SepangOnline

Thursday, August 24, 2006

"Pemecatan Salleh Abas permainan politik", kata Anwar

Oleh Muda Mohd Nor (Malaysiakini)

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyingkiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas selepas krisis kehakiman pada tahun 1988 adalah tidak adil dan tidak mengikut peraturan. “Oleh itu keadilan terhadap Tun Salleh perlu dikembalikan walaupun ia terpaksa menunggu lama sehingga 20 tahun.

 “Keadilan itu bukan hanya untuk Tun Salleh tetapi juga adalah untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di rumahnya di ibu negara pagi tadi.

Anwar berkata demikian bagi mengulas reaksi bekas Ketua Hakim Negara terhadap cadangan Majlis Peguam yang mahukan pemecatan lima orang hakim pada kemuncak krisis kehakiman tersebut disiasat semula.

Pada 1988, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan sebuah tribunal khas untuk membicarakan Salleh atas tuduhan salahlaku kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa bidang kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung–Datuk George Seah dan Datuk Wan Sulaiman – yang menegaskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan – turut dipecat bersama Salleh, selepas didapati bersalah atas kesalahan salahlaku oleh penal enam orang anggota tribunal tersebut.

Menurut Anwar, kesan dari penyingkiran Salleh beberapa hakim yang terlibat dalam kes tersebut telah dinaikkan pangkat walaupun ia dibuat dengan cara yang tidak adil.

 “Ketidakadilan telah berlaku dalam sistem kehakiman kerana adanya permainan politik,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, sistem kehakiman yang bebas adalah sebahagian daripada demokrasi dan prinsip ini wajar ditegakkan.

Anwar juga mengulas tentang tindakan pihak polis tidak mengeluarkan permit untuk ceramah beliau di Lembah Pantai pada hari Ahad lalu.

Katanya, perkara itu berlaku kerana parti politik yang berkuasa mengeluarkan arahan kepada polis supaya tidak mengeluarkan permit kepada penganjur majlis tersebut.

Mengenai hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu supaya dapat berucap dalam Perhimpunan Agung Umno November depan, Anwar berkata, terpulang kepada perwakilan untuk memilihnya.

“Dia ada hak untuk bercakap sebagai ahli Umno dan biar Umno Kubang Pasu yang menentukannya,” katanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home