SepangOnline

Saturday, May 28, 2005

Anwar Lancar Akhbar Suara Keadilan di Sungai Petani-30 Mei

Oleh Zulkifli Mohamed
zulkiflimohamed@gmail.com

KULIM: Akhbar Suara Keadilan (SK) wajah baru milik Parti Keadilan Rakyat akan dilancarkan secara rasmi oleh Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 30 Mei di Dewan Taman Peruda, Sungai Petani, sempena Program Sepetang Bersama Datuk Seri Anwar.

Program anjuran Keadilan Negeri Kedah dijadual bermula jam 5 petang.

Suara Keadilan adalah gabungan akhbar Seruan Keadilan milik Parti Keadilan Nasional dan Suara PRM milik Parti Rakyat Malaysia.

“Tidak wajarlah selepas kedua-dua parti bergabung membentuk Parti Keadilan Rakyat, akhbar belum bergabung,” kata Ketua Penerangan, Tian Chua, yang ditemui di Mahkamah Majestrit Kulim baru-baru ini.

“Kita telah melantik Zulkifli Anuar (Katunis Zunar) sebagai Ketua Editor bersama beberapa wartawan tetap,” jelas Tian.

Menariknya, kata Tian, SK telah memiliki permit penerbitan. Masalah keengganan pengedar akhbar untuk mengedar SK selama ini akan dapat diselesaikan. Vendor-vendor profesional telah dilantik untuk tujuan itu.

Menurutnya, SK diterbitkan dua minggu sekali, dengan 32 muka surat berbahasa Melayu dan Inggeris dan tambahan muka surat dalam bahasa Cina.

“Kandungannya mengutamakan aktiviti-aktiviti parti, analisis berita dan berita-berita dunia. Imejnya kini lebih ’solid’ dan lebih efektif,” jelasnya.

“Kita berharap dengan imej dan pengurusan lebih tersusun dan edaran lebih kerap, SK akan menjadi jambatan maklumat untuk mengeratkan akar umbi dengan parti. Saya sangat-sangat berharap, ahli-ahli akar umbi akan memberikan sokongan kepada SK.”

"Pada hari pelancaran, SK akan dijual dengan potongan harga istimewa,” jelas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home