SepangOnline

Friday, October 28, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

MENGAPA BUNUH BAKAT PIMPINAN PELAJAR?
28 Oktober 2005
--------------------------------------------------------------------------------

Pelajar, khususnya yang di peringkat universiti, merupakan salah satu asset yang bernilai tinggi bagi masa depan negara. Bukankah dari kalangan mereka akan timbul kelak pemimpin negara? Sejauh manakah kita menyediakan suasana paling sesuai sekarang ini bagi pelajar untuk memastikan pimpinan yang unggul pada masa akan datang?
Jikalau kita mahu melihat kualiti pimpinan negara masa akan datang yang mempunyai moral serta intelekl mulia, bersih dari rasuah atau korupsi, prihatin terhadap nasib rakyat jelata, komited kepada negara-bangsa yang bersatu padu, dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kebebasan serta kebenaran, maka asasnya yang kukuh hendaklah disemai dan dibenarkan tumbuh bebas di universiti sekarang.

Tetapi apakah yang sedang berlaku?

Sejak pindaan yang dibuat ke atas Akta Universiti dan Kolej-Kolej Universiti (AUKU), berikutan peristiwa mahasiswa menyokong perjuangan peneroka bandar dan pekebun kecil miskin di Tasik Utara dan Baling pada tahun 1974, universiti kehilangan autonomi yang wujud sedikit sebelum itu. Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu Menteri Pelajaran, dengan bantuan Prof Ungku Aziz, Naib Canselor universiti Malaya, bertanggungjawab atas pindaan itu.

Akibat dari AUKU, pelajar universiti hilang kuasa untuk mentadbir diri sendiri. Persatuan mereka ditutup. Mereka diawasi oleh universiti melalui Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar (HEP), yang selalunya tunduk kepada semua kehendak Kerajaan. Mereka hilang kebebasan untuk menyusun segala jenis aktiviti, melainkan setelah mendapat kebenaran HEP dulu.

Mereka tidak lagi bebas menguruskan sendiri pemilihan wakil-wakil ke Majlis Pelajar atau menguruskan kewangan persatuan sendiri, kerana selepas AUKU tugas ini dirampas oleh HEP. Mereka tidak dibenarkan mengkritik universiti dan menyokong apatah lagi menyertai parti-parti politik. Mereka juga tidak boleh menganjurkan kegiatan di kalangan masyarakat, walaupun yang berbentuk kerja amal, tanpa kelulusan HEP.

Mana-mana pelajar yang didapati melanggar AUKU dihukum, kadang-kadang secara sewenang-wenang mereka digantung atau dibuang begitu saja dari universiti. Dalam sesetengah kes, seperti Mahasiswa 7, pelajar yang dibuang mengambil tindakan mahkamah ke atas universiti, tetapi walaupun menang kes mereka tidak diterima balik. Jelas tujuan universiti ialah untuk mengugut dan menakutkan para pelajar lain.

Mengapakah perlu ada sekatan-sekatan yang ketat ke atas pelajar-pelajar dalam negara, pada hal peljar-pelajar kita di luar negara dibebaskan dari semua sekatan AUKU ini? Mereka yang belajar di luar bukan saja dibenarkan bahkan digalakkan untuk menyertai politik parti, akan tetapi asalkan parti pilihan mereka Umno.

Sebaliknya, pelajar-pelajar di luar negara ini, yang mahu bertindak bebas sedikit, sering diugut dan disekat oleh pegawai-pegawai kerajaan, Umno ataupun sponsor biasiswa mereka daripada menyertai kegiatan parti lawan atau menghadiri ceramah-ceramah oleh pemimpin-pemimpin pembangkang, terutama Anwar Ibrahim.

