Usah nafi jasa pejuang kemerdekaan - Wan Azizah
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) - Dalam menyambut hari kemerdekaan, masyarakat Malaysia tidak akan dapat lari dari memperingati jasa-jasa pejuang terdahulu yang bermati-matian membebaskan negara dari cengkaman penjajah.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa mengulas hal tersebut berkata, dalam suasana menyambut Kemerdekaan Malaysia yang ke-49 semua pihak disaran agar tidak melupakan jasa tokoh-tokoh terdahulu yang bersusah payah dan berkorban demi sebuah kemerdekaan.
Menurut Dr Wan Azizah, dalam menyingkap tabir perjuangan kemerdekaan dengan fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan rakyat perlu didedahkan dengan nama-nama pejuang yang turut menyumbang kepada kemerdekaan negara.
"Kita tidak boleh melenyapkan nama besar seperti Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad kerana jasa mereka tidak ternilai harganya," katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan yang disampaikan kepada Harakahdaily hari ini.
Bukan hanya bebas dari penjajah
Selain itu, katanya sambutan kemerdekaan pada tahun ini sangat bermakna lebih-lebih lagi sambutan pada tahun ini memasuki fasa setengah abad negara bebas dari penjajahan Barat.
Sehubungan itu kata beliau, tanggungjawab mengisi makna kemerdekaan terletak pada generasi selepas merdeka dan seharusnya dinilai dari skop penghayatan yang lebih luas.
"Kemerdekaan tidak harus didefinasikan sebagai bebas dari cengkaman penjajah semata-mata, malah seharusnya merdeka dari setiap aspek kehidupan seperti politik, sosioekonomi, jati diri dan moral," katanya.
Merdeka..merdeka...kroni terus kaya
Negara yang merdeka harus mampu menyediakan prasarana ekonomi agar kekayaan negara dapat dinikmati dan dikongsi secara adil, katanya.
Malangnya kerajaan hari ini ternyata gagal apabila kekayaan negara hanya dinikmati oleh segelintir pihak yang berkait rapat dengan pemerintah, ujarnya.
"Rakyat diminta terus berkorban, terus berpegang kepada semangat patriotisme dan sayangkan negara sedangkan para pemimpin dan dan elit politik terus mengamalkan rasuah, penyelewengan kuasa dan saling bercakaran berebut harta kekayaan negara," kata
Atas keprihatinan itu KeADILan akan berusaha membina nilai moral dan akhlak yang baik bagi membentuk pemerintahan yang akauntabal, telus dan efektif selain melahirkan bangsa yang matang dan berfikiran kritis.
Sehubungan itu Dr Wan Azizah menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama dengan perjuangan KeADILan untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, adil dan saksama tanpa batasan kaum dan agama./wann
0 Comments:
Post a Comment
<< Home