Warkah sempena ulangtahun ke-3 PKR
7 Ogos 2006 -- Bersempena dengan ulangtahun ke-3 berdirinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos lalu, izinkan saya mengucapkan selamat menyambut Hari Parti kepada semua yang saya hormati, khasnya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail selaku Presidennya dan anggota-anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang lain. Pada hari yang berbahagia ini, di samping berpaling sejenak ke belakang, marilah kita bersama-sama menumpukan pandangan lurus ke hadapan. Semoga dengan adanya bimbingan dari badan pimpinan serta garis yang tepat, parti ini akan terus maju selangkah demi selangkah mengatasi segala rintangan dan badai taufan sehingga memperolehi kejayaan bagi perpaduan dan kesejahteraan rakyat. Dari mula lagi, iaitu sebelum PKR dirasmikan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur pada tahun 2003, saya sudah memendamkan harapan yang amat besar terhadap masa depannya. Saya menganggap penubuhannya, terutama sekali melalui percantuman di antara Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan), sebagai peristiwa besar yang bersejarah dalam perkembangan politik progresif di tanahair. Justeru itulah maka pada prinsipnya saya tidak pernah menaruh rasa sangsi, apa lagi mencurigai gagasan tersebut. Sebaliknya, sebagai anggota PRM pada ketika itu, saya telah menyatakan persetujuan sepenuhnya, dan menyokong tanpa syarat usaha bersungguh-sungguh yang dipelopori oleh pucuk pimpinan untuk membawa parti berkenaan ke tahap baru yang lebih sesuai dengan keadaan semasa. Syukurlah, pada hari ini saya masih bersama PKR, lebih-lebih lagi, selepas tiga tahun, saya semakin yakin bahawa keputusan untuk bercantum dan mewujudkan parti tersebut adalah tepat. Jika ada sedikitpun kemusykilan, hanyalah kerana saya tidak dapat melibatkan diri secara aktif bersama-sama dengan kawan-kawan yang lain semasa di peringkat penubuhannya dulu. Pada ketika itu, dan beberapa tahun sebelumnya, saya hanya menjadi anggota biasa sahaja dalam PRM. Sesuai dengan kedudukan itu, tugas dan tanggungjawab saya tidak lebih daripada menjadi skru kecil bagi memastikan agar jentera parti bergerak dengan lancar serta misi yang dipikul oleh pucuk pimpinan tidak gagal, apa lagi digagalkan, di tengah-tengah jalan. Kalau hendak dibanggakan, itu sahajalah peranan besar saya laksana setitik air yang jatuh ke dalam anak sungai, ia terus dibawa arus dan mengalir dengan tidak henti-henti hingga ke sungai yang lebih besar dan akhirnya sampai juga ke muara, walaupun bukan lagi dalam bentuk asalnya Sebab itulah pada harijadi ini saya menumpang gembira bersama-sama dengan ramai yang lain. Walaupun usia PKR baru sahaja tiga tahun dan sering mengalami masalah tumbuh gigi, akan tetapi di segi yang lain, ia mempunyai peranan besar bagi meneruskan tradisi dan sejarah perjuangan yang diwarisinya. Ini bererti tanggungjawab yang dipikulnya jauh lebih berat daripada yang disangkakan. Sehubungan dengan itu, mungkin masih ada lagi orang yang belum faham dan bertanya mengapa perlu ditambah sebuah lagi parti (di luar BN) manakala jumlah yang ada sekarang inipun sudah cukup banyak untuk membingungkan rakyat? Itu tidak benar! Sebaliknya, penubuhan PKR dari awal-awal lagi harus dilihat sebagai satu inisiatif atau langkah permulaan bagi menghimpunkan seberapa banyak parti atau/dan tenaga yang boleh diajak bersatu menjadikannya kekuatan politik yang raksasa untuk berhadapan dengan BN yang semakin sakaratulmaut itu. Seperti yang dimadahkan oleh Dr Burhanuddin dulu:
Bayangkan, seandainya PKR, PAS, DAP dan parti-parti lain dapat bersatu dalam bentuk yang lebih rapi dan agak sempurna (bukan seperti nikah misyar atau kahwin mutaah yang berlaku dalam BA sekarang), sudah tentu rakyat tidak akan bingung, keliru atau pening kepala lagi untuk membuat pilihan. Percantuman di antara PRM-Keadilan, yang diikut sertai badan-badan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh perseorangan, bekas-bekas anggota bermacam-macam parti\ politik ke dalam wadah PKR itu adalah bukti nyata bahawa gagasan untuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang dimaksudkan tadi bukan sahaja tidak mustahil tetapi praktikal. Diakui, untuk melaksanakannya tidaklah semudah di atas kertas. Ada seribu satu macam masalah yang mesti difikirkan. Kadang-kadang halangan datang secara tiba-tiba tanpa sesiapapun dapat menduganya. Cabaran demi cabaran, dari luar dan dari dalam. Tetapi, jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu? Inilah harapan umum yang sering dibisikkan oleh kawan-kawan dan sahabat ke telinga saya. Setelah berulang-ulang kali, sayapun berjanji di dalam hati untuk merelakan diri menjadi posmen mereka. Bersempena Hari Parti ini, izinkan saya mengambil peluang di sini untuk menunaikan amanah tersebut dengan membentangkan warkah terbuka ini bagi tatapan semua. Kami berharap semoga dengan keprihatinan dan komitmen semua pihak yang berkenaan, masalah kedamaian, perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang semakin hari semakin terancam itu akan diletakkan menjadi agenda utama dari sekarang. Hanya apabila rakyat sudah bersatu untuk menegakkan sistem yang adil dan saksama, barulah umat manusia di muka bumi ini akan mempunyai harapan dan masa. Oleh Syed Hamid Ali |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home