SepangOnline

Thursday, October 13, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

KDN Nafikan Permit Penerbitan Suara Keadilan
--------------------------------------------------------------------------------

PARTI Keadilan Rakyat mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menafikan hak parti kami untuk menerbitkan akhbar rasmi, Suara Keadilan.
Suara Keadilan mula diterbitkan pada Jun 2005 hasil percantuman dua akhbar iaitu Suara PRM milik Parti Rakyat Malaysia dan Seruan Keadilan milik Parti KeADILan Nasional, berikutan pengabungan kedua-dua parti.

Suara Keadilan pada mulanya diterbitkan dengan menggunakan permit penerbitan milik Suara PRM dan ini telah dimaklumkan secara bertulis kepada pihak KDN.

Bagaiamana pun pihak KDN menolak permohonan untuk menukar nama akhbar dari Suara PRM kepada Suara Keadilan, sebaliknya kami diminta membuat permohonan baru atas nama Parti Keadilan Rakyat.

Permohonan baru ini telah dibuat pada Julai 2005 dengan semua syarat telah dipatuhi dan semua dokumen yang diperlukan telah dibekalkan kepada pihak KDN.

Sepatutnya tidak ada sebab bagi kerajan untuk tidak meluluskannya kerana ia adalah perkara asas dan merupakan hak setiap parti seperti yang dijamin oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2000. (Lihat lampiran)

Namun sehingga kini, tidak ada respon mengenai permohonan kami oleh pihak KDN.

Dalam masa sama, KDN melancarkan beberapa tindakan berupa ugutan dan rampasan akhbar Suara Keadilan untuk menakut-nakutkan penjual, pengedar dan pihak yang mencetak Suara Keadilan. (Lihat lampiran)

Kita melihat ini sebagai satu tindakan terancang untuk menafikan hak Parti Keadilan Rakyat menyampai maklumat dan pendirian parti kepada rakyat Malaysia, dalam pada menghadapi berbagai sekatan oleh media arus perdana.

Tindakan ini secara politiknya adalah satu tindakan yang menggambarkan rasa takut pihak pemerintah terhadap parti kami yang memperjuangkan reformasi, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, berlandaskan politik berbilang kaum.

Oleh itu, kami menuntut supaya pihak KDN segera meluluskan permohonan permit kami sesuai dengan prinsip kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara tanpa berlengah.

Kami juga mahukan supaya tindakan merampas akhbar, ugutan terhadap pengedar dan pencetak akhbar Suara Keadilan dihentikan serta merta.

Sehubungan itu, kami juga meminta pihak kerajaan supaya:

1. Mengiktiraf hak setiap parti untuk memiliki akhbar secara otomatik dan hak untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam.

2. Dihapuskan syarat penyambungan secara tahunan terhadap permit akhbar dan semua penerbitan harus disambung secara otomatik.

3. Mengkaji semula semua undang-undang dan akta yang menyekat kebebasan akhbar di negara ini terutamanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi.

Ini selaras dengan pembaharuan yang dijanji oleh Perdana Menteri dari segi ruang demokrasi, ketelusan dan keterbukaan masyarakat.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti KeADILan Rakyat
(Ahli Parlimen Permatang Pauh)



--------------------------------------------------------------------------------
Lampiran:
TINDAKAN OLEH PEGAWAI (KEMENTERIAN DALAM NEGERI) KDN TERHADAP PENGEDAR SUARA KEADILAN

1. Pada 1 Jun 2005, pegawai-pegawai KDN bertindak memberi amaran lisan agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada dua pekedai di Pasir Mas, Kelantan.

2. Pada 3 Julai 2005, pegawai-pegawai KDN mengeluarkan amaran dan notis agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada seorang pekedai di Melaka Sentral, Melaka.

3. Pada 2 Ogos 2005. pegawai-pegawai KDN mengeluarkan amaran dan notis agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada tiga pekedai di Kuala Terengganu, Terengganu.

4. Pada 9 Ogos 2005, pegawai-pegawai KDN mengeluarkan amaran dan notis agar berhenti mengedar akhbar Suara Keadilan kepada ejen pengedar di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Batu Pahat.

5. Pada Awal September 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di bangunan makro, Seremban yang menjual Suara Keadilan.

6. Pada 3 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap beberapa gerai di Pasar Siti Khatijah, Kota Bahru.

7. Pada 6 Oktober 2005, dua pekedai di Kota Bahru dikenakan saman dan diperintah ke mahkamah kerana menjual Suara Keadilan.

8. Pada 8 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di Sentul yang menjual Suara Keadilan.

9. Pada 11 Oktober 2005, dua orang pegawai KDN mengugut syarikat pencetak di Shah Alam agar tidak mencetak Suara Keadilan, sekiranya tidak diikuti lesen percetakan akan ditarik balik.

10. Pada 12 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di Sentul, Kuala Lumpur yang menjual Suara Keadilan.

11. Pada 12 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di UKM Serdang Jaya.

12. Pada 12 Oktober 2005, pegawai-pegawai KDN merampas dan memberi notis saman terhadap sebuah kedai di Desa Bandar Tun Razak.

Kiriman: isamo fer

0 Comments:

Post a Comment

<< Home