Petikan drp: MalaysiaKini
--------------------------------------------------------------------------------
Oleh Hishamuddin Rais
May 6, 05 12:30pm
‘Kabinet hari Rabu telah memutuskan untuk menaikkan harga runcit diesel sebanyak 20 sen seliter dan harga petrol sebanyak 10 sen seliter mulai hari Khamis 5 Mei. Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, akhbar menyatakan kenaikan tersebut adalah sebagai langkah untuk membendung kenaikan subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan untuk produk petroleum’. Bernama, 4 Mei 2005.
‘Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Haji Ahmad Othman berkata, isu kekurangan bekalan diesel sebelum ini boleh disifatkan sebagai satu strategi bagi menaikkan harga di pasaran’. Harakah Daily, 5 Mei 2005.
‘Selepas kecoh-kecoh ketiadaan diesel, Kerajaan BN mengumumkan kenaikan minyak Petrol dan diesel sekali lagi, semalam. Kenaikan kali ini sebanyak 10 sen seliter. Kini pelbagai pihak terasa tertipu dengan isu ketiadaan diesel sebelum ini. Ia hanya justifikasi untuk menaikkan harganya selepas rakyat termakan dengan isu itu. Ia hanya perangkap untuk rakyat terbanyak’. Harakah Daily, laporan Basiron Wahab, 5 Mei 2005.
‘Parti Keadilan Rakyat mengutuk tindakan tergesa-gesa kerajaan dalam menaikkan harga petrol dan diesel. Pengumuman semalam berkaitan dengan kenaikan 10 sen bagi petrol dan 20 sen bagi diesel adalah tidak wajar. Sepanjang seminggu lalu, terdapat kekurangan bekalan diesel dalam pasaran. Pihak Kerajaan telah menuduh para penyeludup dan mengugut untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka seolah-olah sengaja membiarkan situasi sedemikian bertambah buruk. Kerajaan didapati menggunakan kekurangan bekalan sebagai alasan untuk menaikkan harga minyak’. Suara Keadilan, 5 Mei 2005.
‘Saya mula syak apabila melihat Pak Lah langsung tidak bercakap apa-apa walaupun seluruh negara hiruk-pikuk dengan isu kuota diesel, sehingga ada bas kehabisan minyak di tengah jalan dan pemandu merungut marah-marah disiarkan secara meluas melalui laporan berita TV. Rupanya ada perancangan sulit, demi menaikkan harga diesel. Tapi, bila diumumkan, bukan saja diesel yang naik, tetapi harga petrol juga turut tumpang semangkuk’. Harakah Daily, surat dari Pengguna Tertipu, 5 Mei 2005.
‘Minyak sudah habis’
Minggu lalu saya telah menulis bahawa harga minyak akan naik lagi. Belum pun sampai satu minggu, ramalan saya telah menjadi kenyataan. Dan ini bukan pula untuk kali terakhir. Harga minyak akan terus naik lagi. Ini berlaku kerana bahan bakar minyak petrol dalam dunia ini telah hampir kering. Puncak pengaliran di beberapa telaga minyak dalam negara Opec telah mula mendatar dan kini sedang susut.
Saya sebagai penganut mazhab 'minyak sudah habis', hanya memerhatikan dengan senyuman sinis apa yang dipanggil 'krisis minyak' pada minggu lalu. Bagi penganut mazhab 'minyak sudah habis' , apa yang berlaku itu bukan krisis minyak. Krisis minyak belum sampai lagi. Bila ianya sampai nanti, bentuknya bukan seperti apa yang telah kita alami dua minggu lalu. Apa yang baru terjadi dulu ialah satu pengolahan persetujuan agar rakyat dapat menerima kenaikkan harga minyak yang baru.
Fahamilah mengapa harga bahan bakar ini sengaja 'diterlampaukan' kenaikannya. Ini dilakukan jika sekiranya suara bantahan rakyat kuat dan ampoh, maka besar kemungkinan harga ini boleh diturun sedikit. Ini juga termasuk dalam perhitungan strategi pengolahan persetujuan.
Teknik mengolah persetujuan orang ramai ini bukan satu yang baru. Lihat bagaimana tentera Jepun telah 'digoda' untuk menyerang Pelabuhan Pearl. Diberitakan kepada rakyat Amerika bagaimana tentera mereka 'tertanggal seluar' kerana tidak bersedia dan tidak mengetahui perancangan Jepun. Ini bohong. Fakta-fakta yang muncul hari ini telah menelanjangi pembohongan itu.
