SepangOnline

Thursday, October 20, 2005

Keadilan Ucap Takziah Kepada Pak Lah

Parti Keadilan Rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kembalinya isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood ke Rahmatullah pada jam 7.55 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia selepas lama bertarung dengan barah payu dara.

Presiden Keadilan, YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun menyampaikan ucapan takziah mereka dari Washington DC.

Azizah berasa amat sedih setelah mengetahui berita ini, kerana tidak lama dahulu Allahyarham Endon baru balik daripada menjalani chemotheraphy di Amerika Syarikat. Pada masa itu, kesihatan beliau dikatakan stabil. Oleh yang demikian, berita ini bukan sahaja mendukacitakan malah memeranjatkan sekali.

Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau, isteri beliau serta keluarga berasa amat simpati ke atas pemergian Allahyarham pagi ini.

"Keluarga saya, terutamanya Azizah, tidak akan melupakan persahabatan dengan Endon dan budi baiknya," ujar beliau.

Shamsul Iskandar, Timbalan Ketua Angkatan Muda turut mengucapkan takziah kepada perdana menter dan keluarganya. Shamsul berharap Datuk Seri Abdullah dapat bersabar dan menerima hakikat ini sebagai takdir.

Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali, bersama dengan Naib-naib Presiden, Azmin Ali Sivarasa Rasiah dan Datin Saidatu Badru Tun Said Keruak; Ketua Penerangan, Tian Chua; Ketua Wanita Fuziah Salleh; dan Exco Angkatan Muda Faisal Mustaffa telah mewakili para pemimpin dan ahli-ahli parti untuk menziarahi jenazah Allahyarham di Seri Perdana, Putrajaya.

Mereka sempat bertemu dengan YAB Perdana Menteri dan menyampaikan ucapan takziah dari pimpinan dan ahli parti yang lainnya.

Biro Penerangan Parti telah menghantar SMS ringkas kepada para ahli dalam Adil Net tidak beberapa lama selepas berita menyedihkan tersebut diumumkan.

Allahyarham dikenangi semua sebagai seorang wanita pertama yang berbaik hati dan penyayang. Beliau gigih menghidupkan kembali seni kebaya nyonya, batik dan songket di negara ini. Beliau pernah mempamerkan koleksi peribadi kebaya nyonya yang dikumpul ibunya di Kuala Lumpur dan Singapura.

Allahyarham juga amat prihatin juga terhadap kanak-kanak yang kebuluran di Bosnia-Herzegovina, Kosovo dan Korea Utara. Beliau sangat menyokong kerja-kerja kebajikan untuk membantu kanak-kanak tersebut. Selain daripada itu, Allahyarham juga bersungguh-sungguh menyokong rancangan-rancangan untuk mempertingkatkan tahap kesedaran terhadap barah payu dara di negara ini.


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.


Al Fatihah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home