Belanjawan 2007: Abdullah tidak mampu tingkat ekonomi negara
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak percaya Belanjawan 2007 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, 1 September ini mampu meningkatkan ekonomi negara.
"Mungkin ada perkara baru dalam belanjawan nanti tetapi saya tidak menjangka ada sesuatu yang berkesan untuk memulihkan ekonomi negara," katanya semasa ditemui selepas sidang media pagi tadi di kediaman rasmi beliau di Bukit Damansara.
Apa yang menjadi masalahnya, Anwar berkata, Abdullah tidak bersedia untuk berganjak ke kerangka pemikiran baru untuk memulihkan ekonomi ini mungkin disebabkan Abdullah terlalu lama dalam kerajaan.
Tegasnya yang juga, dalam dasar RMK-9 Abdullah tidak berganjak membawa Malaysia untuk bersaing dengan negara-negara membangun lain seperti India yang pernah dilabelkan sebagai negara mundur.
Bahkan katanya, Malaysia juga kalah dalam pelaburan, pasaran saham begitu juga ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat berbanding Banglore dan Chennai di India.
"Kita cakap berapi-api tentang RMK-9 tetapi tidak ada dasar yang konkrit, kalau RMK-9 macam itu, Belanjawan 2007 nanti saya tidak fikir akan ada banyak kesan, harga barang, minyak akan naik dan gula tetap tidak akan cukup," katanya.
Katanya yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), apa yang akan berlaku itu menunjukkan pemimpin kerajaan tidak sewajarnya hanya pandai berfikir sahaja tetapi perlu ada langkah yang berkesan menjaga ekonomi negara.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kelemahan utama demokrasi dalam negara ini adalah pilihan raya yang tidak bebas dan adil.
Beliau akan mendedahkan bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan mencemari integriti pilihan raya Malaysia dalam Konres Nasional KeADILan pada 1 hingga 3 September ini.
"Tanpa pilihan raya yang bebas dan adil, demokrasi tidak akan berfungsi, hanya kerajaan yang lemah akan campur tangan di dalam pilihan raya untuk meneruskan pemerintahan mereka," katanya.
Tegasnya, sebuah kerajaan bermaruah tidak akan menggunakan pilihan raya yang tidak sempurna untuk memberi ilusi demokrasi.
Justeru, Anwar menyeru kerajaan agar menunjukkan kepimpinan dan keazaman politik untuk menyelesaikan masalah ketidakadilan dalam pilihan raya.
Beliau juga meminta badan-badan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya turut serta dalam perjuangan mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi Malaysia.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home