SepangOnline

Tuesday, May 31, 2005

Saya akan kembali dalam perjuangan reformasi - Anwar

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Hrkh) - Bertempat di Hotel Istana Kuala Lumpur, mantan Timbalan perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim melafazkan bahawa beliau akan kembali aktif dalam agenda reformasi di Malaysia tahun hadapan.

"Walaupun ada pihak yang menyatakan bahawa saya seperti tidak ambil tahu soal situasi dalam negara, tetapi bagi saya, saya seperti kata Amien Rais, tetap akan pulang untuk membawa agenda reformasi,"kata beliau.
Anwar yang menjadi pemidato utama bagi 'Program Makan Malam An Evening With Anwar' anjuran Parti KeADILan Rakyat (PKR) berkata, setakat ini beliau banyak menumpukan kepada jemputan di luar negara.

Katanya, antaranya termasuklah menjadi pensyarah jemputan di John Hopkins Universiti dan menghadiri pelbagai seminar di pelbagai negara termasuk di Asia dan eropah serta Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Program An Evening With Anwar, di Hotel Istana malam tadi.

Dalam program yang dipengerusikan oleh Dato' Yeop Adlan Rose itu, Anwar dan dua tokoh politik Asean, Dr Amien Rais dari Indonesia dan Kraisak Choonhaven dijemput bagi berpidato dalam forum 'Political Reform in Southest Asia'.

Turut hadir sebagai jemputan khas program itu ialah, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali; Setiausaha Agong PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; AJK PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli; Pengarah Urusan Harakah, Dato' Hishamuddin Yahaya; bekas Timbalan menteri besar Selangor, Dato'Zainal Abidin dan wakil-wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Meneruskan pidato Anwar berkata, komitmennya terhadap usaha menegakkan keadilan di negara ini tetap akan diutamakan meskipun sibuk dengan jemputan di luar negara.

Kata Anwar agenda perubahan di negara ini tetap akan dibawa bersama parti-parti pembangkang seperti PAS, DAP dan parti-parti progresif lain.

Anwar sendiri berjanji bahawa komitmen penuh akan diberi bagi perjuangan menegakkan keadilan setidak-tidaknya pada tahun hadapan beliau akan aktif dengan perjuangan di dalam negara.

Sementara itu terdahulu dua pemidato, Dr Amien dan Kratisak masing-masing menceritakan senario politik yang berlaku di negara masing-masing.

Kedua-duanya menceritakan perjuangan menegakkan demokrasi di negara mereka apabila satu ketika dahulu tidak mengamalkan pemerintahan berdasarkan demokrasi.

Di Indnonesia kata Amien, bekas Presiden Indonesia Soeharto terpaksa diberi tekanan dengan pelbagai cara supaya bekas presiden itu meletak jawatn.

Akhirnya kata beliau dengan gelombang kesedaran rakyat, pada tahun 1998 Soeharto meletak jawatan setelah 22 tahun mmerintah bagai raja di Indonesia dengan berbuat sesuka hatinya.

Hari ini katanya, sistem demokrasi di Indonesia lebih baik bahkan baik dari apa yang diamal di Malaysia mengikut pandangannya. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home