SepangOnline

Tuesday, August 29, 2006

Keadilan tubuh 5 cawangan baru di Kepala Batas

Oleh Zulkifli Mohamed

KEPALA BATAS: Keadilan Bahagian Kepala Batas berjaya melebarkan sayapnya dengan penubuhan lima cawangan baru, sementara Umno kehilangan sebuah cawangan di Kampung Lembah Raja, berikutan ahli-ahlinya bertindak meninggalkan parti itu.

Cawangan lain ialah Kubang Menerong, Paya Keladi, Taman Abdullah Fahim dan Permatang Kuang dengan penyertaan ahli baru seramai 250 orang.

Bekas Naib Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Lembah Raja, Bakhari Bidin, 43 tahun, mengetuai 60 ahli Umno kampung berkenaan menyerahkan borang menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Noor, di sini, pada 25 Ogos lalu.

Bakhari yang merupakan pengasas Umno cawangan berkenaan berkata dengan penyertaan semua Ahli Jawatankuasa Umno ke dalam Keadilan, bererti Umno cawangan itu telah berkubur.

“Kami semua mahu tukar kereta baru kerana kereta Umno telah buruk dan rosak teruk,” jelasnya ketika ditanya mengapa memilih wadah Keadilan.

Tambahan pula katanya, kehidupan penduduk di kampung berkenaan yang majoritinya pesawah semakin terhimpit ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Tetapi kami lihat wakil rakyat yang kami pilih dan ahli keluarga mereka hidup semakin senang-lenang,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Hizam Abdul Shakor, 22 tahun dari Kubang Menerong pula berkata beliau memilih wadah Keadilan setelah mendapati program Umno banyak merosakkan minda golongan muda.

“Anak-anak muda hidup tanpa prinsip perjuangan, lebih mementingkan hiburan yang disogok saban hari oleh Umno,” jelasnya.

Manakala, Ketua Bahagian Keadilan Kepala Batas Zaini Awang menganggap kesedaran di kalangan rakyat semakin meningkat.

“Rakyat semakin sedar kepincangan Umno dan kebobrokan pemimpinnya. Mereka telah hilang kepercayaan kepada Umno dan mahukan perubahan. Ini satu kejayaan buat Keadilan kerana ini kawasan Presiden Umno,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home