SepangOnline

Monday, May 23, 2005

BN Cuba Alihkan Tumpuan dengan Dakwaan Militan Islam

Kenyataan Media Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)

Menurut Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, Kementeriannya telah menerima satu laporan tentang sebuah kumpulan militan Islam yang baru, namun belum tiba masanya bagi pihaknya mengumumkan identiti kumpulan itu. Parti Keadilan Rakyat berpendapat bahawa ia lebih mirip satu percubaan untuk mengalihkan tumpuan masyarakat dari terbongkarnya skandal rasuah dalam pasukan polis.

Setelah terdedahnya banyak skandal mengenai rasuah dan penyelewengan yang menghairankan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, masyarakat dikejutkan lagi dengan pegawai polis yang mempunyai harta RM 34 juta. Pendedahan sebegini sungguh memalukan pihak polis dan juga pemerintah.

Oleh sebab gegaran kes pegawai RM 34 juta yang meluas, pihak atasan pasukan polis termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar sibuk menafikan pengetahuan terhadapnya.Ini menunjukkan bahawa pihak atasan pasukan polis telah terdesak dan berasa kecewa setelah terdedahnya kes sedemikian kepada masyarakat umum.

Pada masa yang sama, rakyat turut memperhatikan bagaimanakah susulan daripada skandal terbongkar itu akan berkembang, dan menjadikan ia sebagai ukuran ke atas komitmen kerajaan dalam menangani rasuah. Di bawah perhatian dan tekanan daripada bukan sahaja masyarakat umum malah pihak polis, Barisan Nasional tidak berupaya langsung untuk mengatasinya, selain daripada melontarkan dakwaan bahawa terdapat kumpulan militan di dalam negara, demi mengalihkan perhatian.

Pihak polis telahpun hilang kesabaran memandangkan tersebarnya skandal demi skandal. Jika pemerintah terus menutupkan kebenaran, ia seumpama menghina Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia dan usahanya selama 15 bulan, dan menganggap laporannya sebagai tisu tandas sahaja.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home