SepangOnline

Friday, August 11, 2006

Sekat mahasiswa berpolitik, Mustafa halang demokrasi PDF

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berasa kecewa dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed yang bertegas mahasiswa tetap tidak dibenarkan untuk menceburi politik meskipun pindaan pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 sedang dijalankan

Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan kerajaan menghalang mahasiswa melibatkan diri dalam politik akan mensia-siakan kualiti kepimpinan yang ada pada anak muda dan seterusnya membantutkan proses pembangunan negara.

"Hakikat kerajaan enggan melonggarkan sekatan Auku 1971 adalah kerana ketakutan kerajaan berhadapan dengan kritikan dan persoalan mahasiswa tentang pelbagai dasar," kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataannya hari ini.

Sejak Auku 1971 dipinda pada tahun 1975, implikasi negatifnya berlarutan sehingga hari ini dan seterusnya akan memberi kesan buruk kepada generasi akan datang, katanya.

Banyak pertubuhan dan individu menggesa agar akta yang wujud selama 30 tahun ini dimansuhkan sama sekali setelah Menteri Pengajian Tinggi menyatakan keinginan untuk memindanya, katanya.

Bagaimanapun, terbaru Menteri Pengajian Tinggi pula menegaskan bahawa mahasiswa tidak akan dibenarkan untuk berpolitik walaupun Auku 1971 akan dipinda.

"Kementerian Pengajian Tinggi bukan setakat tidak sanggup menerima pandangan pelbagai pihak, malah telah membuat keputusan awalan tanpa perbincangan dengan mana-mana pihak bahawa mahasiswa tidak akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik," katanya yang merujuk kepada kenyataan Mustafa.

Kenyataan ini nyata bercanggahan dengan semangat demokrasi parlimen dan ia tidak memberi sebarang makna kepada pindaan Auku 1971 yang dibuat pada bulan September nanti, katanya.

Auku 1971 akan tetap kekal sebagai alat yang mengekang kebebasan mahasiswa dan demokrasi kampus, katanya.

KeADILAn berpendirian bahawa dalam sebuah negara demokrasi, kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri harus bertanggungjawab terhadap rakyat.

Malah rakyat juga seharusnya berhak untuk bersuara, berhimpun serta menceburi politik, katanya.

Sebagai tunas bangsa, mahasiswa sewajarnya memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat sepanjang tempoh pengajian dengan mengemukakan pandangan kritis terhadap dasar kerajaan agar dapat memastikan kerajaan melaksanakan dasar pembangunan yang benar-benar memanfaatkan rakyat, katanya.

Sehubungan itu, KeADILan menggesa agar Menteri Pengajian Tinggi bersikap terbuka dan menerima pandangan pelbagai pihak.

KeADILan juga menggesa Menteri Pengajian Tinggi menghapuskan sama sekali perkara-perkara yang tidak demokratik yang terkandung dalam Auku 1971 bagi mengembalikan demokrasi dalam kampus, katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home