Perdana Menteri Churchill memang memerlukan Amerika Syarikat masuk bersama membantu pihak Bersekutu dalam Perang Dunia Ke-2. Tetapi Presiden Franklin Delano Roosevelt tidak mendapat sokongan penuh dari rakyatnya untuk campur dalam perang. Justeru, Jepun telah 'dijemput' untuk menyerang Pelabuhan Pearl pada 7 Disember 1941. Pada tarikh ini 'secara tiba-tiba' banyak sistem intipan tentera Amerika terpadam. Jelaslah serangan ke atas Pelabuhan Pearl dirancang untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika agar bersetuju untuk mencampuri Perang Dunia Ke-2.
Lihat pula bagaimana krisis Teluk Tongkin pada bulan Ogos 1964 telah diolah. Berita diheboh-hebohkan tentang kekuatan tentera laut Vietnam Utara telah menyerang kapal perang Amerika di Teluk Tongkin. Ini juga terbukti bohong. Tidak ada serangan seperti yang dilaporkan berlaku. Krisis ini diolah agar ahli Kongres, ahli Dewan Senate dan rakyat Amerika bersetuju penambahan tentera untuk dihantar berperang di Vietnam.
Kalau kita telah membaca buku memoir Said Zahari – Meniti Lautan Gelora – ada bab yang menceritakan bagaimana tentera British di masa Konfrontasi, telah meminta Tunku Abdul Rahman mengebom kapal perang British di Laut Cina Selatan. Jika serangan terjadi, maka British mempunyai alasan untuk menyerang Indonesia. Ini adalah pengolahan untuk memantapkan projek neokoloni British ke atas Sabah, Sarawak, Singapura, Brunei dan Persekutuan Tanah Melayu.
Kisah tangisan Nayirah
Mari kita sama-sama mengingatkan kembali apa yang terjadi semasa perang di Kuwait pada tahun 1990 dahulu. Rakyat Amerika terperanjat apabila melihat Nayirah, anak gadis berumur 15 tahun menangis, merayu-rayu di hadapan kamera TV. Gadis pembantu hospital ini telah melihat ratusan bayi dalam buaian yang tertinggal dalam hospital Kuwait. Bayi-bayi ini kemudian telah diculik oleh tentera Saddam. Ini juga bohong. Pada tahun 1992, media antarabangsa telah membuktikan secara saheh bahawa Nayirah tidak wujud. Gadis yang di hadapan kamera dahulu ialah anak perempuan Duta Kuwait di Washington DC. Sandiwara ini mengolah persetujuan rakyat Amerika agar bersetuju untuk menyerang Saddam.
Dan jangan kita terlupa tentang kes Sauk pada bulan Ogos 2000 dahulu. Sila ingat kembali bagaimana tiga buah Pajero berdaya memunggah tiga tan senjata. Rompakan ini dilakukan dalam masa 15 minit. Dan jangan terlupa tentang seorang Cina pembeli durian yang masuk ke dalam kawasan Al-Maunah yang hingga ke hari ini tidak ada hujung pangkal beritanya. In juga bohong. Semuanya dilakukan sebagai satu sandiwara untuk mengolah persetujuan orang ramai agar menerima penggunaan ISA yang akhirnya saya sendiri dimangsakan.
Apakah kita lupa tentang kes Raja Kamaruddin aka Raja Komando yang dituduh cuba membunuh Dr Mahathir Mohamad. Laporan akhbar ini memeranjatkan seluruh dunia. Kemudian semuanya senyap. Ini juga satu pengolahan persetujuan untuk meraih simpati dari rakyat kerana ketika itu Mahathir Muhamad sedang digudam oleh orang Melayu.
Bagaimana pula dengan 'rocket launcher, molotov cocktails dan bom-bom' yang disediakan oleh para reformis pada tahun 2001 dahulu. Senjata-senjata ini wujud mengikut kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai. Dia berkata sehari sesudah saya sendiri ditahan pada 11 April 2002. Hingga ke hari ini, saya sendiripun belum dapat berpeluang melihat benda Allah ini. Ini juga bohong. Kewujudan senjata-senjata ini diheboh-hebohkan sebagai satu pengolahan untuk meraiah persetujuan orang ramai agar bersedia menerima hakikat bahawa gerakan reformasi ini ganas. Dan ISA adalah jalan halal untuk digunakan terhadap para reformis.
