SepangOnline

Thursday, May 19, 2005

Naib Ketua Angkatan Muda hanya dibenarkan berada di luar bangunan Kementerian

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR - Naib Ketua Angkatan Muda, Sharifah Shahida Kamruzaman bersama rakan-rakan exco serta penyokong-penyokong KeADILan yang telah membuat temujanji untuk bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil tidak dibenarkan memasuki bangunan Kementerian dan hanya dibenarkan menyampaikan nota peringatan mereka sempena Hari Ibu di pintu masuk sahaja.

Shahida ditemani exco-exco Angkatan Muda Pusat; Zarerah Hanim Md Zaki, Jasmine Ng, Badrulhisham Shaharin dan SD Johari Md Yasin.

Menteri yang tidak dapat menerima nota peringatan tersebut atas alasan sedang menghadiri mesyuarat.

Nota peringatan yang menyatakan suri rumah menjadi mangsa kezaliman kegagalan kerajaan kawal inflasi diterima oleh setiausaha politik kementerian berkenaan; Dr Abd Razak Hj Omar.

Menurut Abd Razak, pihak Kementerian tidak bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Angkatan Muda KeADILan kerana temujanji asal telah dipersetujui untuk menghantar nota peringatan kepada Menteri.

Namun, Razak sempat memberitahu Angkatan Muda supaya kenaikan harga barang yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini hanyalah sedikit dan tidak mahu KeADILan membesar-besarkannya.

Razak juga enggan diambil gambar majlis ringkas pemberian nota tersebut kerana laporan media sering mempolitikkan Kementeriannya dengan gambar yang dipaparkan.

Pada sidang media yang diadakan di hadapan pintu Kementerian, Shahida memberitahu, kaum ibu merupakan golongan yang paling banyak terjejas apabila kenaikan inflasi yang tidak terkawal di negara ini.

Melalui not atersebut, Angkatan Muda mendesak pihak Kementerian agar membuat satu kajian khas untuk mengatasi masalah itu.

“Kebimbangan kami adalah dengan kenaikan kos sara diri, taraf sosial keluarga yang semakin merosot dan akan turut menyumbang kepada kejadian jenayah dan masalah sosial di kalangan remaja,” kata Shahidah lagi.

Menurutnya lagi, bermula dengan kenaikan tol, harga petrl dan diesel, kenaikan tambang teksi dan bas hinggalah kenaikan harga ikan, sayur dan barang-barang runcit, Kerajaan tidak boleh menyalahkan peniaga menaikkan harga barang-barnag kerana mereka sebenarnya belajar dari Kerajaan sendiri iaitu tidak mahu menanggung beban dengan mengalihkan kos dan tanggungjawab pengguna sepenuhnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home