SepangOnline

Thursday, August 31, 2006

Perutusan Kemerdekaan Presiden Print E-mail

Datin Seri Dr Wan AzizahSempena Ulang Tahun ke-49 Kemerdekaan 2006
Oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Wan Azizah Wan Ismail

Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera dan Salam Kemerdekaan,

Alhamdulillah, kita rakyat Malaysia di dalam mahupun di luar negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara pada 31hb Ogos ini. Dalam menyingkap tabir perjuangan kemerdekaan, kita tidak boleh menafikan fakta sejarah dan ianya perlu diselidiki secara teliti serta penuh tanggungjawab. Justeru, kita tidak boleh memandang sepi apatah lagi melenyapkan nama-nama besar seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestaman, Ishak Haji Muhammad serta beberapa pemimpin lain yang turut menyumbang kepada proses kemerdekaan negara. Sesungguhnya jasa mereka memerdekakan Malaysia adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya.

Sambutan tahun kemerdekaan pada tahun ini sangat bermakna kerana hakikatnya sudah hampir setengah abad kita bebas dari penjajahan Barat. Tanggungjawab mengisi makna sebenar kemerdekaan terletak pada generasi selepas merdeka dan seharusnya dinilai dari skop penghayatan yang lebih luas. Hari ini kitalah anak cucu dan pewaris sah kepada hak bernegara. Oleh itu, sewajarnya setiap di antara kita harus berbangga menjadi "Anak Malaysia" yang benar-benar merdeka serta kasih dan sayang terhadap tanah tumpah darah kita.

Kemerdekaan tidak harus didefinasikan sebagai bebas dari cengkaman penjajah semata-mata. Kita seharusnya merdeka dari setiap aspek kehidupan ¡V politik, sosioekonomi, jati diri dan moral. Kita memahami bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk mengelak dari berbagai cabaran politik, ekonomi mahupun jati diri bangsa dalam usaha untuk memacu pengisian kemerdekaan.

Namun keADILan bersedia mengharungi perit getir dalam membentuk lanskap politik baru berteraskan kepada prinsip keadilan, hak dan kebebasan. KeADILan juga akan berusaha membina nilai moral dan akhlak yang luhur bagi membentuk sistem pemerintahan yang akauntabal, telus dan efektif. Lebih mencabar adalah usaha untuk melahirkan individu-bangsa yang matang berpolitik dan berfikiran kritis.

Dalam aspek ekonomi pula, negara merdeka harus mampu menyediakan prasarana ekonomi agar kekayaan negara dapat dinikmati dan dikongsi secara adil. Malangnya kerajaan hari ini ternyata gagal apabila kekayaan negara hanya dinikmati oleh segelintir pihak yang berkait rapat dengan pemerintah. Tatkala rakyat diminta untuk terus "berkorban", terus berpegang kepada semangat patriotisme dan sayangkan negara, para pemimpin dan elit politik terus mengamalkan rasuah, penyelewengan kuasa dan saling bercakaran kerana berebut harta kekayaan negara. Lantaran itu, keADILan sanggup menyambut cabaran ekonomi dengan memperbetulkan kepincangan dalam pemerintahan hari ini dan memastikan hasil kekayaan negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara adil dan saksama.

Kemerdekaan juga sering kali dihubungkaitkan dengan jati diri bangsa sesebuah negara. Jati diri adalah satu komponen penting dalam membentuk indentiti diri. Tanpa jati diri yang kukuh, kita bakal berhadapan dengan tsunami globalisasi yang boleh merobah anak-bangsa kita. Justeru, program-program yang boleh menyerlahkan identiti bangsa perlu dikembang-luaskan. KeADILan menggesa agar aktiviti-aktiviti budaya bangsa tempatan serta warisan murni masyarakat diperturun, diperkaya dan diperkembangkan. Hatta, Bahasa Malaysia perlu dikembalikan martabatnya di samping mengembangkan penggunaan bahasa ibunda setiap kaum di dalam negara ini.

Adalah menjadi prinsip KeADILan untuk membina sebuah kerajaan yang bergerak seiring bersama rakyat dalam satu landasan penuh tolak ansur, betul, jujur dalam menguruskan tanggungjawab demi mempertahankan hak dan maruah bangsa dan negara. Melalui prinsip tersebut KeADILan membuka pintu kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama dengan perjuangan kami dalam membentuk negara Malaysia yang merdeka, adil dan saksama tanpa batasan kaum dan agama.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!

Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh
29 Ogos 2006

Tuesday, August 29, 2006

Keadilan tubuh 5 cawangan baru di Kepala Batas

Oleh Zulkifli Mohamed

KEPALA BATAS: Keadilan Bahagian Kepala Batas berjaya melebarkan sayapnya dengan penubuhan lima cawangan baru, sementara Umno kehilangan sebuah cawangan di Kampung Lembah Raja, berikutan ahli-ahlinya bertindak meninggalkan parti itu.

Cawangan lain ialah Kubang Menerong, Paya Keladi, Taman Abdullah Fahim dan Permatang Kuang dengan penyertaan ahli baru seramai 250 orang.

Bekas Naib Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Lembah Raja, Bakhari Bidin, 43 tahun, mengetuai 60 ahli Umno kampung berkenaan menyerahkan borang menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Noor, di sini, pada 25 Ogos lalu.

Bakhari yang merupakan pengasas Umno cawangan berkenaan berkata dengan penyertaan semua Ahli Jawatankuasa Umno ke dalam Keadilan, bererti Umno cawangan itu telah berkubur.

“Kami semua mahu tukar kereta baru kerana kereta Umno telah buruk dan rosak teruk,” jelasnya ketika ditanya mengapa memilih wadah Keadilan.

Tambahan pula katanya, kehidupan penduduk di kampung berkenaan yang majoritinya pesawah semakin terhimpit ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Tetapi kami lihat wakil rakyat yang kami pilih dan ahli keluarga mereka hidup semakin senang-lenang,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Hizam Abdul Shakor, 22 tahun dari Kubang Menerong pula berkata beliau memilih wadah Keadilan setelah mendapati program Umno banyak merosakkan minda golongan muda.

“Anak-anak muda hidup tanpa prinsip perjuangan, lebih mementingkan hiburan yang disogok saban hari oleh Umno,” jelasnya.

Manakala, Ketua Bahagian Keadilan Kepala Batas Zaini Awang menganggap kesedaran di kalangan rakyat semakin meningkat.

“Rakyat semakin sedar kepincangan Umno dan kebobrokan pemimpinnya. Mereka telah hilang kepercayaan kepada Umno dan mahukan perubahan. Ini satu kejayaan buat Keadilan kerana ini kawasan Presiden Umno,” katanya.

Usah nafi jasa pejuang kemerdekaan - Wan Azizah

Oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) - Dalam menyambut hari kemerdekaan, masyarakat Malaysia tidak akan dapat lari dari memperingati jasa-jasa pejuang terdahulu yang bermati-matian membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa mengulas hal tersebut berkata, dalam suasana menyambut Kemerdekaan Malaysia yang ke-49 semua pihak disaran agar tidak melupakan jasa tokoh-tokoh terdahulu yang bersusah payah dan berkorban demi sebuah kemerdekaan.

Menurut Dr Wan Azizah, dalam menyingkap tabir perjuangan kemerdekaan dengan fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan rakyat perlu didedahkan dengan nama-nama pejuang yang turut menyumbang kepada kemerdekaan negara.

"Kita tidak boleh melenyapkan nama besar seperti Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad kerana jasa mereka tidak ternilai harganya," katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan yang disampaikan kepada Harakahdaily hari ini.

Bukan hanya bebas dari penjajah

Selain itu, katanya sambutan kemerdekaan pada tahun ini sangat bermakna lebih-lebih lagi sambutan pada tahun ini memasuki fasa setengah abad negara bebas dari penjajahan Barat.

Sehubungan itu kata beliau, tanggungjawab mengisi makna kemerdekaan terletak pada generasi selepas merdeka dan seharusnya dinilai dari skop penghayatan yang lebih luas.

"Kemerdekaan tidak harus didefinasikan sebagai bebas dari cengkaman penjajah semata-mata, malah seharusnya merdeka dari setiap aspek kehidupan seperti politik, sosioekonomi, jati diri dan moral," katanya.

