SepangOnline

Friday, October 21, 2005

Azmin Tidak Beri Keterangan Palsu, Kata Peguamnya

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali, tidak memberi keterangan palsu dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu semalam.

Peguam CV Prabhakaran berkata meskipun Azmin menggunakan perkataan berbeza untuk menggambarkan keganasan polis apabila dia mengadu ke majistret Mohd Azhar Othman, ini tidak bermakna beliau memberi keterangan palsu jika dibandingkan dengan testimoninya dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Anwar.

Menurut Prabhakaran, adalah salah untuk Mahkamah Sesyen mendapati Azmin bersalah untuk memberi keterangan palsu kerana Azmin sudahpun menjelaskan mengapa perkataan berbeza yang digunakan.

"Kami menghubungi majistret yang merekodkan aduan Azmin pada peringkat awal dan beliau mengaku bahawa berdasarkan apa yang diberitahu oleh Azmin, beliau memahami Azmin sememangnya diancam polis", kata CV Prabhakaran, sebagaimana dipetik oleh Malaysiakini.

Maka, Prabhakran berkata tuduhan keterangan palsu tidak boleh bertahan lagi kerana penjelasan yang terang dan sah sudah diberikan ke mahkamah.

Azmin, yang merupakan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir, yang mendapati beliau bersalah kerana memberi keterangan palsu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 1999, di hadapan Hakim Augustine Paul. Azmin dihukum penjara 18 bulan.

Tetapi pada Julai 1999, Hakim Mahkamah Sesyen Hamdan Indah mendapati tiada apa dalam kes pendakwaraya yang menuntut agar Azmin mempertahankan dirinya, dan beliau didapati tidak bersalah.

Kemudian, pada 17 Februari 2000, Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Wahab Patail membenarkan rayuan pendakwaraya yang menghantar kes tersebut kembali ke Mahkamah Sesyen untuk Azmin memulakan pembelaannya. Azmin kemudian didapati bersalah dan dihukum, dan kini beliau merayu di hadapan Hakim Abdul Kadir Musa.

Mahkamah menetapkan 14 November 2005 untuk penghujahan lanjut isu tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home