SepangOnline

Tuesday, May 31, 2005

70 Peratus saham bernilai RM500 juta - Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed
zulkiflimohamed@gmail.com

BALIK PULAU - 29 Mei: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memiliki 70 peratus saham dalam Stesyen Penyiaran, TV3 dan New Straits Times (NST).

“Saham itu bernilai RM500 juta, saya ada dokumen-dokumennya,” jelas Anwar dalam ceramahnya di Kampung Sungai Rusa, malam tadi.

Anwar dalam rancangan “Hard Talk” terbitan stesyen TV BBC, 11 Mei lepas, mendedahkan bekas Perdana Menteri itu memegang 70 peratus saham dalam syarikat tersebut.

Namun, dalam laporan akhbar kemudiannya, Mahathir menafikan dengan mendakwa saham tersebut dipegangnya bagi pihak Umno. Katanya, selain beliau, pemegang amanah lain ialah Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Umno.

“Itu semua fitnah, saya tidak membeli sebarang saham. Saya hanya ada 200 saham 'Malaysian Tobacco' yang dibeli sebelum saya menjadi Menteri. Itu sahaja saham yang saya ada, selain ASN dan ASB,” jelas Mahathir ketika menafikan tuduhan Anwar.



“Dia kata dia pegang saham tu untuk Umno, tapi mengapa saya tidak tahu, ahli-ahli Umno pun tidak tahu?” Tanya Anwar, yang juga bekas Timbalan Presiden Umno di hadapan sekitar lima ribu hadirin pada malam itu.

Sebelum itu, ketika berceramah di Surau Pangsapuri Idaman, Taman Pauh, Anwar berkata, rakyat terpaksa menunggu selama 7 tahun untuk mengetahui penyelewengan itu, sebelum ia terbongkar.

“Kamu boleh menipu sesetengah orang pada sesetengah masa, kamu juga boleh menipu semua orang pada sesuatu masa, tetapi kamu tidak boleh menipu semua orang pada semua masa,” kata Anwar ketika merujuk kes pemilikan saham tersebut.

Di Sungai Rusa, Anwar turut melahirkan kebimbangan tentang usaha kerajaan hendak menjual rizab emas negara untuk membiayai pembelian senjata.

“Saya bimbang, yang duk pulun sangat nak beli senjata, hendak berperang dengan siapa?” tanyanya.

Gurau sendanya pada malam itu, menjadikan hadirin tidak kering gusi.

Selepas berceramah, beliau bersalaman dan dipeluk cium oleh hadirin yang ingin melepaskan rindu mereka selama ini. Anwar dalam rangka lawatan separuh hari ke Pulau Pinang.

Sebelum itu, sebelah petang beliau mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Cina di Cherok Tokkun, sebelum menyertai majlis kesyukuran atas pembebasannya, yang dianjurkan masyarakat Cina di Bukit Mertajam.

Anwar kemudiannya berjemaah Maghrib di Masjid Tengah Jalan Berapit, dan menunaikan solat Isyak di Surau Idaman, Taman Pauh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home