SepangOnline

Friday, August 25, 2006

Anwar: Dr Mahathir halang dakwa Rafidah

BALING: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir telah menghalang Peguam Negara untuk mendakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Rafidah Aziz, meskipun kertas pendakwaan berkaitan rasuah terhadap menteri berkenaan telah disiapkan.

Menurut Anwar, selepas gagal mendapat persetujuan Dr Mahathir, pegawai di pejabat Peguam Negara ketika itu telah menemui beliau bagi memujuk Dr Mahathir meneruskan tindakan undang-undang terhadap Rafidah dengan membawa kertas pendakwaan dan kertas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

“Apabila saya menemuinya, Dr Mahathir berkata: Anwar…depa ni (Peguam Negara dan BPR) tidak tahu politik, tutup cerita.”

“Mahathir tutup cerita, Abdullah pun tutup cerita. Inilah masalahnya. Tapi apa maruah kita ….apa kedudukan pimpinan negara sekarang?”

Anwar berkata demikian ketika berceramah bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Madrasah Islahiah, Memali, Jumaat lalu yang dihadiri lebih 15 ribu orang.

Menurut Anwar berdasarkan sistem pentadbiran sekarang, sebarang pendakwaan yang melibatkan seseorang menteri dan Ketua Menteri perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri terlebih dahulu.

Justeru, beliau kesal dengan tindakan Abdullah mengekalkan Rafidah dalam kabinetnya, meskipun Abdullah bertekad untuk membanteras rasuah dalam kerajaan.

“Saya tidak percaya dia (Abdullah) tidak melihat kertas pendakwaan (Rafidah), mustahil seorang Perdana Menteri tidak melihat kertas pendakwaan,” katanya.

Dalam sidang media di Alor Setar, Rabu, Dr Mahathir menafikan beliau pernah "menyelamatkan" Rafidah daripada disiasat oleh BPR satu ketika dulu, malah mendakwa beliau tidak mengetahui tindakan Rafidah memberi begitu banyak AP (permit Import) kepada dua individu semasa pentadbirannya.

Terdahulu, dalam ceramahnya Dr Mahathir turut mempersoalkan Abdullah yang mengekalkan Rafidah dalam kabinetnya.

Untuk rujukan - Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor pernah didakwa di mahkamah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan kepada umum kertas pendakwaan Rafidah yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwaraya, Abdul Ghani Patail bertarikh 14 Mac 1995.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home