Teknik pengolahan persetujuan ini telah lama digunakan. Ini adalah salah satu dari ‘method’ pentabiran untuk mengendalikan kelompok atau orang ramai. Hitler, Stalin, Churchill, malah semua pemimpin kerajaan dari kiri, kanan, demokrat atau ditaktor, telah, sedang dan akan menggunakan ‘method’ ini.
‘Method’ pengolahan persetujuan moden ini bergerak rancak selari dengan perkembangan kemajuan media massa. Pengolahan persetujuan memerlukan media sebagai si pencanang dan tukang heboh. Kuasa daulah dalam usaha untuk mengolah pandangan dan persetujuan orang ramai, akan menggunakan media untuk menabur berita.
Bagi saya, kemuncak kejayaan ‘method’ ini ialah berjayanya Sir Winston Churchill membawa masuk Amerika ke dalam panggung Perang Dunia Ke-2. Kesebulatan suara rakyat Amerika telah diolah sesudah serangan ke atas Pelabuhan Pearl. Jepun yang dilihat sebagai musuh dan rakyat Amerika, telah bersedia untuk turut sama berperang. Tanpa serangan ke atas Pelabuhan Pearl ini, tidak mungkin Roosevelt dapat mengolah persetujuan rakyat Amerika.
Perancangan pembunuhan Kennedy
Tanda akhir di mana pengolahan cara ini tidak boleh lagi digunakan ialah pada 22 November 1963 dalam kes pembunuhan John F Kennedy. Method pengolahan persetujuan ramai ini hanya berjaya dilakukan apabila daulah memiliki hegemoni di atas media. Ertinya laporan media tidak lagi bersimpang siur. Berita yang ingin disebarkan berjalan selari dengan apa yang diingini oleh kuasa daulah. Ini tidak berlaku ketika pembunuhan JFK. Hegemoni alatan media ketika itu telah pecah. Ramai rakyat Amerika telah memiliki kamera 35mm dan cine kamera super8. Rakaman-rakaman gambar dari alatan-alatan ini hingga ke hari ini terus membocorkan bahawa ada perancangan khusus untuk membunuh JFK.
Hari ini, pengolahan persetujuan cara ini tidak boleh lagi digunakan. Hegemoni media telah lama pecah. Punca berita tidak hanya datang dari satu sumber. Kepelbagaian sumber menjadikan pengolahan tidak kompak dan bersimpang siur. Hari ini kuasa daulah tidak ada keupayaan untuk mengawal media seratus peratus. Kemunculan teknologi talian internet adalah talkin untuk pengolahan persetujuan cara ini. Semakin ramai orang memiliki kamera 35mm, kamera digital, kamera video, alat perakam dan telefon bimbit. Semua alatan ini adalah pemecah hegemoni daulah.
Surat-surat dan komen-komen dalam internet tentang kenaikan harga minyak dua hari lalu telah membuktikan bahawa pengolahan perrsetujuan yang dilakukan oleh Abdullah Badawi kelihatan kantoi. Perbincangan dalam internet di laman-laman rasmi hingga ke blog-blog, semuanya mensewelkan keupayaan fikrah dan kepimpinan Abdullah Badawi.
Di dalam hal pengolahan persetujuan bahan bakar minyak ini, saya memilki pandangan yang berbeza, bukan sahaja dengan dasar kerajaan malah saya juga memiliki pandangan yang jauh berbeza dari kenyataan-kenyataan rasmi parti-parti alternatif. Saya berpendapat, parti alternatif juga tidak memiliki pandangan yang tepat dalam agenda bahan bakar petrol. Hujah alternatif – membetulkan cara agihan subsidi, atau marah kerana harga minyak terlalu tinggi, atau menyoal kenapa harga minyak kita mahal walhal kita ada minyak, atau marah kepada penjual tanpa lesen atau mencadangkan diperkuatkan lagi pengawalan sempadan – bagi saya, semua hujah ini sama sewelnya dengan apa yang dilakukan oleh Abdullah Badawi.
Kalau inilah hujah dari parti Wan Azizah, parti Nik Aziz, parti Lim Kit Siang, saya yakin mereka juga tidak memiliki keupayaan fikrah untuk mengendalikan agenda minyak. Kerajaan siapa pun dan dari parti mana pun akan tewas bila berhadapan dengan bahan bakar minyak jika memiliki pandangan salah terhadap petrol. Hasilnya nanti para politikus ini akan terus berhujah berpusing-pusing dan berkelintau tanpa berani menghadapi kenyataan.
