Oleh Muda Mohd Nor (Malaysiakini) Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi hasrat untuk membawa pasukan pemantau antarabangsa termasuk dari negara Islam bagi mengawasi perjalanan pilihanraya di negara ini. Beliau yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, ini kerana pilihanraya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak adil dan penuh dengan pelbagai penyelewengan. “Saya sangat komited dalam hal ini. Saya dan teman-teman dari PKR, DAP, PAS dan badan bukan kerajaan (NGO) memandang serius amalan penipuan dalam pilihanraya. “Ada yang mengundi dua kali, senarai nama hilang, dua nama, pengundi hantu dan sebagainya.Ini yang berlaku dalam pilihanraya di bawah pengendalian SPR.
“Cara yang paling baik ialah dengan membawa pemantau pilihanraya dari masyarakat antarabangsa dan pemerhati dari negara Islam,” katanya dalam sidang media di rumahnya di ibu negara hari ini.
Hadir sama ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Ketua Penerangan, Tian Chua.
Beliau berkata, isu pilihanraya akan dibentang dan dibincangkan secara mendalam dalam Kongres Nasional PKR di Pulau Pinang minggu depan.
Katanya, bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan yang mencemari intergriti pilihanraya di negara ini akan dibentangkan di kongres tersebut.
Katanya, perjuangan asas PKR ialah memperbaharui demokrasi merangkumi badan kehakiman yang bebas, media yang terbuka, pemuliharaan hak asasi manusia dan masyarakat madani yang kukuh. Bebas dan adil “Tanpa pilihanraya yang bebas dan adil, demokrasi tidak akan berfungsi Hanya kerajaan yang lemah akan campur tangan di dalam pilihanraya untuk meneruskan pemerintahan mereka,” katanya .
Anwar berkata, senarai pengundi yang dikeluarkan oleh SPR pada tahun 2004 menunjukkan begitu banyak penipuan termasuk pertindihan alamat dan orang yang tidak dikenali mengundi di satu-satu kawasan. “Ini tidak termasuk undi pos yang dipangkah sendiri oleh pegawai SPR,” katanya sambil menambah SPR perlu menjadi pengendali pilihanraya yang adil dan bukannya berpihak kepada parti politik.
Beliau berkata, kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa pilihanraya berjalan secara adil adalah satu gimik politik dan hanya layak dikeluarkan oleh pemimpin cawangan Umno.
Anwar berkata, pilihanraya di India, Turki dan Indonesia dijalankan dengan lebih adil kerana ia dipantau oleh pemerhati antarabangsa.
“SPR tidak perlu takut dengan kehadiran pemantau antarabangsa jika mereka mendakwa pilihanraya di negara adil dijalankan dengan adil,” katanya lagi. |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home