SepangOnline

Tuesday, August 15, 2006

BA akan bela rakyat Sabah dari kesempitan hidup - Anwar

SANDAKAN, 15 Ogos (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membawa Sabah dan rakyatnya keluar dari pelbagai tekanan dan kesempitan hidup ke arah kemakmuran sebenar sekiranya rakyat memberi mandat kepada pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan, selama ini pemerintah yang dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya
mengambil kesempatan di atas mandat yang diberikan untuk memperkayakan diri dan kroni di kalangan mereka tanpa membela nasib rakyat.

Katanya ini jelas terbukti, antaranya apabila rakyat ketika ini sedang merana menanggung kos hidup yang tinggi dengan kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan ekoran kenaikan harga minyak yang tidak sewajarnya berlaku demikian memandangkan negara adalah pengeksport terpenting bahan itu
di rantau ini.

Apa yang berlaku katanya, semua ini adalah disebabkan kegagalan pemimpin menguruskan ekonomi negara dengan baik sehingga berlakunya pelbagai penyelewengan dan amalan rasuah.

Katanya, harta negara terus berlegar di sekitar orang-orang atasan dan kalau ada pun hanya sedikit yang dipulangkan kepada rakyat.

“Saya memberi jaminan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, kami akan membuat perubahan menyeluruh melalui satu gagasan rakyat Malaysia yang lebih harmoni dan bersatu padu,”demikian tegas Anuar dengan diiringi tepukan gemuruh oleh lebih 1000 orang hadirin pada majlis ceramah perdana di Sanbay Hotel dekat sini baru-baru ini.

Antara yang hadir ialah, Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Hj Awang Tengah bersama barisan kepimpinan negeri dan bahagian.

Turut sama pada majlis itu,Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah dan juga Dato' Nahalan Hj Damsal mantan ahli kabinet negeri daripada Umno.

Dalam konteks Sabah, beliau yang juga penasihat PKR menegaskan bahawa Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya di Malaysia dengan pelbagai sumber asli seperti petroleum, kayu balak dan sumber pertanian tetapi sayang rakyatnya terus dilanda pelbagai tekanan hidup dan kemiskinan.

Beliau mejelaskan demikian berdasarkan rekod sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan sebelum dipecat dari kerajaan.

Beliau sedih, mengapa kekayaan yang melimpah ruah itu tidak sampai kepada golongan bawahan yang amat memerlukannya.

Anwar turut mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan negeri terutama dalam soal pembahagian tanah kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan telah berjanji akan memberikan tanah kepada rakyat sekurang-kurangnya 15 ekar seorang untuk membina kehidupan berkeluarga, namun tanah yang dijanjikan itu telah dimajukan di atas nama syarikat milik kerajaan negeri.

“Kami akan pulangkan semula tanah ini kepada rakyat, kerana ini adalah milik mereka” katanya.

Selain daripada itu, beliau teramat kecewa apabila budaya ‘angguk’ dan ‘Yes Boss’ yang melanda kepimpinan negara hari ini dalam menentukan suatu tindakan dan dasar kerajaan telah memusnahkan negara dan rakyat sendiri.

Beliau mahu agar rakyat sebagai penentu kepada kepimpinan negara harus membuka minda dan berfikiran positif dan matang, bukannya mengamalkan budaya ‘sokong’ apa sahaja tindakan yang diambil oleh kerajaan.

Katanya, rakyat harus berfikiran matang sebelum membuat keputusan kerana jika tidak akan merugikan diri sendiri.

“Syarat untuk menang, rakyat harus berubah dan jangan jadi alat perkakas BN untuk terus berkuasa,” tambah Anwar.

Pada akhir majlis itu, Dato' Nahalan Hj Damsal dan Abdul Latif Taha mantan pemimpin kanan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan calon bebas pada pilihan raya umum lalu menyerahkan secara rasminya borang keahlian mereka kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home