Merdeka..merdeka...kroni terus kaya

Negara yang merdeka harus mampu menyediakan prasarana ekonomi agar kekayaan negara dapat dinikmati dan dikongsi secara adil, katanya.

Malangnya kerajaan hari ini ternyata gagal apabila kekayaan negara hanya dinikmati oleh segelintir pihak yang berkait rapat dengan pemerintah, ujarnya.

"Rakyat diminta terus berkorban, terus berpegang kepada semangat patriotisme dan sayangkan negara sedangkan para pemimpin dan dan elit politik terus mengamalkan rasuah, penyelewengan kuasa dan saling bercakaran berebut harta kekayaan negara," kata

Atas keprihatinan itu KeADILan akan berusaha membina nilai moral dan akhlak yang baik bagi membentuk pemerintahan yang akauntabal, telus dan efektif selain melahirkan bangsa yang matang dan berfikiran kritis.

Sehubungan itu Dr Wan Azizah menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama dengan perjuangan KeADILan untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, adil dan saksama tanpa batasan kaum dan agama./wann

Friday, August 25, 2006

Anwar mahu pemantau antarabangsa awasi pilihanraya

Oleh Muda Mohd Nor (Malaysiakini)

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi hasrat untuk membawa pasukan pemantau antarabangsa termasuk dari negara Islam bagi mengawasi perjalanan pilihanraya di negara ini. Beliau yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, ini kerana pilihanraya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak adil dan penuh dengan pelbagai penyelewengan.

 “Saya sangat komited dalam hal ini. Saya dan teman-teman dari PKR, DAP, PAS dan badan bukan kerajaan (NGO) memandang serius amalan penipuan dalam pilihanraya.

“Ada yang mengundi dua kali, senarai nama hilang, dua nama, pengundi hantu dan sebagainya.Ini yang berlaku dalam pilihanraya di bawah pengendalian SPR.

“Cara yang paling baik ialah dengan membawa pemantau pilihanraya dari masyarakat antarabangsa dan pemerhati dari negara Islam,” katanya dalam sidang media di rumahnya di ibu negara hari ini.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Ketua Penerangan, Tian Chua.

Beliau berkata, isu pilihanraya akan dibentang dan dibincangkan secara mendalam dalam Kongres Nasional PKR di Pulau Pinang minggu depan.

Katanya, bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan yang mencemari intergriti pilihanraya di negara ini akan dibentangkan di kongres tersebut.

Katanya, perjuangan asas PKR ialah memperbaharui demokrasi merangkumi badan kehakiman yang bebas, media yang terbuka, pemuliharaan hak asasi manusia dan masyarakat madani yang kukuh.

Bebas dan adil

 “Tanpa pilihanraya yang bebas dan adil, demokrasi tidak akan berfungsi Hanya kerajaan yang lemah akan campur tangan di dalam pilihanraya untuk meneruskan pemerintahan mereka,” katanya .

Anwar berkata, senarai pengundi yang dikeluarkan oleh SPR pada tahun 2004 menunjukkan begitu banyak penipuan termasuk pertindihan alamat dan orang yang tidak dikenali mengundi di satu-satu kawasan.

“Ini tidak termasuk undi pos yang dipangkah sendiri oleh pegawai SPR,” katanya sambil menambah SPR perlu menjadi pengendali pilihanraya yang adil dan bukannya berpihak kepada parti politik.

Beliau berkata, kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa pilihanraya berjalan secara adil adalah satu gimik politik dan hanya layak dikeluarkan oleh pemimpin cawangan Umno.

Anwar berkata, pilihanraya di India, Turki dan Indonesia dijalankan dengan lebih adil kerana ia dipantau oleh pemerhati antarabangsa.

“SPR tidak perlu takut dengan kehadiran pemantau antarabangsa jika mereka mendakwa pilihanraya di negara adil dijalankan dengan adil,” katanya lagi.

Anwar: Dr Mahathir halang dakwa Rafidah

BALING: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir telah menghalang Peguam Negara untuk mendakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Rafidah Aziz, meskipun kertas pendakwaan berkaitan rasuah terhadap menteri berkenaan telah disiapkan.

Menurut Anwar, selepas gagal mendapat persetujuan Dr Mahathir, pegawai di pejabat Peguam Negara ketika itu telah menemui beliau bagi memujuk Dr Mahathir meneruskan tindakan undang-undang terhadap Rafidah dengan membawa kertas pendakwaan dan kertas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

“Apabila saya menemuinya, Dr Mahathir berkata: Anwar…depa ni (Peguam Negara dan BPR) tidak tahu politik, tutup cerita.”

“Mahathir tutup cerita, Abdullah pun tutup cerita. Inilah masalahnya. Tapi apa maruah kita ….apa kedudukan pimpinan negara sekarang?”

Anwar berkata demikian ketika berceramah bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Madrasah Islahiah, Memali, Jumaat lalu yang dihadiri lebih 15 ribu orang.

Menurut Anwar berdasarkan sistem pentadbiran sekarang, sebarang pendakwaan yang melibatkan seseorang menteri dan Ketua Menteri perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri terlebih dahulu.

Justeru, beliau kesal dengan tindakan Abdullah mengekalkan Rafidah dalam kabinetnya, meskipun Abdullah bertekad untuk membanteras rasuah dalam kerajaan.

“Saya tidak percaya dia (Abdullah) tidak melihat kertas pendakwaan (Rafidah), mustahil seorang Perdana Menteri tidak melihat kertas pendakwaan,” katanya.

Dalam sidang media di Alor Setar, Rabu, Dr Mahathir menafikan beliau pernah "menyelamatkan" Rafidah daripada disiasat oleh BPR satu ketika dulu, malah mendakwa beliau tidak mengetahui tindakan Rafidah memberi begitu banyak AP (permit Import) kepada dua individu semasa pentadbirannya.

Terdahulu, dalam ceramahnya Dr Mahathir turut mempersoalkan Abdullah yang mengekalkan Rafidah dalam kabinetnya.

Untuk rujukan - Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor pernah didakwa di mahkamah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan kepada umum kertas pendakwaan Rafidah yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwaraya, Abdul Ghani Patail bertarikh 14 Mac 1995.

Belanjawan 2007: Abdullah tidak mampu tingkat ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak percaya Belanjawan 2007 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, 1 September ini mampu meningkatkan ekonomi negara.

"Mungkin ada perkara baru dalam belanjawan nanti tetapi saya tidak menjangka ada sesuatu yang berkesan untuk memulihkan ekonomi negara," katanya semasa ditemui selepas sidang media pagi tadi di kediaman rasmi beliau di Bukit Damansara.

Apa yang menjadi masalahnya, Anwar berkata, Abdullah tidak bersedia untuk berganjak ke kerangka pemikiran baru untuk memulihkan ekonomi ini mungkin disebabkan Abdullah terlalu lama dalam kerajaan.

Tegasnya yang juga, dalam dasar RMK-9 Abdullah tidak berganjak membawa Malaysia untuk bersaing dengan negara-negara membangun lain seperti India yang pernah dilabelkan sebagai negara mundur.

Bahkan katanya, Malaysia juga kalah dalam pelaburan, pasaran saham begitu juga ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat berbanding Banglore dan Chennai di India.

"Kita cakap berapi-api tentang RMK-9 tetapi tidak ada dasar yang konkrit, kalau RMK-9 macam itu, Belanjawan 2007 nanti saya tidak fikir akan ada banyak kesan, harga barang, minyak akan naik dan gula tetap tidak akan cukup," katanya.

Katanya yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), apa yang akan berlaku itu menunjukkan pemimpin kerajaan tidak sewajarnya hanya pandai berfikir sahaja tetapi perlu ada langkah yang berkesan menjaga ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kelemahan utama demokrasi dalam negara ini adalah pilihan raya yang tidak bebas dan adil.

Beliau akan mendedahkan bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan mencemari integriti pilihan raya Malaysia dalam Konres Nasional KeADILan pada 1 hingga 3 September ini.

"Tanpa pilihan raya yang bebas dan adil, demokrasi tidak akan berfungsi, hanya kerajaan yang lemah akan campur tangan di dalam pilihan raya untuk meneruskan pemerintahan mereka," katanya.

