SepangOnline

Sunday, May 08, 2005

Kenaikan harga minyak - bukti kegagalan kerajaan: Ezam

BUKIT MERTAJAM - 8 Mei: “Apabila ada masalah tol, mereka naikkan kadar tol, hadapi masalah air mereka naikkan tarif air, ada masalah minyak mereka naikkan harga minyak. Jika itu caranya mereka menyelesaikan masalah, kerajaan telah hilang fungsinya,” demikian kata Ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat Ezam Mohd Noor yang ditemui Malaysia Today selepas menyampaikan ceramah “Peranan Serta Halatuju Parti Keadilan Rakyat” kepada lebih 100 pentadbir cawangan PKR Permatang Pauh di sebuah hotel di sini,Ahad. Menurut Ezam, kenaikan harga minyak membuktikan kegagalan kerajaan berfungsi dengan baik dan kreatif untuk menyelesaikan masalah tanpa membebankan rakyat.

“Kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah tanpa membebankan rakyat, mereka perlu lebih kreatif,” katanya. “Trend” kerajaan sejak akhir-akhir ini ialah membebankan rakyat dengan menaikkan harga barangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Itu merupakan kegagalan kerajaan untuk berfungsi dengan baik,” sambungnya.

Sepatutnya, jelas beliau kerajaan perlu mengkaji dan bertindak dengan lebih kreatif untuk mendapatkan pulangan menampung subsidi dan tidak semestinya menaikkan harga minyak dengan membebankan rakyat.“Kita memiliki banyak produk berasaskan minyak. Kalau betul cara pemasarannya, kita akan memperolehi pendapatan yang lebih untuk negara. Dengan syarat kita perlu lebih kreatif dan agresif untuk mencari pasaran dan produk baru untuk negara,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu mendapatkan sumber dari luar, dan bukannya membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak. Sementara, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Zahir Hassan pula menyifatkan kenaikan harga minyak pasti akan disusuli kenaikan barangan lain. Beliau memberikan contoh, “Sebelum ini harga diesel dinaikkan 5 sen seliter, kemudiannya diikuti kenaikan 10 peratus harga pengangkutan 3 bulan kemudian. Sekarang, diesel telah dinaikkan 20 sen seliter, jika diambilkira pengiraan mudah, dijangka harga pengangkutan akan turut dinaikkan sebanyak 40 peratus. Kenaikan harga pengangkutan akan mendorong kenaikan semua barangan pengguna selepas ini,” jelasnya.

Zahir yang turut berucap dalam program Kursus Pengurusan dan Pemantapan Organisasi anjuran Biro Latihan PKR Permatang Pauh, menyifatkan fenomena ini disebabkan kerajaan sedang menghadapi masalah kewangan yang tenat. Menurutnya lagi, dua tahun lepas Menteri Pertahanan melalui kementeriannya telah membelanjakan USD 900 juta untuk membeli 18 buah jet pejuang Sukhoi SU 30.
Menurut beliau laporan RMK9 menyebut, pembayaran pembelian jet pejuang ini akan dibuat dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9). “Maknanya, perbelanjaan untuk membeli pesawat itu telah dibuat sebelum Parlimen meluluskan RMK9,” katanya.

Jelasnya lagi, kemungkinan kenaikan harga minyak yang dibebankan kepada rakyat untuk menimbus “lubang-lubang hutang” yang kerajaan gali sebelum ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home