SepangOnline

Sunday, May 08, 2005

EPU Gagal Bertugas, 215 Projek Tergendala

Parti Keadilan Rakyat berpendirian bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) harus bertanggungjawab ke atas 215 projek kerajaan yang bermasalah. EPU yang berkuasa mutlak dan beroperasi tanpa ketelusan telah membazirkan berbilion-bilion wang rakyat dalam banyak projek yang tidak menguntungkan negara dan rakyat jelata. Jika ini diteruskan ia memang merupakan bukan sahaja beban kepada negara bahkan malapetaka kepada rakyat.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, setakat akhir tahun lepas, terdapat 215 projek kerajaan yang bermasalah atau terbengkalai. Antaranya, 10 projek besar yang bernilai RM 4.6 bilion. Semua projek tersebut adalah diluluskan oleh EPU sebagai agensi pusat dan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana cuma melaksanakan projek-projek itu.

EPU bagaikan Kabinet dalam Kabinet di mana kuasa ditumpukan untuk membuat keputusan, termasuk rekaan projek dan pemilihan kontraktor, selalunya tanpa tender terbuka. Kerajaan harus mengkaji semula dasar ini agar EPU beroperasi secara telus. Dengan ini akauntabiliti EPU baru dapat dijamin.

Peranan istimewa yang dimain dan kuasa yang dinikmati oleh EPU mesti dipantau dan dikawal dengan mekanisme yang sesuai supaya penyelewengan tidak lagi berulang. Memandangkan ia merupakan satu agensi di bawah JPM, kegagalan dan kesilapan EPU patut ditanggung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggalakkan para menteri untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada timbalan menteri dan setiausaha parlimen. Bagi Keadilan, selain daripada mengurangkan penumpuan kuasa, Jemaah Menteri harus mengamalkan budaya bertanggungjawab, termasuk melepaskan jawatan jika perlu. EPU telah berulang kali membazirkan wang rakyat dengan boros. Apakah kita akan menyaksikan perletakan jawatan oleh menteri kita yang beretika? Tian Chua, Ketua Penerangan Keadilan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home