Tegasnya, sebuah kerajaan bermaruah tidak akan menggunakan pilihan raya yang tidak sempurna untuk memberi ilusi demokrasi.

Justeru, Anwar menyeru kerajaan agar menunjukkan kepimpinan dan keazaman politik untuk menyelesaikan masalah ketidakadilan dalam pilihan raya.

Beliau juga meminta badan-badan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya turut serta dalam perjuangan mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi Malaysia.

Thursday, August 24, 2006

"Pemecatan Salleh Abas permainan politik", kata Anwar

Oleh Muda Mohd Nor (Malaysiakini)

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyingkiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas selepas krisis kehakiman pada tahun 1988 adalah tidak adil dan tidak mengikut peraturan. “Oleh itu keadilan terhadap Tun Salleh perlu dikembalikan walaupun ia terpaksa menunggu lama sehingga 20 tahun.

 “Keadilan itu bukan hanya untuk Tun Salleh tetapi juga adalah untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di rumahnya di ibu negara pagi tadi.

Anwar berkata demikian bagi mengulas reaksi bekas Ketua Hakim Negara terhadap cadangan Majlis Peguam yang mahukan pemecatan lima orang hakim pada kemuncak krisis kehakiman tersebut disiasat semula.

Pada 1988, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan sebuah tribunal khas untuk membicarakan Salleh atas tuduhan salahlaku kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa bidang kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung–Datuk George Seah dan Datuk Wan Sulaiman – yang menegaskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan – turut dipecat bersama Salleh, selepas didapati bersalah atas kesalahan salahlaku oleh penal enam orang anggota tribunal tersebut.

Menurut Anwar, kesan dari penyingkiran Salleh beberapa hakim yang terlibat dalam kes tersebut telah dinaikkan pangkat walaupun ia dibuat dengan cara yang tidak adil.

 “Ketidakadilan telah berlaku dalam sistem kehakiman kerana adanya permainan politik,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, sistem kehakiman yang bebas adalah sebahagian daripada demokrasi dan prinsip ini wajar ditegakkan.

Anwar juga mengulas tentang tindakan pihak polis tidak mengeluarkan permit untuk ceramah beliau di Lembah Pantai pada hari Ahad lalu.

Katanya, perkara itu berlaku kerana parti politik yang berkuasa mengeluarkan arahan kepada polis supaya tidak mengeluarkan permit kepada penganjur majlis tersebut.

Mengenai hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu supaya dapat berucap dalam Perhimpunan Agung Umno November depan, Anwar berkata, terpulang kepada perwakilan untuk memilihnya.

“Dia ada hak untuk bercakap sebagai ahli Umno dan biar Umno Kubang Pasu yang menentukannya,” katanya lagi.

Anwar : Pilihanraya Seharusnya Bebas & Adil

Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan, pejuang-pejuang kemerdekaan kita mengimpikan sebuah negara yang bebas, makmur dan demokratik. Malangnya, hampir separuh abad kemudian, Malaysia ialah sebuah demokrasi yang tempang.

Kelemahan utama demokrasi Malaysia ialah pilihanraya kita tidak bebas mahupun adil. Hari ini saya akan mendedahkan bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan yang mencemari integriti pilihanraya Malaysia. Laporan mendalam berserta bukti-bukti kukuh akan dilancarkan di Kongres Nasional keADILan.

Tanpa pilihanraya yang bebas dan adil, demokrasi tidak akan berfungsi. Hanya kerajaan yang lemah akan campur tangan di dalam pilihanraya untuk meneruskan pemerintahan mereka. Sebuah kerajaan yang bermaruah tidak akan menggunakan pilihanraya yang tidak sempurna untuk memberi ilusi demokrasi.

Maka adalah amat penting kita memastikan pilihanraya adalah bersih dan berjalan di atas padang yang rata. Amatlah menyedihkan apabila tahap demokrasi Malaysia merosot sedangkan ia terus berkembang di negara-negara seperti India, Indonesia, Turki dan negara-negara membangun yang lain.

Perjuangan asas keADILan ialah memperbaharui demokrasi di Malaysia. Ini merangkumi badan kehakiman yang bebas, media yang terbuka, pemuliharaan hak asasi manusia dan masyarakat madani yang kukuh.

Tetapi elemen terpenting ialah dengan memastikan pilihanraya yang bebas dan adil berjalan. Saya menyeru agar pihak kerajaan menunjukkan kepimpinan dan keazaman politik untuk menyelesaikan isu ini. Pada masa yang sama saya ingin menjemput badan-badan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya turut serta dalam perjuangan mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi Malaysia.

Anwar Ibrahim
Penasihat Parti Keadilan Rakyat

Wednesday, August 23, 2006

NGO dan Mahasiswa Tuntut Pemansuhan AUKU

Gerakan Mansuh AUKU (GMA), Pertubuhan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) dan Pertubuhan-pertubuhan Mahasiswa dari peringkat nasional dan antarabangsa yang memperjuangkan hak mahasiswa dan hak pendidikan rakyat; serta memberi sokongan kepada gerakan rakyat dalam isu sosial, ekonomi dan politik.

Kami yang juga menentang sebarang penindasan dan ketidakadilan yang berlaku samada dalam mahupun luar negara tanpa mengenal kaum, agama, jantina dan kenegaraan demi untuk menegakkan prinsip demokrasi dan keadilan sosial, ingin melahirkan bantahan kami terhadap Akta Universiti dan Kolej universiti 1971 (AUKU) yang selama lebih 30 tahun telah mencengkam aktivisme dan idealisme Mahasiswa. Justeru, berdasarkan 5 prinsip utama yang dijunjung yang berkaitan dengan isu ini iaitu *Kebebasan Bersuara dan menyatakan pandangan, kebebasan Berpersatuan, Kebebasan Berkumpul, Kebebasan Akademik dan Kuasa Autonomi Universiti, maka kami sebulat suara menuntut dan mendesak agar akta Universiti dan Kolej universiti 1971 (AUKU) yang zalim ini dimansuhkan segera.

Berhubung dengan usaha Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diwar-warkan sedang mengkaji dan menilai semula AUKU seterusnya ingin melakukan beberapa pindaan khususnya pada seksyen yang berkaitan dengan penglibatan Mahasiswa di dalam pertubuhan-pertubuhan luar kampus. Kami secara telus sangat meragui tindakan ini, malah kami menyakini bahawa pindaan yang akan dilakukan itu nanti tidak akan mampu menyelesaikan isu-isu dan masalah yang sering dibangkitkan oleh segenap lapisan masyarakat seperti isu pencabulan hak asasi mahasiswa, kuasa autonomi universiti, kebebasan akademik dan isu prestasi institusi pengajian tinggi tempatan yang tidak kompetatif.

PENDIRIAN TERHADAP AUKU

Kami berpendirian bahawa:

  • NIAT AUKU DIGUBAL ADALAH 'DEMI MENGEKANG AKTISVISME MAHASISWA'

    Terdapat beberapa faktor yang melatari niat AUKU diwartakan. Antaranya:-

  • NIAT AUKU 1971 DIGUBAL ADALAH UNTUK MENUTUP "PEKUNG" KERAJAAN

    Pendirian ini dibuat berdasarkan analisis dan kajian terhadap kronologi yang berlaku sekitar tahun sebelum kewujudan AUKU sehingga kepada pengenalan akta zalim tersebut. Niat ini dapat dilihat dengan jelas melalui rentetan kronologi seperti pengisytiharaan manifesto Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) menyokong pembangkang dalam Pilihanraya Umum ke-4 sehingga tercetusnya Persitiwa 13 Mei 1969,

    Demontrasi Anti Tunku oleh PMUM di Universiti Malaya pada 29 Ogos 1969, Demontrasi "Papan Tanda" 5 Okt. 1970. Pada sekitar tahun tersebut berlaku pertembungan antara PMUM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu bahasa Melayu dan pendidikan serta isu-isu lain yang bersifat dasar. Situasi tersebut telah menggugat kekuatan Kerajaan sehingga memaksa Kerajaan membentuk "Jawatankuasa Mengkaji Kampus" sehingga tergubal dan diwartakan AUKU pad a 18 Mac 1971. Ini membuktikan "niat AUKUdigubal untuk menutup "pekung" kerajaan".

