SepangOnline

Wednesday, October 26, 2005

Kemelut Akujanji UUM:Surat Kepada Menteri Pengajian Tinggi

Daripada: Azly Rahman 28 September, 05 - Laman M@RHAEN
--------------------------------------------------------------------------------
Saudara Dr. Shafie,
Saya merujuk kepada laporan MalaysiaKini yang menyiarkan respons anda terhadap keengganan saya dan isteri menandatangani Akujanji. Saya sudah lama menantikan respons itu datangnya secara rasmi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sembilan bulan yang lalu. Sebagai pemimpin sektor bukan-politik, anda tidak boleh membiarkan pengalaman politik anda mengacau proses pembuat keputusan, tidak kiralah apakah alasan rahsia/terpendm terhadap pembangunan nasional itu sebenarnya.

Anda mesti faham kenapa Mutiara dan saya enggan menandatangani Surat Akujanji itu.

Kami tidak bersetuju dengan dua Klausa (Clause) terakhir yang melambangkan bentuk totalitarianisme yang anda sedang kembangkan di universiti awam kita. Kenyataan anda bahawa tidak ada salahnya dengan Surat Akujanji dan ia adalah sama sahaja dengan “satu pengakuan kepada Tuhan” memang memusykilkan saya. Jawapan anda yang pendek lagi tidak memuaskan itu menggambarkan anda tidak berupaya menganalisis perbezaan antara ‘mematuhi Tuhan” dan “akur kepada satu organisasi” yang diuruskan oleh dewa jelmaaan.

Anda mesti faham apa maknanya ‘organisational culture' (budaya organisasi) dalam ruang lingkup universiti yang ada dan segala budayanya serta bagaimana institusi menjadi semakin terikat kepada ideologi dan individu yang bertugas sebagai penegak ideologi tersebut. Inilah ciri-ciri yang fundamental dalam pertembungan terhadap perubahan pendidikan yang mesti anda pelajari untuk dilaksanakan sebagai seorang pemimpin sektor pendidikan.

Anda telah menafikan satu permintan yang sungguh mudah; satu, meminta kementeriaan anda dan UUM menjelaskan apakah kami harus menandatangani Surat Akujanji seandainya hak perlembagaan dan hak asasi mengajar secara bebas akan tergugat . Tidak ada pun penjelasannya. Sebaliknya anda telah memperkenankan pemecatan kami. Apakah ini caranya anda membuat keputusan dalam satu jaringan organisasi yang dinamakan universiti awam Malaysia?

Anda tidak sepatutnya mengusahakan satu kilang mengeluarkan orang yang hanya boleh bersuara – anda sepatutnya menguruskan satu institusi yang dinamakan sebuah universiti di mana keunggulan idea mesti merajai kepentingan politik. Doktrin politik yang dipahat sebagai latar belakang universiti tidak akan membantu mencipta longgokan ilmu pengetahuan, kefahaman dan kebijaksanaan. Anda tidak sepatutnya mengepalai satu parti politik yang dianggotai oleh tukang angguk dan tukang enggeh. Anda sepatutnya menguruskan satu jaringan organisasi pembelajaran di abad ke-21, seperti yang dijelaskan oleh para teoris seperti Peter Senge. Anda tidak boleh membenarkan ideologi politik anda mencemar idealisme falsafah sebuah universiti. Anda akan hanya mempercepatkan bencana yang sedang terjadi kepada kehidupan intelek tenaga pengajar dan para pelajar.

“Permohonan Yang di Abaikan”

Sekarang, izinkan saya merujuk kepada kenyataan anda mengenai keengganan anda menyemak dua klausa yang bersifat totalitarian dalam Surat Akujanji. Anda harus memahami pendapat kami pula. Anda telah meluluskan pemecatan kami daripada UUM tanpa memahami kenapa kami enggan terus berkhidmat kepada satu organisasi yang kami percaya tidak berlaku adil kepada kerjaya kami dan martabat kami sebagai pendidik.

