SepangOnline

Thursday, October 13, 2005

Kerajaan Mengganggu Permit Penerbitan Suara Keadilan

Chan Wei See (MerdekaReview), diterjemahkan oleh Jeffrey Lim

KUALA LUMPUR - YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan hari ini membidas Kementerian Keselamatan Dalam Negeri kerana enggan mengeluarkan permit penerbitan kepada akhbar parti, Suara Keadilan, serta mengancam dan mengganggu agen-agen Suara Keadilan. Beliau mengumpamakan tindakan Kementerian ini sebagai menafikan hak parti untuk bersuara, suatu hak yang diperuntukkan Perlembagaan. Parti akan melancarkan gerakan seluruh negara untuk membantah penafian terhadap kebebasan akhbar kita.

Azizah menerangkan, setiap parti berhak menerbitkan akhbar parti untuk menyebar ideologinya. Akan tetapi, apabila parti memohon dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, parti asyik diganggu oleh Kementerian. Semenjak mula diterbitkan Jun lepas, Kementerian telahpun sebanyak 12 kali membuat kacau terhadap agen dan penjual akhbar parti kita.

Pada pukul 2:15 petang tadi, Azizah ditemani Naib-naib Presiden Sivarasa Rasiah dan Mustaffa Kamil Ayub serta Ketua Penerangan, Tian Chua untuk mengadakan sidang akhbar di Parlimen, demi menerangkan gangguan yang dihadapi dalam memohon permit, serta membantah tindakan Kementerian yang menafikan kebebasan akhbar.


Suara Keadilan merupakan hasil daripada percantuman akhbar Parti Rakyat Malaysia (PRM), Suara PRM dan akhbar Parti Keadilan Nasional (keADILan), Seruan Keadilan. Azizah menjelaskan bahawa penerbitan Suara Keadilan sebenarnya terus menggunakan permit Suara PRM.

"Akan tetapi, Kementerian enggan mengizinkan kita mengubahkan nama Suara PRM kepada Suara Keadilan. Sebaliknya, mereka memaksa kita memohon permit baru dengan nama Parti Keadilan Rakyat."

Azizah turut meragui motif Kementerian dalam menafikan permohonan untuk menukar nama akhbar. Setahu beliau, selepas Parti Soasialis Rakyat Malaysia (PSRM) mengubah nama kepada Parti Rakyat Malaysia (PRM), ia tidak menghadapi sebarang masalah dalam menukar nama akhbar partinya. Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu dengan jelasnya memberitahu PRM, selagi permit yang sama digunakan, permohonan untuk permit yang baru tidak perlu. Akan tetapi, apabila permohonan untuk menukar nama akhbar oleh Parti Keadilan senantiasa diganggu. Ini menunjukkan bahawa kementerian mengamalkan dwi-standard.

Sejak parti memohon permit baru dengan Kementerian pada bulan Julai 2005, belum ada sebarang balasan lagi mengenai permohonan kita. Ketua Penerangan, Tian amat tidak berpuas hati dengan Kementerian yang mengganggu permohonan itu. Menurut beliau, memandangkan ia telah termaktub dengan jelas di dalam undang-undang bahawa setiap parti berhak menerbitkan akhbar sendiri, permit itu sepatutnya dikeluarkan secara automatik tanpa perlunya permohonan lagi.

Naib Presiden, peguam Sivarasa Rasiah pula berkata, apabila hak asasi bagi parti untuk menerbitkan akhbar parti sendiri pun dinafikan, apakah negara ini layak digelar "negara demokratik"?

Azizah pula berkata, parti telah memenuhi semua syarat permohonan. Semua dokumen yang diperlukan telahpun dihantar kepada Kementerian. Oleh itu, Kementerian tidak harus menafikan permohonan permit kita. "Adalah mustahil permohonan kita tidak dibenarkan. Ini merupakan hak parti kita, yang dijanjikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Dalam Negeri kepada semua parti pada tahun 2000," ujar beliau.

"Mengganggu permit Suara Keadilan menunjukkan pemerintah amat berwaspada kepada parti kita yang mendorong reformasi serta membantah rasuah dan hagemoni," tambah Azizah. Beliau turut mendesak Kementerian agar meluluskan permohonan kita secepat mungkin, untuk menghormati kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.


Gangguan yang dihadapi parti mencerminkan kerajaan Barisan Nasional yang gila kuasa sekali lagi mencengkam kebebasan akhbar dengan memperkudakan Kementerian. Memandangkan Abdullah ingin mendirikan masyarakat yang demokratik, ikhlas dan terbuka, Azizah menyeru kerajaan menjanjikan hak semua parti untuk mendapatkan permit secara automatik untuk menyebarkan fikiran mereka, memansuhkan keperluan untuk memperbaharui permit setiap tahun, serta menyemak semula semua akta yang mengancam kebebasan akhbar terutamanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) serta Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Suara Keadilan yang bertaglinekan "Suara Rakyat Suara Keramat" dikeluarkan setiap dua minggu. Harganya ditetapkan RM 2 di Semenanjung dan RM 2.70 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Suara Keadilan diletakkan di bawah jagaan Ketua Penerangan, Tian Chua, manakala kolumnis dan kartunis terkemuka, Zunar merupakan Ketua Pengarang. Bekas Ketua Pengarang termasuk Khalid Jaafar, Ruslan Kassim yang pernah bersama kita, Raja Petra Kamaruddin dan Faisal Mustaffa.

Pada ketika ini, terdapat tujuh orang wartawan yang menyumbang kepada Suara Keadilan, termasuk Faisal Mustaffa, Zulkifli Mohamed dan Helme Hanafi, manakala kolumnis yang sering mengarang termasuk Azizah, Rustam Sani, Ahmad Lutfi Othman dan Hishamuddin Rais.

Suara Keadilan terkini, iaitu keluaran 69 telahpun berada di pasaran. Untuk berita-berita hangat dan tulisan-tulisan menarik yang dimuat di dalamnya, serta senarai pengedar.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home