SepangOnline

Monday, August 21, 2006

Anwar terus ceramah walaupun tanpa permit

Oleh Andrew Ong (Malaysiakini)

Walaupun tidak mendapat permit polis, ceramah umum bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur tetap diteruskan pada malam Ahad lalu dengan dihadiri lebih 2,500 orang.

 Ceramah bertajuk " Isu-isu semasa bersama Anwar - Dr Mahathir vs Abdullah Ahmad Badawi" menyaksikan Penasihat Parti Keadilan Nasional (PKR) itu mempamerkan karisma dan kewibawaannya memukau orang ramai dengan ucapan dan hujah-hujahnya yang mengkritik pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ceramah yang dihadari sebahagian besarnya oleh orang Melayu dengan sekelompok kaum Cina, India dan Punjabi itu diadakan di tempat meletak kereta antara dua buah rumah pangsa. Dalam ceramah kira-kira sejam itu Anwar membidas para pemimpin Barisan nasional (BN) yang dianggapnya korup.

"Umno bukan musuh saya. Yang menjadi musuh saya ialah penyamun dan pemimpin yang rasuah. Mereka adalah musuh kita semua," tegas Anwar.

Anwar turut menempelak Dr. Mahathir yang kebelakangan ini sering menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap layanan media kepadanya.

“Baru awak tahu ...,” katanya dengan diiringi gelak tawa dari orang ramai.

Anwar juga menekankan, Abdullah tidak banyak bezanya dengan bekas Perdana Menteri itu kerana terus mengekalkan dasar-dasar yang diterapkan oleh Dr. Mahathir seperti penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengawal media arus perdana serta menggunakan cara-cara lain untuk membendung penentangan terhadap kerajaan.

 Kunjungan beliau ke Kampung Kerinchi adalah sebahagian daripada rangka lawatan Anwar ke negeri-negeri yang menjadi barisan depan PKR iaitu Sabah, Selangor dan Pulau Pinang. Program lawatan Anwar akan berakhir di Kongres Nasional PKR di Pulau Pinang pada 1 September ini.

Sementara irtu seorang pensyarah universiti swasta yang ditemui selepas ceramah tersebut berkata, Anwar adalah pakar dalam memukau pendengar dengan retoriknya.

“Anwar tahu apa yang patut diperkatakan dan bila untuk memperkatakannya,” kata beliau sambil menegaskan agenda perjuangan bekas Anwar itu serasi dengan kumpulan kelas pertengahan dan rendah.

Sebagai contoh, Anwar membangkitkan dan bertanya "Adakah anda turut menerima AP (permit import kereta)?"

Seorang agen hartanah yang mahu dikenali sebagai Loh sahaja pula berpuas hatia dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh Anwar termasuk kelembapan ekonomi dan ancaman inflasi yang berpunca dari kenaikan harga petrol.

“Kata-kata Anwar tidak dapat dibaca di akhbar, kita hanya dapat mendengarnya di sini. Kita perlu mendengar dari kedua-dua pihak,"ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home