Anda tidak tahu-menahu hakikat hubungan saya dengan Naib Canselor yang dulu - yang berasaskan keengganan saya menyetujui cara regim beliau menindas secara bersistem segala idea. Permohonan saya yang lalu agar dinaikkan pangkat telah ditolak tanpa bijaksana dan tanpa penjelasan. Soalan saya meminta penjelasan mengenai Surat Akujanji telah digunakannya sebagai asas memecat isteri saya dan juga saya. Mutiara dan saya hanya meminta satu jaminan bertulis bahawa kami tidak akan dimangsakan lagi oleh UUM. Kami telah meminta anda campur tangan dengan memadamkan dua klausa itu, tetapi anda telah mengabaikan permohonan kami.

Eloklah kita selesaikan isu ini dengan cara apa yang saya lihat sebagai satu analisis yang ada relevannya. - bukan sahaja mengenai anda sebagai seorang pemimpin sebuah universiti awam dan swasta di Malaysia, tetapi juga mengenai seseorang yang cuba secara bersistem membahayakan minda golongan muda yang kreatif di negara ini. Kenyataan anda menyamakan akuan kesetiaan kepada “Akujanji kepada Tuhan” memerlukan penjelasan. Saya tidak fikir analogi itu adalah benar dan ia tidak masuk akal juga.

Anda harus mampu membuat perbezaan yang tepat antara keengganan seseorang memberikan kesetiaannya kepada satu institusi yang diuruskan oleh Naib Canselor yang laparkan kuasa dengan janji kesetiaan ataupun aksi komunikasi memberikan taat dan setia kepada Tuhan yang adil yang perlu diterokai secara peribadi.

Potensi Salahguna

Nampaknya anda keliru mengenai sifat metafizikal dua perakuan ini. Sesungguhnya Surat Akujanji adalah dokumen buatan manusia di mana orang yang merangka matrix kuasa/pengetahuan mahu menjajah minda mereka yang menandatanganinya. Di situ sudah sedia tersemat klausa yang memberi jaminan pengarang mahu menguatkuasakan sebarang arahan sekarang ini dan juga di masa depan; arahan yang begitu cermat dilakar untuk memenuhi keperluan mengekalkan penguasaan yang tidak perlu ke atas orang lain.

Berikut adalah tiga contoh bagaimana ia boleh disalahgunakan:

1. Sebagai contoh, seandainya vice-chancellor ingin menginstitusikan latihan Khidmat Negara sedangkan fakulti yang mahu dikenakan gerakan itu menentangnya, ataupun sesi menguasai minda yang diuruskan oleh Biro Tata Negara, bercanggah dengan falsafah universal kebebasan manusia, pihak pentadbiran boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan mematuhinya. Sudah tentu banyak ruang salah guna kuasa. Seandainya hak perlembagaan seseorang itu digugat, sudah tentu beliau tidak dapat meminta bantuan daripada luar universiti. Sudah tentu ini satu kesalahan yang amat nyata.
2. Seandainya seorang vice-chancellor tidak suka kepada isi kandungan syarahan seorang pensyarah Sains politik yang mempunyai tugas menggalakkan bakat mengkritik, pensyarah itu boleh diarahkan mengubah-suai syarahannya mengikut “pengetahuan rasmi” yang dibenarkan oleh negara. Malahan yang lebih dahsyat lagi, pensyarah itu boleh dipantau sepanjang kuliahnya sehinggalah terdapat bukti yang mencukupi untuk memecatnya.

3. Seandainya seorang pensyarah mendapati wujudnya amalan jijik yang tidak adil untuk menggantung pelajar kerana mengemukakan soalan di forum terbuka, seperti yang terjadi kepada Rizal Anan di UUM, apakah sumpah setia yang wujud melarang seorang pensyarah daripada membantah kepada pentadbiran universiti atau menerangkan pandangannya secara terbuka melalui media?

Demikianlah sedikit contoh yang dapat dikemukakan daripada rangkaian salah guna Akujanji yang dikenakan terhadap para pensyarah untuk memberikan tandatangan mereka.
Inilah cara memperbodohkan golongan intelek, sebagai ciri fundamental satu regim yang authoritarian yang mesti kita semua fahami dan sekat daripada membiak. Mutiara dan saya akan terus berjuang sehingga kami dapat lihat satu versi baru Surat Akujanji yang menyongsang perjanjian yang ada. Kami tidak boleh beralah dengan kehendak ini. Kami ingin melihat universiti awam kita menjadi satu menara gading yang terunggul seperti yang amat diperlukannya.