  • NIAT AUKU DIPINDA PADA 1974 DEMI MENAFIKAN HAK MAHASISWA BERSUARA DAN BERPERSATUAN DALAM ISU NASIONAL & INTERNASIONAL

    Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui kronologi peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 1971 sehingga 1974. Walaupun AUKU telah diwartakan pada tahun 1971 tetapi ianya belum cukup mampu untuk mengekang gerakan pelajar ketika itu. Berikut beberapa rentetan peristiwa yang berlaku:

    • 14 Jun 1971 - demontrasi pertama oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMIUM) (2000 orang UM dan UKM) membantah lawatan Thanam Kitikachorn (Perdana Menteri Thailand) ekoran pembunuhan umat Islam Pattani. Dalam demonstrasi ini ramai mahasiswa ditahan.
    • 15 Jun 1971 - 3000 orang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim (PBMUM) dipukul Polis ketika demontrasi di luar UM. Dalam demonstrasi ini lebih ramai mahasiswa ditahan.
    • 16 Jun. 2005, lebih ramai Mahasiswa berdemonstrasi bagi mendesak kerajaan supaya membebaskan pimpinan mereka.
    • PMUM menaja demontrasi protes AUKU 1971 pada 15 Mei 1972.

    Kelab Sosialis UM (ditubuhkan pada 1973) kembali menguasai PMUM dipimpin oleh Hishamuddin Rais dan Anwar Ibrahim menubuhkann ABIM 1971 demi membantu PMIUM (di bwh Siddiq Fadhil) dan berjaya kuasai PKPM pada tahun 1974 bangkit memimpin mahasiswa nasional berdemonstrasi membantah campur tangan AS dalam Perang Arab-Israel pada 13 Oktober 1973, Polis-FRU menyembur gas pemedih mata dan seramai 3 orang pemimpin Mahasiswa ditangkap. 4000 mahasiswa sekali lagi berdemontrasi di depan kedutaan AS pada 16 Oktober 1974 atas maksud yang sama.

    Kemuncak Gerakan Mahasiswa ialah pada 21 September 1974, 2.30ptg. PMUM menubuhkan Majlis Tertinggi Sementara (MTS) mengambil alih UM sebagai bantahan tangkapan 5 aktivis termasuk Saudara Hisyamudin Rais dalam demonstrasi Tasik Utara pada september 1974 dan Demontrasi Baling [seramai 400 orang] pada November 1974 yang telah mengakibatkan 1000 mahasiswaditahan polis dan FRU. Kesemua kronologi dan peristiwa yang berlaku ini mendorong Kerajaan untuk menilai semula AUKU dan akhirnya berlaku pindaan besar terhadap AUKU dengan memasukkan beberapa seksyen baru yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Dr Mahathir Mohamed melalui Akta Pindaan A295, seperti Seksyen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C dan lain-lain yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang.

Matlamat utama terhadap pindaan yang dibawa dalam tahun 1975 tersebut yang kekal sehingga kini ialah

*demi menafikan hak mahasiswa bersuara dalam isu nasional dan antarabangsa, *menghalang penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan penggabungan di antara badan-badan pelajar.

Tuesday, August 22, 2006

Benarkan Dr Mahathir bercakap, Abdullah jangan takut: Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed

BALING: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seharusnya memberikan kebebasan kepada Dr Mahathir untuk menyatakan pandangannya dan tidak perlu berasa takut sekiranya beliau yakin berada di pihak yang benar.

“Mengapa Perdana Menteri takut sangat, kalau kita yakin berada di pihak yang benar, ada maklumat yang cukup, bagi dia (Mahathir) bercakap, kemudian kita jawab.”

Menurut Anwar walaupun beliau tidak bersetuju dengan Dr Mahathir, namun haknya untuk berucap dan menyatakan pandangan perlu dihormati.

“Hak dia bercakap sebagai warga negara, kita kena beri dia bercakap, kalau perlu dibawa ke mahkamah bawa ke mahkamah, ini barulah disebut negara hukum ada ‘rule of law’.”

“Kita tentang Mahathir sebab dia bukan gunakan ‘rule of law’- negara hukum, tetapi dia gunakan ‘rule of the jungle’ hukum rimba, hukum rimau, guna kekerasan, tetapi sekarang ini, daripada segi adat sama sahaja.”

Beliau berucap di hadapan kira-kira 15,000 hadirin di perkarangan Madrasah Islahiah, Memali, di sini, Jumaat.

Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Pengerusi Keadilan Kedah Mokhtar Mansor dan bekas Ahli Parlimen Baling Ustad Taib Azamudin.

Abdullah, kata Anwar, tidak perlu menggunakan kuasa kuku besi, menyekat kebebasan bersuara dengan menghalang suara Dr Mahathir dan pandangan pembangkang.

Sementara itu, menyentuh kenyataan Dr Mahathir yang beliau akan berhenti mengkritik Abdullah, sekiranya kerajaan bersetuju membina semula Jambatan Bengkok, Anwar secara sinis berkata :

“Jadi perjuangan dia setakat tu sahaja ka….tidak ada jambatan aku marah kepada hang … ada (bina) jambatan aku setuju dengan hang…ini politik apa jenis ini?” disambut gelak tawa hadirin.

Ekoran perbalahan Dr Mahathir dan Abdullah itu, Anwar melontarkan persoalan:
“Saya hendak tanya… harga barang naik siapa ambil peduli, soal maruah umat siapa ambil peduli, soal penghayatan Islam siapa ambil peduli, soal kesusahan rakyat sekarang ini - RM 20 ribu juta yang dikaut disapu tidak sampai kepada rakyat siapa ambil peduli.”

Monday, August 21, 2006

Iblis, jemuan, ajak bersumpah - Siapa terdesak?

Oleh Zulkifli Mohamed

Kalut memang kalut, semakin berserabut, nampak ada yang terdesak.

Sah, jalan perdamaian semakin buntu. Pertembungan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir dengan penggantinya Datuk Seri Abdullah semakin sengit.

Simpul perbalahan antara mereka berdua semakin sukar dirungkai. Rakyat khususnya ahli UMNO semakin keliru.

Mana tidaknya, sekiranya Perdana Menteri, Timbalannya dan bekas Perdana Menteri telah tergamak menghambur ungkapan iblis, jemuan (jahat sangat) dan ajak bersumpah junjung al-Quran, semata-mata masing-masing mahu menegakkan kebenaran - kalau tidakpun benang basah.

Abdullah melabelkan mereka yang menganggu usahanya untuk membangunkan negara sebagai ‘iblis’. Najib pula menganggap pemimpin Umno yang memporak-peranda parti itu sebagai jemuan, sementara Dr Mahathir ajak mereka bersumpah junjung al-Quran di masjid, bagi membuktikan dakwaannya berkaitan pembatalan projek jambatan bengkok.

Abdullah mengungkapnya di Kuantan 10 Ogos lalu, Dr Mahathir ‘menyambutnya’ di Petaling Jaya, dua hari kemudian, sementara Najib yang mahu dilihat mempertahankan bosnya berucap di Kedah, 19 Ogos.

Meskipun masing-masing tidak menyatakan secara khusus pihak yang dimaksudkan, namun pemerhati menganggap Abdullah dan Najib merujuk kepada Dr Mahathir dan sebaliknya.

Perang mulut yang semakin panas ini entah untuk pusingan keberapa, dikatakan meletus selepas Abdullah menghambur kata ‘iblis’ kerana katanya iblis merasakan dirinya lebih pandai daripada orang lain.

Agaknya dek ‘panas telinga’ dilabel sebegitu, Dr Mahathir bingkas bangun – mencabar pihak berkenaan bersumpah bersama-samanya. Cabaran itu dibuat di depan 500 hadirin dalam majlis Jasamu Dikenang anjuran Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, selang dua hari selepas Abdullah melafazkan ungkapan ‘iblis’.