Hakikat yang wajib diterima oleh semua pihak ialah bahan bakar minyak dalam dunia ini telah habis. Umno ke, PKR ke, DAP ke, PAS ke yang memerintah – jika mereka tidak menerima hakikat bahawa bahan bakar minyak semakin kering dalam dunia ini – maka kita sebagai rakyat, akan terus dihadapkan dengan cara pengolahan persetujuan sama seperti yang telah dilakukan oleh Abdullah Badawi. Untuk saya sesiapa sahaja yang akan memerintah negara ini akan terpaksa menaikkan harga minyak. Ini bukan kerana mereka anti-rakyat atau pro-pemodal atau tidak bijak mentabir, tetapi hakiktnya minyak telah habis.
Prestasi Petronas ke Parlimen
Pengolahan persetujuan rakyat untuk menerima kenaikan harga minyak cara Abdullah Badawi hanya berjangka pendek. Ini samalah seperti memakan panadol untuk menahan kesakitan gigi. Gigi yang sakit masih wujud, hanya sakit tidak dirasakan untuk sementara waktu. Pentabiran gali lubang tutup lubang bukan cara pentabiran moden yang rapi teratur dan dapat membawa manaafat kepada orang ramai.
Cara pengolahan yang telah dilakukan oleh Abdullah Badawi akan lebih membawa mudarat daripada berkhasiat. Merancang sambil menyorok-nyorok dan kemudian mengeluarkan kenyataan dari pejabat tanpa berani berhadapan dengan rakyat, bukan cara menyelesai masaalah. Mungkin kali ini pengolahan cara ini berjaya tetapi awas, tahun hadapan, harga minyak akan naik lagi. Apakah akan dipentaskan satu lagi krisis kekurangan diesel. Atau kita membawa kapal perang menuju ke Thailand atau Singapaura seperti yang telah dilakukan oleh Indonesia.
Bagi saya, kita hanya ada satu pergolahan persetujuan yang dapat menyelesaikan agenda bahan bakar petrol. Pengolahan persetujuan yang saya cadangan ialah membuat dasar secara telus, terbuka dan demokratik. Agenda minyak wajib dibincang secara terbuka. Rakyat wajib disedarkan dengan hakikat bahawa tidak lama lagi minyak kita di Terangganu akan kering.
Rakyat wajib diberitahu berapa lama lagi kita boleh menjadi negara pengekport minyak. Bila masanya kita akan menjadi menjadi pengimport seratus peratus. Jika ini terjadi, apakah langkah-langkah kita.
Perjalanan syarikat minyak negara – Petronas - wajib dibuka untuk diketahui orang ramai. Semua wang masuk dan wang keluar Petronas wajib dibawa ke Parlimen. Berapa bilion pendapatan Petronas selama ini? Bagaimana wang ini telah dibelanjakan? Laporan tahunan kewangan Petronas wajib diketahui oleh rakyat kerana syarikat ini dimiliki kerajaan. Kerajaan itu adalah suara rakyat. Rakyat juga perlu mengetahui apa dia harta Petronas yang ada pada hari ini. Di mana lagi pelaburan Petronas. Semua ini wajib dilakukan dengan telus dan terbuka. Dengan pengolahan persetujuan yang telus, apabila harga minyak dinaikan, maka orang ramai akan menyedari kenapa langkah itu diambil.
Bagi saya, asas perbincangan yang wajib kita mulakan sekarang apabila berhadapan dengan bahan bakar minyak ialah menilai kembali gaya hidup kita yang berpaksikan petrol. Bahan bakar petrol murah tidak berkeupayaan lagi untuk menampung gaya hidup kita ini. Apa yang wajib kita lakukan ialah perubahan struktural dalam keseluruhan gaya hidup moden kita. Hidup moden yang dijana oleh bahan bakar petrol selama lebih dari seratus tahun ini telah sampai ke penghujungnya.
Ketelusan ini juga mewajibkan semua pihak terus berbincang secara demokratik dan terbuka untuk menerima hakikat bahawa bahan bakar minyak akan susut. Dengan ketelusan dan keterbukaan, kita tidak perlu berdolak dalih atau cuba bersembunyi tanpa bersuara. Bila berhadapan dengan bahan bakar minyak, kita tidak perlu menjadi tenggiling – bergolek menyorokkan kepala dan berharap masaalah akan selesai. Agenda bahan bakar minyak tidak selesai kerana ianya baru bermula. Dan harga minyak akan terus naik lagi.