Cara Bertolak ansur

Sebagai seorang pendidik yang amat yakin dengan prinsip kedamaian pendidikan, saya ada sedikit cadangan bagaimana anda dapat campurtangan di UUM:

1. Gantikan Surat Akujanji dengan satu versi yang dihasilkan oleh Jawatankuasa akademik bebas di UUM sendiri. Jangan cuba memecat mana-mana pensyarah yang mempersoalkan kandungan versi itu. Ini akan dianggap sebagai satu tindakan korupsi kuasa yang menjentik implikasi perundangan akhirnya.

2. Arahkan setiap fakulti/jabatan menubuhkan satu Jawatankuasa sendiri bagi tujuan berbincang, berunding dan menyediakan kenyataan jaminan terhadap kebebasan akademik. Ini adalah penting untuk melindungi para akademik daripada kerap menjadi mangsa salahguna kuasa oleh para pentadbir.

3. Umumkan satu kenyataan ‘berkecuali’ terhadap mana-mana parti politik supaya UUM akan mampu berfikir secara bebas dan tidak mudah dijajah lagi. Universiti adalah satu wadah intelek yang suci yang mesti bersih daripada diperalatkan oleh politik.

4. Galakkan pelajar supaya giat berpolitik supaya mereka dapat belajar bagaimana memahami alternatif yang lebih baik kepada ideologi yang ada. Tidak siapa yang berhak mengaku kepada kebenaran politik.

5. Galakkan semua bentuk pandangan terhadap sosial, politik, ekonomi, agama dan budaya supaya dapat terus subur untuk membolehkan generasi pelajar yang akan datang menjadi lebih bijaksana. Berikan mereka kebebasan untuk melakar masa depan politik, ekonomi dan sosial mereka.

6. Berikan latihan kepada pensyarah baru untuk melihat struktur pengajian daripada pelbagai perspektif, baik daripada ‘Structural-Functionalist, ‘Logical- Positivist’, ‘Post-Structuralism’, Marxist dan neo-Marxist, Agama dan Futuristicism, Pendapat berasaskan. ‘Ethno methodological dan Pheno methodological supaya mereka mampu mencabar para pelajar UUM untuk menjana pengetahuan yang baru. Barisan pensyarah UUM yang baru tentu mempunyai keinginan memiliki pengetahuan baru yang dapat membantu mereka keluar daripada acuan regim yang lama.

7. Galakkan para penyelidik dalam Yayasan Kepimpinan Tun Dr. Mahathir untuk membuat penyelidikan yang kritis terhadap sistem hegemoni pemikiran yang telah ditinggalkan oleh Perdana Menteri yang mencengkam kuasa selama 22 tahun. UUM perlu melahirkan satu barisan teoris yang kritis dan mampu membantu orang lain memahami totalitarianisme terhadap bentuk-bentuk budaya.

8. Galakkan semua kakitangan pentadbiran UUM - daripada super Naib Canselor kepada Pendaftar - untuk terus mengejar ilmu pengetahuan baik bagi keperluan diri dan kemajuan profesionalisme dan kepada memahami makna kebebasan intelek dan hak asasi manusia di satu kampus yang semakin berubah menjadi satu kem indoktrinasi.

9. Dapatkan campuran rakyat Malaysia dan calon antarabangsa untuk fakulti perguruan, sebagai gambaran bercambahnya kepelbagaian penduduk UUM. Dapatkan pensyarah yang tidak mengajar pelajar apa yang mesti difikirkannya, tetapi bagaimana harus berfikir.

10. Terjunlah ke dalam lautan segala kemungkinan transformasi dan ambillah risiko ke atas segala aspek pemerintahan dan enterpris pendidikan sebagai usaha melahirkan satu masyarakat UUM yang bijaksana.

Dengan segala perubahan yang radikal ini, anda tidak akan kehilangan apa-apa kecuali ketakutan menghadapi perubahan yang progresif. Para pelajar kita tidak akan kerugian apa-apa kecuali rantai yang membelenggu minda mereka. Jika anda ingini, saya dapat membantu kementerian anda dengan beberapa idea reformasi yang serba mungkin.

Yang ikhlas,
Azly Rahman.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home