Najib hanya sekadar ‘nasi tambah’apabila melabelkan jemuan terhadap Dr Mahathir. Timbalan Presiden Umno itu sedang main wayang seolah-olah beliau sekutu Abdullah meskipun desas-desus mengatakan sebaliknya. Kata mereka, Najib akan menikam Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin dari belakang apabila sampai saat dan ketikanya.

Kalau tidak, masakan Nazri Aziz terpaksa ‘berteriak’ ada pemimpin Umno sedang bersandiwara menyokong Abdullah.

Dr M terus menyengat

Kita yakin Dr Mahathir tidak akan terjejas dan berundur daripada meminta jawapan hanya kerana label iblis itu. Tetapi tindakan Abdullah yang menajamkan lagi pertentangan dengan Dr Mahathir akan memburukkan lagi keadaan

Buktiya, kalau di Taman Melawati 24 Jun lalu, Dr Mahathir masih ‘malu-malu’ sekadar menyebut ‘anak menantu’ dan ‘tingkat empat’ sebagai pengkhianat negara, namun selepas disembur di Kota Bharu pada 28 Julai, barulah beliau secara terbuka membongkar rahsia tingkat empat dengan menyebut nama menantu Abdullah - Khairy Jamaluddin dan rakan-rakannya sebagai lebih berkuasa daripada Perdana Menteri.

Malah, di Kota Bharu itu juga Dr Mahathir mengisytiharkan secara terbuka akan menyokong pencabar Abdullah sekiranya Presiden Umno itu ditentang dalam pemilihan parti.

Kemudian 12 Ogos lalu di depan media, Dr Mahathir meneruskan langkah silatnya, mendedahkan surat sulit daripada dua bekas Perdana Menteri Singapura – Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong yang tersimpan dalam ‘kotak rahsia’ miliknya.

Surat itu menjadi ‘bukti’ Malaysia boleh membina Jambatan Indah tanpa sebarang syarat, diterimanya semasa beliau hampir bersara sebagai Perdana Menteri. Kerajaan dakwa Dr Mahathir, hanya memendam surat itu yang menyebabkan rakyat tidak mengetahui sebab sebenar pembatalan projek Jambatan Indah.

“Singapura tidak kata kalau mahu bina jambatan ada syarat itu, ada syarat ini. Tetapi kita (kerajaan) sendiri yang tawarkan pasir dan ruang udara kepada negara itu,” dakwanya.

Sebelum itu, pada 6 Ogos lalu dalam sidang media di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh, Perak, Dr Mahathir menegaskan seorang Perdana Menteri yang menjual negaranya tidak perlu dikekalkan hingga tamat tempoh perkhidmatannya.

“Kalaulah kita dapati seorang Perdana Menteri yang menjual negeri ini, adakah kita nak tunggu lima tahun…kita kena ambil tindakan awal sikit.”

Bersemuka Bersama Perdana Menteri

Abdullah nampak terdesak. Terpaksa muncul di TV3 membuat penjelasan dalam program khas ‘Bersemuka Bersama Perdana Menteri’ pada 7 Ogos lalu. Niatnya untuk menyerap kritikan, setidak-tidaknya untuk menafikan ‘tohmahan’ Dr Mahathir agar rakyat bersamanya.

Bagaimanapun penjelasan Abdullah tidak memberi apa-apa jawapan secara spesifik, bahkan mengundang pelbagai persoalan lain. Abdullah juga tidak menjawab isu penjualan syarikat motosikal MV Agusta pada harga satu Euro yang dikritik keras oleh Dr. Mahathir. Hanya menantunya, Khairy Jamaluddin dan pemimpin Barisan Nasional beria-ria mengatakan keseluruhan rakyat menerima penjelasan Perdana Menteri.

Seperti dijangka, Dr Mahathir hanya memandang sebelah mata penjelasan Abdullah, bahkan mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri bahawa anaknya Kamaluddin tidak mendapat peluang perniagaan di Malaysia, kekayaan anaknya itu diraih di luar negara.

Kenyataan Abdullah mempertahankan tindakan Khairy memiliki saham ECM-Libra turut dipandang sinis oleh Dr Mahathir.

“Di mana dia (Khairy) dapat duit RM9 juta…dia kata pinjam dekat kawan…siapa dia kawan yang bagi pinjam sampai RM9 juta...saya pun nak pinjam jugak,” sinisnya.

Tidak tertahan dengan bahang kritikan, termasuk cabaran Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayob yang mahukan Khairy mendedahkan ‘anasir Yahudi’ dalam ECM-Libra Avenua Bhd, akhirnya Naib Ketua Pemuda Umno itu terpaksa menjual kesemua 10.2 juta sahamnya yang mewakili 1.23 peratus dalam syarikat pelaburan dan broker saham itu.

Transaksi itu diumumkan pada 12 Ogos lalu, tarikh yang sama Dr Mahathir ajak bersumpah.

Bagaimanapun Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Nor menganggap tindakan Khairy itu sebagai pengecut, kerana tidak berani membenarkan dirinya disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membuktikan dirinya bersih daripada amalan korupsi dan salahguna kuasa.

Abdullah beri paku buah keras

Geram dengan tindak-tanduk Dr Mahathir yang terus lantang mengkritik kerajaan, Abdullah akhirnya memberikan paku buah keras terhadap bekas bosnya itu pada 14 Ogos lalu.

Abdullah berkata: "Beliau (Dr Mahathir) boleh kata apa sahaja yang beliau suka. Saya Perdana Menteri, saya yang memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat."

Reaksi Abdullah itu bagi mempertahankan keputusan kerajaan membatalkan projek jambatan bengkok, ekoran kenyataan Dr Mahathir sehari sebelum itu, yang berkata beliau akan berhenti mengkritik kerajaan sekiranya projek itu diteruskan semula.

Naib Presiden Keadilan Sivarasa Rasiah, berpendapat Dr Mahathir semakin terdesak dan terpaksa menyerang Abdullah sebagai satu tindakan menyelamatkan diri dan keluarganya daripada mendapat kesan daripada apa yang telah dilakukan semasa beliau berkuasa.

Manakala bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), A Kadir Jasin pula menganggap Dr Mahathir tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh yang cukup untuk menyingkirkan Abdullah dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Apapun Dr Mahathir dijangka akan semakin ‘bengis’ apabila turun ke negeri tempat tumpah darahnya, Kedah, untuk menyampaikan ceramah Cabaran Pembangunan Ummah, di Hotel Star City, Alor Setar pada 23 Ogos, setelah beberapa siri ‘roadshow’nya dipaksa batal atau ditangguh kerana tekanan Umno.

Soalnya, siapa terdesak?

Anwar terus ceramah walaupun tanpa permit

Oleh Andrew Ong (Malaysiakini)

Walaupun tidak mendapat permit polis, ceramah umum bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur tetap diteruskan pada malam Ahad lalu dengan dihadiri lebih 2,500 orang.

 Ceramah bertajuk " Isu-isu semasa bersama Anwar - Dr Mahathir vs Abdullah Ahmad Badawi" menyaksikan Penasihat Parti Keadilan Nasional (PKR) itu mempamerkan karisma dan kewibawaannya memukau orang ramai dengan ucapan dan hujah-hujahnya yang mengkritik pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ceramah yang dihadari sebahagian besarnya oleh orang Melayu dengan sekelompok kaum Cina, India dan Punjabi itu diadakan di tempat meletak kereta antara dua buah rumah pangsa. Dalam ceramah kira-kira sejam itu Anwar membidas para pemimpin Barisan nasional (BN) yang dianggapnya korup.

"Umno bukan musuh saya. Yang menjadi musuh saya ialah penyamun dan pemimpin yang rasuah. Mereka adalah musuh kita semua," tegas Anwar.

Anwar turut menempelak Dr. Mahathir yang kebelakangan ini sering menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap layanan media kepadanya.

“Baru awak tahu ...,” katanya dengan diiringi gelak tawa dari orang ramai.

Anwar juga menekankan, Abdullah tidak banyak bezanya dengan bekas Perdana Menteri itu kerana terus mengekalkan dasar-dasar yang diterapkan oleh Dr. Mahathir seperti penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengawal media arus perdana serta menggunakan cara-cara lain untuk membendung penentangan terhadap kerajaan.

