SepangOnline

Tuesday, October 11, 2005

Jabatan Parlimen langgar lunas demokrasi - Azizah

Malaysia Today

Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pada Khamis lepas mengenai mewujudkan satu jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Parlimen sebagai melanggar lunas demokrasi.

Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) menyifatkan pengumuman Nazri itu secara tidak langsung meletakkan Parlimen yang seharusnya menjadi institusi tertinggi dalam sistem demokrasi negara diletakkan di bawah satu jabatan kerajaan.

"Kewujudan jabatan ini secara tidak langsung meletakkan Parlimen yang seharusnya menjadi institusi tertinggi dalam sistem demokrasi negara diletakkan di bawah satu jabatan kerajaan," jelas Presiden Keadilan itu.

Dalam kenyataan medianya pada 11 Oktober lepas, Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, hampir semua negara demokrasi di dunia bersetuju asas sistem demokrasi iaitu perlu mempunyai pengasingan jelas dalam kuasa pentadbiran dipilih (executive) dan lantikan (legistative).

"Maka wujudnya Jabatan Parlimen akan menghina kuasa rakyat dalam sistem demokrasi kerana Parlimen yang seharusnya bertanggungjawab kepada rakyat kini di paksa bertanggungjawab kepada kabinet, apabila diletakkan di bawah jabatan Parlimen nanti," kata Azizah lagi.

Keadilan menyatakan rasa kekecewaannya apabila kerajaan Malaysia tergesa-gesa mewujudkan Jabatan Parlimen tanpa mendapat persetujuan Parlimen sendiri.

Nazri, Khamis lepas menyatakan kerajaan melantik Ketua Pengarah Jabatan Parlimen yang akan memulakan tugasnya bermula pada 15 Oktober ini.

Azizah memberitahu, isu ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikawal untuk menyatakan pendapat mereka perlu dipandang serius kerana dalam keadaan lebih 90 peratus ahli Parlimen merupakan anggota BN.

"Maka kewujudan Jabatan Parlimen akan mengawal ahli Parlimen ini dan bakal menjadikan Parlimen Malaysia hanya sebagai 'rubber stamp' kepada keputusan Kabinet," kata Azizah.

Justeru, Keadilan mendesak supaya cadangan mewujudkan Jabatan Parlimen ini di batalkan.

Sementara itu, Parlimen dan ahlinya seharusnya tidak dikenakan kawalan yang menghadkan kebebasan bersuara mereka.

Menurut Keadilan, apa yang seharusnya dilakukan untuk membantu menaikkan imej Parlimen ialah kerajaan di bawah Datuk Seri Abdullah Badawi perlu lebih berani untuk memberikan kuasa lebih kepada Parlimen dengan meletakkan agensi penting bertanggungjawab terus di bawah Parlimen contohnya seperti Badan Pencegah Rasuah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home