SepangOnline

Sunday, May 08, 2005

Berhenti Menganiayai Rakyat, Gesa Pemimpin Pulau Pinang & Kedah

PULAU PINANG, 7 Mei - “Kerajaan menghadapi defisit yang tinggi. Itulah sebabnya kerajaan ingin mengimbangkan kerugian dengan menaikkan harga petrol dan diesel.”


Jangan menyusahkan rakyat jelata - baris depan dari kiri : Jason, Aminah, Lim dan Chin. baris belakang dari kiri - Teh dan Mohd Rofi (Gambar ehsan Kwongwah Yit Poh)

Begitulah tuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Penerangan Negeri Pulau Pinang, Encik Jason Ong. Pemimpin lain yang menghadiri sidang media itu termasuk Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Negeri Pulau Pinang, Encik Lim Eng Nam, Ketua Wanita Negeri, Puan Aminah Abdullah, Ketua Penerangan Bahagian Bukit Bendera, Encik K. S. Chin, Timbalan Ketua Bahagian Tanjung, Encik Y. S. Teh dan Timbalan Ketua Bahagian Bukit Bendera, Encik Mohamad Rofi Osman.

Encik Jason yang merupakan seorang peguam juga mengingatkan para hadirin bahawa kenaikan harga bahan api adalah satu beban yang amat berat dalam jangka masa panjang terutamanya bagi golongan sederhana dan mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau juga bertanya, jika kerugian tersebut timbul akibat kegagalan para pegawai dalam melaksanakan tugas, bukankah lebih baik jika kerugian itu ditanggung oleh mereka yang bertanggungjawab? Kenapa pula ia dipindah menjadi beban rakyat jelata, manakala menteri dan ahli parlimen terus menikmati kenaikan gaji sebanyak 10% ?

Encik Lim yang merupakan Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan berkata, sebagai pengeluar petroleum yang sepatutnya untung besar akibat kenaikan harga petroleum sedunia, pendapatan Malaysia telahpun berlipat ganda. Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal sama sekali jika harga minyak dalam negara mesti dinaikkan ketika ini.

Beliau mengulas, harga petrol di Malaysia telah dinaikkan daripada RM 1.37 seliter kepada RM 1.42 seliter apabila harga minyak mentah mencatat AS$ 55.02 setong. Walau bagaimanapun, harga petrol di Malaysia terus naik sebanyak 10 sen lagi apabila harga minyak mentah telah jatuh kembali ke tahap lebih kurang AS$ 50 setong, apakah logiknya?

Tambah beliau, menurut maklumat bulan Jun tahun lepas, keluaran Petronas adalah 745 ribu tong sehari. Memandangkan harga minyak mentah telah naik daripada Dolar AS 25 setong pada tahun 2003 ke tahap sekarang iaitu AS$ 50 setong, Petronas telahpun mendapat keuntungan berlebihan sebanyak RM 2.125 bilion sebulan. Apakah subsidi sebanyak RM 8.9 bilion terlalu banyak jika dibandingkan dengan keuntungan yang diraih Petronas?

Sementara itu, di Sungai Petani, Ketua Biro Perhubungan Masyarakat Kedah dan Perlis, Encik S. B. Ong, membidas kerajaan kerana asyik menaikkan harga petrol dan diesel.

Sebagai negara pengeluar petroleum yang telahpun meraih keuntungan berlebihan sejak kenaikan harga petroleum sedunia yang melanda, secara logiknya Malaysia mampu menyediakan petrol dan diesel pada harga yang lebih murah untuk rakyat jelata. Sebaliknya, kerajaan telah berulang kali meningkatkan harga bahan api sehingga beban kos sara hidup rakyat semakin berat.

Sistem Kuota yang dilaksanakan kerajaan telah mencetuskan kemelut diesel di seluruh pelusuk negara. Di manakah rasionalnya harga minyak tiba-tiba dinaikkan sekarang dengan beralaskan kemelut diesel, tanpa mengkaji semula sebab utama yang menyebabkan krisis diesel iaitu Sistem Kuota?

Encik Ong juga amat tidak berpuas hati tentang kenaikan harga minyak yang turut bertujuan untuk memindahkan tumpuan rakyat yang sebelum ini berfokus pada isu kenaikan gaji menteri dan ahli parlimen sehingga rakyat jelata yang tidak berdosa telah dijadikan mangsa.

Beliau juga khuatir tentang kemungkinan harga petrol dan diesel dinaikkan lagi dalam jangka masa terdekat. Demi mendamaikan rakyat, Encik Ong mencabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal agar berjanji harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi dalam beberapa tahun yang akan datang.

Ahli-ahli Keadilan Sungai Petani telah mengadakan tunjuk perasaan secara damai di depan sebuah stesen minyak di Batu Dua demi meningkatkan kesedaran rakyat.

Ketua Penerangan Bahagian Sungai Petani, Ir. Zamri Yusuf pula ingin menyingkapkan apakah motif sebenar kerajaan menaikkan harga minyak secara tiba-tiba.

Memandangkan kerajaan berulang kali mendakwa bahawa kerajaan tidak mampu mensubsidi harga minyak lagi, ia patut ditangani dengan kaedah yang lebih memanfaatkan dan bukan menyusahkan rakyat lagi.

Kadar kenaikan harga minyak kali ini dikira yang paling ketara dalam sejarah. Jika rakyat tidak bersatu padu dalam menunjukkan perasaan amat tidak puas hati, mungkin kerajaan tidak akan memandang berat bantahan rakyat sehingga harga minyak dinaikkan sesuka hati lagi. Oleh yang demikian, beliau menyeru rakyat beramai-ramai mengemukakan memorandum bantahan, untuk menyampaikan pandangan rakyat jelata kepada pucuk pimpinan negara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home