 Kunjungan beliau ke Kampung Kerinchi adalah sebahagian daripada rangka lawatan Anwar ke negeri-negeri yang menjadi barisan depan PKR iaitu Sabah, Selangor dan Pulau Pinang. Program lawatan Anwar akan berakhir di Kongres Nasional PKR di Pulau Pinang pada 1 September ini.

Sementara irtu seorang pensyarah universiti swasta yang ditemui selepas ceramah tersebut berkata, Anwar adalah pakar dalam memukau pendengar dengan retoriknya.

“Anwar tahu apa yang patut diperkatakan dan bila untuk memperkatakannya,” kata beliau sambil menegaskan agenda perjuangan bekas Anwar itu serasi dengan kumpulan kelas pertengahan dan rendah.

Sebagai contoh, Anwar membangkitkan dan bertanya "Adakah anda turut menerima AP (permit import kereta)?"

Seorang agen hartanah yang mahu dikenali sebagai Loh sahaja pula berpuas hatia dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh Anwar termasuk kelembapan ekonomi dan ancaman inflasi yang berpunca dari kenaikan harga petrol.

“Kata-kata Anwar tidak dapat dibaca di akhbar, kita hanya dapat mendengarnya di sini. Kita perlu mendengar dari kedua-dua pihak,"ujarnya.

Sunday, August 20, 2006

Warkah sempena ulangtahun ke-3 PKR

7 Ogos 2006 -- Bersempena dengan ulangtahun ke-3 berdirinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos lalu, izinkan saya mengucapkan selamat menyambut Hari Parti kepada semua yang saya hormati, khasnya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail selaku Presidennya dan anggota-anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang lain.

Pada hari yang berbahagia ini, di samping berpaling sejenak ke belakang, marilah kita bersama-sama menumpukan pandangan lurus ke hadapan. Semoga dengan adanya bimbingan dari badan pimpinan serta garis yang tepat, parti ini akan terus maju selangkah demi selangkah mengatasi segala rintangan dan badai taufan sehingga memperolehi kejayaan bagi perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

Dari mula lagi, iaitu sebelum PKR dirasmikan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur pada tahun 2003, saya sudah memendamkan harapan yang amat besar terhadap masa depannya. Saya menganggap penubuhannya, terutama sekali melalui percantuman di antara Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan), sebagai peristiwa besar yang bersejarah dalam perkembangan politik progresif di tanahair.

Justeru itulah maka pada prinsipnya saya tidak pernah menaruh rasa sangsi, apa lagi mencurigai gagasan tersebut.

Sebaliknya, sebagai anggota PRM pada ketika itu, saya telah menyatakan persetujuan sepenuhnya, dan menyokong tanpa syarat usaha bersungguh-sungguh yang dipelopori oleh pucuk pimpinan untuk membawa parti berkenaan ke tahap baru yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.

Syukurlah, pada hari ini saya masih bersama PKR, lebih-lebih lagi, selepas tiga tahun, saya semakin yakin bahawa keputusan untuk bercantum dan mewujudkan parti tersebut adalah tepat. Jika ada sedikitpun kemusykilan, hanyalah kerana saya tidak dapat melibatkan diri secara aktif bersama-sama dengan kawan-kawan yang lain semasa di peringkat penubuhannya dulu.

Pada ketika itu, dan beberapa tahun sebelumnya, saya hanya menjadi anggota biasa sahaja dalam PRM. Sesuai dengan kedudukan itu, tugas dan tanggungjawab saya tidak lebih daripada menjadi skru kecil bagi memastikan agar jentera parti bergerak dengan lancar serta misi yang dipikul oleh pucuk pimpinan tidak gagal, apa lagi digagalkan, di tengah-tengah jalan.

Kalau hendak dibanggakan, itu sahajalah peranan besar saya laksana setitik air yang jatuh ke dalam anak sungai, ia terus dibawa arus dan mengalir dengan tidak henti-henti hingga ke sungai yang lebih besar dan akhirnya sampai juga ke muara, walaupun bukan lagi dalam bentuk asalnya

Sebab itulah pada harijadi ini saya menumpang gembira bersama-sama dengan ramai yang lain.

Walaupun usia PKR baru sahaja tiga tahun dan sering mengalami masalah tumbuh gigi, akan tetapi di segi yang lain, ia mempunyai peranan besar bagi meneruskan tradisi dan sejarah perjuangan yang diwarisinya. Ini bererti tanggungjawab yang dipikulnya jauh lebih berat daripada yang disangkakan.

Sehubungan dengan itu, mungkin masih ada lagi orang yang belum faham dan bertanya mengapa perlu ditambah sebuah lagi parti (di luar BN) manakala jumlah yang ada sekarang inipun sudah cukup banyak untuk membingungkan rakyat?

Itu tidak benar! Sebaliknya, penubuhan PKR dari awal-awal lagi harus dilihat sebagai satu inisiatif atau langkah permulaan bagi menghimpunkan seberapa banyak parti atau/dan tenaga yang boleh diajak bersatu menjadikannya kekuatan politik yang raksasa untuk berhadapan dengan BN yang semakin sakaratulmaut itu.

Seperti yang dimadahkan oleh Dr Burhanuddin dulu:

Di atas robohan kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatupadulah seluruh baka
Membela hak keadilan pusaka!

Bayangkan, seandainya PKR, PAS, DAP dan parti-parti lain dapat bersatu dalam bentuk yang lebih rapi dan agak sempurna (bukan seperti nikah misyar atau kahwin mutaah yang berlaku dalam BA sekarang), sudah tentu rakyat tidak akan bingung, keliru atau pening kepala lagi untuk membuat pilihan.

Percantuman di antara PRM-Keadilan, yang diikut sertai badan-badan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh perseorangan, bekas-bekas anggota bermacam-macam parti\ politik ke dalam wadah PKR itu adalah bukti nyata bahawa gagasan untuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang dimaksudkan tadi bukan sahaja tidak mustahil tetapi praktikal.

Diakui, untuk melaksanakannya tidaklah semudah di atas kertas. Ada seribu satu macam masalah yang mesti difikirkan. Kadang-kadang halangan datang secara tiba-tiba tanpa sesiapapun dapat menduganya. Cabaran demi cabaran, dari luar dan dari dalam. Tetapi, jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu?

Inilah harapan umum yang sering dibisikkan oleh kawan-kawan dan sahabat ke telinga saya. Setelah berulang-ulang kali, sayapun berjanji di dalam hati untuk merelakan diri menjadi posmen mereka.

Bersempena Hari Parti ini, izinkan saya mengambil peluang di sini untuk menunaikan amanah tersebut dengan membentangkan warkah terbuka ini bagi tatapan semua.

Kami berharap semoga dengan keprihatinan dan komitmen semua pihak yang berkenaan, masalah kedamaian, perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang semakin hari semakin terancam itu akan diletakkan menjadi agenda utama dari sekarang.

Hanya apabila rakyat sudah bersatu untuk menegakkan sistem yang adil dan saksama, barulah umat manusia di muka bumi ini akan mempunyai harapan dan masa.

Oleh Syed Hamid Ali

Saturday, August 19, 2006

Suara Keadilan isu 90 Sudah terbit!

Perjuangan parti itu telah rosak - Anwar Tidak minat sertai Umno


TOKOH karismatik, Anwar Ibrahim berkata beliau tidak berminat menyertai Umno kerana perjuangan parti tersebut telah jauh menyimpang dari segi prinsip.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan tokoh veteran, Tengku Razaleigh Hamzah dalam portal web Malaysiakini bahawa Anwar hanya mempunyai dua pilihan sekiranya mahu menjadi Perdana Menteri, sama ada menyertai semula Umno atau menyertai PAS.


Dedah nama Menteri Rasuah

Mengulas isu lain, Anwar berkata kredibiliti bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad akan tergugat sekiranya beliau tidak mendedahkan nama menteri-menteri Kabinet yang didakwanya rasuah.
“Jika beliau konsisten dan jujur, beliau patut mendedahkan nama mereka,” kata Anwar ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai perkara tersebut.