Kembali ke dalam negara, akhir-akhir ini heboh berita tentang campur tangan aktif Umno yang memperalatkan HEP serta segelintir profesor atau pensyarah yang tidak berwibawa, dalam pemilihan wakil-wakil pelajar. Seolah-olah tidak cukup dengan AUKU, Umno mahu memastikan kemenangan calon-calon pro-kerajaan. Bermacam-macam taktik kotor, yang melibatkan rasuah, ugutan dan penipuan telah digunakan. Malang sekali, taktik-taktik kotor yang diperalatkan oleh parti pemerintah untuk memenangi pilihanraya umum negara, sudah mereka perluaskan pula ke universiti.

Di luar universiti terdapat apa yang didakwa pertubuhan atau gabungan pelajar. Selepas AUKU, bukan saja persatuan pelajar di dalam universiti, bahkan badan yang menggabungkan pelajar-pelajar dari semua universiti pun dibubarkan. Sehingga kini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM), yang dulu dianggotai oleh semua mahasiswa dan bercorak pelbagai kaum, masih tidak dibenarkan.

Seterusnya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), yang asalnya diwujudkan untuk mahasiswa Melayu sudah bertukar wajah. Pimpinan GPMS sekarang diblot oleh mereka yang bukan lagi pelajar bahkan sudah lama bekerja. Hampir semua mereka menjadi ahli atau penyokong Umno. Dalam beberapa bulan ini kita menyaksikan “perebutan kuasa” berlaku di antara puak-puak pemuda Umno yang mempunyai kepentingan sendiri.

Semua peristiwa yang dijelaskan di atas mempunyai beragai-bagai akibat buruk. Pertama, AUKU mencabul hak asasi pelajar dengan merampas hak mereka untuk menguruskan hal-ehwal diri sendiri. Sekaligus ia juga membunuh inisiatif pelajar dan menutup peluang mereka untuk melatih diri sebagai pemimpin. Ini boleh menjejas kualiti pimpinan dalam masyarakat dan negara kemudian.

Kedua, para pelajar bukan saja diugut dan ditakutkan dengan ISA, tetapi ditambah pula dengan ancaman AUKU. Psikologi ketakutan meluas di kalangan mereka, sehingga menjadikan ramai dari mereke bersifat jiwa hamba, hilang keberanian kerana benar, lenyap minda yang bebas dan pupus fikiran yang kritikal. Bukan saja mutu intelektual mereka merosot, bahkan potensi mereka untuk berkembang sebagai pemimpin yang berkaliber pun terbantut.

Ketiga, campur tangan parti, kementerian dan pentadbiran universiti dalam pemilihan wakil-wakil pelajar, sebagaimana yang berlaku akhir-akhir ini menggalakkan nilai-nilai jelik, seperti korupsi, penyelewengan, penipuan dan perkauman sempit (melalui pengaruh Biro Tata Negara – BTN). Dari universiti lagi mereka sudah diajar dengan segala kebururkan ini. Bagimanakah nanti mereka boleh menjadi pemimpin yang bersih dan bertanggungjawab pada masa akan datang?

Keempat, timbul dua tendensi yang tidak sihat. Satu, sesetengah pelajar hilang kepercayaan kepada semua sistem yang ada dan oleh kerana itu mereka tidak mahu turut serta atau memilih untuk memboikot saja. Satu lagi, tendensi “mengampu”, “oportunis” dan “mementingkan diri” meluas; ramai mula merasakan cara yang paling cepat untuk naik dan berjaya dalam hidup ialah dengan tunduk atau menjual diri kepada mereka yang berkuasa.

Banyak lagi akibat buruk yang boleh dikemukakan. Cukuplah dengan yang empat ini. Yang hendak ditekankan di sini ialah pemerintah dan universiti telah memilih jalan yang tidak bijak. Mereka memikirkan hanya keuntungan jangka pendek diri serta parti sehingga sanggup menggadaikan keuntungan jangka panjang untuk rakyat dan negara. Masanya sudah sampai untuk kita mengkaji semula atau bermuhasabah secara mendalam dan menyeluruh. Dasar dan tindakan kita haruslah mengambil berat tentang nasib anak cucu kita yang akan datang.


Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home