SepangOnline

Wednesday, August 09, 2006

PKR sifatkan Pemuda Umno bersifat perkauman

Muda Mohd Noor (Malaysiakini)

Aug 7, 06 -- Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap tindakan Pemuda Umno Pulau Pinang mahu jawatan Ketua Menteri digilirkan di kalangan parti komponen Barisan Nasional negeri itu sebagai retorik dan bersifat perkauman.


Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Amizuddin Ahmat berkata, usul yang hendak dibawa oleh Pemuda Umno itu lebih merupakan gimik politik dalam usaha untuk mempertahankan pengaruh BN setelah menyedari pengaruh PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kuat di negeri itu.

Katanya, Umno gusar dengan pertambahan ahli dan cawangan PKR secara mendadak selain parti itu yang diterima oleh semua kaum.


“Hujah Umno mahukan kerusi Ketua Menteri untuk membela nasib orang Melayu di negeri itu yang semakin jauh ketinggalan tidak berasas kerana negeri lain yang Ketua Menteri orang Melayu juga ketinggalan,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa majoriti pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang akan membangkitkan dan membawa usul penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam mesyuarat Pemuda bahagian hujung minggu ini.


Katanya, Gerakan, MCA dan MIC sudah pasti melihat usul Pemuda Umno itu sebagai satu isu perkauman dan akan bersatu menentang cadangan tersebut.


Amizuddin menambah, politik berunsur perkauman yang dimaminkan oleh Pemuda Umno itu jelas sekali berbeza dengan pendekatan PKR yang mempromosikan idea gagasan Malaysia baru pelbagai kaum bertunjangkan bumiputera.


Katanya, gagasan tersebut jelas berkesan dengan kemasukan ahli komponen BN pelbagai bangsa ke dalam PKR kebelakangan ini.


“ Ini menunjukkan masyarakat mula menerima idea parti pelbagai kaum yang berteraskan Melayu bagi menyelesaikan politik perkauman di negara ini,” ujarnya.


Mesyuarat Pemuda

Baru-baru ini malaysiakini melaporkan, Pemuda Umno Pulau Pinang akan membawa usul penggiliran Ketua Menteri dalam mesyuarat peringkat bahagian Umno negeri itu.


Sumber-sumber Umno negeri itu berkata, sekurang-kurangnya 10 daripada 13 pergerakan Pemuda Umno bahagian telah sepakat untuk membentangkan usul tersebut dalam mesyuarat masing-masing minggu depan, sebelum membawanya ke mesyuarat bahagian.


“Pemuda Umno Pulau Pinang merasakan sudah tiba masanya jawatan Ketua Menteri digilirkan antara parti komponen Barisan Nasional yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” ujar sumber berkenaan.


Beliau menekankan, Umno yang menguasai 14 daripada 40 kerusi DUN wajar diberi peluang menjawat jawatan tersebut.

Baki kerusi DUN Pulau Pinang dikuasai oleh Gerakan (13 kerusi), MCA (9), MIC (2) manakala DAP dan PAS masing-masing satu kerusi.


Umno memenangi 14 daripada 15 kerusi yang ditandinginya dalam pilihanraya umum 2004. Gerakan memenangi kesemua 13 kerusi yang ditandinginya, MCA pula tewas satu daripada 10 kerusi yang diperuntukkan kepadanya dan MIC.

Sumber berkenaan menambah, usul tersebut dijangka diterima oleh semua mesyuarat bahagian dan akan dibawa pula oleh badan perhubungan Umno negeri ke perhimpunan agung Umno.


Mesyuarat Umno bahagian bermula semalam dan akan berlangsung hingga 10 September. Pergerakan Pemuda bahagian negeri itu akan mula bermesyuarat pada 12 Ogos ini.


Menurut sumber itu lagi, ini adalah kali pertama usul penggiliran Ketua Menteri akan dibawa ke perhimpunan agung Umno.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home