Tengku Razaleigh jahil fakta

Mengulas isu lain, Syed Husin berkata Tengku Razaleigh Hamzah tidak tahu mengenai fakta politik apabila berkata KeADILan ‘hanya parti Kuala Lumpur’, dalam wawancara dengan laman web Malaysiakini baru-baru ini.
“Bagaimana boleh dilabel sebagai ‘parti Kuala Lumpur’ sedangkan KeADILan mempunyai 165 bahagian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Ini menunjukkan pemimin veteran itu sudah terputus jauh dari realiti
politik tanahair,” kata Syed Husin.


Kongres Ketiga KeADILan 1-3 September depan

Parti KeADILan Rakyat (Ke-ADILan) akan mengadakan Kongres Nasional Ketiganya di Hotel Equatorial, Bukit Jambul, Bayan Lepas Pulau Pinang pada 1 hingga 3 September depan.
Menurut Setiausaha Agung KeA-DILan Kamarul Baharin Abas, seperti tahun lepas, kongres kali ini mengekalkan tema ‘Masa Untuk Perubahan’.

Thursday, August 17, 2006

Anwar jumpa rakyat di Kuala Perlis, 17 Ogos

KANGAR, 16 Ogos (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berada di Perlis esok dalam satu majlis anjuran The Seeking Truth Society, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin NGO dan dan masyarakat dalam satu majlis dialog yang turut dianjurkan oleh gabungan 15 buah NGO di Perlis.

Majlis tersebut akan diadakan di Hotel Seaview Kuala Perlis dekat sini bermula jam 3.00 petang.

Dialog tersebut bakal membincangkan isu-isu semasa dan masa depan Malaysia dari kaca mata pemimpin politik, NGO dan masyarakat.

Sebelum ini pihak penganjur terpaksa berberapa kali mengubah lokasi majlis berikutan kesukaran mendapat tempat yang sesuai di samping menghadapi kerenah birokrasi pihak-pihak tertentu yang tidak mahu memberi kebenaran.

Wednesday, August 16, 2006

Majlis Sambutan Kemasukan Dato Nalla K.S. ke keADILan

Bekas Ketua Pemuda MIC, Dato Nalla K.S. akan mengumumkan kemasukan beliau ke dalam Parti Keadilan Rakyat (keADILan) dalam satu upacara yang disaksi oleh Presiden Parti, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat Parti, Dato Seri Anwar Ibrahim.


Berikut adalah butiran program:


Tema : Menjana Tenaga Kemenangan

Tarikh : 20 Ogos 2006 (Ahad)

Masa : 3.00 petang hingga 6.00 petang

Tempat : Mahkota I & II, Hotel Istana, Kuala Lumpur

Yang turut menyertai KeADIlan adalah bekas ahli-ahli MIC dan PPP serta golongan professional dan borang kemasukan akan diserahkan kepada Presiden dalam majlis tersebut.


Majlis tersebut terbuka kepada orang awam dan dijangka seramai 2,000 orang akan hadir.


Berikut ialah aturcara program:


1446 ¡V 1450 : Ketibaan Dato Nalla K.S. bersama isterinya Datin M.Vijayakumari

1451 ¡V 1500 : Ketibaan Dato Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah

1501 - 1505 : Menyalakan 'Kutuvilake' oleh Datin Seri Dr Wan Azizah

1506 - 1510 : Lagu "KEADILAN"

1511 - 1520 : Tarian

1520 - 1525 : Ucapan Sambutan oleh Pengarah Program

1526 - 1540 : Video Klip Dato Nalla K.S.

1541 - 1615 : Ucapan Presiden Parti Datin Seri Dr Wan Azizah

1616 - 1640 : Ucapan Dato Nalla K.S.

1641 - 1700 : Penyerahan Borang Keahlian Kepada Presiden

1706 - 1745 : Ucapan Penasihat Parti Dato' Seri Anwar Ibrahim

1746 - 1750 : Penyerahan Cendermata kepada Presiden

1750¡V1815 : Sidang Media

Dato Nalla Karuppan adalah salah seorang yang diheret untuk memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes pemecatan beliau. Dato Nalla telah didakwa di bawah Akta Senjata Api kerana memiliki senjata api.

Dalam kes tersebut, Nalla telah diminta memberi kesaksian bahawa dia telah mendapatkan perempuan-perempuan untuk Anwar. Pihak pendakwa meminta Nalla menyatakan yang dia telah mendapatkan lima orang perempuan, dengan persetujuan itu, dapat mengurangkan hukuman di bawah Akta Senjata Api. Jika tidak, dia akan didakwa di bawah ISA yang membawa hukuman mati. Dato Nalla, bagaimanapun, enggan berbuat demikian walaupun dia menghadapi hukuman mati.

Tuesday, August 15, 2006

BA akan bela rakyat Sabah dari kesempitan hidup - Anwar

SANDAKAN, 15 Ogos (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membawa Sabah dan rakyatnya keluar dari pelbagai tekanan dan kesempitan hidup ke arah kemakmuran sebenar sekiranya rakyat memberi mandat kepada pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan, selama ini pemerintah yang dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya
mengambil kesempatan di atas mandat yang diberikan untuk memperkayakan diri dan kroni di kalangan mereka tanpa membela nasib rakyat.

Katanya ini jelas terbukti, antaranya apabila rakyat ketika ini sedang merana menanggung kos hidup yang tinggi dengan kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan ekoran kenaikan harga minyak yang tidak sewajarnya berlaku demikian memandangkan negara adalah pengeksport terpenting bahan itu
di rantau ini.

Apa yang berlaku katanya, semua ini adalah disebabkan kegagalan pemimpin menguruskan ekonomi negara dengan baik sehingga berlakunya pelbagai penyelewengan dan amalan rasuah.

Katanya, harta negara terus berlegar di sekitar orang-orang atasan dan kalau ada pun hanya sedikit yang dipulangkan kepada rakyat.

“Saya memberi jaminan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, kami akan membuat perubahan menyeluruh melalui satu gagasan rakyat Malaysia yang lebih harmoni dan bersatu padu,”demikian tegas Anuar dengan diiringi tepukan gemuruh oleh lebih 1000 orang hadirin pada majlis ceramah perdana di Sanbay Hotel dekat sini baru-baru ini.

Antara yang hadir ialah, Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Hj Awang Tengah bersama barisan kepimpinan negeri dan bahagian.

Turut sama pada majlis itu,Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah dan juga Dato' Nahalan Hj Damsal mantan ahli kabinet negeri daripada Umno.

Dalam konteks Sabah, beliau yang juga penasihat PKR menegaskan bahawa Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya di Malaysia dengan pelbagai sumber asli seperti petroleum, kayu balak dan sumber pertanian tetapi sayang rakyatnya terus dilanda pelbagai tekanan hidup dan kemiskinan.

Beliau mejelaskan demikian berdasarkan rekod sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan sebelum dipecat dari kerajaan.

Beliau sedih, mengapa kekayaan yang melimpah ruah itu tidak sampai kepada golongan bawahan yang amat memerlukannya.

Anwar turut mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan negeri terutama dalam soal pembahagian tanah kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan telah berjanji akan memberikan tanah kepada rakyat sekurang-kurangnya 15 ekar seorang untuk membina kehidupan berkeluarga, namun tanah yang dijanjikan itu telah dimajukan di atas nama syarikat milik kerajaan negeri.

“Kami akan pulangkan semula tanah ini kepada rakyat, kerana ini adalah milik mereka” katanya.

Selain daripada itu, beliau teramat kecewa apabila budaya ‘angguk’ dan ‘Yes Boss’ yang melanda kepimpinan negara hari ini dalam menentukan suatu tindakan dan dasar kerajaan telah memusnahkan negara dan rakyat sendiri.

Beliau mahu agar rakyat sebagai penentu kepada kepimpinan negara harus membuka minda dan berfikiran positif dan matang, bukannya mengamalkan budaya ‘sokong’ apa sahaja tindakan yang diambil oleh kerajaan.

Katanya, rakyat harus berfikiran matang sebelum membuat keputusan kerana jika tidak akan merugikan diri sendiri.

“Syarat untuk menang, rakyat harus berubah dan jangan jadi alat perkakas BN untuk terus berkuasa,” tambah Anwar.

