan sempena bulan Ramadhan di Rumah Ketua Wanita, Hajah Che Wa Harun.

Selain majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan zakat, berbuka puasa dan bersembahyang terawih di sekitar masjid dan surau di sini.

Azizah menunaikan solat terawih di Masjid Timah dan Masjid Bandar Baru Perda.

Selain itu beliau menyertai majlis berbuka puasa di Surau Kampung Petani dan di Masjid Tengah Berapit yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Zahrain Mohd Hashim.

Selepas bertadarus, beliau menyampaikan zakat kepada fakir di sekitar kawasan parlimennya.

Presiden Keadilan itu turut berkesempatan menziarahi sepuluh keluarga malang dan daif
di samping menghulurkan bantuan peribadinya kepada mereka.

Tidak terkecuali beliau turut mengunjungi adik Rozana Saidin,21, yang lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya setahun lalu. Kisah penderitaannya pernah disiarkan dalam rancangan “ Bersamamu TV3,” baru-baru ini.

Selain itu, sebuah keluarga petani Cina di Permatang Nibung yang terlalu daif turut mendapat simpati beliau.

Kok Kam,76, menjalani kehidupannya bersama isterinya, Lee Siew Eng,52, yang terencat akal dan sepasang anaknya berusia 25 dan 26 tahun yang turut mengalami nasib yang sama seperti ibu mereka.

Keadilan sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan sewajarnya daripada pihak-pihak tertentu bagi meringankan penderitaan keluarga tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home