SepangOnline

Wednesday, October 12, 2005

OIC perlu tegas selesai konflik umat Islam, kata Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed

KEPALA BATAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang diterajui Malaysia perlu bertegas untuk menyelesaikan konflik di negara-negara Islam termasuk di Selatan Thailand.

“OIC kena ada peranan sikit, kitalah kena beritahu negara-negara Islam baik Iran, Syria, Jordan dan negara-negara Islam yang lain Turki, Pakistan, Malaysia dan Indonesia supaya mengambil pendirian tegas terhadap dasar Amerika di Iraq.”

Katanya, negara-negara tersebut perlu menyediakan pasukan tentera untuk menunjukkan kesungguhan OIC untuk membantu mengamankan Iraq.

”OIC perlu tunjukkan kesungguhannya,” demikian tegas Anwar di ceramah perdana di Pongsu Seribu di sini, baru-baru ini.

“Sebab itu apabila saya berbincang dengan pemimpin Amerika, saya menyatakan pendirian secara tegas menentang pencerobohan Amerika terhadap Iraq,” katanya.

Anwar berkata, ada pemimpin negara ini, yang kononnya berani mengkritik Amerika, tetapi dalam masa yang sama tunduk takut apabila berhadapan dengan pemimpin negara itu.

Malah, katanya pemimpin tersebut telah membayar jutaan ringgit melalui sebuah yayasan para pelobi Yahudi iaitu Heritage Foundation (berpusat di AS) bagi membolehkannya menemui Presiden Amerika George W.Bush.

Akhbar Hong Kong Standard dan Washington Post pernah melaporkan pertemuan Mahathir-Bush pada Mei 2002, dibiayai kerajaan Malaysia berjumlah RM5.3 juta yang dibayar melalui US-Malaysia Exchange Foundation (USMEA) dan Belle Haven Consultants berpengkalan di Hong Kong yang dipengerusikan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menggunakan platform Heritage Foundation.

Pembayaran itu masih berlaku Februari lalu, apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membayar RM40 juta kepada Heritage Foundation.

Menyentuh konflik di Selatan Thailand, Anwar menyifatkan masalah di sana semakin berat.

“Kita bukannya suruh berperang tetapi tindakan tentera Thailand ke atas umat Islam semakin parah. Malaysia perlulah ambil pendirian tegas. Hantarlah Menteri pergi berunding,” katanya.

Menurutnya, akibat konflik yang berlanjutan ramai pelarian Islam melarikan diri ke Kelantan.

“Akhbar-akhbar di sana telah ‘menyerang’ Kelantan sebagai terlibat,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan pusat perlu bekerjasama dengan kerajaan Kelantan untuk menangani masalah itu.

“Orang Islam kena bunuh, bukannya seorang tapi beribu. OIC jangan lagi ‘Oh I See’,” katanya.

OIC dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home