Pada akhir majlis itu, Dato' Nahalan Hj Damsal dan Abdul Latif Taha mantan pemimpin kanan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan calon bebas pada pilihan raya umum lalu menyerahkan secara rasminya borang keahlian mereka kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Monday, August 14, 2006

Suara Keadilan Keluaran 89

Anwar tegaskan halatuju politiknya Tetap bersama KeADILan


MANTAN Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama perjuangan pembangkang, dan menolak sebarang khabar angin yang menyatakan ada pakatan dengan parti pemerintah.


AS turut bertanggung- jawab bunuh orang awam


KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat turut bertanggungjawab dalam serangan Israel ke atas Lubnan yang mengakibatkan beratus-ratus orang awam terkorban, kata Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali.




Hentikan segala bentuk perhubungan dengan Israel-Angkatan Muda


Sementara itu dalam isu sama, Angkatan Muda KeADILan mendesak Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi
menggunakan pengaruhnya sebagai Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) bagi menghentikan segala
bentuk hubungan antara negara OIC dengan Israel.


Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Angkatan Muda, Faisal Mustaffa pencerobohan Israel di Lubnan memerlukan tindakan tegas daripada negara OIC bagi memastikan pembunuhan orang awam di Lubnan dapat dihentikan.

Pecat Timbalan Naib Canselor UPM - NGO


Dalam satu memorandum kepada universiti itu, kumpulan seramai 50 orang yang diketuai oleh Penyelaras Suaram,
Chang Lih Kang berkata Azali bertanggungjawab terhadap segala masalah yang timbul di bawah pentadbirannya,
yang dituduh mengongkong hak asasi pelajar.

Friday, August 11, 2006

Sekat mahasiswa berpolitik, Mustafa halang demokrasi PDF

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berasa kecewa dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed yang bertegas mahasiswa tetap tidak dibenarkan untuk menceburi politik meskipun pindaan pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 sedang dijalankan

Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan kerajaan menghalang mahasiswa melibatkan diri dalam politik akan mensia-siakan kualiti kepimpinan yang ada pada anak muda dan seterusnya membantutkan proses pembangunan negara.

"Hakikat kerajaan enggan melonggarkan sekatan Auku 1971 adalah kerana ketakutan kerajaan berhadapan dengan kritikan dan persoalan mahasiswa tentang pelbagai dasar," kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataannya hari ini.

Sejak Auku 1971 dipinda pada tahun 1975, implikasi negatifnya berlarutan sehingga hari ini dan seterusnya akan memberi kesan buruk kepada generasi akan datang, katanya.

Banyak pertubuhan dan individu menggesa agar akta yang wujud selama 30 tahun ini dimansuhkan sama sekali setelah Menteri Pengajian Tinggi menyatakan keinginan untuk memindanya, katanya.

Bagaimanapun, terbaru Menteri Pengajian Tinggi pula menegaskan bahawa mahasiswa tidak akan dibenarkan untuk berpolitik walaupun Auku 1971 akan dipinda.

"Kementerian Pengajian Tinggi bukan setakat tidak sanggup menerima pandangan pelbagai pihak, malah telah membuat keputusan awalan tanpa perbincangan dengan mana-mana pihak bahawa mahasiswa tidak akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik," katanya yang merujuk kepada kenyataan Mustafa.

Kenyataan ini nyata bercanggahan dengan semangat demokrasi parlimen dan ia tidak memberi sebarang makna kepada pindaan Auku 1971 yang dibuat pada bulan September nanti, katanya.

Auku 1971 akan tetap kekal sebagai alat yang mengekang kebebasan mahasiswa dan demokrasi kampus, katanya.

KeADILAn berpendirian bahawa dalam sebuah negara demokrasi, kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri harus bertanggungjawab terhadap rakyat.

Malah rakyat juga seharusnya berhak untuk bersuara, berhimpun serta menceburi politik, katanya.

Sebagai tunas bangsa, mahasiswa sewajarnya memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat sepanjang tempoh pengajian dengan mengemukakan pandangan kritis terhadap dasar kerajaan agar dapat memastikan kerajaan melaksanakan dasar pembangunan yang benar-benar memanfaatkan rakyat, katanya.

Sehubungan itu, KeADILan menggesa agar Menteri Pengajian Tinggi bersikap terbuka dan menerima pandangan pelbagai pihak.

KeADILan juga menggesa Menteri Pengajian Tinggi menghapuskan sama sekali perkara-perkara yang tidak demokratik yang terkandung dalam Auku 1971 bagi mengembalikan demokrasi dalam kampus, katanya.

Wednesday, August 09, 2006

PKR sifatkan Pemuda Umno bersifat perkauman

Muda Mohd Noor (Malaysiakini)

Aug 7, 06 -- Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap tindakan Pemuda Umno Pulau Pinang mahu jawatan Ketua Menteri digilirkan di kalangan parti komponen Barisan Nasional negeri itu sebagai retorik dan bersifat perkauman.


Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Amizuddin Ahmat berkata, usul yang hendak dibawa oleh Pemuda Umno itu lebih merupakan gimik politik dalam usaha untuk mempertahankan pengaruh BN setelah menyedari pengaruh PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kuat di negeri itu.

Katanya, Umno gusar dengan pertambahan ahli dan cawangan PKR secara mendadak selain parti itu yang diterima oleh semua kaum.


“Hujah Umno mahukan kerusi Ketua Menteri untuk membela nasib orang Melayu di negeri itu yang semakin jauh ketinggalan tidak berasas kerana negeri lain yang Ketua Menteri orang Melayu juga ketinggalan,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa majoriti pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang akan membangkitkan dan membawa usul penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam mesyuarat Pemuda bahagian hujung minggu ini.


Katanya, Gerakan, MCA dan MIC sudah pasti melihat usul Pemuda Umno itu sebagai satu isu perkauman dan akan bersatu menentang cadangan tersebut.


Amizuddin menambah, politik berunsur perkauman yang dimaminkan oleh Pemuda Umno itu jelas sekali berbeza dengan pendekatan PKR yang mempromosikan idea gagasan Malaysia baru pelbagai kaum bertunjangkan bumiputera.


Katanya, gagasan tersebut jelas berkesan dengan kemasukan ahli komponen BN pelbagai bangsa ke dalam PKR kebelakangan ini.


“ Ini menunjukkan masyarakat mula menerima idea parti pelbagai kaum yang berteraskan Melayu bagi menyelesaikan politik perkauman di negara ini,” ujarnya.


Mesyuarat Pemuda

Baru-baru ini malaysiakini melaporkan, Pemuda Umno Pulau Pinang akan membawa usul penggiliran Ketua Menteri dalam mesyuarat peringkat bahagian Umno negeri itu.


Sumber-sumber Umno negeri itu berkata, sekurang-kurangnya 10 daripada 13 pergerakan Pemuda Umno bahagian telah sepakat untuk membentangkan usul tersebut dalam mesyuarat masing-masing minggu depan, sebelum membawanya ke mesyuarat bahagian.


“Pemuda Umno Pulau Pinang merasakan sudah tiba masanya jawatan Ketua Menteri digilirkan antara parti komponen Barisan Nasional yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” ujar sumber berkenaan.


Beliau menekankan, Umno yang menguasai 14 daripada 40 kerusi DUN wajar diberi peluang menjawat jawatan tersebut.

Baki kerusi DUN Pulau Pinang dikuasai oleh Gerakan (13 kerusi), MCA (9), MIC (2) manakala DAP dan PAS masing-masing satu kerusi.


Umno memenangi 14 daripada 15 kerusi yang ditandinginya dalam pilihanraya umum 2004. Gerakan memenangi kesemua 13 kerusi yang ditandinginya, MCA pula tewas satu daripada 10 kerusi yang diperuntukkan kepadanya dan MIC.

Sumber berkenaan menambah, usul tersebut dijangka diterima oleh semua mesyuarat bahagian dan akan dibawa pula oleh badan perhubungan Umno negeri ke perhimpunan agung Umno.


Mesyuarat Umno bahagian bermula semalam dan akan berlangsung hingga 10 September. Pergerakan Pemuda bahagian negeri itu akan mula bermesyuarat pada 12 Ogos ini.


Menurut sumber itu lagi, ini adalah kali pertama usul penggiliran Ketua Menteri akan dibawa ke perhimpunan agung Umno.